Bab 2 : Dakapan Memori | Tina Derika


“HAI Emir. Kau sorang je?” tanya Dina. Afiya di belakangnya tersipu-sipu. Eee! Dina suka bertindak diluar jangkaan. Beg galas dibetulkan sedikit. Rakan sekelasnya yang tadi diam di meja kantin membaca novel Harry Potter: Prisoner of Azkaban kembali menutup naskhah. Memang rajin! Emir Faris, seorang pelajar cemerlang yang tak pernah berenggang dengan buku.
Lelaki itu mendongak seraya tersenyum. Kemudian beralih renungan ke jam tangan. Sepatutnya sekarang waktu pulang. Err… Mengapa mereka berdua masih juga belum balik? Sudah la jam tiga ada kelas petang.
A’ah. Aku tunggu mak aku,” jawab Emir. Suaranya begitu menambat perasaan Afiya.
Ooo…” Panjang muncung Dina. Sempat dia menyiku lengan Afiya. Emir terus merenung wajah Dina dengan senang hati. Sampai tak perasan kewujudan Afiya di situ. Aneh! Dengan Dina, Emir mudah berbual. Umm
“Datang kelas petang nanti?” soal Emir kepada Dina. Perempuan itu angguk.
Afiya mengetap bibir. Menanti-nanti saat untuk Dina memberitahu Emir hajatnya. Debaran di dada bertambah hebat. Lelaki itu tersenyum lebar.
‘Cepatlah cakap, Dina!’ Raung hatinya sendiri.
“Okey, kita jumpa petang ni. Hari ni kelas add math. Cikgu nak bincang soalan trial dari negeri Perlis.”
“Oh! Tau…tau. Kita orang nak balik la ni. Saja je tegur kau. Nampak kau sorang aje. Ha, sambunglah balik baca buku tu.” Dina meleraikan pautan Afiya.
Jauh di sudut hatinya, dia memang tak mahu Afiya rapat dengan Emir. Ada kala dia berasa bertuah. Menganggap dirinya seorang perempuan yang sangat beruntung. Nasiblah Afiya berasa janggal dan segan berhadapan dengan Emir.
Afiya mencuit-cuit lengan Dina. Sahabatnya tetap tak mengendahkan dirinya.
“Alah, aku baca sekadar luangkan masa. Sementara kelas lambat lagi nak start. Lagipun aku nak balik rumah sekejap. Rumah kau kat mana, Dina?”
Afiya rimas. Haih! Seperti orang bodoh dia di sisi Dina. Jiwanya mula merajuk. Dina tak menunaikan janji. Bibirnya senyap dari bersuara. Cuma sekeping hati gema bertutur. Perlahan-lahan Afiya melepaskan pautan. Nampak gayanya Emir tak menghiraukannya. Sekali lagi, dia rasa terbuang dari perhatian rakan-rakan. Afiya jongket bahu.
“Rumah aku dekat Taman Pelangi. Bahagian rumah dua tingkat. Kau?”
Emir angguk. Oh! Tak sangka Dina juga tinggal di tempat yang sama dengannya. Mengapa dia tak pernah tahu? Novel yang dipegang tadi lantas disuapkan ke dalam beg sekolah.
Afiya terus menjadi tembok di tengah-tengah antara mereka.
Ouh! Okey, jadi selama ni kira kita jiran setaman lah. Awak, Fiya?” Tiba-tiba Emir menyedari jelmaan gadis itu di situ.
Afiya serta-merta kelu. Mana mungkin dia akan beritahu di mana tempat tinggalnya. Emir dan Dina merenung wajahnya.
Aik. Fiya, Dina… Awak tak balik rumah?” tegur Puan Shima yang baru muncul. Afiya geleng. Hajatnya mahu memonteng kelas.
“Semua orang dah balik. Jom la cikgu hantar awak berdua. Nanti pukul tiga ada kelas.”
Lekas Afiya menolak. Tak pula bagi Dina. Lebih senang tumpang guru sendiri daripada naik teksi. Pantas dia angguk  sambil tersenyum. Afiya kurang selesa. Dia tak suka sesiapa pun tahu tempat tinggalnya. Termasuk Dina sendiri. Rumahnya sudah lama sunyi. Andai Afiya duduk di situ seribu tahun pun, belum tentu ada yang sudi jadi tetamunya.
“Cikgu hantar Dina aje la. Saya boleh balik sendiri. Tak apa, rumah saya jauh. Jadi elok cikgu hantar Dina je. Saya minta diri dulu. Bye, Dina.”
Dalam hati, Dina tersenyum bangga. Siapa sangka taktik halusnya berjaya. Dia melengah-lengahkan kehendak Afiya supaya Emir tak mempedulikan temannya itu. Pantang nenek moyangnya kalau Afiya kacau! Dia tak rela berkongsi sahabat. Biar la dia satu-satunya pelajar perempuan yang akrab dengan Emir.
 “Fiya, betul awak boleh balik sendiri? Tak mahu tumpang kereta cikgu?”
“Betul. Tak apa. Bye, cikgu… bye Emir,” sempat Afiya melambai tangannya meninggalkan ruangan kantin yang sudah kosong itu. Setapak demi setapak dia melangkah. Entah mengapa setiap derapan kakinya, dia teringatkan orang tuanya. Tergambar semua bayangan bersama mereka. Afiya tarik nafas panjang.
Emir telan liur tatkala melihatkan Afiya beredar diiringi nada tawar. Salah diakah? Dina menahan tawa. Apa la Afiya… Haih! Dalam sepi dia mengejek rakannya itu. Peluang yang bertandang elok di depan mata, bukannya mahu terima. Lagi mahu tepis. Hairan! Rugi…rugi!
“Biar Emir pujuk dia ya ,mak?”
Eh, tak payahlah. Fiya tu memang macam tu. Biar je la. Hari ni dia tak nak pergi kelas.” Spontan Dina pecahkan rahsia nakal Afiya. Emir berkerut. Begitu juga Puan Shima.
“Kenapa?” Puan Shima bertanya. Terkejut!
Dina angguk. Mengiyakan! Baginya, perkara begitu tak perlu disimpan. Untuk apa dia bersubahat dengan Afiya? Tak dapat faedah pun. Dina berdeham mengawal reaksi di hadapan Emir yang merenung mukanya.
“Dia cakap dia nak shopping. Jadi, dia malas pergi kelas.”
Shopping? Eh, Fiya… Fiya. Dia ni, nak SPM pun boleh buang masa lagi nak shopping segala. Haih!” Komen Puan Shima. Kecewa dengan sikap anak muridnya itu.
Emir diam seribu bahasa. Tak mahu masuk campur. Esok-esok Afiya akan didenda. Namun dia tiada hak menafikan kepintaran yang ada pada Afiya. Gadis itu tak pernah gagal dalam mana-mana mata pelajaran.
“Biasalah…dah nama pun Afiya, cikgu. Dia…”
Segera Emir potong kata-kata Dina yang suka menokok tambah cerita. “Mak, jom. Nanti lambat-lambat, Emir pun terponteng kelas.” Emir tersenyum. Reaksinya bersahaja.
Dina membalas senyuman manis Emir itu. Syukur, Afiya dah melesap entah ke mana.
‘Esok, mesti kau kena denda, Fiya.  Siapa suruh degil.’


KAD akses ditarik. Afiya melangkah masuk ke dalam ruang rumahnya yang sepi. Beg galas dan buku teks terus dia campak di atas sofa. Menyesal tak sudah daripada tadi. Mengapa lidahnya kerap kaku untuk mengucapkan sepatah kata? Sarung kaki dia tanggalkan lalu dimasukkan ke dalam mesin basuh.
“Afiya dah balik? Bukan ke semalam Fiya cakap ada kelas tambahan?” soal Mak Beah.
Afiya sekadar senyum tawar. Pembantu rumahnya faham. Mood Afiya tak baik.
“Fiya malas nak pergilah. Entah kenapa Fiya rasa malas sangat. Makin dekat nak periksa, makin lemah semangat ni.”
Tiba-tiba anak gadis itu terhenti di hadapan bingkai foto di ruang tamu. Lama dia tenung paparan gambar ibu bapanya. Khabar berita mengenai bapanya dan ibu tiri hanya ditonton melalui televisyen. Afiya ketap bibir. Selama ibunya berkahwin lain, belum pernah kenal bapa tirinya sendiri. Jemari Afiya menyentuh raut jelita ibunya. Air mata mula bergenang. Setiap hari, dengan imej tak bernyawa itu dia mengucapkan selamat pagi dan selamat malam. Di situ juga dia bertanyakan khabar. Baik atau tak? Sihat atau sakit? Soalan yang tiada jawapan. Imej dalam bingkai yang tergantung itu cuma menayangkan senyuman.
“Mak Beah, tak lama lagi Fiya dah nak periksa. Agaknya mama dengan papa tu risau tak? Sekalipun Fiya gagal, mama dan papa tetap akan bahagia, kan? Hidup mama akan lebih bermakna tanpa Fiya. Fiya tahu,” ucapnya perlahan.
Air mata gugur juga. Setiap minit telah dia tempuhi. Penuh suka, duka, semangat dan ceria yang Afiya sandiwarakan di hadapan khalayak ramai.
Syy…” Mak Beah peluk tubuh Afiya. Mereka seperti saling berkongsi rasa.
“Mestilah mama sayang Fiya. Mama banyak kerja tu. Nanti-nanti, dia telefonlah Fiya. Mak Beah yakin, mama dengan papa mesti tengah doakan kejayaan Fiya.”
Afiya dongak. Raut Mak Beah ditatap.
“Boleh tak Fiya nak telefon mama? Mak Beah tak marah, kan?”
“Telefonlah Fiya. Dia kan mama Fiya. Mak Beah tak kisah. Cakap elok-elok dengan mama.”
Afiya sekadar angguk. Afiya mula berfikir sepuluh tahun akan datang, mampukah dia kembalikan hidup asalnya? Sepuluh tahun dari sekarang bererti pada tahun 2013. Agak panjang tempoh untuk mencecah ke medan sana. Benar! Dia mahu hidup bersama orang yang dicintai suatu hari nanti. Siapa gerangannya? Entah la! Hanya masa hadapan sahaja yang menentukan.
Afiya melangkah ke arah telefon di atas meja. Niatnya mahu menghubungi bapanya. Cecair jernih semakin hangat mengalir di pipi. Nombor talian ditekan-tekan. Gagang telefon dia dekatkan di cuping telinga.
Helo, assalamualaikum…”
Afiya mencengkam gagang.
“Waalaikumussalam. Boleh saya bercakap dengan Tan Sri?”
“Maaf, Tan Sri masih dalam bilik mesyuarat sampai jam sembilan malam. Boleh saya tahu, siapa nama cik yang sedang bercakap?”
Pap! Afiya meletak telefon semula. Bersakan mesyuarat! Dia mendail nombor Puan Sri Ruziah.
“Helo, Kolej Cheryl.”
“Helo, ermm… Boleh saya bercakap dengan Puan Sri?”
“Maaf, siapa yang sedang bercakap?” soal pekerja itu. Afiya semakin berang.
“Puan Sri ada tak?”
“Puan Sri tak ada di Malaysia. Dia…”
Pap! Talian putus! Afiya duduk di atas sofa. Sepasang kaki dirapatkan ke dada. Menangis menyendiri dalam pelukan tubuh. Dagunya diletak di atas kepala lutut.
“Mama tak ada kat Malaysia.” Ayat itu saja dah menyentapkan hati Mak Beah. Allahuakhbar.
“Kan Fiya dah cakap. Mama benci Fiya.”
“Afiya… Mama tu tak benci. Banyak urusan penting agaknya dia kena uruskan. Kita bersangka baik. Ya?” Tangannya membelai rambut Afiya. Gadis itu gigit bawah bibir.
“Asyik nak kena bersangka baik je. Apa? Urusan kerja tu je ke yang paling penting dalam dunia ni? Fiya??” Tangannya menepuk dada.
“Fiya ni bukan urusan penting mama ke? Fiya ni urusan dia. Tanggungjawab dia yang paling besar. Bukan senang-senang bagi kat Mak Beah. Apa ingat duit tu boleh selesaikan semua masalah?” Jarinya menyeka air mata.
Mak Beah di sebelah terkedu. Lekas Afiya capai alat kawalan jauh televisyen. Berita TV3 tersiar menayangkan informasi terkini. Afiya berkerut ke arah kaca skrin. Matanya menekur lantai. Hampir tiga tahun dia ditinggalkan. Hidupnya langsung gelap-gelita berhias deraan perasaan yang sarat.
Sampai bila lagi dia harus bersabar? Di sekolah dia hanya ada rakan-rakan dan guru. Bersama mereka. Afiya bahagia walau seketika. Bercanda-ria dengan mereka semua menumpangkan sekejap kasih sayang yang sudah lama dia dahagakan.
Terasa panas kulit wajahnya. Apakah mungkin ibu bapanya terlupa akan kelahirannya?
“Nampak? Mak Beah nampakkan?? Papa dan mama dah lupa yang dia ada anak kandung bernama Raihana Afiya.”
Afiya ketawa sendiri bertemankan tangisan. Bulan lepas khabar berita tentang ibu tirinya selamat melahirkan anak dirakamkan oleh pihak media. Barangkali bapanya gembira dikurniakan bayi lelaki sehingga terlupa anaknya yang seorang ini. Terkapai-kapai sendiri bergelumang dengan rasa pilu…
‘Mak Beah faham perasaan kamu, Fiya. Tapi Mak Beah tak dapat nak buat apa-apa selain jadi teman setia kamu.’ Mak Beah tahan sebak. Bahu Afiya dipeluk erat. Tanpa dipinta air jernihnya turut bergenang di tubir mata.


“PAK CIK SHAH!” Setibanya Fazrul di tempat kerja dia terus mengambil kayu untuk dipotong. Encik Shahril geleng. Fazrul sudah dia anggap seperti anaknya sendiri. Kisah hidup Fazrul menakung sebak di dadanya. Sebab itulah dia sangat sayangkan budak lelaki itu.
“Bagi salam dulu tak boleh? Sampai-sampai terus sergah. Boleh sakit jantung pak cik.” Ukuran papan dicatat. Fazrul bermuka sepuluh sen.
“Alah, relakslah. Kata geng. Pak cik pun selalu juga terperanjatkan saya.”
Puan Zaleha hanya tersenyum gembira. Ada Fazrul, riuhlah sikit tempat itu. Bimbang juga dia melihat keadaan Fazrul yang masih bersekolah. Peperiksaan penting semakin dekat. Sudah bersediakah Fazrul? Namun, lelaki itu masih berkeras mahu bekerja untuk mencari wang yang halal. Setiap hujung minggu Fazrul akan melawat ibunya di hospital. Buat setakat ini kondisi Puan Najiha sama sahaja. Tiada perubahan.
“Rul, dah makan? Kat sekolah tadi macam mana?”
“Rul dah makan dah mak cik. Makan nasi lemak kat sekolah. Hari ni okey. Belajar macam biasa. Mood cikgu semuanya baik.” Fazrul menyembunyikan seperkara dari pengetahuan kedua orang tua itu. Pelajarannya merosot. Bertambah parah! Dan satu libasan rotan singgah ke betisnya.
“Rul, kerja tu janganlah kuat sangat. Awak tu nampak aje sihat. Doktor suruh Rul banyak berehatkan,” pesan Puan Zaleha begitu ambil berat. Fazrul geleng.
“Alah, Rul boleh buat. Mak cik tak payahlah risau. Doktor suruh rehat je. Dia bukannya tahu, Rul bosan asyik baring. Bila Rul kat sini, boleh Rul tolong sikit-sikit siapkan kerja. Ramai orang tempah bangku, meja, rak… kesian kalau biar Pak Cik Shah yang potong kayu ni.”
Encik Shahril mengesat titisan peluh yang mula merembes keluar. Panasnya. Matahari terik menaikkan haba. Kipas di kedainya pun tak berdaya mendinginkan tubuhnya. Dia bangkit dari duduk sekilas menepuk bahu Fazrul. Budak muda itu mengangkat kayu-kayu yang bersepah di atas lantai.
“Rul, pak cik nak tanya sikit.”
“Apa dia, pak cik?”
“Bila Rul nak lawat ayah kat penjara?”
“Abang…” tegur Puan Zaleha. Bimbang pertanyaan demikian akan mengguriskan hati anak muda itu.
“Nanti-nantilah.”
“Nanti tu bila, Rul?”
Fazrul diam.
“Pak cik bukan nak menyibuk, Rul. Sebabkan pak cik sayangkan kamu lah, pak cik nak tahu. Lima tahun pak cik bela kamu. Sekalipun kamu tak ingin jenguk ayah kamu kat sana. Dia tu tetap ayah kamu, Rul. Esok-esok kalau pak cik dah tak ada, siapa nak jaga kamu?”
Terkedu seminit. Fazrul meluruskan kayu yang dipegangnya. Yakah kelak tiada siapa yang akan menjaganya? Atau dia yang akan menjaga dirinya sendiri? Fazrul menghela nafas.
“Rul, bukannya tak nak lawat dia. Entahlah pak cik… Kadang-kadang Rul rasa, Rul ni macam dah tak ada guna. Duit tak ada, hidup menumpang, belajar pun tak pandai mana. Rul nak berhenti sekolahlah, pak cik. Rul tolong pak cik berniaga je. Mak kat hospital pun tak sembuh-sembuh.”
Perlahan-lahan dia bangun. Fazrul meramas anak rambutnya. Mengapa takdirnya begini? Segalanya mengajar dia untuk terus kuat dan tabah.
Puan Zaleha telan liur. Sedihnya setiap kali dia tenung muka anak itu. Seorang anak yang terpaksa tanggung ujian.
“Rul, Rul kena pergi sekolah. Peperiksaan dak tak lama. Buktikan dekat semua orang, yang Rul mampu berjaya. Dah berjaya, cari kerja yang lebih bagus. Gaji yang pak cik bagi kat kamu bukannya banyak sangat.”
Fazrul terpaku. Ada betul apa kata Encik Shahril. Tapi…
“Rul pergi beli air sekejap ya, pak cik.”
Puan Zaleha dan suaminya saling berbalas pandangan.

“Abang, saya dah banyak kali ingatkan. Jangan dok tanya-tanya soalan yang dia tak suka.”
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment