Bab 2 : Love Starts After Nikah | Ikmal Mahrip


SUASANA pada malam itu begitu sunyi. Tiada bunyi bising melainkan bunyi cengkerik yang sedang menyanyikan lagu Selamat Malam nyanyian Faizal Tahir.
Adakah cengkerik nyanyi lagu tu?
Argh! Imaginasinya terlalu kuat.
Siku yang masih dibaluti kain putih disentuh perlahan. Masih terasa berdenyut-denyut. Dulu dia pernah berniat untuk melawan kekerasan yang berlaku terhadap dirinya tetapi dia tidak mampu.
                Dia memicit-micit kepalanya walaupun tidak pening. Mungkin terlalu penat melakukan pekerjaan dari pagi hingga ke malam. Kemudian bahagian tengkuknya di urut perlahan-lahan. Amat terasa kepenatannya.
                Dari tingkap, dia mula bergerak lalu berdiri di hadapan cermin bersebelahan katil ayahnya. Bawah matanya nampak kehitaman. Kemudian cermin tersebut disentuh perlahan. Dibelai wajahnya sendiri di dalam cermin tersebut. Senyuman manis terserlah sehingga menampakkan lesung pipit di bahagian pipi.
                “Wahai cermin sakti, siapakah orang yang paling gedik di dalam rumah ni? Semestinya Atira lah.” Gaya Atira ditiru. Dia ketawa sendiri. Tetapi agak perlahan takut-takut ayahnya terjaga dari tidur.
Cermin itu dibelainya lagi.
                “Wahai cermin sakti siapakah orang yang paling garang di dalam rumah ni?”
                “Aliyah!”
Macam tahu-tahu aje nama dia bakal disebut. Memang betul cermin ini cermin sakti.
Kaki Aliyah terus melangkah keluar dari bilik. Matanya melilau mencari-cari bayangan Maznah. Dilihat wanita itu sedang duduk santai di kerusi di ruang tamu bersama puteri katak yang sedang melingkar mencerminkan diri.
                “Ada apa mak cik? Kalau mak cik nak cakap pasal kerja rumah semua saya dah siapkan.” Aliyah mendekat lagi kepada Maznah yang sedang memandangnya. Matanya tajam lebih tajam daripada mata pedang. Air liur ditelan sehingga menghasilkan bunyi.
                “Bukan pasal kerja rumah ni lah. Aku belum cakap apa-apa kau dah merapu. Huh, memang patut kau jadi anak Kartini. Dua beranak sama aje. Aku dengar yang kau ni nak pergi ke bandar, betul ke?”
                “Eh, tak ada lah mak cik! Sebenarnya ayah yang cadang macam tu. Saya memang tak nak pergi pun. Kalau saya nak pergi pun mesti mak cik tak bagi, kan?” Aliyah menggeleng perlahan.
Kepanasan ruang tamu itu membuatkan tubuhnya mula berpeluh. Ditambah pula dengan suara Maznah yang berbicara mengalahkan suara Ning Baizura.
                “Kau ni memang suka buat darah aku ni naik kan? Ada ke aku cakap yang aku tak suruh kau pergi ke bandar? Ada? Ada aku cakap macam tu? Jadi kalau aku tanya jangan nak melebih. Memandangkan duit pencen ayah kau tu dah tak dapat nak menampung kita... aku nak hujung minggu ni kau pergi ke bandar cari kerja. Lepas tu, duit gaji bulanan yang kau dapat kau kirimkan dekat aku.” Suara itu kedengaran tegas.
                “Tapi mak cik... saya tak boleh nak tinggalkan ayah. Kalau saya pergi nanti siapa nak jaga ayah? Ada ke orang nak jaga ayah nanti?”
                Atira terus menempik. “Hei, sedapnya mulut kau tu bercakap. Kau ingat aku ni tak boleh nak jaga ayah kau tu? Tengok kakilah.”
“Hei, kau ingat kami ni tak mampu nak jaga ayah kau tu? Selama ni kalau aku tak beli barang dapur tak makan ayah kau tu, tau tak? Aku tak kira apapun alasan kau tu... yang aku tahu kau mesti pergi juga ke bandar cari duit lebih kalau kau nak hidup.” Mata tajam Maznah mencerlung ke arah Aliyah.
Aliyah berat hati untuk meninggalkan ayahnya bersama dua ekor makhluk yang tidak berperasaan itu. Apa akan terjadi apabila ayahnya ditinggalkan dengan mereka nanti?
                “Memaksa betullah pemaisuri ni.” Dia menggumam sendiri.
                “Apa kau cakap tadi?”
                “Tak... saya cakap... kalau saya di bandar nanti saya nak kerja apa?” Nasib baik kata-katanya tadi tidak didengari oleh Maznah. Kalau tidak gugur rambut kerana terkejut dengan pekikan suara Maznah itu.
                “Kau tanyalah dengan Pak Long kau tu. Aku tak nak ambik tau... yang penting kau pastikan duit mesti ada setiap bulan pada tangan aku. Kalau tak, ayah kau mati tak makan.”
                “Minah senget, kau pergi aje lah! Sibuk lagi nak tanya kerja apa.” Puteri katak menyampuk. Dari tadi dia asyik mencerminkan diri dan lepas itu memicit jerawat yang ada pada muka.
                “Apa kata kau jadi aje pelajur senang cerita. Dapat gaji lebih,” tambah Atira lagi.
                “Astaghfirullahalazim... takkan saya nak pilih kerja yang terkutuk macam tu? Berdosa. Lagipun takkan saya nak bagi ayah makan duit haram dari hasil pekerjaan yang tak halal?” Puteri katak ni memang dah melampau. Kalau tak mengenangkan Atira ni sebagai ahli keluarga, sudah lama lidahnya  hilang dikerat dan beri makan ayam.
                “Eh, kau ingat kau tu baik sangat ke? Kau sama aje macam mak kau tu.”
                “Atira.” Jelingan Maznah membuatkan Atira terdiam. Nampak sangat kelihatan bengang muka si puteri katak tu apabila ditegur oleh ibunya.
                “Aliyah, kau dengar sini baik-baik. Aku cakap sekali aje ni. Aku nak kau pergi cari kerja dekat bandar tu tak kira kerja apa sekalipun... yang penting kau mesti dapatkan duit sebelum ayah kau tu jadi lebih teruk. Ingat!” Maznah bangkit dari kerusinya lalu melangkah menuju ke dapur.


ALIYAH curi-curi keluar dari rumah. Dia perlu berjumpa dengan Nurin untuk meminta pendapat. Matanya lesu akibat tidak dapat tidur dengan lena kerana asyik memikirkan masalah tersebut. Apa yang dicadangkan oleh Maznah semalam sangat mengganggu fikirannya.
                “Gila? Biar betul minah tu cakap macam tu? Eee, langau betul mulut dia tu. Yang kau tak pergi lawan dia tu apasal? Kalau aku... dah lama dia tu rongak sebab tak pandai nak jaga mulut.” Nurin geram dengan apa yang dikatakan oleh Aliyah mengenai pekerjaan yang dicadangkan oleh Atira semalam. Mulutnya kumat-kumit mengomel.
                “Aku datang bukan nak dengar kau membebel, Nurin. Aku datang sini nak minta pendapat kau. Macam mana dan apa yang patut aku buat sekarang ni?”
                “Hmm... aku rasa lagi elok kau pergi aje. Sebab bila kau pergi, kau akan bebas daripada diseksa oleh langau tahi dengan mak dia tu.” Nurin duduk di birai katil.
                “Tapi masalahnya aku risau kalau ayah aku tak dijaga dengan elok. Dan kalau aku tetap berdegil kemungkinan ayah aku yang akan jadi mangsa pula nanti. Semalaman aku pening memikirkan masalah ini. Aku harap sangat pertolongan daripada kau. Tapi kau pula membebel macam mak nenek.” Aliyah turut menyertai melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Nurin.
                “Kau nak pertolongan apa dari aku? Aku rasa kau patut pergi aje ke bandar. Itu aje yang aku dapat nak tolong kau. Lagipun kau tak lah terseksa sepanjang masa oleh langau tahi tu. Muka aje cantik tapi hati macam tahi.” Tilam itu dipukul sekuat hati. Kalaulah Atira ada di hadapannya itu sudah lama dikerjakannya.
                “Aku takut lah, Nurin.”
                “Apa yang kau nak takutkan? Pak Long kau tu kan ada. Mana tahu bila kau kerja kat sana nanti kau boleh jumpa dengan mamat yang handsome mengalahkan pelakon Korea. Lepas tu kau orang pun berkahwin dan dapat anak yang cute gila. Oh, seronoknya hati. Lagipun kau ni cantik apa? Lepas tu pandai pulak. Bertuah siapa yang dapat kau.”
Aliyah ternganga melihat gelagat Nurin.
                “Yang kau melalut sampai ke situ buat apa? Aku cuma minta pendapat kau aje... bukan cari calon apa semua tu. Isy...” Aliyah mencebik. M
                “Aliyah... kau dengar cakap aku. Percayalah pada diri kau sendiri. Aku yakin suatu hari nanti kau akan berjaya dan tersenyum sepanjang masa.”
“Haa, bagi menghilangkan rasa runsing kau apa kata kau nyanyi? Suara kau kan sedap? Lagipun dah lama aku tak dengar kau nyanyi. Lepas tu kita boleh upload dekat Youtube, amacam? Kita kan dah lama tak buat kerja upload mengupload video ni. Mana tahu lepas ni kau jadi ghetis macam artis popular Youtube dekat Malaysia ni pula. Tak payah susah-susah kau nak cari kerja dah.”
                “Hei, kau ni kan! Tak naklah aku buat kerja tu lagi. Aku dah nak kena balik dah ni. Lagipun aku datang sini pun curi-curi keluar tadi semata-mata nak jumpa kau. Tapi kau tak membantu aku langsung.” Aliyah berdiri namun tangannya ditarik oleh Nurin. Punggungnya duduk kembali di birai katil yang masih lagi hangat.
                “Pedulikan pemaisuri tu, kita enjoy dulu.”
Aliyah terpaksa akur dengan kehendak Nurin yang seakan-akan berkeras dengan apa yang ingin dia lakukan itu.
                Gitar yang berada di tepi katil diambil dan dipetik. Webcam mula merakam aksi mereka berdua. Memang seronok kerana sudah lama dia tidak melakukan perkara seperti ini. Lagu 150 Juta dinyanyikannya.



“MAK CIK, saya dah buat keputusan. Saya akan pergi ke rumah Pak Long untuk cari kerja.”
Maznah memandang susuk tubuh Aliyah dari bawah ke atas.
                “Tapi mak cik mesti janji yang mak cik kena jaga ayah dengan betul. Kena sentiasa urutkan kaki ayah. Kena bagi ayah makan ubat,” sambung Aliyah lagi.
                “Itu aje? Baik! Asalkan kau dapat beri apa yang aku nak. Pasti ayah kau dijamin selamat.” Maznah meninggalkan Aliyah yang berdiri di hadapan sinki.


SEAWAL pagi Aliyah sudah bersiap. Dia hendak mencari teksi di perhentian bas yang agak jauh dari rumahnya. Dia harus sampai ke Kuala Lumpur dalam waktu tengah hari.
Haji Amran sudah duduk di kerusi roda di hadapan pintu bersama Maznah dan Atira. Aliyah datang dari dalam rumah sambil membawa bagasi milik ayahnya. Bagasi tersebut kemudiannya diletakkan ke tanah.
Aliyah mengenakan baju kurung pink. Rambutnya dibiarkan terurai melepasi paras bahu. Dia mendekati ayahnya yang duduk di atas kerusi roda sambil tersenyum.
                “Ayah, Aliyah pergi dulu tau? Ayah jaga diri baik-baik ya?” Salaman dihulur. Tangan ayahnya dikucup agak lama. Berat hatinya untuk meninggalkan lelaki itu.
                “Mak cik tolong jaga ayah ya?” pintanya sayu.
                “Kan ayah dah cakap tak payah risau pasal ayah. Ni ada duit sikit untuk kamu buat belanja dekat sana.” Tangan Aliyah digenggam seerat-eratnya oleh Haji Amran.
Maznah menjeling tajam. “Yelah, pergi lah cepat nanti lambat pulak kau sampai.”
Aliyah melepas genggaman Haji Amran dan bersalaman dengan Maznah.
Maznah mencebik mukanya apabila bersalaman dengan Aliyah. Kalau tak fasal rancangan ni tak kuasa untuk dia bersalaman dengan keturunan Kartini ni.
Aliyah berpaling kepada Atira dan menghulurkan tangannya kepada gadis itu.
                “Just go.” Atira tidak menyambut salaman itu.
Aliyah akur. Dia mula menuruni anak tangga sambil melambai-lambai tangan tanda mengucapkan selamat tinggal. Atira hanya mencebik. Wajah Haji Amran dipandang seketika dan meneruskan langkahnya sehinggalah ke perhentian bas.
                Dia mengambil tempat di bangku sambil memandang ke kiri dan ke kanan. Kelibat teksi langsung tidak kelihatan.
Ketika dia memandang ke sebelah kiri ada satu lambaian yang tidak jelas dari jarak yang agak jauh melambai ke arahnya. Semakin dekat jarak orang itu semakin dia ketahui siapa gerangan yang melambai ke arahnya tadi. Dia tersenyum kecil.
“Tadi aku pergi ke rumah kau. Tapi aku tengok kau dah tak ada. Jadi aku kejar kau sampai ke sini. Nasib baik sempat,” ucap Nurin yang kepenatan berlari sebentar tadi. Peluh yang mula merinik di dahinya dilap dengan telapak tangan.
                “Buat susah-susah aje datang jumpa aku...”
                “Ah, sikit aje ni. Haa, nanti kalau kau sampai sana kau call aku tau?” Nurin mengipas-ngipaskan diri menggunakan baju yang tersarung di tubuh.
                “Aku nak call kau pakai apa?” Aliah menngaru kepalanya walaupun tidak gatal.
                “Cik Aliyah hoi! Ini kan zaman moden? Ha, ni kau pakai telefon lama aku. Masih elok lagi ni. Dan nombor telefon Daim pun ada dalam tu. Jadi kalau kau senang-senang tu kau cubalah telefon dia.” Telefon nokia 101 yang berada di dalam kotak dihulurkan kepada Aliyah.
Aliyah teragak-agak untuk mengambilnya.
                “Isy... nah! Kau pakai aje. Aku ni kan kaya.” Telefon tadi diletakkan di tapak tangan Aliyah.
Memang benar Nurin dari keluarga yang berada. Sejak dari sekolah lagi Nurinlah yang selalu belanjanya makan ketika dia ada masalah kewangan.
                “Terima kasih, Nurin. Kau banyak dah tolong aku. Aku berhutang budi sangat dengan kau.” Tangan Nurin digenggam erat. Mata mereka bertentang antara satu sama lain. Mata Aliyah mula berkaca.
                “Tak apa... yang penting kau lari daripada permaisuri dengan langau tahi tu. Jangan lupa beri nombor lelaki yang handsome pada aku. Itu caranya kau membalas jasa aku selama ni.” Mereka berdua ketawa.
                “Bukan kau suka dengan Daim ke?”
                “Isy, mulut kau..” Nurin tersenyum sendiri.
                “Ha, tu ada teksi!” Nurin melambai-lambaikan tangan. Kemudian teksi itu berhenti di hadapan mereka.
                “Hei abang, kalau ada apa-apa yang terjadi kepada kawan saya ni. Abanglah orang pertama yang saya cari, tau tak?” pesan Nurin sambil mempamerkan wajah yang serius. Si pemandu teksi itu hanya mengangguk lalu masuk ke dalam perut teksi sambil tersenyum.


MATA Aliyah membulat melihat keadaan rumah pak longnya, Fajar yang sangat cantik sekali. Dia menapak perlahan menuju ke ruang tamu dan duduk di sofa yang empuk. Matanya masih memandang sekeliling.
                “Aliyah, mari Mak Long tunjukkan bilik kamu,” ucap Rasyidah yang muncul dari dapur bersama senyuman manis.
Aliyah mengekor Mak Longnya menaiki tangga ke tingkat atas.
Rasyidah menunjukkan bilik yang berhampiran dengan tangga kepada Aliyah. Bilik itu dibuka perlahan.
                Aliyah meletakkan bagasinya di tepi katil. Tangannya menjamah-jamah cadar yang lembut. Kalau tidur sekarang sampai pagi esok pun tak bangun-bangun ni.
Rasyidah yang berada di hadapan pintu memerhatikan tingkah Aliyah. Hatinya sayu melihat Aliyah.
                “Kamu kemas lah barang kamu dulu... Mak Long nak siapkan makanan. Nanti kamu turun makan, ya?”
Aliyah mengangguk perlahan.
Rasyidah menutup pintu sebaik sahaja dia keluar.
Tubuh Aliyah perlahan-lahan dibaringkan ke atas katil yang empuk itu. Matanya memandang siling putih dan kipas yang berpusing. Sebaik sahaja dia memandang kipas tersebut teringat pula kipas yang ada di dalam bilik Haji Amran. Jauh berbeza.
Dia teringat pula akan pemberian Nurin ketika di perhentian bas. Telefon bimbit yang masih berada di dalam kotak segera dikeluarkan lalu dihidupkan.
                Dia melihat satu-persatu nombor di dalam telefon tersebut. Nama Nurin dicari dengan teliti. Dia menekan butang dail pada permukaan keypad apabila melihat nama Nurin terpapar. Panggilan pertama agak lama untuk diangkat.
                “Helo, Nurin. Kau ke?”
                “Ye, kau dah sampai ke?”
Suara Nurin agak lain kedengaran. Dahinya berkerut. “Nurin kau okey ke? Kau nangis ye?”
                “Tak lah... aku cuma selesema sebab terkena hujan tadi selepas hantar kau. Macam mana, okey tak?”
                “Okey. Nurin... sorry buat kau sakit.”
                “Tak apa aku okey. Baiklah, aku nak makan ni. Nanti lah kita sembang lagi. Bye.”
                Panggilan terus ditamatkan.
Cuba telefon rumah ayahnya pula. Lama talian itu menanti untuk diangkat. Dia mengeluh apabila taliannya tidak dijawab.
                Tanpa berlengah, dia mengemas semua barang-barangnya. Bagasi diletakkan di bawah katil apabila semua pakaian sudah dipunggah keluar. Gambar arwah ibunya yang sudah ronyok dipandang lama. Ini semua gara-gara permaisuri jahat tu! Terus dia mengeluarkan pula diari yang ditinggal oleh ibunya kepadanya. Dengan diari itulah dia meluahkan isi hati. Gambar arwah ibunya diselitkan ke dalam diari itu.
                Dia bangkit dari katil dan meletakkan gambar serta diari tersebut di bawah bantal lalu menapak turun ke bawah. Dia menuju ke arah dapur di mana Mak Longnya sudah meletakkan makanan di atas meja.
                “Wah dah siap? Baru nak tolong tadi.”
                “Tak apalah, Aliyah. Lagipun Mak Long dah biasa buat kerja ni sorang-sorang. Memang dah tanggungjawab Mak Long buat kerja rumah ni. Lagipun Mak Long ni mana ada anak perempuan.”
                “Kenapa Mak Long tak ambil pembantu rumah aje?”
                “Mak Long tak minat sangat nak upah maid ni sebenarnya. Lagipun sekarang ni banyak dah melibatkan kes-kes orang gaji mencuri barang majikan. Mak Long tak nak kes itu menimpa keluarga ni. Cukuplah hanya Mak Long seorang yang menjaga Pak Long kamu tu,” ujar Rasyidah sambil tersenyum lebar di hujung ayat.
                “Sebab itulah Pak Long sayang sangat dengan Mak Long kau ni. Sampaikan Pak Long tak boleh nak berpisah dengan dia, macam belangkas.” Suara Fajar kedengaran menyampuk tiba-tiba.
                “Isy, awak ni! Depan budak pun nak cakap macam tu.”
                “Tak apa. Biar Aliyah tahu betapa tulusnya cinta Pak Long kepada Mak Long dia ni.” Raut wajah Fajar begitu mendalami ayat-ayat cintanya.
                “Alahai awak ni... dah jangan nak merepek sekarang! Mari duduk makan.”
Fajar masih tersenyum. Dia mengambil tempat berhampiran isterinya.
                Aliyah duduk dengan sopan di hadapan pasangan itu. Dia memerhati lauk yang tersedia di atas meja begitu enak sekali. Tiba-tiba air matanya terasa hendak membanjiri sekitar dapur. Lantas dia menyeka sepantasnya.
                “Aliyah, kenapa ni? Kamu tak suka ke apa yang Mak Long sediakan ni?” soal Fajar yang tiba-tiba terpandang wajah anak saudaranya yang kesedihan itu.
Aliyah menggeleng. Tangan yang sebentar tadi dibasahi air kini kembali kering.
                “Dah. Tak payah nak fikir apa-apa. Kamu makan aje. Tak baik bersedih depan rezeki ni. Nanti Pak Long tolong kamu dapatkan kerja.”

Aliyah kembali tersenyum. 
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment