Bab 1 : Seindah Kasih Cadeo | Wan Sufia


PAGI Selasa itu benar-benar menguji kesabaran Najla. Kereta Viva kesayangannya entah kenapa tidak dapat dihidupkan enjinnya.
“Hish! Dah lah lambat... buat hal pulak si kecik ni,” bebel Najla tak henti-henti. Malah berkali-kali juga tangan halusnya menghentak stereng kereta. Geram apabila si kecik membuat perangai.
Setelah berpuluh-puluh minit dia membuang masa di situ, dia segera mencapai tas tangan yang diletak di tempat duduk sebelahnya dan terus melangkah keluar. Langkahnya dipercepat. Harap-harap komuter tak terlepas. Itu pilihan yang dia ada. Kalau nak menaiki teksi pun, entah-entah dia akan tiba ke sekolah, tempatnya mengajar lagi sejam. Tak pasal-pasal buruk rekodnya nanti. Kalau setakat sepuluh minit atau dua puluh minit, rasanya pengetua tak lokek sangat.
Mujur juga stesen komuter berada di jauh dari rumahnya. Hanya sekitar lima belas minit berjalan kaki. Namun berpeluh juga dirinya. Berjalan dalam keadaan kalut, membuatkan bukan sahaja tubuhnya berpeluh malah jantungnya berdegup mengalahkan berlari merentas desa.
Najla sekali lagi menarik nafas lega apabila dia tidak terlepas komuter pada pagi itu. Sudah beberapa bulan dia tidak menaiki kenderaan awam itu. Sudah ingat-ingat lupa jadual komuter di situ.
Sebaik sahaja menapak masuk ke dalam komuter, dia sudah nampak ada satu tempat kosong yang hampir dengan kedudukannya. Mujur juga tidak ramai yang memenuhi kenderaan tersebut. Cepat-cepat dia menghampiri.
Dia sempat memandang penumpang di hadapan tempat duduknya. Ada empat orang budak sekolah. Sekitar umur 15 hingga 17 tahun lagaknya yang asyik tersenyum-senyum memandang ke arah tempatnya duduk.
Dia mula hairan. Tas tangan di ribanya dikemaskan agar tidak melorot ke bawah. Baju kurung kain kapas yang dipakainya ditarik agar terletak elok dan sekali lagi dia memandang gelagat anak-anak muda itu.
Dia mula menarik nafas lega apabila mula menyedari bukan dirinya yang menjadi perhatian. Rupa-rupanya mereka itu sibuk duk sok sek-sok sek pasal penumpang di sebelah kanannya.
Najla sedar bahawa di situ ada penumpang lelaki. Namun dia tidak jelas wajah itu. Dia mula memberanikan diri untuk memandang. Apalah sangat yang anak-anak muda itu seronok sangat.
Hampa! Lelaki itu hanya menunduk. Sibuk dengan gajet di tangan. Sempat juga mata Najla melirik pakaian yang dikenakan lelaki itu. Kemas! Wangi! Bersih!
Matanya jatuh pula ke bahagian jari-jemari lelaki itu yang sedang menaip sesuatu pada gajetnya. Dan matanya terus membuntang.
“Pandainya awak guna bahasa Thai...” Mulutnya tanpa sedar memuji. Menyedari itu, Najla segera menutup mulutnya dengan telapak tangannya. Namun perlahan-lahan tangan itu dijatuhkan ke riba apabila wajah yang menunduk sebentar tadi berpaling memandangnya.
Sorry...” pintanya dengan rasa bersalah. Perlahan.
Tidak lama kemudian, lelaki itu tersenyum.
It’s okay.
Najla mengangguk. Tidak lagi bersuara walaupun dia sangat teruja melihat lelaki itu mahir berkomunikasi menggunakan bahasa Thai di gajetnya. Namun sesekali Najla sibuk juga mengerling pergerakan jemari lelaki itu. Teruja melihat si dia mahir menaip satu-persatu tulisan Thai tanpa perlu berfikir lama.
“Pelik ke?” Tiba-tiba lelaki itu menyoal. Wajah itu masih menunduk. Najla tidak pasti dengan siapa lelaki itu berbicara.
“Pelik ke saya tahu berbahasa Thai?” Kali ini wajah itu berpaling memandangnya. Bibir kemerahan lelaki itu mengukir senyum kepadanya. Dia terpana. Ya Allah! Tampannya. Patutlah anak-anak muda depan sana asyik tersengih-sengih. Rupanya sedang melihat ‘model’ tampan di sini.
You are not answering my question but you keep staring at me like that. It makes me nervous.” Lelaki itu tertawa halus. Sangat manis pada pandangan Najla. Dia rasa lain. Tiba-tiba mulutnya berat untuk membalas.
“Saya rasa saya dah buat sesuatu sampai awak terdiam macam ni. Maafkan saya.” Lelaki itu terus kembali mengadap gajetnya.
“Er... bukan! Tak! Saya cuma... tak pasti awak bercakap dengan siapa tadi.” Kalut Najla membalas. Risau juga andai dirinya dilabel kuat mengelamun pula.
Sekali lagi lelaki itu memandangnya. Bibir itu tidak lokek dengan senyuman.
“Ini kali pertama ada yang berani menegur saya di dalam komuter ni.”
“Serius?”
Lelaki itu mengangguk.
“Awak selalu naik komuter ke?” Najla menyoal. Namun tidak lama, dia sudah rasa menyesal apabila menyoal begitu. Rasa macam sudah menyibuk hal orang pula.
“Setiap hari.” Lelaki itu membalas ringkas.
Najla dapat melihat yang gajet di tangan lelaki itu sudah disisip masuk ke dalam kocek baju kemeja lengan panjang berwarna biru yang dipakai.
“Tapi saya tak pernah perasankan awak.”
“Oh! Saya jarang naik komuter. Selalu saya drive je...”
Lelaki itu mengangguk.
“Hari ni kenapa tiba-tiba?” Mesra soalan itu terbit dari mulut lelaki yang tidak diketahui nama olehnya itu.
“Si kecik saya rosak...” Najla mengeluh apabila mengingatkan hal itu.
“Si kecik? Maksud awak... kereta?”
Najla mengangguk sambil tersenyum. Dia baru tersedar yang dia menyebut gelaran kereta kesayangannya itu kepada lelaki di sebelahnya.
Lelaki itu mengangguk dan kemudiannya sekali lagi menyoal. “Turun mana nanti?”
“Petaling.”
“Oh. Tak jauh dah ni...”
Najla pula mengangguk. “Awak turun mana? Nak ke pejabat ke?”
Yup! KL Sentral.”
Sekali lagi Najla mengangguk. Dia tidak mahu menyoal lebih. Nanti dikata penyibuk pula. Sudahlah baru kenal.
Tidak sampai sepuluh minit, hentian Petaling sudah sampai. Apabila Najla ingin bersiap bangun dari situ dan ingin beredar, lelaki di sebelahnya pantas menyoal. “Nama awak?”
“Najla.” Dan dia terus pergi dari situ meninggalkan sebaris namanya kepada si dia yang menyoal.



SESAMPAINYA di pejabat, Cadeo langsung tidak mampu fokus. Dia hanya duduk termenung di atas kerusi kulit itu. Fikirannya melayang kepada pertemuan tanpa diduga sebentar tadi.
“Najla.” Nama itu meniti sekali lagi di bibirnya.
Mengingati wajah ayu wanita itu membuatkan dirinya di awangan. Pelik! Gadis Melayu yang wajahnya biasa-biasa kalau hendak dibandingkan dengan wajah supermodel milik Som Sui, Adlene atau Miriam. Namun yang biasa-biasa itu yang mampu melekat kukuh di ruang matanya.
Ayu Najla, mengusik hatinya.
Manisnya Najla, mengujakan dirinya.
Tersipu-sipu Najla, sangat indah di matanya.
“Harap sangat kereta dia tak baik-baik. Boleh jumpa hari-hari.” Cadeo sudah menyeringai dengan doa yang dialunnya. Rasa keanak-anakan pula apabila meminta begitu. Macam tidak kena pula dengan imej dan kerjayanya.
Cadeo Sittichai. Berumur 32 tahun dan berasal dari Pulau Pinang. Kalau dilihat pada namanya, sudah tentu ramai yang dapat mengagak yang pemuda itu bukanlah dari kaum Melayu. Dia hasil campuran dari Siam di sebelah ayahnya dan Inggeris dari sebelah ibunya. Bab rupa paras usah dipertikai lagi. Cadeo memang seorang yang tampan. Malah dia seorang yang bekerjaya hebat.
Di usia 32 tahun itu, dia boleh berbangga dengan kejayaan yang dia kecapi. Walaupun legasi itu berasal dari hasil titik peluh ayahnya, namun tanpa sentuhan dan idea orang muda sepertinya, susah nak berdiri megah bersama-sama dengan pesaing yang lain. Rezekinya bukan hanya boleh berbekalkan dengan wajah tampan sahaja, harus akal perlu bijak membuat keputusan juga.
“Mr Derik di talian, Mr Cadeo.” Suara Alice kedengaran di interkom.
Cadeo cepat-cepat berdehem sebelum bersuara. “Okey. Sambungkan.”

Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

13 comments: