Usai
makan malam, Maisara membantu ibunya membasuh pinggan mangkuk di dapur. Bunyi
pinggan mangkuk berlaga jelas kedengaran, menyebabkan adik lelaki bongsu
Maisara, Haikal, menutup kedua-dua belah telinganya kerana kekasaran si kakak
membasuh pinggan.
Mujur tidak pecah dan retak
pinggan mangkuk kaca akibat dibasuh sedemikian rupa. Haikal yang berusia lima
tahun itu hanya memerhati si kakak ‘bertarung’ di sinki dengan pandangan pelik
walaupun memang sudah begitu perlakuan kakaknya.
"Haikal, abah mana?"
Si ibu yang masih mengemas meja makan bertanya. Dahinya berkerut seketika saat
menyedari suaminya tiada di situ. Aneh pula orang tua itu, lekas benar
menghilangkan diri.
"Abah jahit pukat
ikan!" Nyaring suara Haikal menjawab pertanyaan ibunya. Tangannya masih
menutup kedua-dua belah telinga. Matanya masih setia memerhati tangan kakaknya
yang pantas mencuci pinggan mangkuk. Sesekali, kedengaran suara kakaknya
menggumamkan sesuatu yang berbunyi "Melekit! Melekit!" sambil tangan
menyental kuat kotoran pada pinggan.
"Abah kamu tu, jarang
benar lekat di rumah. Tidak dapat berjauhan dari pukatnya. Apa boleh buat, itu
sahaja sumber rezeki yang kita ada."
Haikal menggaru-garu kepalanya
perlahan saat mendengar ibunya mengomel sendirian.
Anak kecil itu melangkah
mendekati si ibu dan kemudian, menyoal dengan suara perlahan. "Mak, kenapa
keluarga Mak Su selalu buli keluarga kita?"
Tangan Maisara yang masih ligat
menyental kotoran pada pinggan tiba-tiba berhenti perlakuannya tatkala
mendengar soalan yang dilontarkan oleh adik bongsunya itu. Buih sabun yang
memenuhi tapak tangannya direnung kosong.
Dia tidak tahu apa sebabnya
Haikal tiba-tiba bertanya tentang perkara itu. Apa yang pasti, dia tahu bahawa
adiknya sudah mula menyedari keluarga mereka selalu menjadi ‘hamba’ kepada adik
bongsu ibu mereka.
"Haikal, kenapa Haikal tanya
macam tu?" Si ibu menyoal. Senyuman kecil dihadiahkan kepada anak
bongsunya. Anak kecil itu masih tidak tahu apa-apa.
"Mak, budak kecik pun
sedarlah, mak! Haikal bukannya pekak dan buta!" Suara Maisara sedikit
meninggi. Menyedari wajah ibunya mulai berubah, dia mengeluh kecil.
Dia mula menghampiri ibunya
sebaik sahaja ‘urusannya’ di sinki itu selesai.
"Mak, Sara tak tahan
tengok mereka buat kita macam ni. Kita pun manusia, mak. Manusia! Mak jangan
turutkan sangat Mak Su tu. Mak dah lupa ke? Mereka pernah fitnah kita
sekeluarga sampai nama kita buruk sekampung. Haikal pun pernah minum air masin
sebab mereka, mak. Mak dah lupa semua tu?"
Maisara bersuara kesal, wajah ibunya direnung sayu.
"Sara… dia adik mak. Masih
keluarga kita walau seburuk mana pun dia. Maafkanlah dia, Sara. Tak baik kita
bergaduh sesama kita. Biarlah mereka menghina, jangan kita yang menghina mereka."
Lembut tutur bicara si ibu.
Maisara mendengus kasar
mendengar kata-kata itu. Bagaimana mungkin begitu mudah untuk memaafkan mereka?
Dan jikalau boleh pun, hanya ibunya sahaja. Tetapi tidak bagi dirinya. Sakit
hatinya masih jelas terasa sehingga saat ini.
"Halimah! Halimah! Keluar
Limah!"
Kedengaran suara seseorang
menjerit-jerit di luar rumah mereka dan Maisara dengan cepat dapat mengenal
suara itu. Suara yang tidak lain tidak bukan, suara Mak Su Kiahnya.
Dia dan ibunya berpandangan
sesama sendiri seketika. Terkejut dan pelik akan kedatangan mengejut orang tua
bersanggul senget itu.
"Apa pula si Kiah tu
terjerit-jerit malam-malam macam ni?" Si ibu melangkah keluar ke halaman
rumah dan Maisara dan Haikal mengekori dari belakang. Haikal sempat menggapai
patung Ultraman yang dibelikan oleh si kakak untuknya sebelum berlari-lari anak
mengejar langkah ibu dan kakaknya.
Maisara mulai berasa tidak
sedap hati ketika melihat Mak Su dan Amira berdiri sambil bercekak pinggang di
halaman rumah mereka.
Amira ialah anak perempuan Mak
Su, setahun lebih tua daripadanya. Dan Amira itu, tidak pernah sekepala
dengannya sejak kecil lagi sehinggalah sekarang. Baginya, Amira itu memang
bijak membawa watak. Batu api! Pengadu domba! Masak benar dirinya dengan
perangai sepupunya itu. Talam dua muka! Apa lagi gelaran yang sesuai untuk
gadis bermulut jahat seperti Amira itu? Mulut puaka, mungkin? Sah-sah budak itu
akan mewarisi gen mulut puaka ibunya sendiri.
"Bawa anak dara engkau ke sini,
Halimah!" Mak Su menjerit kuat. Lengan baju kurung dilipatnya sehingga
paras lengan, seolah-olah hendak mengajak bergaduh.
"Kenapa ni, Kiah? Kenapa
dengan Maisara?" Si abah yang masih memegang pukat muncul tiba-tiba di
halaman rumah sambil memerhati tajam wajah adik iparnya itu. Wajah anaknya yang
berdiri di atas beranda rumah dipandang sekilas.
"Aku nak ingatkan engkau
berdua! Jaga anak dara kau baik-baik! Jaga dia… jangan sampai dia bawa mulut
satu kampung mengata anak aku. Hei Maisara! Mulut kau tu mulut jahat! Berani kau
mengata Mira. Kau belum rasa aku robek-robek mulut kau agaknya!" Jerkah
Mak Su Kiah dengan suara yang lantang.
Dahi Maisara berkerut. Tidak
mengerti apa yang dikatakan oleh Mak Sunya itu.
Si ibu dan abah turut memerhati
wajah si anak dara itu dan kemudian si abah bersuara tenang. "Aku percaya
anak aku bukan begitu. Jangan pandai-pandai burukkan dia."
Maisara tersenyum kecil saat
mendengar abah mempertahankan dirinya.
"Kau tahu apa, Malik? Kau
tu bertapa dekat sungai, bukan lekat duduk di rumah. Manalah kau tahu betapa
buruknya perangai anak dara kau ni." Mak Su mengherdik kuat. Jari
telunjuknya ditudingkan kasar ke arah Maisara.
"Saya tak tahu apa yang
orang tua ni meroyan, abah." Maisara bersuara sinis. Riak wajahnya cukup
bersahaja.
"Dah! Anak aku cakap dia
tak tahu apa-apa… kau baliklah ke rumah kau. Buat kecoh saja kat rumah aku. Dan
satu lagi… aku tahu macam mana nak didik anak dara aku. Kau tu! Didik anak dara
kau sendiri. Walaupun aku selalu berada di laut… bertapa di sana bak kata kau
tapi aku tahu perangai anak dara kau macam mana, Kiah! Jangan kau nak sorok
dari aku.”
Suara abah mulai meninggi.
Matanya mencerlung tajam ke arah Mak Su dan Amira.
Amira kelihatan menggigil
sambil menarik-narik lengan baju ibunya. Mak Su Kiah pula kelihatan tergamam. Mata
orang tua itu terbeliak merenung wajah si abang ipar.
"Kau tak tahu yang anak
engkau tu jahat, Malik!" Suara Mak Su sedikit bergetar.
"Sebelum Mak Su hendak
mengata orang… ada baiknya Mak Su cermin diri sendiri. Mak Su sendiri Ratu
Mulut Puaka di kampung ini. Siapa tidak kenal Rokiah Binti Seman? Tukang jaja
cerita! Kalau bukan saya, akan ada orang lain yang akan mengata keluarga Mak Su."
Maisara bersuara serius.
Keningnya terangkat sebelah. Hatinya
diamuk rasa marah dan geram yang teramat. Terasa hendak diterkamnya wajah orang
tua bersanggul senget itu. Ratu Drama Kampung Kenanga! Mulut puaka!
Dia mendengus kasar.
"Biadap kau!" Mak Su
menjerit kasar. Orang tua itu menyinsing lengan bajunya sekali lagi dan kain
batiknya diikat kuat-kuat. Pantas kaki itu melangkah menaiki tangga rumah kayu
milik si kakak. Tangkas tangan Mak Su mula menarik rambut Maisara sehingga
gadis itu tersungkur di atas lantai.
"Kiah, lepaskan anak
aku!" Halimah cuba menghalang tetapi tidak berhasil. Adik bongsunya masih
galak menarik rambut Maisara sehingga Maisara menjerit kesakitan.
"Orang tua tak sedar diri!
Kalau tak ada mak aku, tak ada orang nak tolong kau tebas semak samun belakang
rumah kau tu! Tak ada orang gaji percuma yang kau boleh suruh itu ini tanpa
bayar apa-apa. Tak ada! Tak kenang budi! Dasar adik tak sedar diri.
Memperhambakan kakak kandung sendiri." Maisara menjerit marah. Tangannya
cuba untuk melepaskan rambutnya yang ditarik kasar oleh Mak Su Kiah.
Halimah juga tidak berhenti
menjerit, meminta agar Kiah melepaskan anak gadisnya.
Tetapi jeritan Halimah langsung
tidak dipedulikan. Pergaduhan yang tercetus bertambah rancak. Mulut Maisara
tidak berhenti menyumpah seranah walaupun Mak Su Kiahnya masih tidak berhenti
menarik rambut dan menghempaskan badan gadis itu ke atas lantai. Malik turut
masuk campur. Tidak sanggup melihat anak daranya diperlakukan sedemikian rupa. Tetapi,
belum sempat dia hendak menahan tangan adik iparnya, terdengar bunyi seseorang
berdebuk jatuh ke atas lantai. Rengekan si bongsu, Haikal mulai kedengaran.
Anak kecil itu mulai berasa takut melihat pergaduhan yang terjadi di hadapan
matanya.
"Maisara! Sudah!" Malik
menjerit kuat ketika melihat Maisara pula yang menarik rambut Mak Su Kiahnya.
Gadis itu kelihatan sudah teramat marah dan raungan Mak Su Kiahnya langsung
tidak dipedulikannya. Amira yang berusaha menolong ibunya turut tersungkur
jatuh kerana ditampar oleh Maisara.
"Maisara, cukup! Cukup!
Demi mak, tolong berhenti!" Halimah meraung sendirian. Dia sudah tidak
berupaya menghalang kemarahan anak sulungnya yang sudah terpendam sejak sekian
lama.
Malik menahan tangan Maisara
dan menyebabkan anak daranya itu meraung-raung minta dilepaskan.
Maisara mendengus kasar.
Kedengaran nafasnya turun naik tidak tentu arah. Matanya kelihatan merah dan genangan
air mata jelas kelihatan di situ.
"Jika tak kerana mak, aku
tak akan lepaskan orang tua ni!" Suara Maisara bergetar menahan marah.
Amira yang menangis
teresak-esak di suatu sudut bergerak perlahan-lahan menghampiri ibunya yang
sudah hampir pengsan. Rambut orang tua itu sudah menggerbang tidak terurus.
Tiada lagi sanggul sengetnya seperti biasa. Nafas Mak Su Kiah juga sudah
tercungap-cungap tidak menentu. Menangis orang tua itu dikerjakan oleh Maisara.
"Kiah, baliklah. Aku tak
akan dapat halang kalau Sara naik angin untuk kali kedua. Baliklah, Kiah! Baliklah!"
Malik bersuara tegas. Tangan Maisara masih ditahan kuat. Bimbang gadis itu
menyerang Mak Sunya lagi.
Pantas Amira memimpin tangan
ibunya, membawa orang tua itu melangkah pergi meninggalkan rumah Mak Ngah
Halimahnya.
Sebaik sahaja kelibat Mak Su
Kiah hilang, Maisara terkejut wajahnya ditampar kuat oleh ibunya.
Terbeliak mata Haikal melihat
si kakak ditampar oleh ibunya. Anak kecil itu menggeletar takut. Patung
Ultraman yang dipeluknya jatuh di atas lantai.
"Mak!" Maisara
memandang wajah si ibu.
"Mak tak pernah ajar
anak-anak mak untuk biadap dengan orang tua!" Suara Halimah bergema di
kawasan rumah kayu itu, nyaring dan kuat. Deras air mata mengalir laju di pipi.
Cukup sedih melihat perbuatan biadap yang dilakukan oleh anak sendiri terhadap
ibu saudaranya. Ke mana hilangnya rasa hormat Maisara? Jika begitu benci sekali
pun terhadap Kiah, tidak perlu membalas semula dengan cara seperti itu.
"Mak..." Laju air
mata Maisara mengalir. Wajah ibunya ditatap sayu, perasaan sedih mulai
bertandang. Sakit dihina oleh Mak Su, sakit lagi ditampar oleh ibu kandung
sendiri. Sakit yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
"Berani kamu buat begitu
dekat Mak Su kamu, Sara. Berani kamu! Kamu tahu kan dia itu adik mak? Dia
keluarga mak! Satu-satunya adik perempuan yang mak ada. Mak tak kisah sekalipun
jika mak perlu merangkak bekerja untuknya asalkan dia bahagia. Mak tak kisah!"
Bercucuran air mata jatuh menuruni pipi Halimah. Wajah Maisara direnung marah.
"Sara, masuk dalam bilik
sekarang! Biar abah yang uruskan semua ini. Masuk sekarang! Haikal, kamu pun
pergi masuk bilik sekarang, pergi tidur awal. Esok pagi-pagi hendak ke
sekolah!" Malik mengarahkan anak-anaknya masuk ke dalam bilik dengan wajah
yang serius.
Maisara akur. Mungkin itu yang
terbaik untuk dilakukan buat masa sekarang. Bertekak dengan ibunya pasal Mak Su
Kiah yang memulakan pergaduhan pasti akan memburukkan keadaan.
Perlahan kakinya melangkah
masuk ke dalam bilik. Dan sebaik sahaja masuk ke dalam bilik, dia merebahkan
dirinya di atas katil. Air matanya dikesat dengan tangan.
"Salahkah apa yang aku
buat tadi?" Dia mula menyoal diri sendiri. Siling di atas direnung kosong.
Bantal berbentuk hati berwarna merah dipeluk erat.
Dia mengeluh kecil. Rambutnya
dibelai perlahan. Sakit benar kepalanya.
Pintanya agar segalanya akan
menjadi lebih baik setelah dia bangun pada keesokan paginya.
Perlahan-lahan matanya cuba
dipejamkan. Dan ketika mata itu mulai terpejam, bayang wajahnya dalam keadaan
bertudung dan berjubah putih datang menerpa di ruang minda. Membuatkan lenanya
sedikit terganggu. Membuatkan malamnya menjadi berbeza dari sebelumnya. Mimpi
yang aneh datang membawa tanda tanya.
0 comments:
Post a Comment