Bab 1 : Dakapan Memori | Tina Derika


Tahun 2003…

HOBI? Beli barang online dan sertai aktiviti sekolah. Alasan? Sebab di sekolah ramai kawan. Suasana pun riuh rendah. Dapat menceriakan hidupnya yang sunyi. Lebih-lebih lagi kalau guru tak masuk kelas. Wah! Memang dia akan mengambil peluang itu untuk berpesta bersama rakan-rakan yang lain. Kalau masuk? Agak bosan dan mengantuk. Itulah Afiya! Dia menguap kecil sambil menconteng-conteng buku teks matapelajaran Sejarah. Haih! Bosannya.
Apabila sepasang matanya mengerling di hadapan bilik darjah, yang dia nampak adalah Emir Faris. Tapi bila Afiya melemparkan pandangan ke luar tingkap pula, yang ada hanya bangunan Sekolah Menengah La Salle. Ya, sekolah yang cuma dihuni pelajar lelaki. Nasiblah duduk berjiran dengan bangunan itu.
Afiya menongkat dagu. Pendengarannya longgar. Satu-satunya subjek yang dia kurang gemar selepas Kimia. Nafasnya dihela. Sepasang matanya berkerut tatkala dari jauh lagi dia lihat beberapa orang pelajar di luar kelas di kaki lima. Antara pelajar lelaki yang kena denda, asyiklah muka yang sama.
Afiya kembali fokuskan biji matanya pada tulisan di papan hitam. Puan Shima membentangkan beberapa poin penting yang mesti diberi perhatian. Maklum la tahun akhir. SPM! Saat itu pasti akan dirasai semua calon tingkatan lima. Apa yang seronok peperiksaan SPM? Ada maknakah semua itu? Afiya mengeluh. Baik atau buruk keputusannya, tiada siapa yang peduli. Ibu bapanya? Jangan harap!
“Woi!” tegur Dina menyentakkan lamunan Afiya. Sahabatnya itu mengecilkan mata merenung wajah Afiya yang kosong sambil mengeluarkan buku latihan dari beg galas.
“Apa? Terkejut aku.”
“Dari tadi, aku tengok kau berangan aje. Cikgu suruh hantar buku latihan. Kau dah siap belum?”
Afiya angguk. Buku berkulit coklat itu diberikan kepada Dina.
“Tolong hantarkan sekali. Aku malas bangun.”
Sahabatnya mencebik. Afiya bermain-main dengan pen di tangannya seraya mencuri pandang raut Emir yang sedang menunduk. Gelagat anak mata Afiya disedari Dina. Perempuan itu tersenyum. Lengannya menyiku sedikit tangan milik Afiya. Sekali lagi dia mula mengusik.
Ooo… kau suka Emir, eh?” usik Dina tersengih-sengih.
“Merepek! Tak ada fasal aku nak suka dia,” sinis Afiya memberi jawapan.
Dina juih bibir. Sikap Afiya memang pelik. Ceria, tapi… egonya boleh tahan tinggi mengalahkan lelaki. Bukannya dia tak tahu. Afiya terlalu banyak berahsia. Dengan guru-guru pun dia kerap berdalih setiap kali guru bertanyakan tentang orang tuanya. Siapa Afiya sebenarnya? Tak pernah sekalipun orang tua sahabatnya itu datang ke sekolah walaupun pada hari sesi menandatangani kad laporan pelajar. Dina tarik nafas. Perlahan-lahan dia bangkit dari kerusi menuju ke meja guru. Beberapa saat kemudian dia duduk semula di sebelah Afiya.
“Fiya, kelas tambahan petang kau datang? Janganlah tak datang.”
Hurmm, tengok la dulu. Weh, Dina… cuba kau tengok tu.” Jarinya dituding pada bangunan sebelah. Ada empat orang pelajar lelaki berseluar hijau gelap sedang berdiri di atas kerusi di luar kelas. Afiya ketawa kecil.
“Alah, kau macam tak tahu pulak. Biasalah! Sekolah lelaki memang suka buat hal. Haih! Malang cikgu-cikgu dapat anak murid macam tu. Kalau aku lah, Ya Allah… Tak tahu nak cakap apa.”
Afiya angguk-angguk. Buku teks diselak-selak lagi. Bilik darjah beransur senyap. Puan Shima pun sudah berada di tempatnya sendiri. Afiya melilaukan pandangannya ke serata ruang di situ. Rakan sekelas tunduk menyiapkan nota masing-masing.
Emir! Pandangan mereka bertaut. Lelaki itu menghadiahkan sebaris senyuman. Segera Afiya alihkan matanya ke tempat lain.
‘Aduh! Kenapa la aku tak balas senyuman dia?’
“Dina, hari ni kau free tak? Teman aku pergi shopping jom. Duit belanja aku dah masuk.” Bisik Afiya di cuping telinga Dina.
Sahabatnya terhenti dari menulis. Ada kerutan di dahinya. Hairan, wang apa?
“Duit belanja? Eh! Hari ni mana boleh. Mak aku tak bagi aku keluar sepanjang minggu persekolahan. Kalau mak aku tahu aku ponteng kelas petang ni mati aku!” tegas Dina yang enggan meluangkan masa dengan Afiya.
Perempuan itu menghela nafas hampa. Afiya jongket bahu.
Hurmm, okey lah. Aku pergi sorang. Baru ingat nak support duit makan kau.”
“Mak ayah kau tak marah ke Fiya? Selalu sangat kau keluar rumah,” rungut Dina sedikit khuatir.
Afiya sekadar geleng. Marah? Huh! Setiap bulan ibu bapanya akan masuk lapan ribu ke dalam akaun banknya. Asalkan tiada panggilan atau kiriman SMS untuk mereka. Begitu la  hidupnya. Seperti anak terpinggir. Afiya bersiul-siul kecil. Sejak umurnya empat belas, ibu bapanya bercerai dan masing-masing berkahwin lain. Afiya? Dia terpaksa menjalani kehidupan sendiri. Yang ada sekarang hanya Mak Beah.
Daftar sekolah? Pun sendiri-sendiri! Duduk di penthouse pemberian bapanya, Tan Sri Jamaluddin cuma bertemankan orang gaji yang tak pernah bosan melayannya. Segala urusan hutang rumah, bil air, elektrik, keperluan rumah, diurus rapi, ditanggung beres!
Dina geleng. “Hisy! Fiya, apa nak jadi lah! Sana sini merayau. Hari-hari pula tu. Untunglah mak kau tak macam mak aku, silap-silap mau aku ni dibebelnya.”
Afiya menjuihkan bibirnya.
‘Eleh! Itu mak kau, masalahnya aku? Ada mak pun macam tak ada mak.’ Omelnya dalam hati. Apa yang mahu dilisankan tersekat dikerongkong. Zip bekas alat tulis dibuka. Mengeluarkan beberapa batang pen berwarna jenama Stabilo.
“Kesian kau kena marah dengan mak, ya?” Afiya ketawa.
Seumur dirinya masih bernyawa, dia tak pernah dileteri sesiapa. Mengapa semua orang seperti tak pedulikan dirinya? Apakah lahirnya dia adalah untuk disisihkan? Sukarnya berdepan dengan sesuatu yang tak pernah dia pinta. Tiada seorang pun yang tahu ayahnya ialah Tan Sri Jamaluddin. Jutawan Malaysia yang mempunyai berbelas-belas cawangan hotel di Malaysia. Ibunya? Ibunya Puan Sri Ruziah. ‘CEO’ besar sebuah kolej swasta, Cheryl.
Afiya telan liur. Lekas dia membelai hati. Usah dikenang perkara begitu. Berat lidahnya mahu menceritakan kisah kedua orang tuanya. Seperti tunggul dia dilayan. Diberi kemewahan tetapi bukan kasih sayang. Afiya sentiasa rasa kehilangan.
“Eh, dahlah. Siapkan kerja tu.” Dina menghempuk bahu Afiya dengan test pad note.
Afiya tetap berdegil. Dia memaut lengan Dina.
“Lepas SPM, kau nak sambung belajar kat mana?”
Dia membiarkan sahaja lengannya dipaut Afiya. Sahabatnya itu memang suka begitu. “Aku?”
Afiya angguk .
“Tengok la dulu. Kalau result okey, mak aku suruh amik course law. Kau?”
Errk… Mak kau yang suruh? Mak kau yang suruh?? Bukan kau yang minat?” Afiya menekup mulutnya dari menghamburkan tawa besar. Entah mengapa dia rasa perintah ibu Dina seperti satu jenaka.
Dina jongket bahu. Aih! Malas nak berucap soal itu.
“Yang kau gelak-gelak apa fasal?”
Haih Dina, yang nak belajarnya kau. Tapi masa depan, mak kau pula yang tentukan? Hurmm…”
Malangkah nasib Dina? Tak! Gadis itu seorang anak yang bertuah. Bukanlah seperti dirinya yang tak dihiraukan sesiapa.
Dina mengeluh. “Susah weh kadang-kadang. Betul cakap kau, kita yang belajar tapi mak ayah main redah je suruh amik itu ini.” Dina menengadah siling yang dihias kipas berpusing.
“Aku jealous tau tengok kawan-kawan kita yang mak ayah dia tak kisah pun dia orang nak buat apa. Kau… aku tengok happy aje memanjang. Kena marah, kena hempuk buku dengan cikgu pun kau buat muka toya je. Kau tak malu ke, hah?”
Laju Afiya geleng. Haih! Dari zahir memang la dia nampak riang gembira macam iklan ais krim Mat Kool. Hakikatnya? Taklah sebegitu.
Pen di tangannya menyalin beberapa fakta penting dalam bentuk peta minda.
“Buat apa nak malu. Ni tahun last. Sekali-sekala kenalah kumpul kenangan. Kenakalan tu ada kalanya penting. Kau kena faham. Lepas ni, benda-benda tu lah yang manis bagi kita lepas kita habis sekolah. Cikgu-cikgu akan sentiasa ingat kita. Maklum la, esok-esok dia teringat… Oh! Raihana Afiya student dia orang yang suka bersembang dalam kelas.” Pintar dia berceloteh.
Dina tergelak sambil geleng-geleng. Dalam tawa gembira, matanya bersangkut dengan renungan Emir yang turut memandang ke arahnya. Lelaki itu meletakkan jari telunjuk di bibir. Senyap.
“Dah…dah. Syyy! Emir suruh senyap. Kau ni bising la.”
Hah?” Afiya mengangkat muka. Merenung Emir. Anak Puan Shima bukan main tekun menyalin nota. Chewah! Kalau dah maknya yang mengajar kelas mereka, apa boleh buat?
Afiya menongkat dagu. Lehernya condong menatap imej Emir dari belakang. Seorang pelajar lelaki yang pendiam, duduk di depan kelas. Mengelamun seminit!
“Dina, aku nak minta tolong kau lah. Sikit aje, tak banyak.”
“Amende?” Buku teks diselak-selak. Tangan kanan pula menggoncang liquid paper.
“Kau rapat dengan Emir? Oh! Mesti la rapat. Kau kan selalu bertekak dengan dia.” Afiya mengusik. Alahai…
“Excuse me?”
“Tak ada apa la. Aku teringin nak kawan dengan dia je. Budaknya smart.”
Dina menjuihkan bibir. Berkerut seribu kedutan di dahi.
“Selama ni kau musuh ke pun dengan dia? Hisy! Kau tegurlah sendiri.”
“Aku seganlah. Aku memang tak bermusuh dengan dia. Haih, dia tu pendiam sangatlah. Kawan suam-suam kuku je. Cuma…” Afiya membiarkan ayatnya tergantung tiada sambungan. Haih! Angaukah dia? Bukanlah angau. Ya, dia sedar dia masih seorang pelajar sekolah menengah. Namun salahkah dia mahu mencari teman bercerita?
“Kau minat dia, eh? Eleh! Mengaku aje la weh.” Dina sedikit bimbang. Emir juga antara pelajar yang membuatkannya tertarik. Hisy! Sekarang, Afiya boleh dikira sebagai saingannya? Dina mengetap bibir kuat.
Eh Dina, tutup mulut kau! Jangan tuduh-tuduh. Kalau aku minat dia pun, salah ke? Aku tengok dia macam tak ada kawan je. Hee…” Sengih-sengih, angkat kening.
Dina mendaratkan anak matanya ke arah Emir kemudian beralih ke arah Afiya yang sedang menunduk menulis. Geram pula dia akan sikap selamba Afiya itu. Kenapa la masih wujud manusia bersikap begitu yang bernama Raihana Afiya? Pen digenggam erat.
“Okey, aku akan tolong kau.”
“Seriously?”
“No problem. Emir mesti okey je. Pelik aku dengan kau, Fiya.” Rungutnya sendiri tetapi cukup jelas di pendengaran Afiya sendiri.
“Apa? Kau pelik? Kenapa?”
“Ye la, dalam banyak-banyak lelaki, budak pendiam tu juga kau nak kawan. Cari la yang happening sikit.”
“Suka hati akulah! Aku mahu cari orang yang boleh jadi kaunselor aku. Hee...”
Afiya bersandar. Adui, bilalah Puan Shima nak angkat langkah tinggalkan kelas? Matanya ditebarkan semula ke luar tingkap. Tiga orang pelajar lelaki sekolah jiran berteleku di atas lantai kaki lima sambil menyiapkan kerja. Cuma seorang sahaja yang kena berdiri di atas kerusi. Mata Afiya semakin membulat.
Seorang guru lelaki yang kurang pasti namanya itu keluar dari bilik darjah lalu mendekati salah seorang pelajarnya yang berdiri tadi. Afiya bertambah risau. Sebatang rotan halus di tangan guru itu melibas kaki anak muridnya. Zap!
Ohoo...  Ouch!” Afiya meraba-raba kakinya. Aduh, macam dia pula yang kena! Heish, kesiannya. Herot-berot wajahnya menahan perit. Konon!
Dina mengecilkan mata. Turut menjengah ke luar tingkap. Apa la yang beria sangat Afiya ni?
“Kau tengok apa lagi?”
“Cikgu sekolah La Salle garang gila. Dia rotan budak tu,” bisik Afiya kepada sahabatnya. Jari telunjuk dituding-tuding melepasi bingkai tingkap. Dina jongket bahu.
“Kau pun teringin nak kena ke?”
“Tak naklah. Sakit! Kuatkan cikgu dia rotan? Apa la rasanya. Uuu, kesian.”
Perbualan mereka menyentakkan Puan Shima yang daripada tadi menonton gelagat dua orang pelajar perempuan itu.
“Afiya! Dina!” bentak Puan Shima di depan kelas.
Opocot! Menggagau Afiya menutup malu. Nyaris tercampak segala perkakas alat tulisnya.
Dina bengang seribu! Suara Puan Shima memang memeranjatkan. Boleh mengundang asma. Serentak mata Afiya juga Dina mengerling pada Emir. Lelaki itu tersenyum nipis.


FAZRUL menggosok-gosok betisnya. Pergh! Bergaris merah kakinya disebat guru Matematik merangkap guru disiplin sekolah. Gara-gara tertinggal buku, inilah hukumannya. Sorakan rakan sekelas sudah biasa baginya. Biasalah! Tak maco kalau tak nakal! Taiko Fazrul gelaran yang diberi secara tak rasmi oleh rakan baiknya sendiri, Iqram.
Tersengih-sengih sumbing Fazrul masuk ke kelas semula. Spontan tali leher berlencana itu dia tanggal. Panas!
“Fazrul!”
Lagi… tindakannya menaikkan darah Cikgu Halim. Dia bangkit dari kerusi. Berdiri tegak.
“Ya, cikgu?”
“Waktu sekolah belum habis. Pakai balik tie tu.” Rotan yang menjadi pemangsa kaki Fazrul dibalun, dituding tepat ke dadanya. Fazrul maintan bersahaja. Dah biasa dimaki hamun.
“Panas la cikgu. Lagipun lagi lima belas minit je dah nak baliknya. Please…” Fazrul menayangkan muka lima sen. Minta simpati.
“Ni…” Kad laporan pelajar diberikan kepada Fazrul. Spontan tanpa berfikir panjang lelaki itu mencapainya. Dia meneliti gred setiap mata pelajaran yang dia dapat. Dia ketawa. Mengejek diri sendiri.
‘Mak uih, teruknya! Bahasa Inggeris D. Matematik E, Geografi C+, Bahasa Melayu C??? Sejarah B. Fuyoo terer juga aku!’
Yang lain-lain? Tak payah cakaplah. Semuanya not gitar C D E. Tak best!
Iqram merampas naskhah itu dari tangannya. Mereka berdua ketawa terbahak-bahak. Boleh pula buat main! Cikgu Halim sudah bercekak sebelah pinggang.
“Kau gelak… kau gelak!” marah Cikgu Halim.
“Seronok noh dapat result macam tu?”
Iqram menolak bahu Fazrul. Merah mukanya tertawa. “Kau punya BM dapat C, Rul? Kau anak Bangla ke apa? Weh, pergi bungkus beglah balik Bangladesh.”
Siot kau Am…” Fazrul tersengih-sengih lagi. Kurang asam jawa betul!
Cikgu Halim bermisai itu mendekatkan wajahnya. Geram!
“Tu keputusan peperiksaan pertengahan tahun awak, Rul!” Cikgu Halim menarik nafas.
“Apa perasaan mak ayah awak kalau dia orang tahu awak main-main? Awak selalu tak datang sekolah juga. Dalam seminggu mesti ada hari yang awak ponteng. Kelas petang jangan cakaplah, bayang langsung tak pernah nampak!”
Fazrul bermuka serius. Kali ini dia menghormati setiap apa yang diperkatakan gurunya. Senakal-nakal dia, janganlah sampai biadab tak tentu fasal. Karang ada yang makan pelempang. Sudah la betisnya dilahap rotan yang diayun gurunya tadi. Terbaik dari ladang kambing!
“Apa perasaan mak ayah awak andai dia orang tahu awak main-main? Awak selalu tak datang sekolah juga. Dalam seminggu mesti ada hari yang awak ponteng. Kelas petang jangan cakaplah, tak pernah datang langsung!”
Seakan pita rakaman, suara Cikgu Halim berputar semula dipelupuk telinga. Fazrul ketawa sinis. Bukan sengaja dia tak mahu hadir ke sekolah. Ada sebabnya. Bukan niatnya untuk tak fokus dalam pelajaran namun, jiwanya memberontak. Dia amat merindui ibu dan bapanya. Bagaimana jika ada di antara mereka yang tahu bapanya seorang banduan? Seorang kaki pukul? Dan kerana bapanya juga, ibunya sendiri ditempatkan di hospital sakit jiwa. Fazrul menarik nafas. Dia diam. Bibir tersenyum-senyum. Hanya hati berdenyut sengsara. Dia tahu, andai sebutir kata jujur dia lisankan, tak mustahil Iqram juga bakal menjauhkan diri daripada berkawan dengannya.
Berdikari itu perlu dan wajib! Usia muda begini dia perlu mencari pendapatan sendiri. Dia juga mahu kenyang seperti orang lain. Mahu melakukan sesuatu yang memuaskan jiwa raganya asalkan tak bersedih. Rutin kehidupannya sendiri terkontang-kanting. Dia tiada tempat mengadu, meluahkan rasa.
“Kenapa awak tak pernah suruh mak ayah awak datang sekolah? Tandatangan report card ni.”
Fazrul bersenang diri. Sesekali matanya memandang Iqram di sebelah. Pelajar lain turut mengalihkan perhatian ke arahnya. Sungguh! Popular bagaikan artis antarabangsa.
“Malaslah cikgu. Result teruk, alih-alih sama aje. Saya lagi rela kena marah dengan cikgu.” Pendek dia menyahut.
Ha, tau pun. Takut lah tu mak ayah awak kecewa dengan perangai awak. SPM lagi beberapa bulan masih tak sedar-sedar.”
Fazrul tertawa kecil.
“Awak bagitahu saya, kalau BM awak dapat gred C juga macam tu, lepas SPM esok, universiti mana yang mahu terima awak? Awak tak kesian ke dekat mak ayah awak? Penat cari duit bayar yuran, duit buku, tapi awak tak dengar kata cikgu-cikgu. Buku malas bawak, kelas petang pun entah ke mana. Letih la, Rul. Saya cikgu awak tahu? Kalau peratusan menurun saya juga yang susah. Nanti orang ingat saya tak pandai mengajar.”
Fazrul menunduk. Simpati pada gurunya yang seorang itu. Dia geleng  sendirian. Universiti? Sampaikah dia ke sana kelak? Sedangkan belajar bukan menjadi minatnya lagi. Yuran? Bapanya tak pernah berikan dia wang walau seringgit. Ibunya? Duit hospital pun, dia terpaksa carikan. Ibunya bukan dalam keadaan waras.
Mujur Puan Zaleha dan Encik Shahril sudi menerimanya bekerja di kedai perabot mereka. Fazrul berharap agar Cikgu Halim menoktahkan segera bicaranya dari menyentuh isu orang tuanya.
“Rul… Rul. Bersukan punya la hebat. Masuk kelas jadi ‘pelepat’. Cuba awak seimbangkan dua-dua tu. Awak dengar tak?”
“Ya… ya. Dengar cikgu. Saya dengar. Insya-Allah, SPM nanti saya cuba buat elok-elok. SPM lambat lagi.” Alasan lapuk!
“Dengar… dengar! Esok kalau buku awak masih tak bawak, awak jalan itik satu bangunan sekolah ni, faham? Boleh saya rakam. Hantar kat pengetua!”
Kata-kata itu menggeletek hati Fazrul.
“Wooo, peeewwiitt!!” Iqram menyampuk. Fazrul memiat telinga kawannya itu sambil ketawa. Sekilas kakinya menyepak kerusi sahabatnya. Iqram terkejut.
Fazrul terdiam sejenak. Mindanya menimpakan bertalu-talu persoalan yang tak mampu dibawa terbang.

‘Untuk apa aku belajar sebenarnya? Untuk apa aku penatkan diri datang sekolah? Asal tak berhenti aje? Aku malu dengan keluarga aku sendiri.’ Hatinya berdialog sendirian. Sebak di dada lekas disembunyikan. Berlagak ego! 
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment