Bab 2 : HINGGA DIA | Orked Putih

DEGUP jantung Nia bagaikan tiga kali ganda lebih laju dari biasa.  Dia terintai-intai ke luar restoran  melihat kalau-kalau ternampak kelibat Adam. Adam telah menelefon dua hari yang lalu, mahu berjumpa dengannya. Setelah berbincang ringkas, kedua-duanya bersetuju untuk berjumpa di Starbucks KLCC.
                  Adam muncul tepat pada masa yang dijanjikan. Berbaju kemeja Polo berjalur biru dan merah jambu dipadankan dengan jeans lusuh langsung menampakkan sisi elegan Adam. Nia pula sekadar berblaus hijau polos biasa dan berseluar coudoroy coklat pekat. Rambutnya diikat tinggi ekor kuda.
                  “Lama tunggu?” soal Adam memulakan bicara.
                   “Tak lah jugak. Lebih kurang setengah jam,” jawab Nia jujur.
Adam angguk. Dia kemudiannya beredar untuk membeli numan dan membiarkan Nia mencari tempat duduk.
Tidak sampaipun sepuluh minit, dia kembali di hadapan Nia. numan untuk Nia diletak di hadapan gadis itu dan dia mengambil tempat bertentangan dengan Nia.
Dipandang wajah gadis di depannya. Naif. Tapi tidak dinafikan punya kecantikan yang asli. Wajah Nia yang tampak begitu muda dari usianya entah mengapa menyebabkan Adam terasa superior pula.
                  “You ada boyfriend?” soal Adam perlahan sambil matanya merenung tajam ke arah Nia.
Bulat mata Nia mendengar soalan itu. Tak sangka Adam secara selamba akan menanya soalan sebegitu.
                  “Tak ada.”
                  “Tak pernah ada atau tak ada? Teman istimewa? Atau pernah suka pada orang?” Bertalu-talu soalan Adam kepada Nia.
                  Hmmm… rasanya memang tak pernah ada teman istimewa, kalau suka orang pun biasa-biasa saja.”
                  “Mak I dah bagitahu segala-galanya pada you, kan?”
                  “Pasal kita ke?  Kalau pasal kita memang ya.”
                  “Kalau macam tu, you tak kisah berkahwin dengan orang yang baru you kenali?  Percaya pada arranged marriage?”
                  Kali ini Nia diam sebentar. Nafas dihela sebelum menyusun kata.
                  “Saya menghormati dan mengagu Abang Adam.  Keluarga saya juga mengenali mak dan ayah Abang Adam. Dah lama saya dengar cerita pasal Abang Adam. Kalau benar apa yang dikata aunty mengenai Abang Adam, saya tiada masalah untuk mengenali Abang Adam dengan lebih mendalam.”
                  Apabila Adam mendengar gadis di depannya menggelarkan dia dengan panggilan “abang”, terasa meremang bulu romanya. Nia di matanya sekadar gadis kampung biasa yang tidak terdedah pada kebebasan fikiran. Dengan senang bersetuju dengan usulan perkahwinan walaupun sudah mengetahui lelaki yang bakal dikahwini menyintai orang lain. Gadis naif yang percaya dia boleh merubah cinta seorang lelaki.
                  Perempuan kolot! Getus Adam di dalam hati.
                  Perjumpaan itu berakhir dengan Adam memberitahu Nia bahawa dia akan ke Amerika selama enam bulan atas urusan kerja.

SEBULAN selepas perjumpaan itu, ibu dan ayah Adam datang ke kampung menyerahkan cincin merisik.   Atuk, Mak Su dan Ami tampaknya begitu gembira.  Mereka menetapkan agar majlis pertunangan dan perkahwinan dijalankan serentak sekembalinya Adam dari Amerika.
                  Semenjak perjumpaan di Starbucks dahulu, Nia beberapa kali memberanikan diri menghantar sms kepada Adam. Walau kebanyakan sms tidak dibalas segera dan adakalanya sehingga dua tiga hari baru menerima balasan. Nia beranggapan ianya kerana kesibukan dan masa yang menghambat Adam. Ada juga sesekali Adam sendiri menghantar sms bertanya secara  ringkas majlis mereka nanti. Tapi tidak pernah pula Adam bertelefon bertanya khabar.
                  Puan Aisyah pula yang sering menghubungi Nia menceritakan kesibukan Adam di Amerika menyelesaikan urusan perniagaan. Seringkali juga menokok tambah cerita kononnya Adam juga berdebar menanti majlis perkahwinan mereka.
                  Kadang-kala Nia mempersoalkan tindakan Adam yang seperti acuh tak acuh membaja perhubungan mereka. Tapi dek kerana tiadanya pengalaman berkasih mahupun bercinta monyet, Nia tidak dapat meneka adakah itu perkara biasa dalam sebuah perhubungan.
Mungkin Adam punya cara tersendiri, fikir Nia bagi menyedapkan hati sendiri.
                  Hampir setiap minggu Nia akan pulang ke kampung bila majlis perkahwinannya sudah hampir. Setiap kali pulang pasti dia bertemu Dilah, rakan karibnya di kampung itu. Dilah kini baru sahaja bertugas  di Sekolah Kebangsaan Jementah. 
                   “Tak sangka, Yaya. Kau akan kahwin dengan orang yang selalu kau cerita kat aku. Tak sangka… baru  sekejap jumpa dah nak kahwin. Kau tak takut kalau tak serasi lepas kahwin?” tanya Dilah.
                  “Mestilah aku takut, Dilah. Tapi bila aku fikir balik, sebelum ni tak pernah hati aku nak terbuka untuk terima mana-mana lelaki yang nak kawan dengan aku. Tapi bila dengan Adam ni, aku rasa tenang. Aku percaya dia baik sebab emak dan ayahnya baik. Tak pernah jemu melawat aku sekeluarga sejak emak abah aku meninggal,” jawab Nia sambil matanya menerawang ke kaki Gunung Ledang nun jauh di hadapan.
                  “Lagipun atuk dan Mak Su nampaknya sangat merestui perhubungan ni. Kau doakan aku bahagia ya?“ sambung Nia lagi.
                  “Mestilah aku doakan kau bahagia dunia akhirat… dapat anak ramai… tapi kau pun kena janji kat aku, boleh?”
                  “Janji apa?”
                  “Kau kena janji kenalkan aku dengan kawan-kawan sua kau nanti. Mesti dia ada ramai kawan macam dia kan? Stok yang segar mata memandang  kat sini  macam si Halim dengan Farhan tu susah aku nak tackle, sebab dua-dua tengah patah hati sebab  kau dah nak kahwin,” gurau Dilah menjemput derai tawa kedua-dua mereka.
                  “Yalah, Dilah… aku janji. Kalau aku ada jumpa orang yang baik dan nak kenalkan dengan sesiapa, pasti kau akan jadi keutamaan,” balas Nia disambut kekekan tawa mereka berdua.
                  Di kampung, Nia dikenali dengan sikapnya yang lembut dan periang. Gurau yang tidak sehebat mana lawaknya pun pasti mengundang senyum dan tawa kecil gadis itu. Walau Nia cemerlang dalam pelajaran tapi sifatnya yang merendah diri membuatkan ramai yang menyenanginya.
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment