Bab 1 : Hingga Dia | Orked Putih

Bab 1

ENAM bulan yang penuh duka. Enam bulan yang detiknya bagaikan enam tahun. Setiap saat di rumah itu hatinya dihambat rasa sayu. Sudah jemu dan muak untuk mekirkan perkara itu. Terasa lelah untuk menyalahkan diri sendiri atas perkahwinan yang dia sendiri mempersetujuinya. Terasa diri bagaikan manusia yang tiada nilainya. Namun, perkara itu jua yang sering bertandang di benak fikirannya.
Sampai bila harus bersandiwara begini? 
                  Enam bulan yang lalu dia menikahi Adam. Jejaka berusia lebih sepuluh tahun darinya. Dari kecil dia disogokkan dengan kisah lelaki itu. Kepintaran juga kebaikannya kepada keluarga. Masih tergambar di kotak fikiran wajah gembira atuk dan Mak Su bila dia mengangguk setuju. Encik Abu Zikiri dan Puan Aisyah, bapa dan ibu mertuanya  juga sudah lama mereka kenal.
                   Seingat Nia setelah kematian kedua-dua orang tuanya, hampir setiap tahun ibu dan bapa Adam datang menjenguk ketika hari raya. Kata atuk, arwah abah dan emak memang rapat dengan ayah dan ibu mertuanya. Mereka merupakan sahabat baik.  Setiap kali bersua, pasti ayah dan ibu Adam akan  bercerita mengenai anak lelaki mereka itu.  Pasti cerita ketika Nia masih kecil dibuka kembali, bagaimana dia menangis menjerit-jerit ketika Adam mahu pulang ke rumah.
                  Pada hari raya tahun lepas, ketika kunjungan hari raya mereka, ibu dan ayah Adam telah mengusulkan agar dia berkenalan dengan Adam yang kali terakhir dia berjumpa hampir sepuluh tahun yang lepas. Ketika dia masih anak remaja hingusan.
Adam yang segak dan tampan sedang dia pula seperti anak kampung yang sedang membesar dan tidak ambil pusing tentang gaya dan penampilan seperti kebanyakan remaja bandar seusianya.  Malah ketika itu tidak kisah langsung untuk bermain galah panjang dengan baju kurung tersarung di badan.
                  Usulan ayah dan ibu mertua ketika itu membuat hatinya berbunga-bunga. Terbayang raut Adam yang menawan. Berwajah tampan Melayu asli, mata sederhana besar, berhidung mancung, giginya tersusun rapi dan berbadan sasa pula.
                  Bukan tiada yang suka pada Nia ketika di sekolah mahupun universiti tapi hatinya tidak terbuka untuk mana-mana lelaki. Mungkin belum bersedia.
                  Panggilan pertama dari Adam singgah di telefon bimbitnya tiga nggu kemudian. Hanya sekadar bertanya khabar sahaja. Tapi cukup buat jiwanya melayang-layang di udara. 
                  Kemudian Puan Aisyah menjemputnya untuk makan malam bersama di Restoran Sri Angkasa di  KL Tower. Berdebar-debar hatinya. Segalanya serba tak kena. Tidak tahu pakaian mana yang sesuai apatah lagi pilihan baju yang ada tidak seberapa. 
                  Setelah puas melih pada pilihan yang terhad, akhirnya dia menyarung baju kurung Pahang berona biru dan jingga dan berbunga besar, agar tubuhnya yang ramping tidak nampak terlalu kurus. Rambutnya yang lebat dan halus berwarna coklat kehitaman  disisir rapi dan diikat ekor kuda. Sekadar berbedak tipis. Mulut kecil sederhana tebal berwarna merah delima, bermata bulat dan besar pula anak matanya, berhidung mancung seludang, tinggi tulang pipinya dan kulitnya pula putih kuning, dia nampak bagai anak gadis kampung yang ayu.
                  Setibanya di restoran berputar itu matanya yang bulat melilau mencari Encik Abu Zikri dan Puan Aisyah. Terasa kecut perutnya mekirkan pertemuan kali pertama dengan Adam setelah sekian lama tidak bersua.
                  Bila Nia menoleh ke kanan barulah dia terpandang Puan Aisyah yang melambai kepadanya lalu dia mengorak langkah yang penuh debar bergerak ke meja mereka. Ketika itu hanya ada Puan Aisyah dan suanya manakala kelibat Adam tidak pula kelihatan.
                  Hampir setengah jam berlalu, barulah kelibat Adam menjelma. Masih dengan pakaian kerja berkemeja coklat cair.
                  “Kenapa lambat, Adam? Jalam jam  ke?” soal Puan Aisyah kepada anak sulung kesayangannya. 
                  Ha’ah,” bohong Adam dengan nada sederhana perlahan. Hakikatnya dia keluar lewat dari pejabat dan sengaja mengambil lewa akan pertemuan itu.
                  “Adam, inilah Yaya.” Puan Aisyah memperkenalkan Nia kepada Adam. 
                  “Hai!” sapa Adam ringkas. 
                  “Hai..” Nia menjawab dengan perkataan yang sama tapi entahkan dengar ataupun tidak suaranya itu.
                  Entah kenapa terasa gelisah seluruh jiwa. Selalunya jika bertemu dengan kawan-kawan lelakinya, perasaannya biasa saja dan emosinya terkawal tetapi tidak seperti sekarang. Mungkin kerana ini pertemuan yang dirancang agar kedua-duanya dijodohkan jadi terasa janggal untuk Nia  menjadi dirinya sendiri.
                  Usai majlis, Puan Aisyah menta Adam menghantar Nia ke kereta.
                  “Kerja di mana?” Adam bertanya ringkas ketika hampir sampai di kereta Nia.
                   “L & H Engineering. Dekat Ampang, construction company. Sekarang sedang construct bandar baru di Nilai,” jawab Nia panjang lebar dengan harapan akan ada pertanyaan susulan dari Adam.
                  Adam membukakan pintu kereta Nia.
                   Bye!” Kata Adam seraya menutup pintu kereta dan berlalu pergi tanpa menunggu kereta Nia beredar dari situ.
                  Sepanjang perjalanan pulang, ligat fikiran Nia berputar. Memang itu cara dan gaya Adam atau Adam tiada hati langsung terhadapnya?
                  Tak apalah! Kalau ada jodoh, adalah. Kalau dia bukan jodohku, pasti ada yang lebih baik disimpankan untukku olehNYA, fikir Nia tenang.



“ADAM, makan dulu, mommy ada sesuatu nak cakap dengan Adam,” panggil Puan Aisyah sebaik sahaja Adam turun dan melalui meja makan di mana dia sedang menikmati sarapan dengan suanya.
                  “Okey, tapi Adam tak boleh lama sebab dah janji dengan kawan nak main tenis.”
                  “Macam  mana Adam dan Nia? Adam tak ada contact dia lepas dinner hari tu?”
                  “Tak!” jawab Adam acuh tak acuh. “Lagipun dia tak sesuai untuk Adam, not my type.”
                  Terlintas di fikirannya wajah Nia yang tampak lebih muda dari usia sebenar dengan rambut yang  diikat bagaikan gadis mentah lepasan sekolah.
                  “Tapi mommy berkenan sangat dengan Nia. Dia tu baik. Adam kenallah dengan dia dulu.” Suara Puan Aisyah lembut memujuk.
                  “Mommy dah tahu kan hati Adam untuk siapa? Adam takkan berpura-pura untuk menyukai orang lain. Mommy nak ke dia merana kalau dia tahu Adam ada girlfriend?”
                  “Adam! Kalau Netty tu yang Adam gilakan, Adam tunggu mommy mati dulu baru Adam boleh kahwin dengan dia. Sekarang ni mommy nak Adam berkawan  dengan Nia.  Adam jangan hancurkan hati mommy dengan daddy. Adam tak pernah lawan cakap mommy, takkan sebab Netty, Adam  nak jadi anak derhaka?” Nada suara Puan Aisyah mula meninggi.
                  Dia memang tidak mahu Netty menjadi menantunya. Dia tahu sejarah Netty yang sering bertukar teman lelaki.

                  “Adam suka dia, mommy!” Suara Adam kuat memenuhi ruang makan yang sepi. Adam bingkas bangun dan berlalu pergi meninggalkan ibu dan bapanya yang saling berpandangan.
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment