Bab 1 : Love Starts After Nikah | Ikmal Mahrip


BALDI berisi air Aliyah bawakan ke bilik ayahnya, Haji Amran. Sudah menjadi rutin harian dia memandikan ayahnya yang lumpuh di bahagian kaki semenjak dua tahun yang lalu akibat kemalangan. Dan dengan hanya duit pencen ayah yang menjadi kegunaan mereka sekeluarga.
Ayahnya terbaring lena di atas katil. Muka itu kelihatan sedikit pucat. Hanya mata dan suara yang memainkan peranan.
                Aliyah mengambil kain basah bagi mengelap tubuh ayahnya. Muka itu dipandang penuh kasih dan sayu. Tangan yang sudah tua itu digosok perlahan-lahan dengan kain basah. Akibat dari perlakuannya itu, ayahnya mula terjaga dari tidur dan anak mata itu mula tertumpu pada wajahnya.
                “Aliyah...” Suara Haji Amran tidak berapa jelas kedengaran.
Aliyah mula mendekatkan diri dengan ayahnya. Senyuman terukir pada wajahnya. Sudah dua hari ayahnya demam dan tidak berupaya untuk berbicara.
                “Ada apa, ayah? Ayah nak buang air ke?” Suaranya lembut kedengaran walaupun dia seorang yang agak kasar ketika di bangku persekolahan dulu.
                “Maafkan... ayah... ayah tak dapat... nak jaga kamu dengan baik. Ayah... tak dapat nak tunaikan janji ayah pada... ibu...”
Mata ayahnya mula berkaca. Pantas dia memeluk tubuh yang sedang terbaring itu.
                “Ayah... tak mahu gara-gara ayah... kamu terseksa dan rasa terbeban. Ayah rasa adalah lebih baik kalau kamu pergi berjumpa dengan Pak Long. Biarkan ayah sendiri di sini. Kamu duduklah dengan dia.” Haji Amran memerhatikan wajah anaknya yang persis arwah isterinya, Kartini.
“Tak apalah, ayah. Aliyah tahu keadaan ayah macam mana sekarang ni. Lagipun Aliyah rasa bahagia sangat bila ada ayah, mak cik dan Atira. Kita kan satu keluarga? Sikit pun dalam hati Aliyah tak ada rasa terbeban untuk jaga ayah.”
Haji Amran tahu hati kecil anaknya itu merintih seakan burung yang inginkan kebebasan dari sebuah sangkar dengan apa yang dialaminya selama ini. Belum sempat dia menyusun kata, sudah ada yang datang menyampuk.
                “Amboi, buat drama pilih kasih lah pulak dua beranak ni dekat sini.” Suara lantang Maznah mengejutkan mereka di situ.
“Hei, Aliyah! Aku suruh kau bersihkan ayah kau tu... bukan suruh  buat drama pendek dekat sini. Lagi pun tak ada orang nak tengok kau la. Muka kau tu macam perempuan jalanan. Lainlah macam anak aku.”
Mata Maznah tajam memandang ke arah Aliyah yang selama ini dianggap sudah banyak menyusahkan dirinya dari kecil hinggalah sekarang. Tiada sedetik niat di hatinya pun untuk memberikan sepenuh kasih sayangnya kepada Aliyah.
“Maznah... jaga sikit mulut awak tu. Aliyah ni anak awak juga...” Haji Amran sudah kegeraman. Kalaulah dia masih mempunyai kudrat, sudah lama wanita di hadapannya itu menjadi mangsa tamparannya.
“Hei, abang! Kalaulah saya ni tak kasihan kan abang, dah lama budak ni saya hantar dia pergi lorong-lorong sempit tu. Biar dia jadi pelacur.”
“Maznah cukup!”
Sudah nak mampus pun masih ada hati nak menjerit dekat aku orang tua ni. Desis hati Maznah.
Nafas Haji Amran terasa tersekat di kerongkong. Aliyah mengambil cawan yang berisi air di atas meja dan diberikan kepada ayahnya.
“Abang inikan, tak payahlah nak bercakap kalau mulut tu dah err...
Mata Haji Amran yang menjegil membuatkan Maznah terus menunduk. Keluhan geram keluar dari mulutnya.
“Aliyah, lepas kau bersihkan ayah kau ni pergi masak. Dah nak tengah hari dah ni.” Maznah terus meninggalkan dua beranak di dalam bilik tersebut.


JAM pada dinding dikerling tepat pukul 11.30 pagi. Aliyah membuka peti sejuk yang berhampiran dengan sinki.
Matanya membulat. Satu benda apa pun tidak ada di dalam peti sejuk itu. Mana pergi semua barang yang dibelinya semalam?
Kepala yang tidak gatal, digaru. Setahunya barang basah di dalam peti sejuk itu masih ada semasa dia membuat hidangan untuk parti hari jadi Atira semalam.
Tak lain tak bukan, ini mesti kerja Atira. Dia tu memang suka ambik barang basah dalam peti ais ni lepas tu pergi buat BBQ dengan kawan-kawan dia. Suka hati dia aje nak buat macam tu. Aku yang penat pergi beli! Bebel Aliyah kegeraman.
Maznah muncul di pintu dapur selepas itu. Keningnya diangkat setengah lebih rendah dari Ziana Zian.
“Kenapa kau tak masak lagi ni? Tadi aku suruh kau masak, kan? Kenapa yang kau ni bengap sangat?”
“Maaf, mak cik... bukan saya nak lengahkan memasak tapi barang dapur dah tak ada.” Sengaja Aliyah membuka pintu peti sejuk.
“Mana pergi semua barang dalam ni? Kan baru semalam dibelinya? Jangan-jangan kau yang makan semuanya tak?”
“Taklah, mak cik. Takkan saya nak makan semua benda dalam ni seorang? Ada tikus besar kut dalam rumah ni yang ambil makanan kita?” Aliyah menggigit bibirnya.
“Kau lah tikus besar tu,” balas Maznah.
“Hmm... tak apalah. Kalau macam tu mak cik bagi duit dengan saya nanti saya pergi belikan barang dapur ni,” ucap Aliyah.
“Banyaklah kau punya duit! Beli barang dapur ni guna duit kau sendiri!”
“Bukan saya tak nak tapi saya langsung tak ada duit.” Satu sen apa pun tidak ada dalam dompetnya melainkan kad pengenalan yang minta untuk diganti.
“Hish kau ni kan! Kalau sehari tak menyusahkan aku memang tak boleh. Nah, kau ambik duit ni! Pergi beli apa yang patut. Kalau kau beli benda lain siap kau aku kerjakan. Aku nak kau cepat balik sebelum Atira tu balik nak makan.” Duit not lima puluh ringgit dihulurkan kepada Aliyah yang diambilnya dari celah-celah coli.
Aliyah melangkah keluar sepantas kilat sebaik mengambil duit tersebut. Dia perlu mengejar masa untuk pergi ke gerai bahan-bahan basah di hujung kampung. Duit lima puluh ringgit tadi digenggamnya erat.


ALIYAH mula mengatur langkah untuk pulang ke rumah setelah membeli segala yang diperlukan untuk memasak. Udara pagi itu membuatkan hatinya lebih tenang. Sepanjang perjalanan itu kicauan burung menjadi penghibur. Kanak-kanak tidak kurang juga lalu-lalang mengayuh basikal. Senyuman kecil tampak pada wajahnya. Beberapa baris lirik lagu turut keluar dari mulutnya.
                Tiba di sebuah persimpangan jalan, kelihatan beberapa buah motosikal diparkir elok. Dan di situ terdapat sekelompok pemuda kampung yang duduk melepak di bawah pokok buluh sambil menghisap rokok dan yang paling mengejutkan lagi sebotol arak turut berada berhampiran.
Aliyah berhenti melangkah seketika. Hatinya seakan gelisah untuk lalu di hadapan mereka. Tetapi bila teringatkan si ibu tiri yang sedang menunggu di rumah, dia terpaksa memberanikan diri untuk terus melangkah.
Salah seorang pemuda yang sedang duduk melepak tadi memandang Aliyah dengan raut wajah yang agak mengancam sekali apabila Aliyah melintasi mereka. Rokok di hujung mulut dibuang ke atas tanah lalu dipijak. Matanya kuyu akibat dalam kekhayalan. Dari atas motosikal yang diduduki, dia turun lalu laju mengekori langkah Aliyah. Lantas tangan Aliyah dicapai lalu digenggamnya.
“Hai, cik adik. Jalan seorang aje ke? Kenapa abang tak pernah nampak pun adik sebelum ni?” 
Loya rasa tekak Aliyah mendengar kata-kata pemuda itu tambahan dengan bau asap rokok yang masih bersisa di mulut dan ditambah pula dengan ‘perfume’ arak cap labu Thailand.
Aliyah masih tidak bersuara sekadar menarik-narik tangannya daripada genggaman pemuda itu.
“Adik ni nampak manis lah... nak abang tolong hantar balik rumah tak?”
Aliyah menarik nafas sedalam-dalamnya. Pemuda yang lain hanya menjadi pemerhati kepada drama tidak berbayar itu.
“Encik pemuda, boleh tolong lepaskan saya tak? Sebelum saya ni naik hantu.”
Pemuda di hadapannya itu ketawa dengan kuat. Barangan basah yang berada di tangannya dilepaskan begitu sahaja apabila amarah mula menusuk di hati.
“Eh, hantu apa? Hantu Kak Limah? Hantu pokok pisang? Mana ada hantu siang-siang ni sayang. Hei, comel betullah adik abang ni bila dia marah. Hehehe... okey abang minta bantuan ya? Geng! Cik adik ni nak kita tolong hantu-hantukan dia, macam mana?”
Rakan-rakan pemuda yang duduk melepak berdekatan tersenyum lebar lantas melangkah laju ke arah mereka berdua.
Aliyah cuba melepaskan genggaman tangannya tetapi tidak berjaya. Dia sudah tidak sedap hati. Tenaga pemuda yang tampak selekeh itu sangat kuat.
Ya Allah lindungilah hambaMu ini daripada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Rintihnya di dalam hati.
Pemuda itu dan rakan-rakannya menarik Aliyah ke bahu jalan dengan kasar. Aliyah harus bertindak dengan segera sebelum perkara yang tidak diingini berlaku. Perut pemuda tadi yang berdiri di hadapannya ditendang dengan sekuat hati. Terus pemuda itu jatuh tersungkur.
Pemuda itu bangkit berdiri dengan wajah yang cukup marah. Tidak pernah dalam seumur hidupnya diperlakukan sebegitu rupa. Lebih-lebih lagi daripada seorang perempuan seperti Aliyah. Sisa muntah yang meleleh di mulutnya diseka. Tangan kirinya masih menahan perut yang terasa sakit.
Baru sahaja pemuda itu hendak bersuara tiba-tiba satu balingan yang kuat terkena tepat di kepalanya. Serta-merta kepalanya dipegang akibat menahan sakit. Seperti ada sesuatu yang dilontarkan ke arah kepalanya sebentar tadi. Buah jambu yang telah dimakan separuh kelihatan tergolek di atas jalan. Pemuda itu berpaling ke belakang apabila mendengar bunyi orang sedang ketawa kecil. Dilihatnya seorang perempuan sudah mencekak pinggang sambil menggunakan topi biru di atas kepala.
“Hoi! Dasar pemuda tak ‘BERPERIKEMANUSIAAN’. Cikgu kau tak ajar ke dekat sekolah? Berani sangat dengan perempuan. Sinilah, lawan dengan aku. Kita tengok siapa yang menangis pulang ke rumah nanti merengek jumpa mak dia.” Perempuan tadi mula membuka kuda-kuda.
“Geng! Kau orang pergi habiskan perempuan di belakang ni. Biar aku kasi settlekan perempuan yang dekat depan ni.” Pemuda itu terus menyerang.
Rakan-rakan pemuda tadi mula memegang tangan Aliyah. Aliyah yang masih mempunyai kudrat membuka silat gayong. Pemuda-pemuda tersebut dapat ditumpaskan dan mereka terus lari lintang-pukang.
Aliyah berpaling mencari pasangan yang sedang bertempur di belakangnya. Pemuda tadi sudah kecundang dek dikerjakan perempuan bertopi biru itu.
“Baru dia tahu kekuatan wanita terletak di mana. Berani sangat, sinilah. Pengecut!” Perempuan tadi menjerit lalu mendekati Aliyah. Barang-barang yang terjatuh tadi dikutip.
“Terima kasih, Nurin.”
Perempuan tadi tersenyum kecil selepas Aliyah mengucapkan terima kasih kepadanya.


NURIN dan Aliyah lepak sebentar di jambatan gantung selepas kejadian sebentar tadi. Sudah lama Aliyah tidak meluangkan masanya bersama rakan persekolahannya itu. Masanya sentiasa disekat oleh Maznah. Jadi agak susah baginya untuk berjumpa dengan mana-mana rakannya. Tika Aliyah dalam kesusahan Nurin seoranglah yang menjadi tempat untuk meluahkan segala keperitan hidup.
                “Kau sepatutnya kena berhati-hati kalau nak berjalan seorang. Nasib baik kau tak kena ngap dengan samdol-samdol tu semua. Kalau tak... memang kenduri besarlah mereka tu hari ni,” nasihat Nurin.
                “Siapa lelaki tadi tu? Aku tak pernah tengok pun sebelum ni.”
                “Anak ketua kampung yang baru balik belajar dari luar negara. Aku dengar dia kena buang sebab ada masalah disiplin. Biasalah orang kita ni bila dah pergi belajar dekat luar negara mulalah nak lupa diri tu siapa. Jadi sekarang ni dia buat masalah pula kat kampung kita. Nak tunjuk taiko lah tu. Taiko taik kucing! Muka aje handsome tapi perangai hampeh. Itulah kau... asyik terperam aje dalam rumah sampaikan perkembangan kampung ni pun kau tak tahu.”
                “Kau ingat aku ni ada kebebasan nak keluar rumah ke? Baru nak berjalan sikit dah kena amuk.” Aliyah mengeluh.
                “Masalah juga kau ni, kan?” Nurin turut mengeluh. “Aku tengok kau ni macam dah tak terurus, tau tak? Nampak macam kurus sikit dari dulu. Aku kesian tengok kau ni. Orang mati laki pun tak macam kau ni, tau tak?” sambungnya lagi.
                “Sayang betul, kan? Dulu kau ni seorang pelajar yang cemerlang di sekolah dan sekarang kau hanya jadi babun untuk si tua nak mampus tu. Sepatutnya kau ni patut pergi sambung belajar. Bukan jadi hamba abdi dalam kisah dongeng kau ni. Kalaulah aku ni penulis, dah lama aku buat buku cerita tentang kau untuk tatapan orang. Jadikan iktibar.”
                “Nurin, walau apapun... dia tu tetap ibu aku juga. Walau sekasar manapun dia terhadap aku, dia yang membesarkan aku.” Aliyah menegakkan kebenaran. Dia tahu Maznah sangat bencikan padanya, tetapi Maznah tetap ibu kepadanya.
                “Membesarkan kau ya? Ibu apa macam tu kalau dah menyiksa kau macam orang gaji? Kalau ikutkan aku, aku balas balik apa yang dia dah buat.” Perasaan marah jelas terpancar pada wajah Nurin. Dia tidak suka apabila rakan karibnya itu diperlakukan sedemikian.
Dulu pernah Nurin berbuat jahat disebabkan dia begitu sakit hati dengan Maznah yang telah merosakkan kerja-kerja seni Aliyah. Dia meletakkan warna air berwarna coklat di atas kerusi yang diduduki oleh Maznah ketika kenduri kahwin. Waktu tu memang riuh satu kampung  mengatakan Maznah tercirit di dalam seluar. Gila malu!
                Nurin tersenyum sendiri apabila mengenangkan kejadian itu. Dia terkejut apabila terasa bahunya disentuh.  Segera dia merenung wajah itu kembali.
                “Aliyah, aku rasa lebih baik kau pergi ke bandar cari kerja atau sambung belajar. Aku boleh tolong kau lari dari rumah tu kalau kau nak daripada kau duduk di kampung terseksa begini. Kau boleh ikut Daim di bandar. Kewangan dia sekarang lumayan.” Kedua-dua belah tangan Aliyah digenggam erat.
                “Kau ni dah macam ayah aku pulak,” keluh Aliyah.
                Belum sempat Nurin membalas, datang sebuah motosikal di hadapan mereka berdua. Kedua-dua mereka terkejut mendengar motosikal yang berbunyi seperti kenderaan yang sesak nafas. Yang membonceng motosikal itu pula adalah Atira bersama seorang lelaki yang boleh tahan bergaya juga rupanya. Tapi kalau dah perangai cibai baik tak payah.
Aliyah membulatkan matanya. Dia terlupa yang dia seharusnya pulang dengan segera untuk memasak.
Motosikal itu berhenti tidak jauh daripada mereka berdua.
                “Ooo, sini rupanya kau ya? Aku bagi tahu mak. Siap lah kau dekat rumah nanti.” Atira menjelir sambil senyum perli.
Motosikal itu terus meninggalkan mereka berdua bersama asap tebal yang keluar dari ekzos.
                “Okey lah Nurin... aku balik dulu. Nanti mak cik marahkan aku pulak.”
                “Baiklah, kalau mak cik tua tu seksa kau lagi bagi aje tahu aku. Nanti aku balas perbuatan dia tu. Aku bagi dia penangan sesiku L.” Buku lima Nurin ditumbuk-tumbuk ke atas tapak tangan kiri.
                “Eh, dah la tu. Okey aku balik dulu.” Aliyah terus pantas membuka langkah.


TAMPARAN sudah melekat pada wajah Aliyah. Dia terduduk menahan pedih.
                Atira sedari tadi hanya ketawa melihat perlakuan Maznah kepada dirinya. Dia tidak akan sesekali mengalirkan air mata disebabkan perkara yang remah ini. Dia harus kuat. Mungkin ini memang salahnya kerana terlalu leka di jalan.
                “Aku suruh kau beli barang dapur bukan pergi merayap.” Telinga Aliyah ditarik sekuat hati.
Air mata ditahan di kelopak mata. Dia tidak mahu menjadi seorang yang mudah untuk menangis. Cengeng.
Maznah menarik telinga Aliyah ke atas membuatkan tubuh Aliyah turut berdiri. Hati yang membara membuatkan dia menolak Aliyah ke belakang.
Tubuh Aliyah terus menyembah lantai. Sikunya terkena paku yang tajam di sebalik tiang. Terasa perit sekali saat itu. Darah mula membuak keluar.
Maznah mengeluh kemudian lari ke ruang tamu.
                “Lain kali kalau mak aku suruh kau buat kerja, kau buat aje lah. Jangan nak merayap ke hulu hilir.” Kepala Aliyah dipukul kuat oleh Atira.
‘Kata orang aje melebih. Dia tu tak merayap dengan lelaki ke tadi? Memang budak yang tak sedar diri. Nak aje aku sumbat mulut dia dengan paha ayam tu.’ Kata-kata itu hanya terbit di hati sahaja. Tidak mampu untuk menambah amarah di dalam diri dua beranak itu.
                “Sakit...” rintihnya. Tubuhnya dicuba untuk bangun.
                “Eee, sakit ye? Ala-ala kesiannya. Dah cepat pergi masak aku nak makan. Nanti kalau aku datang sini lagi dan masih belum ada apa-apa atas meja, terimalah akibatnya.” Hentakkan kaki Atira membuatkan lantai simen itu berbunyi.
Luka di siku amat perit sekali. Aliyah bangun pergi ke sinki lalu dicuci sebersihnya dengan air. Kain putih berhampiran dicapai dan dikoyak. Sikunya dibalut penuh cermat. Tidak mahu luka dijangkiti kuman.
               


Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment