Bab 2 : Seorang Maisara | Fitri Lyiana Amir



"Mak! Oh mak!"
Maisara menjerit-jerit kuat, memanggil-manggil ibunya. Kasut ditanggalkan dan diletakkan di dalam kotak di belakang pintu rumah kayu itu. Matanya melilau mencari kelibat si ibu tetapi langsung tidak kelihatan.
"Mana mak ni?" Maisara masuk ke dalam dapur, ibunya tiada juga di situ.
Dia terpandang pucuk ubi yang berada di dalam besen berhampiran dengan sinki. Pucuk ubi segar itu sudah pasti dipetik daripada kebun Mak Som, orang tua baik hati yang selalu membantunya sekeluarga.
"Kamu dah balik, Maisara?"
Maisara menoleh saat mendengar suara ibunya menegur. Suara yang seperti biasa, lembut dan penuh kasih.
"A'ah! Baru balik," jawabnya ringkas. Wajah si ibu diperhati. Ibunya nampak penat sekali, seolah-olah baru sahaja melakukan kerja yang sangat berat.
"Mak dari mana? Macam penat je." Dia menarik kerusi yang berhampiran. Disuruhnya si ibu duduk di atas kerusi tersebut. Kasihan ibunya, letih benar nampaknya.
"Dari rumah Mak Su kamu. Dia suruh mak tebas semak samun belakang rumah dia tu haaa! Banyak ular di situ katanya."
"Apa?" Maisara rasa berang tiba-tiba. Tahu banyak ular di situ, kenapa ibunya yang disuruh menebas? Kenapa tidak upah sahaja pekerja lelaki yang lain? Sengaja betul Mak Su Kiahnya itu! Sengaja hendak menyusahkan keluarganya.
"Mak Su kamu cakap dia tiada duit nak upah orang. Jadi dia mintalah mak tolong dia." Lembut sahaja suara si ibu menutur bicara.
Maisara mendengus kasar. Mak Su tiada duit nak upah orang? Penipu besar!
"Mak, Mak Su tu penipu! Dia sengaja  nak susahkan mak. Upah orang tebas rumput tak boleh, tapi tiap hari pergi shopping beli baju baru, perabot baru, boleh pulak!" Maisara bersuara bengkeng, marah benar rasa hatinya. Mentang-mentang keluarganya miskin dan susah, sesuka hati orang sahaja hendak mengarah itu dan ini. Mungkin ibunya dapat terima tapi tidak padanya.
"Tak apalah, Maisara." Ibunya masih berlembut hati.
Maisara mendengus kasar. Kenapalah ibunya terlalu baik hati? Zaman sekarang, buat baik berpada-pada. Silap hari bulan, kena pijak kepala. Orang zaman sekarang suka mengambil kesempatan, lebih-lebih lagi terhadap mereka yang hidup susah dan mudah mengalah.
"Mak, ini bukan kali pertama dia orang buat mak macam ni tau? Selalu sangat dah! Mak janganlah jadi pak turut saja. Kita pun ada harga diri dan maruah, mak. Sara tak suka dekat Mak Su tu." Maisara mencebik bibir. Hatinya jengkel membayangkan wanita berlagak diva itu. Bertudung tapi menampakkan rambut, entah mazhab mana diikutnya?
Maisara mengetap bibir, geram.
"Biarlah, mak hanya ada tiga beradik saja. Pak Long dan Mak Su kamu tu sajalah yang ada." Halimah nampaknya langsung tidak kisah diperlakukan sesuka hati oleh si adik bongsu.
Maisara mendiamkan diri. Memang hanya mereka saudara terdekat yang ada. Ibunya memang benar. Tetapi Maisara tidak dapat menerima cara mereka melayan ibunya. Umpama melayan orang gaji yang tidak bergaji. Atau lebih tepat, hamba mungkin? Dan mereka perlu tahu, ibunya bukan orang gaji percuma kepada orang lain.
"Orang lain bertudung dan berbaju kurung datang kenduri ke rumah aku. Kau datang dengan jeans dan T-shirt? Tak beradab betul anak perempuan Limah ni. Langsung tak hormat majlis orang. Mak bapak pula langsung tak pandai ajar anak suruh berpakaian elok sikit."
"Kau tak layak bergaul dengan anak-anak aku! Nanti mereka jadi ahli neraka macam kau!"
Kata-kata pedas Mak Su Kiah itu sampai sekarang masih terngiang-ngiang di telinga Maisara. Mengenangkan kata-kata orang tua itu, dia tersenyum sinis. Betapa mudahnya orang tua yang gemar bersanggul senget itu melabelkan orang lain sebagai ahli neraka. Tetapi dia langsung tidak peduli tentang itu kerana sejak kecil dia sudah digelar sebegitu sehinggakan dia sudah terbiasa. Namun sesekali, terbit juga rasa marah.
"Aku ahli neraka? Dia? Ahli syurga? Tutup aurat pun masih tak betul! Tudung protactor!" Maisara tergelak kecil saat menyebut perkataan “tudung protactor" yang bermaksud tudung yang menutup sebahagian rambut sahaja itu. Haikal, adik bongsunyalah yang menggelarkan Mak Su mereka dengan gelaran tersebut setiap kali si kecil itu melihat Mak Su Kiah menyarung tudung yang mendedahkan sebahagian rambut. Dan ianya kedengaran sangat melucukan. Haikal memang kreatif!
"Haaa! Gelak sorang-sorang tu dah kenapa?" Si ibu mengerutkan kening, hairan melihat telatah anak gadisnya. Entah apa yang begitu menggelikan hati anak daranya sampai tergelak seorang diri.
"Tak ada apa, mak. Astalavista!" Pipi ibunya dikucup sebelum Maisara berlari menuju ke biliknya. Sempat gadis itu mengenyitkan sebelah mata ke arah si ibu sebelum menghilang di balik pintu.
Begnya dicampak ke atas katil sebaik sahaja masuk ke dalam bilik kecilnya. Punggung dilabuhkan di atas kerusi berhampiran dengan meja kayu; meja yang menjadi tempatnya menyusun buku-buku yang dibeli. Keluarganya faham benar akan hobinya yang gemar membaca buku tidak kiralah buku yang ditulis dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, gadis itu mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan agak baik sehingga kadang-kadang ketika berbicara dengan ibu dan bapanya, terkeluar Bahasa Inggeris dari mulutnya. Terpinga-pinga si ibu dan si bapa dibuatnya.
"Huh, lenguh tengkuk aku!" Maisara mengurut-urut bahagian tengkuknya. Kakinya juga terasa sakit. Agak lenguh rasanya. Mungkin disebabkan terlalu lama berdiri ketika berniaga ikan di pasar pagi tadi.
Bukan mudah berniaga ikan di pasar. Kalau tidak cekap dan tangkas, memang pelanggan akan lari ke gerai lain. Pernah dia berdiri selama empat jam gara-gara melayan pelanggan yang tidak putus-putus datang membeli. Mengenangkan perkara itu, dia mengeluh kecil. Sudah tiba masanya untuk berhenti memikirkan soal kerja. Cukup sudah dia kepenatan di pasar tadi.
Dia menggapai buku Langit Ilahi yang tersusun rapi bersama buku-buku yang lain di atas meja. Buku yang tebal itu dibelek-belek perlahan.
Dia tersenyum kecil. Buku itu dibeli hasil duit gajinya berniaga ikan dengan Tauke Wong di pasar. Ya, dia mungkin nampak jahil tetapi keinginan untuk menjadi muslim yang baik sentiasa ada di dalam hati, walau sekelumit cuma.
"Maisara, Alia datang nak jumpa kamu!" Suara ibunya jelas kedengaran dari arah ruang tamu.
Maisara mengeluh kecil.
Alia datang? Tidak lain tidak bukan pasti gadis berkulit cerah itu ada masalah dengan teman lelakinya. Masak benar dengan perangai Alia. Mana taknya, mereka berdua sudah berteman sejak tadika lagi dan persahabatan itu tetap bertahan sehingga mereka berdua selesai belajar di Tingkatan Enam Atas. Perangai Alia itu sudah dihafal benar olehnya.
Kedengaran bunyi pintu dibuka dan seorang gadis bertudung ungu tercegat berdiri di hadapan biliknya.
"Maisara!"
"Haaa! Apa lagi masalah kali ni?" Maisara menyoal malas, matanya masih merenung buku-buku yang tersusun di atas meja.
"Adli tu! Sampai hati dia tak ingat birthday aku. Sedangkan aku tak pernah lupa birthday dia." Alia bersuara geram. Habis bantal Maisara dilontarkannya ke atas lantai.
"Aku malas nak komen." Maisara membalas acuh tak acuh.
"Maisara, tolonglah aku! Si Adli tu macam dah tak pedulikan aku lagi. Masak aku kalau terus macam ni. Aku saja yang nampak terhegeh-hegeh dekat dia, dia pula? Langsung tak pernah nak hagai aku. Boleh pula dia pergi berkepit dengan sepupu engkau, si Aqila tu. Langsung tak fikir perasaan aku. Dia buat sesuka hati dia saja. Menyampah betul!" Alia melabuhkan punggungnya di atas katil Maisara. Bibirnya diketap geram.
"Bukannya mati pun kau kalau dia tak pedulikan kau. Relakslah babe! Dia bukan suami kau pun. Dan kalau kau sudah menyampah tahap dewa kat dia, apa lagi nak ditunggu? Tinggalkan saja, habis cerita. Hati kau pun tak sakit!"
"Eleh, kau cakap senanglah! Bukan kau yang rasa."
Maisara menggeleng-geleng perlahan. Wajah kawan baiknya diperhati.
Dia cukup hairan, kenapa gadis secantik Alia sanggup memperbodohkan diri hanya kerana seorang lelaki playboy seperti Adli? Rupa sahaja kacak tetapi perempuan keliling pinggang. Sesuka hati mempermainkan perasaan anak dara orang. Esok-esok, bila si Adli playboy itu sudah mempunyai anak dara sendiri, dia tahulah bagaimana rasanya bila anak dia pula yang dipermainkan.
Allah itu Maha Adil. Apa yang kita lakukan pada orang, itulah yang akan berlaku kepada kita di kemudian hari. Kalau tidak kepada diri kita, anak cucu kita akan kena. Siapa tahu?
Maisara teringatkan satu kata-kata yang pernah dibaca olehnya dan kata-kata itu khas untuk lelaki kaki perempuan seperti Adli.

Lelaki, kalian perlu tahu. Gadis yang kalian permainkan hatinya itu, merupakan anak gadis yang bermati-matian dibahagiakan oleh bapanya.

Entah di mana dia membacanya, dia sendiri sudah terlupa. Teringin benar rasanya hendak menampal kata-kata itu di dahi lelaki bernama Adli, biar sedar diri sedikit.
Maisara merenung wajah Alia yang bujur sirih dan manis bertudung.
Cantik! Tapi sayangnya, Alia tidak pernah menghargai nilai sehelai kain di atas kepalanya. Malah, lebih suka membiarkan dirinya dilukakan dan dipermainkan sesuka hati oleh Adli gara-gara buta kerana cinta.
Maisara tersenyum kecil, wajah Alia diperhati penuh perhatian.
"Kau nak tau tak? Kau tu dah cantik sangat dengan hijab yang kau pakai tu. Tapi sayangnya, kau dah cemarkan semua tu.” Dia bersuara perlahan, nadanya sedikit kesal dan kecewa.
"Maksud kau?" Alia mengerutkan dahinya, tidak mengerti maksud tersirat di sebalik kata-kata Maisara.
"Bukankah seorang muslimah tu sepatutnya menjaga diri daripada berhubungan dengan lelaki yang belum halal baginya?" Maisara mengutarakan soalan yang agak pedas kepada Alia, menyebabkan teman baiknya itu kelihatan terkesima seketika. Berkelip-kelip mata gadis itu merenungnya.
"Cinta itu kan fitrah. Tak salah!" Alia cuba mempertahankan dirinya, suaranya cukup sinis.
"Memang fitrah tapi kalau salah caranya, cinta itu akan jadi fitnah! Pendek cerita, kau bacalah buku Cinta High Class yang ditulis oleh Ustazah Fatimah Syarha." Maisara mengambil buku yang berada di atas meja dan dihulurkan kepada Alia.
Alia menyambut huluran buku itu dengan kening yang terangkat sebelah.
"Orang macam engkau pun baca buku ni? Bertudung pun tak!" Soal Alia sinis.
"Ya, memang aku tak bertudung. Aku tahu. Tapi aku sedang belajar bagaimana nak jadi muslim yang baik. Sebab tu aku banyak beli buku agama. Buku Hilal Asyraf, Aiman Banna dan Ustazah Fatimah Syarha. Aku tak nak bila aku dah berubah nanti, aku pula yang jadi fitnah kepada Islam. Sebab tu aku nak belajar dulu," luah Maisara sepenuh perasaan.
"Kau maksudkan akulah yang jadi fitnah kepada Islam tu?" Nada suara Alia kedengaran seakan-akan sedang merajuk. Muncung itiknya muncul sedepa, seperti biasa jika gadis bertudung ungu itu terasa hati dengan sesiapa.
"Taklah. Aku tak maksudkan sesiapa pun. Aku hanya takut diri aku nanti jadi fitnah kepada agama. Kau ingat aku tak pernah terdetik di hati untuk berhijab?"
Alia terdiam mendengar kata-kata Maisara. Dalam diam, hatinya cukup terkesan dengan kata-kata temannya itu.
"Mungkin kau betul, Maisara." Alia bersuara perlahan. Terdengar keluhan panjang dari bibirnya. Tersentap hatinya mendengar kata-kata Maisara. Walaupun Maisara itu kelihatan seperti gadis liar yang jahil agama, tetapi Alia tahu yang Maisara sangat rajin membaca buku-buku tentang agama. Cuma dia tidak menyangka yang kawan baiknya itu akan membeli buku yang ditulis oleh Ustazah Fatimah Syarha, memandangkan penulisan ustazah tersebut kebanyakannya menyentuh soal cinta.
"Aku pun bukanlah pandai sangat. Sebab tu aku masih belajar lagi. Nak pergi belajar di sekolah agama, aku tak mampu. Kau sendiri tahu kan keadaan keluarga aku macam mana? Ini sajalah yang aku mampu. Beli buku dan baca sampai hadam. Kalau kau nak beli buku yang sesuai untuk kau, aku cadangkan kau beli buku ni. Pasti kau akan faham kenapa aku selalu larang engkau berhubungan dengan Adli." Suara Maisara mendatar. Buku Langit Ilahi di tangannya disusun semula di atas meja bersama buku-buku yang lain.
"Kau tabah betul, Maisara! Satu kampung kutuk kau tapi aku tengok kau semakin bersemangat nak berubah." Alia tersenyum kecil, sedikit kagum akan ketabahan hati Maisara menempuhi dugaan yang datang menimpa.
Siapa tak kenal Maisara? Gadis yang lantang bersuara apabila dihina dan dimaki. Tidak pernah peduli tentang pandangan serong orang lain terhadapnya. Yang penting katanya, dia tak kacau hidup orang lain. Budak-budak kampung juga banyak yang takut dengannya disebabkan sikap kasar dan panas baran Maisara yang tidak menentu.
Alia masih tidak dapat lupa peristiwa ketika mereka masih menuntut di Tingkatan Lima dahulu. Lintang pukang Adli melarikan diri gara-gara dihambat Maisara dengan penyapu. Habis satu sekolah ditawaf. Adli pun satu, sudah tahu si Maisara pantang diganggu, masih juga hendak mengusik. Kena hambat dengan penyapu, tahu pula lari.
"If they respect me, I will respect them more. If not, I can be more dangerous than them."
Itulah prinsip hidup Maisara. Cacian, fitnah dan sindiran sudah menjadi makanan harian bagi gadis itu. Bahkan sepupu Maisara iaitu Amira dan Aqila tidak pernah menyukainya dan langsung tidak rasa bersalah menyebarkan fitnah mengenai gadis hitam manis itu. Hal itu pernah menyebabkan keluarga mereka bergaduh besar tetapi kini Maisara sudah menjadi biasa dengan semua itu. Terlalu biasa! Sehingga dia langsung tidak ambil peduli lagi tentang fitnah-fitnah yang tersebar luas di serata kampung itu.
"Ajarkanlah aku bagaimana menjadi tabah," pinta Alia.
Wajah Maisara ditatap dengan penuh perhatian. Mahu juga rasanya ingin menjadi kuat dan tabah seperti Maisara. Walau dicaci sekampung, masih teguh berdiri dan langsung tidak rebah.
"Kau akan tabah bila kau tak pedulikan lagi apa-apa pun yang menghalang kau," ujar Maisara cukup yakin.
"Tapi aku tak kuat bila dengar orang mengata aku." Alia merenung tangannya sendiri.
"Kalau orang suruh kau putuskan hubungan dengan Adli, itu aku sangat setuju!" Maisara kelihatan cukup teruja. Segera dia melompat ke atas katil dan duduk bersila berhampiran dengan Alia.
Alia mencebik. Kalau bab yang satu itu, laju benar sel-sel otak Maisara berhubung.
"Kau ni kan? Memang tu je kau tahu! Macamlah Adli tu jahat sangat." Alia bersuara geram, agak marah mendengar kata-kata Maisara walaupun itu bukanlah kali pertama temannya itu suarakan.
"Kalau dia baik sangat, dia tak akan bawa kau naik motor dengan dia tiap-tiap petang… round satu kampung. Dia tak akan peluk dan pegang tangan kau sesuka hati." Maisara memukul kaki Alia dengan bantal. Sedikit geram melihat kepolosan kawan baiknya itu. Sikap itulah yang menyebabkan banyak perempuan mudah jatuh dalam perangkap lelaki. Bersangka baik tidak kena pada tempatnya, mudah sangat cair! Kononnya lelaki tangkap cintan dengan mereka, tetapi sebenarnya? Saja nak test market.
"Hmm yalah tu!" Alia menarik muncungnya, merajuk.
"Tadi kau tanya macam mana nak jadi kuat kan? Bagi aku, kalau kau nak cari ketabahan dan kekuatan tu, kau carilah Pencipta kau. Dia yang mencipta kau, pasti Dia tahu bagaimana hendak beri kekuatan pada kau. Dan pasal kau tak kuat dengan mulut orang mengata kau, jangan dengar sangatlah. Tak maju hidup kau kalau asyik rebah dikutuk dan dicaci. Jangan peduli sangat!" Nasihat Maisara lantang. Matanya dikenyit sebelah dan pipi Alia dicubit mesra.
"Aduh, Mai! Sakitlah pipi aku!" Alia menggosok-gosok pipinya yang sudah kemerahan.
Maisara tergelak. Lucu melihat Alia dalam keadaan begitu.
Tiba-tiba, kedengaran bunyi lagu Before The Dawn nyanyian sekumpulan penyanyi Korea, Infinite. Berkerut dahinya.
"Eh, telefon akulah!" Alia pantas menggagau di dalam poket seluarnya. Telefon jenama Lenovo berwarna merah jambu dikeluarkan daripada poket tersebut.
"Adli hantar mesej! Dia ajak keluarlah, Maisara." Mata Alia masih tertancap pada skrin telefon, membaca mesej yang dikirim oleh Adli.
Maisara mencebik saat mendengar nama Adli disebut oleh Alia.
"Kau akan keluar dengan dia?"
"Ya, mestilah! Dia nak jemput aku." Suara Alia kedengaran ceria. Di bibirnya terukir senyuman lebar.
"Hati-hati!"
"Tahulah aku menjaga diri. Jangan risau sangat. Okeylah! Aku nak minta diri dulu, amoi hitam manis! Nak jumpa buah hati tersayang dan tercinta. Melepas rindu yang terpendam." Alia bingkas bangkit dari atas katil. Langkah kakinya pantas menuju ke pintu bilik. Sempat gadis bertudung ungu itu membetulkan tudungnya di hadapan cermin yang terletak di suatu sudut dalam bilik itu.
"Suka hati kaulah!" Maisara menggeleng-geleng. Pening melihat telatah gedik Alia.
Alia melayangkan flying kiss kepadanya sebelum keluar dari bilik.
"Gedik!" Maisara melemparkan bantal peluk ke arah Alia sambil tergelak. Mempunyai kawan seperti itu kadang-kadang cukup menghiburkan hati dan mengundang ketawa.




Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment