Bab 3 : ISTERIKU PUJAAN PAPA | SAKURA RIA



“HANAN!” Roslan terpekik-pekik bagai orang gila memanggil Hanan yang sedang berniaga kuih di jalan hadapan rumah.
Hanan yang sedang sibuk mengemas setelah jualan habis dan segera berpaling. Dia terpandang Pak Longnya yang sedang berdiri di ambang pintu rumah.
Hei budak sial… kau ke sini!” Roslan mula mencarut bila Hanan masih diam di situ.
Hanan segera berlari mendekati. “Ada apa Pak Long?”
“Kau pekak ke aku panggil tadi? Telinga kau letak di mana? Lembap!” pekik Roslan.
“Hanan tak berapa dengar tadi. Hanan minta maaf ya?” jawab Hanan perlahan dan lembut.
“Aku nak duit!” Roslan berkata kasar.
Err... Hanan dah tak ada duit Pak Long.”
“Kau jangan nak menipu aku! Duit jual kuih dan nasi lemak tadi ke mana? Kau bagi pada aku sekarang!”
“Pak Long, duit itu untuk modal hari esok. Lagipun, beras di dapur dah nak habis...”
Ah, buat apa nak beli beras? Membazir aje bagi kau makan… hidup pun bukannya menyenangkan aku dan mak cik kau. Menambahkan beban adalah!”
Hanan menelan semua hinaan yang diterimanya itu. Sejujurnya, dia sendiri tidak tahu mengapa Pak Long terlalu membenci dirinya. Adakah kerana dia lahir daripada rahim seorang pelayan kelab? Atau kerana Pak Long menganggap dia pembawa malang?
Roslan yang sudah tidak boleh bersabar, bercekak pinggang. “Mana duitnya? Kau bagi pada aku kalau tak nahas kau… aku bantai nanti!” ugutnya dengan mata yang sudah merah.
Perlahan-lahan Hanan mengeluarkan wang hasil jualan hari itu daripada kocek baju kurung kain kapasnya. Tangan terketar-ketar ketika menghulur duit itu kepada Pak Longnya.
“Kenapa sikit sangat?”
“Itu aje yang Hanan dapat hari ini.”
Ish, itulah aku dah pernah cakap dulu… kalau kau ikut mak kau kerja di kelab itu lagi bagus. Budak muda macam kau ini memang senang laku di kelab itu. Bolehlah aku dan mak cik kau kaya!” Roslan menengking sambil berjalan mendekati motosikalnya yang tersadai di halaman rumah.
Hanan menutup mata. Air jernih turun perlahan-lahan ke lekuk pipinya. Pak Long tak habis-habis sebut tentang ibunya. Hanya kerana dia lahir daripada pelayan kelab tak bermakna dia juga perlu menjadi seperti ibunya.



“PAK LONG ambil lagi?” Mak Pah bertanya bila Hanan meminta duit untuk membeli bahan-bahan mentah jualan esok.
Hanan diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Dia tidak mahu mengadu apa-apa.
“Makin tua makin menjadi perangai gila judi dia tu! Aku fikir dah tua ni nak berubah… rupanya tidak. Menyusahkan aku aje!” Mak Pah merungut.
“Mak Long, boleh Hanan tanya sesuatu?” Hanan memandang wajah Mak Longnya yang sedang duduk di kerusi rotan di ruang tamu rumah.
“Tanya apa?”
Hanan melabuhkan punggung di atas lantai kayu betul-betul di kaki Mak Longnya.
 “Kenapa mak Hanan jadi macam tu?”
Mak Pah memandang anak saudara yang sudah dianggap sebagai anak kandungnya sendiri. Hanan, gadis manis yang tidak bernasib baik kerana lahir hasil hubungan haram. Dia tidak menyalahkan Hanan kerana gadis sunti itu tidak berdosa. Tetapi adiknya yang terlalu mengikut nafsu itulah yang dia salahkan.
“Mak Long, kenapa mak Hanan kerja macam itu? Bukan ke Mak Long kata mak Hanan budak pandai?”
Mak Pah mengeluh. “Hanan... buat apa nak tahu semua itu?”
“Hanan nak kenal mak Hanan. Hanan nak kenal perempuan yang dah lahirkan Hanan ke dunia ini.”
“Mak Long tak mahu hati Hanan terluka bila tahu kebenarannya.”
“Hakikatnya, Hanan sudah pun tahu separuh daripada kebenaran itu Mak Long. Hanan tahu Hanan anak haram. Mak Hanan kerja sebagai pelayan kelab dan mak pernah cuba buang Hanan dalam tong sampah tetapi Mak Long yang selamatkan Hanan. Mak Long jaga Hanan dan didik Hanan macam anak sendiri. Semua itu Hanan tahu cuma Hanan tak pernah kenal siapa mak Hanan dengan lebih mendalam. Hanan tak tahu orangnya macam mana dan kenapa dia terjerumus ke tempat seperti itu.”
“Tak perlu ambil tahu tentang orang yang dah lupakan kita, Hanan.”
“Hanan nak jumpa mak. Hanan teringin sangat nak dengar suara dia macam mana.”
“Hanan, Mak Long tak mahu kamu dekat dengan dia. Kamu budak baik, Hanan. Mak Long takut kamu akan terjerumus ke tempat yang sama.”
Hanan menggeleng. “Hanan tak akan buat perkara begitu. Tolonglah Mak Long… beritahu Hanan kenapa mak Hanan boleh ada di tempat begitu?”
Mak Pah mengeluh berkali-kali. Nafas dihela dalam tak henti-henti. Cuba mencari kekuatan sebelum membuka aib adik sendiri.
Mak kamu budak pandai. Arwah atuk dan nenek kamu hantar dia ke bandar untuk lanjutkan pelajaran di universiti tapi sayang sekali dia tergoda dengan hidup sebagai pelayan kelab yang lebih menguntungkan dia. Dia terus terjerumus ke dunia itu dan dia belajar separuh jalan saja. Waktu atuk dan nenek kamu meninggal sebab kemalangan pun dia tak balik ke kampung langsung sebab dia tak mahu. Mak Long biarkan dia di bandar selama beberapa tahun hinggalah Mak Long dapat berita yang dia mengandung. Mak Long ke sana cari dia dan mahu dia pulang ke kampung tetapi dia degil. Kebetulan Mak Long tak boleh hamil jadi Mak Long kata pada dia jangan gugurkan kamu… biar Mak Long yang jaga. Mak kamu setuju asalkan Mak Long tak paksa dia balik kampung.”
Mak Pah berhenti bercerita. Dia mengusap air jernih yang tiba-tiba turun. Tidak dapat menahan sebak tatkala mata memandang Hanan yang begitu naif sekali.
“Selepas tu?” Hanan bersuara serak. Dia sendiri sedang menahan sebak. Sedihnya dia kerana mak kandung sendiri tak mahukan dirinya.
“Mak kamu mungkir janji dengan Mak Long. Dia dah nak bersalin tetapi dia tak telefon Mak Long untuk beritahu. Hari yang dia lahirkan kamu, hati Mak Long tergerak ke kelab tu lagi untuk jumpa dia. Mak Long ingat lagi, waktu tu hari hujan dan Mak Long tiba tengah malam. Mak Long nampak dia buang kamu ke dalam tong sampah besar di tepi kelab malam tu. Mak Long tak tunggu apa-apa lagi Mak Long cepat-cepat selamatkan kamu. Kamu kecil sangat, Hanan dan wajah kamu sangat menenangkan hati Mak Long.”
“Mak tak kata apa-apa?”
“Mak kamu cuma kata jaga kamu elok-elok. Semenjak hari itu, Mak Long dah tak pernah jumpa dia lagi.”
Hanan ukir senyum tawar. Sekurang-kurangnya mak ada berpesan begitu pada Mak Long. Sekurang-kurangnya dia tahu kasih mak ada untuknya.
“Mak Long boleh tak Hanan cari mak?”
“Hanan, kamu tak kisah?”
“Mak dah bertarung nyawa lahirkan Hanan. Hanan nak pandang wajah dia betul-betul depan mata. Nak dengar suara dia. Nak pegang tangan dia. Sekali pun tak apalah asalkan Hanan dapat bertentang mata dengan dia.”
Mak Pah mengeluh. Kesal dengan sikap adik sendiri. Pertanyaan Hanan telah mengembalikan dia ke memori silam yang menyakitkan itu.

Memori yang cuba dihapuskan daripada hidup Hanan. Hanan, gadis yang suci hatinya tidak patut terpalit dengan dosa silam sesiapa.
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment