Bab 2 : Seindah Kasih Cadeo | Wan Sufia


NAJLA mengemas meja kerjanya sebelum pulang ke rumah. Dia sedikit terlewat pada hari itu. Dia perlu menyemak latihan pelajarnya agar tidak perlu dibawa pulang. Susah hendak mengangkut banyak barang apabila menggunakan komuter nanti. Dan sudah pasti ramai penumpang pada ketika itu.
  Najla melirik jam di pergelangan tangan kanannya. Sudah jam 5.50 petang. Dah rasa macam cikgu sesi sebelah petang pula. Badan sudah terasa melekit. Tidak selesa.
  “Dah nak balik, Cikgu Najla?”
  Najla segera mengangkat pandang. Wajah Cikgu Samsul terlayar di matanya.
  “Ya, cikgu. Duk siap nak balik dah.”
  “Okey. Hati-hati.” Cikgu lelaki itu terus berlalu setelah memesan begitu. Sempat juga bibir Cikgu Samsul itu menghadiahkan senyuman kepadanya.
  Dia mengangguk walaupun lelaki itu tidak melihatnya. Malas nak melayan lebih-lebih. Bukan dia tidak sedar yang Cikgu Samsul itu ada hati dengannya. Tambah pula ramai cikgu-cikgu di sekolah itu yang sering menjodohkan mereka berdua. Dia penat dengan karenah orang yang suka sangat menjadi matchmaker ni. Tak boleh tengok orang hidup sendirian kut? Ada sahaja yang nak menyibuk.
  Najla mengeluarkan tas tangannya yang berada di dalam laci. Sesudah memastikan yang kesemua barangannya sudah cukup, dia mula bangun dan bergerak dari situ.
  Stesen komuter Petaling menjadi destinasinya. Memang seperti yang dia jangka. Ramai orang yang menunggu di situ.
Dia mengeluh.
Hampir dua puluh minit menunggu, akhirnya kenderaan awam itu muncul. Berasak-asak dirinya dengan penumpang yang lain untuk masuk ke dalam. Kalau hendak mengharapkan ada tempat kosong, memang bertuahlah. Mustahil di waktu begitu dia akan bernasib baik.
Najla menyandar pada tiang besi sambil tangan memaut tali pemegang. Terkial-kial dia mencapai tali tersebut di dalam keadaan yang bersesak begitu.
Tiba-tiba lengannya terasa disentuh dari belakang. Dia sudah mula cuak. Namun akalnya mula berfikir. Mungkin ada yang tidak sengaja tersentuhnya. Kepalanya digeleng perlahan.
Namun tidak sampaipun beberapa saat, sekali lagi lengannya itu disentuh. Kali ini lebih erat. Seakan-akan ada tangan yang menggenggam anggotanya itu. Dia mengeraskan diri di situ. Takut untuk berpaling.
“Najla...” Kali ini namanya terasa dipanggil. Dia tersentak.
It’s me...” Suara yang memanggil sebentar tadi sudah terasa dekat benar dengan tubuhnya. Peluh sudah merinik di dahi namun dia gagahkan diri juga untuk berpaling.
“Awak?” balasnya terkejut.
Lelaki itu tersenyum dan tidak menunggu lama, dia mula menarik nafas lega. Wajahnya turut sama ikut senyum.
“Jumpa lagi ya kita?” soalnya mesra.
Lelaki itu mengangguk.
Sorry saya tak perasan tadi awak yang... err... sentuh lengan saya.”
Sorry juga sebab saya dah buat macam tu...”
Najla mengangguk.
“Saya panggil tadi sebab nak kasi tempat duduk saya kat awak. Tapi awak tak paling pun... terpaksalah saya bangun.” Lelaki itu memberitahu.
“Tempat duduk awak?” Najla cuba mengintai ke belakang lelaki itu. Tiadapun tempat kosong.
“Dah ada orang yang duduk.” Selamba lelaki itu menjawab.
Dia tersenyum serba-salah. Disebabkan dirinya, lelaki itu kehilangan tempat duduk malah dia sendiri kehilangan nasib baik.
“Kasihan kat awak. Tak pasal-pasal kena berdiri.”
Dia melihat lelaki itu menggeleng.
“Tak apa. Saya dah lama duduk. Dari KL Sentral tadi lagi.” Mesra lelaki tampan itu membalas. “Si kecik awak tak okey lagi?”
Sambil mengetap bibir, Najla menjawab. “Belum. Saya tak tahu apa yang jadi kat dia sekarang. Harap-harap kawan saya dah hantar ke workshop dah tadi.”
I see...
Kedua-dua mereka terdiam. Masing-masing melayan perasaan.
Najla berasa tidak selesa dengan keadaan mereka rapat begitu. Dengan tubuhnya yang melekit bertambah pula kedudukan lelaki itu yang rapat berdiri di belakangnya. Dia benar-benar tidak selesa. Jantungnya berdegup pantas. Dia tidak biasa begini dengan lelaki yang tidak dikenalinya.
Mengingati hal itu, Najla mula ingin menjadi penyibuk. “Saya perlu panggil awak apa ye?” soalnya. Dia mengerling sedikit ke bahunya untuk melihat lelaki itu.
“Deo. Just call me Deo.
“Deo? Deodorant?”
Lelaki itu tertawa kuat. Langsung tidak mempedulikan penumpang lain yang sejak dari tadi asyik memandangnya. Mungkin dia sudah biasa dengan perhatian orang. Mungkin dia sudah lali dengan pandangan orang terhadapnya.
“Lawaklah awak ni, Najla. Tak kanlah my parents nak letak nama anak mereka macam tu kut?” balas lelaki itu mesra. Wajahnya tetap ceria. Masih kemas dan bersih kalau hendak dibandingkan dengan Najla yang sudah berserabut itu.
Najla hanya tersengih. Lucu juga apabila mengenangkan yang dia menyoal tidak logik begitu.
Just call me that and believe me... deodorant is not my real name.
Lagi bertambah malu Najla apabila Deo berkata begitu. Sudah menjadi bahan perli pula. Aduh! Terimalah nasib apabila bercakap tanpa berfikir. Itulah jadinya.
Dia hanya diam sahaja selepas itu. Tidak lagi menyoal atau berbual dengan Deo. Jadi malu apabila mengenangkan yang dirinya sudah terlanjur kata. Malah Deo sendiripun tidak bersuara lebih. Hanya diam berdiri di belakangnya. Hanya tubuh itu yang terasa dekat dengan tubuhnya.



CADEO hanya duduk santai di ruang tamu rumahnya. Malam itu dia malas hendak keluar ke kelab. Bukan tidak ada yang mengajak namun dia sendiri yang tidak mempunyai mood untuk keluar. Lebih santai duduk menonton di rumah. Malah makan malamnya hanya satu set sandwich dan air mineral. Cukup untuknya melapik perut sehingga esok hari.
Rancangan yang terlayar pada televisyen di hadapannya langsung tidak menjadikannya kusyuk untuk menonton. Fikirannya menerawang ke lain. Dari pagi wajah Najla yang terlayar di matanya. Nak fokus pada kerja di pejabat juga menjadi susah. Sudah beberapa kali dia dikejutkan oleh Alice, pembantu peribadinya itu dari lamunan. Malu juga dibuatnya apabila ketua yang selama ini sangat dedikasi dan fokus di dalam pejabat sudah kelihatan angau begitu.
Angau?
Benar ke aku angaukan Najla? Benar ke apa yang aku rasakan ini disebabkan angaukan gadis itu?
Kepalanya digeleng berkali-kali. Dia tidak mahu disebabkan rasa terujanya berkenalan dengan gadis Melayu itu membuatkannya hilang fokus.
Bercinta atau berkahwin tidak termasuk di dalam misi hidupnya. Apa yang dia perlukan adalah duit, duit dan duit. Dia perlu kekayaan sebagai jaminan masa depannya dan keluarga. Dan andai satu masa nanti apabila dia memerlukan teman, dia boleh memilih sesiapa sahaja yang dia berkenan untuk dijadikan perempuan simpanan. Tiada masalah! Malah dia tahu ramai yang sudi untuk berdampingan dengannya.
Dia mungkin terpesona dengan wajah dan cara Najla kerana rata-rata wanita yang dia kenali, tidak ada yang sama seperti gadis itu. Masing-masing yang menghulur tangan semuanya jenis yang ‘senang’ diperolehi. Dia tidak suka begitu. Dia tidak suka sesuatu yang tiada cabaran. Malah dia tidak suka dengan mereka yang ‘plastik’ dan tidak ikhlas untuk bersamanya.
Bagi Cameo, hanya dia yang layak memilih dengan siapa dirinya akan berkawan dan berhubungan. Kuasa di tangannya. Andai dia mahu, dia mesti mendapatkannya walau dengan apa cara sekalipun.
Andai suatu hari nanti Najla yang dia inginkan, dia akan memastikan gadis Melayu itu jatuh ke tangannya juga. Biar apa jua halangan, dia akan tetap mendapat gadis itu. Biar masa yang menentukan.

Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

10 comments:

  1. deodorant se hensem n sado seperti abg deo.. Najla pass kat zara je la abg sado keh. Haha

    ReplyDelete
  2. hahahah Najla nak dapat tu pun susah tau

    ReplyDelete
  3. Alah ye ke.. Kne berusaha sedaya upaya sepenuh hati dan jiwa ni. Hahahahha

    ReplyDelete
  4. haha, tak kenal susah dah kenal pun susah nie. lain mcm je si deo nie....takut....hehe

    ReplyDelete
  5. Zara - heheh chaiyok

    Rozita - betul betul

    Baby Mio - tq

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  7. Gelak besar saya membacanya...ada ke sebut deodorant...mujur x sebut nama lain....hahaha

    ReplyDelete