"MAMA janganlah risau. Sya
selamat kat sini. Mak Jah layan Sya baik sekali,” beritahu Elisya.
“Berapa
lama Sya nak tinggal kat sana? Papa dah bising, sayang,” tanya Puan Ilyana.
“Selagi
Sya tak selesaikan masalah Sya di sini, selagi itulah Sya takkan balik ke sana.
Sya harap, mama dan papa faham situasi Sya.”
Puan
Ilyana menghela nafas berat.
“Lagipun,
papa dan mama dah janji nak bagi masa pada Sya sebelum Sya terikat dengan
kehendak papa dan mama kan?” ujar Elisya, perlahan.
“Sya,
mama tak kisah. Tapi, papa tu… setiap hari dia bertanya pasal Sya. Mama ni yang
terpaksa tadah telinga dengar bebelan dia,” beritahu Puan Ilyana.
Tertawa
Elisya mendengarnya.
“Mak
Jah macam mana, sihat?”
“Sihat
alhamdulillah, ma.”
“Farah
dan Firdaus?”
“Mereka
berdua pun sihat mama.”
“Hurm, tak mengapalah kalau dah macam tu.
Sampaikan salam mama pada mereka semua,” pesan Puan Ilyana.
“Insya-Allah,
ma. Maafkan Sya kalau Sya merisaukan hati mama dan papa. Kalau semuanya dah
selesai, Sya balik ke sana,” beritahu Elisya.
“Baiklah!
Janji dengan mama, kalau ada apa-apa, cepat beritahu mama dan papa,” pesan Puan
Ilyana untuk kesekian kali.
“Kirim
salam pada papa. Assalamualaikum,” balas Elisya lalu mematikan talian.
Senyuman
terukir di bibir. Matanya memandang ke arah Firdaus dan Farah yang sedang
memancing ikan di sungai. Dibawa langkah menghampiri adik-beradik itu. Rasa
teruja melihat mereka berdua memancing.
“Kak
Sya!” panggil Farah sedikit menjerit.
“Hisy, kenapa panggil dia?” tegur Firdaus
kurang senang.
“Abang
ni, apa salahnya Kak Sya ke sini? Yang abang anti sangat dengan Kak Sya tu,
kenapa? Dulu bukan main suka sangat dengan Kak Sya. Selalu sangat sebut nama
Kak Sya. Sekarang ni, nak sebut nama Kak Sya pun abang tak suka. Kenapa abang
tak suka dengan Kak Sya?” soal Farah bertubi-tubi seraya memandang ke wajah
abangnya.
“Kau
tu budak-budak lagi. Tak payah nak ambil tahu pasal kami,” tegur Firdaus,
keras.
“Budak,
abang kata? Abang, Farah dah tujuh belas tahun. Semua yang berlaku pada abang
dan Kak Sya, Farah dah boleh baca,” bidas Farah.
“Suka
hati kau la. Abang nak…”
“Hai,
Farah!” tegur Elisya mematikan kata-kata Firdaus.
“Hai,
Kak Sya!” balas Farah, ramah. Senyuman diberikan kepada Elisya.
“Tengah
buat apa?” tanya Elisya, berbasa-basi.
“Pancing
la. Takkan mandi kut?” sampuk
Firdaus, meluat.
“Abang
Daus!” Tegur Farah. Kurang senang dengan sikap abangnya itu.
Firdaus
mencebik. Dia bingkas bangun dari duduk sambil membawa pancingnya menjauhi
Farah dan Elisya.
“Kak
Sya jangan ambil hati sangat dengan Abang Daus. Dia memang macam tu. Suka sangat
meroyan,” kata Farah bernada serius.
“Meroyan?”
ulang Elisya, berkerut.
“Yalah,
meroyan.”
“Maksudnya?”
“Balik
rumah nanti, Kak Sya buka pakcik Google dan tanya, apa itu meroyan ya?” kata
Farah lalu ketawa kecil.
Elisya
masih berkerut. Otaknya merencana kata-kata Farah. Seminit kemudian, dia
mengangguk faham tatkala memahami maksud kata-kata Farah itu.
“Mari
Kak Sya. Kita ke sana!” Ajak Farah seraya menarik tangan Elisya.
“Farah,
Kak Sya…”
“Jomlah!”
Farah masih menarik tangan Elisya.
Elisya
terpaksa akur. Mahu tidak mahu, dia mengekori langkah Farah daripada belakang
sambil meniti batu-batu sungai dengan penuh berhati-hati. Rasa teruja menumpang
di hati.
“Kak
Sya! Kat sini banyak ikan!” Laung Farah, teruja.
“Sekejap!
Kak Sya ke sana!” Balas Elisya sambil melangkah penuh dengan berhati-hati.
“Cepat
Kak Sya!” Suruh Farah pula.
“Yalah,
Kak Sya nak ke sana la ni,” sahut Elisya masih melangkah.
Farah
setia menunggu. Diperhatikan Elisya yang sedang melangkah dengan penuh
berhati-hati. Berkerut-kerut dahinya melihat Elisya.
“Farah,
Kak Sya…”
“Kak
Sya!” Jerit Farah.
“Abang,
Kak Sya jatuh,”
Terkejut
Firdaus mendengar jeritan Farah. Pantas, dia menoleh ke belakang untuk melihat.
Matanya memandang Elisya yang sudah pun jatuh ke dalam sungai.
“Abang,
tolonglah Kak Sya!” Arah Farah sambil melangkah menghampiri Elisya.
Firdaus
bingkas bangun dari duduk. Dibawa langkahnya menghampiri Elisya.
“Kak
Sya, tak ada apa-apa ke?” tanya Farah setibanya di hadapan Elisya.
“Tak
ada apa-apa, Farah. Kak Sya yang cuai dan tak berhati-hati,” jawab Elisya,
tenang.
“Kalau
tak ada apa-apa, baguslah. Lain kali jangan nak berlagak pandai,” sampuk
Firdaus bernada sindiran.
“Abang!
Apa masalah abang ni?” geram Farah.
“Farah,
sudahlah! Kak Sya yang salah,” tegah Elisya sambil cuba bangun.
“Aduh!”
Rengek Elisya kemudian tatkala merasa sakit di pergelangan kaki.
“Kak
Sya, kenapa ni?” tanya Farah, cemas.
“Kaki
Kak Sya, sakit…” beritahu Elisya.
“Sakit?”
ulang Farah seraya memerhati kaki Elisya.
“Kaki
Kak Sya terseliuh ke?”
Elisya
hanya menggeleng. Diangkat tubuh dan cuba untuk bangun. Namun, masih tidak
berjaya. Terasa sakit di kakinya itu.
“Kaki
Kak Sya terseliuh, Farah,” adu Elisya kemudian.
“Abang,
tolonglah Kak Sya!” Arah Farah, keras.
Firdaus
mendengus kasar. Tanpa rela, dihampiri Elisya dan cuba memapah gadis itu. Sakit
hatinya kerana dipaksa berbuat begitu.
“Kalau
awak tak ikhlas nak bantu, tak mengapalah. Saya boleh jalan sendiri,” tutur
Elisya, perlahan. Tidak mahu Firdaus berasa terpaksa memapahnya jalan.
“Tak
payah nak berlagak baik. Ini pun dah cukup bagus aku nak tolong kau. Kalau
tidak, tak ingin aku nak sentuh kau,” balas Firdaus bernada serius.
Tersentak
Elisya mendengarnya. Matanya memandang wajah tegang Firdaus. Sungguh, hatinya
terasa dengan kata-kata lelaki itu. Disabarkan hati agar tidak mudah terasa dan
menerimanya seikhlas hati.
“MAAF sebab menyusahkan Mak
Jah,” kata Elisya, kesal. Ditundukkan muka memandang kaki sendiri. Rasa kesal
kerana menyusahkan wanita tua itu.
“Tak
mengapalah Sya. Nasib baik terseliuh saja. Kalau patah tadi macam mana?” balas
Mak Jah sambil mengurut kaki Elisya.
“Menyusahkan
orang saja. Ingat sini overseas
agaknya. Boleh buat sesuka hati dia saja,” sampuk Firdaus, tiba-tiba.
“Daus,
apa yang kamu cakapkan ni?” tegur Mak Jah kurang senang.
“Tak
mengapalah Mak Jah. Sya yang bersalah dalam hal ni. Memang Sya dah susahkan
Firdaus,” celah Elisya. Tidak mahu Mak Jah dan Firdaus bertekak kerananya.
“Jangan
diikutkan sangat perangai Firdaus tu, Sya. Makin lama, Mak Jah tengok makin
menjadi perangainya,” balas Mak Jah bernada serius.
Elisya
tersenyum kelat. Matanya memandang tingkah laku Mak Jah yang sedang mengurut
kakinya yang terseliuh.
“Ada
sakit lagi tak?” tanya Mak Jah kemudian.
“Err.. dah kurang sikit,” jawab Elisya,
perlahan.
“Kalau
macam tu, Mak Jah ke dapur dulu. Nak ambilkan makanan untuk Sya,” beritahu Mak
Jah lalu bangun.
“Mak
Jah, tak payahlah susah-susahkan diri untuk Sya. Sya boleh jalan sendiri dan
makan kat dapur,” tegah Elisya. Semakin serba-salah dirasakan waktu ini.
“Tak
mengapalah Sya. Alang-alang Mak Jah nak ke dapur, tak salah kalau Mak Jah bawa
sekali ke dalam bilik ni,” bidas Mak Jah lalu tersenyum.
Elisya
menghela nafas berat. Matanya menangkap tubuh Firdaus yang sedang mencuri
dengar di muka pintu bilik. Dapat dilihat wajah cebikan serta jelingan tajam
Firdaus. Bertambah rasa bersalahnya itu.
“Mengada-ngada.
Bukannya kaki tu patah ke apa. Terseliuh saja. Suka hati saja nak memerintah
mak aku,” rengus Firdaus lalu beredar dari situ.
Tersentap
Elisya mendengarnya. Kata-kata Firdaus menusuk ke tangkai hati. Pedih dan sakit
dirasakan ketika ini. Berapa lama lagi dia perlu bertahan dengan sikap dan
perangai Firdaus? Perlukah dia mengambil keputusan untuk pulang ke Australia
sahaja?
Tanpa
memikirkan apa-apa, dia segera bangun dan cuba untuk berdiri. Berkerut-kerut
dahinya menahan kesakitan. Bukan niatnya untuk menyusahkan Mak Jah. Mengarah
Mak Jah berbuat itu dan ini juga tidak pernah terlintas di fikiran. Kenapa
Firdaus berfikiran seperti itu? Semakin membara api kebencian Firdaus terhadap
dirinya.
“KENAPA ni?” tegur Hamidah
sambil duduk di sisi Elisya di birai katil.
Wajah
kawannya itu ditatap mesra. Ada kerutan pada wajah itu. Mujurlah dia
terserempak dengan Farah di kedai siang tadi. Farah juga yang memberitahu
tentang kaki Elisya.
“Tak
ada apa, Midah. Terima kasih kerana melawat saya,” kata Elisya berserta keluhan
ringan. Dibalas tatapan kawannya itu berserta senyuman hambar.
“Tak
baik mengeluh, Sya. Awak ada masalah ke?”
“Tak
ada apa-apa, Midah. Saya cuma penat sahaja,” dalih Elisya lagi.
“Mustahil
Sya. Saya pasti, awak ada masalah. Cuba awak ceritakan pada saya, apa
sebenarnya masalah awak?” bidas Hamidah.
“Firdaus
Hakimi,” ujar Elisya, perlahan.
“Firdaus
Hakimi? Kenapa dengan dia?” ulang Hamidah kurang faham.
“Apa
salah saya pada dia, Midah? Selama seminggu saya di sini, hanya riak benci yang
terpamer di wajah dia. Kenapa dia bencikan saya?” jelas Elisya bernada sebak.
Keluhan
dilepaskan untuk kesekian kali. Dihalakan mata ke sawah padi yang menghijau.
Sejuk matanya memandang keindahan sawah padi itu.
“Perasaan
awak sahaja, Sya.”
“Tidak,
Midah. Saya yakin, dia membenci saya,” bidas Elisya sambil menggeleng.
“Sebab
apa Daus nak membenci awak?” tanya Hamidah, pelik.
“Jawapannya
ada pada dia. Kenapa dia membenci saya?” ujar Elisya, perlahan.
“Entahlah,
Sya. Saya pun tak tahu sebab apa Daus membenci awak. Bukankah awak dan dia
rapat dahulu? Tak logik pulak kalau
Daus membenci awak.”
“Tak
logik bila kami berkawan rapat. Jadi logik, bila kami berdua begini.”
“Saya
rasa, mesti ada kena-mengena dengan Shafinaz,” tebak Hamidah.
“Shafinaz?
Kenapa ada kena-mengena dengan dia?” tanya Elisya, berkerut.
“Err…” Hamidah terkedu tiba-tiba. Kepala
yang tidak gatal digaru beberapa kali.
“Midah…”
seru Elisya seraya memandang ke wajah Hamidah.
“Eh,
awak ingat tak dengan kawan kita yang nama Suhaimi. Dengar khabar, dia nak
kahwin hujung bulan depan,” beritahu Hamidah sekali gus menukar topik
perbualan.
“Midah,
awak cuba sembunyikan sesuatu daripada saya, kan?” Elisya curiga.
“Tak...
tak... mana ada. Memandai sajalah awak ni, Sya,” bidas Hamidah, laju.
“Midah,
kita dah lama berkawan. Saya tahu, awak cuba sembunyikan sesuatu daripada saya
mengenai Firdaus. Awak tahu tak, hati saya ni asyik tertanya-tanya, kenapa dia
tidak menyenangi saya selama seminggu ini?” jelas Elisya mengharap simpati
daripada Hamidah.
Hamidah
menghela nafas berat. “Saya tak pasti perkara ni betul atau tidak. Saya pun
dengar daripada orang lain tentang ni.”
“Perkara
apa, Midah?” tanya Elisya tidak sabar.
“Saya
dengar mereka kata, awak menjadi punca serta penyebab hubungan Shafinaz dan
Firdaus putus,” beritahu Hamidah berhati-hati.
“What?” luah Elisya, terkejut.
“Sebelum
awak ke luar negara, awak ada berjumpa dengan Shafinaz?” mulai Hamidah berserta
nafas ringan.
Elisya
berfikir sejenak. Kemudian, dia mengangguk perlahan. Mengiyakan kata-kata
Hamidah itu.
“Selepas
awak pergi, mereka berdua asyik bergaduh dan akhirnya putus. Mereka semua tuduh
awak jadi penyebabnya. Mungkin disebabkan itu, Daus tak sukakan awak.”
“Memang
saya ada berjumpa dengan Finaz sebelum saya ke luar negara. Saya berjumpa
dengan dia sebab saya nak minta tolong
dia jagakan Firdaus bagi pihak saya. Saya tahu, Firdaus sukakan Finaz,” terang
Elisya, jujur.
“Saya
pun tak setuju dengan apa yang mereka katakan. Saya dah kenal awak dari
tingkatan satu lagi. Segala sikap dan perangai awak saya dah tahu.”
Elisya
meraup wajah. Sungguh, dia terkejut dengan apa yang diceritakan oleh Hamidah.
“Awak
tak perlulah risau. Lama-kelamaan nanti, Daus akan tahu dan sedar
kesilapannya,” pujuk Hamidah, lembut.
“Pasti
ada lagi yang mereka katakan tentang saya, kan?” ujar Elisya seraya memandang
ke wajah Hamidah.
“Tak
ada. Itu saja.”
“Saya
tak yakin disebabkan itu Daus begitu membenci saya. Mesti ada sebab lain kenapa
dia begitu?”
Hamidah
mengeluh berat. Perlukah dia menceritakan kesemuanya kepada Elisya? Apa
perasaan Elisya apabila mendengarnya?
“Saya
yakin, awak tahu sesuatu. Awak beritahu pada saya. Kalau perkara ni tak
diselesaikan, sampai bila-bila pun tak akan selesai. Awak nak tengok saya
dibenci oleh Firdaus buat selama-lamanya?”
“Saya
tak tahu, Sya. Saya cuma dengar yang itu sahaja,” jujur Hamidah.
“Tak
mengapalah, Midah. Maafkan saya kerana mendesak awak,” kesal Elisya.
Hamidah
hanya tersenyum. Wajah Elisya ditatap untuk kesekian kali. Sungguh, dia
bersimpati dengan Elisya. Bukan niatnya untuk menyesakkan fikiran Elisya.
Jika
dia memberitahu perkara yang sebenar, adakah Elisya dapat menerima semua itu
nanti? Ada baiknya jika Firdaus sendiri yang memberitahu Elisya akan apa yang
terjadi lima tahun yang lepas. Putus Hamidah seraya mengangguk kecil.
0 comments:
Post a Comment