Bab 5 : Seindah Kasih Cadeo | Wan Sufia


MALAM minggu seperti yang dijanjikan, Najla bersiap-siap untuk ke rumah Yana di Selayang. Dia tahu yang dirinya sudah terlewat untuk ke sana. Namun memang sengaja dia berbuat begitu. Hatinya berat untuk ke situ malam itu.
Najla masih terhegeh-hegeh memakir keretanya di hadapan rumah Yana. Dia sedar kelewatannya itu. Memang dia sengaja. Tidak mahu meluang masa lebih lama di situ. Malah dia tidak selesa untuk hipokrit lebih-lebih di hadapan Yana dan Daniel ketika melayan Cadeo. Dia datangpun kerana dia sudah bersetuju dan berjanji dengan Yana hari itu. Kononnya ingin berterima kasih kepada Daniel dan Cadeo yang telah membantunya.
Hanya itu!
Dia tidak peduli apabila Yana tidak jemu-jemu memuji ketampanan dan kemewahan milik Cadeo. Sesungguhnya dia langsung tidak memandang itu semua.
Kaya, tampan... bukan penjamin kebahagiaan. Kalau asyik makan hati saja bila pasangan kita digilai orang lain, tak ada gunanya. Biar sedap mata memandang asalkan hati tenang.
Dia mencapai tas tangan dan bungkusan yang berada di sebelahnya. Walaupun terpaksa, dia rasa tidak wajar pula dia datang dengan tangan kosong. Sudah ditapau dua bekas kek keju. Satu untuk Yana dan Daniel manakala satu lagi untuk Cadeo. Hanya itu yang dia mampu untuk membalas budi mereka.
Belum sempat dia menekan loceng, pintu rumah sudah terbuka. Seakan-akan menyedari akan kehadirannya di situ.
Dia melangkah masuk apabila pintu sudah lebar terbuka. Sudah biasa dengan rumah itu. Sudah berpuluh-puluh kali dia hadir ke situ. Perkenalannya dengan Yana sudah lama. Semenjak dari sama-sama menuntut di UPSI dan lebih bernasib baik apabila mendapat tempat mengajar yang sama.
Rumah itu Yana duduki semenjak berkahwin dengan Daniel Sittichai Abdullah, tiga tahun yang lalu. Rumah banglo setingkat dengan laman yang luas benar-benar selesa untuk didiami.
"Ya... selamat datang, tuan puteri Najla." Suara Yana sudah kedengaran memerlinya. Dia segera mencebik. Wajah Yana yang tersenyum perli itu dipandang. Berseri-seri menerima kedatangannya. Tubuh itu dipeluk dan dicium.
"Sorrylah aku lambat..."
"Aku faham."
"Apa yang kau faham?" soal Najla hairan. Langkahnya mengiringi sahabatnya itu. Sempat wajah itu dikerling hairan.
"Faham yang kau sebenarnya tak ada hatipun nak datang sini..."
"Sushhh diamlah sikit mulut kau tu. Cakap tu perlahan sikit. Nanti dengar dek Daniel... tak manis pula." Cepat-cepat Najla memintas.
"Yang kau nak risaukan laki aku kenapa? Tu... Cadeo yang perlu kau risaukan. Kecik hati mamat tu nanti."
Najla tidak membalas. Matanya meliar di sekitar ruang tamu rumah Yana itu. Tidak kelihatan wajah Daniel atau lelaki itu di situ.
"Dia orang ada kat ruang tamu satu lagi. Tunggu kau lambat sangat. Dia orang layan xbox dulu."
Najla hanya mengangguk. Terbit juga rasa bersalah kerana membiarkan tuan rumah dan tetamu penting itu menunggu lama. Menyesal pula dirinya bersikap keanak-anakan. Sudah berumur 30 tahun tapi bertindak begitu.
"Kau tunggu sekejap. Aku pergi panggil dia orang."
Najla hanya mengangguk. Dan sebelum Yana bergerak jauh, sempat dia menyoal.
"Ada apa-apa yang aku perlu tolong ke?"
"Tolong keluarkan buah dari peti sejuk. Aku dah siap potong dah."
Tidak menunggu lama, Najla terus menapak ke dapur. Dia sudah biasa dengan selok-belok rumah Yana. Makanya tidak susah untuknya mencari.
Sepiring buah tembikai dan epal sudah mendarat elok di atas meja makan yang sudah penuh dengan makanan. Rajin benar Yana memasak. Selalunya asyik makan luar saja.
Dia tersenyum.
Itu bezanya dirinya dengan Yana. Dia lebih gemar menghabiskan masa di rumah. Makan juga di rumah. Jarang dia membeli bungkus. Mungkin sebab dia sendirian. Tiada teman untuk keluar.
Dia mula tersedar. Mungkin ini yang dimasudkan oleh Yana apabila ingin mencari teman atau pasangan untuknya. Pasti Yana risaukan dirinya yang keseorangan.
"Naj?"
Dia segera bangun dari kerusi di meja makan apabila namanya dipanggil. Wajah Yana dipandang sebelum Daniel turut serta menjengah di ruangan itu.
"Daniel." Nama lelaki itu dia sebut sambil tersenyum. Rasa bersalah kerana mereka terpaksa menunggunya lama.
"Sorry Naj. Kau dah terpaksa tunggu kami."
Dia segera menggeleng.
"Aku yang patut minta maaf, Daniel. Aku yang lambat."
"Alah... bukannya selalu kau lambat, Naj. Sebelum ni kau okey je. Kalau setakat kali ni, apalah sangat." Lelaki itu membalas mesra.
Najla semakin berasa bersalah. Baiknya Daniel kerana tidak menganggapnya yang bukan-bukan. Selalu sahaja berfikiran positif.
"Jom duduk dulu. Cadeo kejap lagi join kita." Sebaik sahaja Daniel menyebut nama itu, Najla sudah semakin gelisah.
Dia tidak tahu bagaimana untuk bereaksi apabila lelaki itu ada bersama nanti. Dengan Daniel dia sudah biasa. Tetapi Cadeo? Dia tidak tahu lelaki itu bagaimana. Risau pula andai lelaki itu terlebih protokolnya. Almaklumlah bekerjaya hebat. Nanti tidak kena pula dengan dirinya yang selalu lepas laku ini.
Mereka bertiga mula mengambil tempat di meja makan. Najla menolong menyenduk nasi dan menghulur kepada pasangan suami isteri itu. Sebaik sahaja selesai mengisi nasi di pinggannya, dia terdengar bunyi dehaman dari arah hadapan. Dia seakan-akan sedar milik siapa suara itu. Sudah pasti bukan Yana atau Daniel. Namun suara itu...
Perlahan-lahan Najla mengangkat pandang. Tidak perlu menjelajah jauh, pandangannya cepat mendarat pada seraut wajah si dia.
Mulutnya terlopong dan matanya sudah membuntang. Terkejut dengan gerangan yang dipandangnya.
"Najla?"
"Deo?"
Dia dan si dia sama-sama menyeru nama masing-masing
"Cadeo?" Najla menyoal seakan-akan tidak percaya. Deo? Cadeo Sittichai? Ya Allah!
"Yeah... it's me." Lelaki itu membalas dengan penuh teruja. Wajah itu tampan mengukir senyum.
"Eh kejap! Kejap! Kau orang dah kenal?" Yana menyoal hairan. Wajah kedua-dua mereka dipandang silih berganti.
Najla tidak menjawab. Dia tidak tahu apa yang perlu dia jawabkan. Dia rasa kosong. Fikirannya buntu.
Dia tidak langsung melarikan pandang dari wajah Cadeo. Lelaki itu turut membalas mesra. Dia tidak tahu bagaimana untuk bereaksi. Dia tidak rasa teruja sepertimana sebelumnya ketika bertemu lelaki yang dipanggil Deo itu.
"Helo! Deo! Naj!" Yana menepuk meja makan itu untuk menyedarkan kedua mereka.
Najla pantas tersedar dan mengalih pandang. Nasi di dalam pinggan dikuisnya.
Manakala Cadeo pula masih dengan perasaan teruja dengan kehadiran Najla di situ. Rupanya Si Kecik yang dipanggil Najla adalah kereta Viva yang dipandunya empat hari lepas. Dan disebabkan Si Kecik itu juga dirinya bertemu dan berpisah dengan Najla.
Dia rasa gembira dapat bertemu Najla sekali lagi. Segan hendak mengaku yang hatinya sentiasa teringatkan gadis itu, namun itu yang sebenarnya. Sejak empat hari yang lepas, perjalanannya dari Teluk Gadong ke KL Sentral benar-benar membosankan. Kehadiran Najla menjadi penemannya walau tidak sampaipun dua puluh minit benar-benar meninggal kesan yang mendalam di dalam hidupnya.
Dia tidak mahu mentaksir lebih.
Dia tidak mahu mengklasifikasikan apa yang dia rasa itu sebagai apa.
Dia takut untuk mengakuinya.
"Kau orang dah kenal ke?" Kali ini Daniel pula menyoal. Dia mengerling sebentar ke arah si isteri yang sedang memandang wajah sepupunya dan Najla silih berganti. Ada riak keliru dan tanda tanya pada si isteri.
"Ya." Cadeo membalas ringkas.
"Macam mana?" soal Daniel ingin tahu. Dia baru sahaja berbual dengan isterinya mengenai hal untuk memperkenalkan Cadeo kepada Najla. Baru sahaja mereka ingin mengatur pertemuan dan membuat strategi. Tiba-tiba pasangan itu sudah berkenalan. Mudahlah kerja mereka.
"Dalam komuter."
"Oh... maksudnya baru jelah kan? Mesti masa kereta kau rosak tu kan?" Yana menyoal Najla yang diam saja itu.
Najla menjawab dengan hanya mengangkat kening sahaja. Suaranya terasa berat untuk dikeluarkan.
"Dah lah. Jom makan dulu. Dah lama sangat biarkan makanan ni sejuk. Tak elok." Daniel bertindak menyelamatkan keadaan. Dia sedar yang Najla tidak selesa dengan pertemuan tidak diduga itu. Wajah gadis itu jelas memancar rasa tidak selesanya.
Makan malam itu tidak selancar yang Najla harapkan. Malah pertemuannya dengan Deo pada malam itu sangat memeranjatkan. Dia tidak pernah membayangkan lelaki itu sebegitu. Bukan dari agama yang berbeza.

Wajah tampan Cadeo langsung tidak membayangkan wajah-wajah orang Siam yang biasa dilihatnya sama ada di dalam kaca televisyen ataupun secara realiti. Wajah Cadeo lebih mirip lelaki Melayu yang mempunyai kacukan dari negara Barat. Dan dia tidak pernah terlintas untuk menyangkakan yang kefasihan Cadeo berbahasa Thai tempoh hari adalah disebabkan oleh lelaki itu sememangnya dari kaum itu.
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

4 comments: