PEMANDANGAN sawah padi yang menghijau mencantikkan suasana pada pagi
itu. Angin sepoi-sepoi bahasa mendinginkan lagi keadaan di kawasan tersebut.
Dapat dirasakan ketenangan dan kedamaian di hati. Sesiapa sahaja yang berada di
situ, pasti turut merasai apa yang dirasakan oleh Elisya. Bersyukur, kerana
masih diberi peluang untuk menikmati keindahan serta kebesaran ciptaan Yang
Maha Esa.
Elisya
menarik nafas dan melepaskannya lembut. Dia tersenyum tatkala mendengar bunyi
kicauan sekawan burung yang sedang berterbangan di langit tinggi. Rindu
terhadap kampung halaman terlerai dengan adanya dia di situ. Ucapan terima
kasih buat papa dan mama kerana membenarkan dia pulang ke kampung halaman.
“Elisya!”
Jerit Mak Jah dari arah rumah.
Elisya
tersentak dari lamunannya. Dia menoleh ke belakang dan wajah Mak Jah menyapa
mata. Senyuman diberikan kepada wanita tua itu.
“Mari
sarapan!” Ajak Mak Jah.
“Baiklah,
Mak Jah,” balas Elisya lalu melangkah jalan menuju ke rumah.
“Jemput
makan, Sya.” Mak Jah mempelawa setibanya Elisya di meja makan.
Elisya
mengangguk faham. Dilabuhkan duduk di kerusi dan memandang ke arah juadah yang
sudah terhidang di hadapan mata. Kecur liurnya tatkala memandang nasi lemak.
Sudah agak lama dia tidak merasa makanan itu.
“Jangan
malu-malu, Sya. Buat macam rumah sendiri,” suara Mak Jah seraya duduk.
“Lama
Sya tak makan nasi lemak ni Mak Jah,” jujur Elisya lalu menceduk nasi lemak ke
dalam pinggan sendiri. Kemudian, sambal ikan bilis diikuti dengan timun dan
telur rebus.
“Mak
Jah tahu, Sya. Lagipun dah lama Sya tak balik ke sini,” tutur Mak Jah lalu
tersenyum. Tangannya turut sama mengikuti tingkah laku Elisya.
“A’ah, Mak Jah. Mama dan papa terlalu
sibuk. Sebab itulah tak ada peluang nak balik ke sini,” beritahu Elisya sambil
mencapai sudu dan garpu.
“Tak
apa. Mak Jah faham,” balas Mak Jah sambil mengangguk. Tangannya menyuap nasi ke
dalam mulut.
“Lepas
ni, Sya nak ke mana?” tanya Mak Jah sehabis sahaja nasi dihadam.
“Sya
ingat nak jalan-jalan satu kampung. Lepas tu, nak ke pekan dan beli barang
sikit,” beritahu Elisya akan perancangannya.
“Nak
Mak Jah minta Firdaus temankan Sya?” cadang Mak Jah.
“Orang
dah biasa hidup bebas kat overseas
sana takkan takut nak berjalan seorang-seorang pulak?” sampuk Firdaus bernada sindiran dari arah pintu dapur.
Terkejut
Mak Jah dan Elisya mendengar sindiran Firdaus. Masing-masing menghalakan
pandangan ke arah Firdaus yang beriak selamba.
“Tak
ada orang nak kacau dia mak. Entah-entah orang lain yang takut nak kacau dia,”
sambung Firdaus sinis.
“Hisy… kamu ni Daus, ada ke cakap macam
tu dekat Sya? Kecik hati Sya tu
nanti,” tegur Mak Jah kurang senang.
“Tak
apa, Mak Jah. Sya dah biasa,” ujar Elisya lalu tersenyum kelat.
Tidak
mahu anak-beranak itu berbalah. Selama seminggu dia berada di rumah Mak Jah,
hanya kata-kata sindiran daripada Firdaus yang menyapa halwa telinga. Kadangkala
dia tertanya-tanya, kenapa lelaki yang bernama Firdaus Hakimi itu tidak
menyukainya?
“Yalahkan…
dah biasa,” ejek Firdaus, meluat.
Elisya
tersenyum kelat. Wajah Firdaus ditatap buat seketika. Kenapa Firdaus sering
membidas kata-katanya? Mengejek serta menyindirnya? Kesalahan apa yang telah
dilakukannya terhadap lelaki itu? Apabila bertentang mata, pasti Firdaus akan
melarikan pandangan. Seolah-olah benci melihat wajahnya. Adakah perkataan
‘BENCI’ tertera di dahinya itu?
“Kamu
tak nak makan dulu ke, Daus?” tanya Mak Jah tatkala melihat Firdaus menuju ke
pintu belakang.
“Daus
dah lambat. Kalau dia ada kat sini, putus terus selera Daus nak makan,” jawab
Firdaus sinis dan berlalu pergi sebaik sahaja menyarung selipar.
Elisya
yang mendengar, menahan perasaan. Matanya menghantar pemergian Firdaus sebelum
menghalakan pandangan ke wajah Mak Jah. Senyuman kelat diberikan sekadar
menyembunyikan rasa di hati.
“Jangan
ambil hati sangat dengan kata-kata Daus tu, Sya. Mulut Daus tu memang macam tu
dari sekolah lagi. Sya tahu kan macam mana Daus tu dulu?” kata Mak Jah sekadar
menyedapkan hati Elisya.
Elisya
sekadar mengangguk. Dia menyambung suapan nasi ke dalam mulut lalu menguyahnya.
Otaknya ligat memikirkan perangai dan sikap Firdaus. Kenapa Firdaus bersikap
dingin dengannya? Perlukah dia mencari jawapan kepada pertanyaannya itu?
ELISYA menyusuri deretan
kedai yang ada di pekan itu dengan hati yang gembira. Teruja melihat perubahan
yang telah berlaku di pekan tersebut. Jika dahulu, hanya beberapa buah kedai
sahaja yang ada tetapi tidak pada hari ini. Kawasan tersebut dilihatnya
bertambah maju.
Elisya
melangkah masuk ke dalam sebuah kedai buku. Sudah agak lama dia tidak membaca.
Ada baiknya dia membeli sebarang dua bahan bacaan. Sekadar untuk mengisi masa
lapang. Melilau matanya melihat bahan bacaan yang terdapat di kedai buku itu.
Tatkala berjumpa, pantas dia menuju ke bahagian tersebut.
“Opss!
Maaf, saya tak sengaja,” ujar seseorang.
Tersentak
Elisya dek kerana perlanggaran itu. Wajah seorang gadis menyapa mata.
“Maaf,”
ucap gadis itu.
“Tak
mengapa. Saya yang perlu minta maaf,” tukas Elisya, ramah.
Gadis
itu mengangguk perlahan. Matanya menatap wajah di hadapannya itu. Seakan pernah
berjumpa serta mengenali wajah tersebut. Otaknya dikerah supaya berfikir.
“Saya
ke sana dulu,” pamit Elisya tersenyum.
Diatur
langkah menuju ke tempat di mana koleksi novel-novel berada. Senyuman diberikan
kepada gadis tersebut.
“Nanti
dulu!” Tahan gadis itu.
Terhenti
langkah Elisya disebabkan permintaan gadis tersebut. Dipusingkan badan lalu
menatap wajah gadis itu berserta kerutan di dahi.
“Awak..
awak… Elisya, kan?” tanya gadis itu.
“Ya,
saya Elisya. Kenapa?” jawab Elisya sambil mengangguk kecil.
“Ya
Allah! Betul ke awak ni Elisya?” ulang gadis itu lagi inginkan kepastian.
Elisya
sekadar mengangguk. Berkerut dahinya memandang riak gadis di hadapannya itu.
“Elisya,
awak tak kenal dengan saya lagi ke? Saya, Hamidah,” beritahu Hamidah, teruja.
Elisya
berfikir sebentar. Diamati wajah Hamidah sambil otaknya dikerah bekerja.
“Awak
dah lupa ke, Elisya? Kita pernah main kat sungai sama-sama,” cerita Hamidah,
bersungguh. Berharap, Elisya mengingati dirinya.
“Oh
ya, baru saya ingat. Ya Allah! Maafkan saya.
“Ingat
pun awak.”
“Makin
cantik saya tengok awak, Hamidah,” puji Elisya bernada ikhlas.
“Hisy, awak ni Elisya. Dari dulu sampai
ke hari ini awak masih nak puji saya. Saya ni mana ada cantik macam awak,”
tukas Hamidah lalu tersenyum malu.
“Saya
ikhlas katakannya Hamidah,” kata Elisya.
Hamidah
tersenyum malu. Matanya masih menjamah wajah Elisya. Tidak ada perubahan yang
dapat dilihat pada Elisya. Dari dulu hingga sekarang, Elisya masih serupa.
Bersikap sederhana dan tidak bermegah. Walaupun Elisya cantik dan kaya, belum
pernah lagi dia melihat atau mendengar Elisya bersikap riak dan takbur. Itu
yang membuatkan dia senang berkawan serta kagum dengan Elisya.
“Awak
seorang sahaja ke Hamidah?” tanya Elisya.
“Eh..
a’ah, saya seorang saja,” jawab
Hamidah sedikit terpinga-pinga.
“Parents awak macam mana? Awak kerja apa
sekarang ni?”
“Parents saya sihat. Saya sekarang jadi cikgu.”
“Alhamdulillah.
Akhirnya, cita-cita awak nak menjadi cikgu tercapai juga.”
“Alhamdulillah,
Elisya. Awak macam mana pulak? Bila
awak balik dari overseas?”
“Saya
macam ni saja, Hamidah. Masih tetap sama. Baru seminggu saya berada di kampung
ni,” beritahu Elisya.
“Eh,
jom kita ke kedai makan depan sana! Ada banyak perkara yang saya nak cerita
pada awak,” ajak Hamidah lalu tersenyum. Langkah diatur keluar dari kedai buku
sebaik sahaja membuat pembayaran.
Elisya
mengangguk setuju. Dia menuju ke bahagian kaunter selepas memilih novel yang
dikehendaki lalu membuat pembayaran. Seminit kemudian, mereka berdua melangkah
beriringan menuju ke kedai makan berhampiran. Pasti banyak perkara yang hendak
diceritakan. Elisya tersenyum memikirkannya.
“AWAK tak dengar cerita
ke, Sya? Mustahil Firdaus tak beritahu pada awak tentang Finaz?” tanya Hamidah
berkerut dahi.
“Saya
tak tahu, Midah. Lepas saya ikut family
saya ke sana, saya lost contact
dengan kawan-kawan di sini,” jelas Elisya, jujur.
“Yalah,
kan. Lepas SPM, awak ke sana ikut family
awak. Hampir lima tahun awak menetap di sana, kan?”
“A’ah, hampir lima tahun. Disebabkan
rindu saya balik ke sini.”
Hamidah
mengangguk. Wajah Elisya ditatap seketika. Ada benarnya kata-kata Elisya.
Semenjak Elisya berpindah dan menetap di overseas,
banyak perubahan yang telah berlaku terhadap kawan-kawan mereka berdua
termasuklah Shafinaz dan Firdaus.
“Kenapa
dengan Finaz, Midah?” tanya Elisya ingin tahu.
“Lepas
awak ke overseas, Finaz dan Firdaus…”
Hamidah mematikan ayat.
“Itu
saya tahu, Midah. Mereka berdua bercinta, kan? Sebelum SPM lagi mereka berdua
dah rapat dan bercinta,” kata Elisya. Mengerti dengan gantungan ayat Hamidah
itu.
Hamidah
tidak membalas. Matanya masih menatap wajah Elisya. Tenang. Itu yang dilihat
pada wajah Elisya setiap kali mereka membincangkan mengenai Shafinaz dan
Firdaus. Adakah Elisya cuba menyembunyikan perasaan sebenar?
“Finaz
kerja apa sekarang ni, Midah?” tanya Elisya sekadar ingin tahu.
“Selepas
awak berpindah ke sana, Finaz ditawarkan ke luar negara. Menyambung pengajian
dalam bidang Kejuruteraan.”
“Alhamdulillah.
Finaz seorang pelajar yang bijak. Tak mustahil dia akan ditawarkan menyambung
pelajaran ke luar negara.”
“Yup! Memang saya akui, Finaz seorang
pelajar yang pintar. Tapi, buat apa pintar kalau tak pandai nak menghargai
pengorbanan orang lain?”
“Maksud
awak, Midah?” tanya Elisya, berkerut. Kurang mengerti akan maksud kata-kata
Hamidah itu.
“Orang
macam dia tu, memang tak pandai nak berterima kasih atas pengorbanan orang
lain. Tahulah belajar di luar negara, tapi tak perlulah nak menyombong diri dan
berlagak,” jelas Hamidah. Meluahkan akan ketidakpuasan di hati terhadap
Shafinaz selama ini.
“Saya
tak faham, Midah. Sombong? Berlagak? Siapa yang awak maksudkan? Shafinaz ke,
Hamidah?” Elisya bertanya berserta kerutan di dahi.
“Yalah,
siapa lagi kalau bukan Shafinaz? Apa yang saya dengar, lepas dia balik dari overseas, dia ditawarkan kerja di Kuala
Lumpur. Selama dia di sana, jarang sekali dia balik ke kampung jumpa mak dan
ayah dia. Kasihan parents dia, Sya.
Sampai hati Shafinaz buat parents dia
macam tu. Bukannya jauh sangat sini dengan KL. Takkan tak boleh nak balik dan
lawat mereka berdua? Kalau dia balik pun, hanya untuk beberapa jam saja. Lepas
tu pulak, berlagak sombong dengan
orang-orang kampung,” cerita Hamidah, bersungguh.
“Mungkin
Finaz belum dapat sesuaikan diri dengan suasana kampung semula. Suasana di luar
negara dengan di sini, lain Midah,” kata Elisya. Tidak mahu Hamidah berfikiran
negatif.
“Mustahil
tak sesuai. Kalau dah berasal dari kampung, kampung jugalah Sya. Awak tu, dah
lima tahun di sana. Tapi, awak tetap tak berubah. Tetap sama sepertimana kita
mula-mula berkawan dulu. Semuanya bermula dari iman, Sya. Kalau iman kita tak
kuat, macam Shafinaz la jadinya,” bidas Hamidah, tegas.
Terkedu
Elisya mendengarnya. Ada benarnya kata-kata Hamidah itu. Jika iman kita tidak
kuat, mudah untuk kita terpesong dari landasan sebenar.
“Kalau
awak nak tahu lebih lanjut, awak boleh tanya Firdaus. Semua tentang Shafinaz,
Firdaus tahu,” suara Hamidah.
Apa
yang berlaku kepada Firdaus suatu ketika dulu menerjah ke kotak fikiran. Nafas
ringan dilepaskan perlahan.
“Firdaus?”
ulang Elisya.
Hamidah
mengangguk.
“Firdaus
tak sukakan saya, Midah. Takkan dia nak bercerita pada saya andai kata saya bertanya
pada dia tentang Finaz?” luah Elisya bernada sebak.
“Kenapa
pulak Firdaus tak sukakan awak?”
ulang Hamidah, terkejut.
“Saya
tak tahu, Midah,” balas Elisya seraya menggeleng perlahan.
“Bukankah
awak dan Firdaus…”
Kata-kata
Hamidah terhenti di situ tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Lantas, dia
menjawab panggilan tersebut sambil diperhatikan oleh Elisya di hadapan.
“Saya
minta diri dulu, Sya. Ada perkara yang nak diuruskan,” ujar Hamidah kemudian
lalu bangun dari duduk.
“Tak
mengapalah. Ada masa nanti kita jumpa dan berbual. Hari ini saya belanja awak,”
balas Elisya sambil mengangguk kecil.
Hamidah
turut sama mengangguk. Tanpa membuang masa, dibawa langkah beredar dari situ
menuju ke tempat motornya diparkirkan.
Elisya
hanya memandang. Dia bingkas bangun dari duduk lalu menapak keluar dari kedai
sebaik sahaja membayar harga minuman. Namun, langkahnya terhenti tatkala
teringat akan kata-kata Hamidah sebentar tadi. Kenapa Hamidah beriak terkejut
sebaik sahaja dia memberitahu tentang hubungannya dengan Firdaus ketika ini?
“SYA, tak nak makan?”
tanya Mak Jah dari muka pintu bilik.
“Tak
mengapalah Mak Jah. Sya dah kenyang. Siang tadi makan dengan kawan,” jawab
Elisya, lembut.
“Kalau
macam tu… Mak Jah, Farah dan Firdaus makan dulu. Kalau Sya lapar nanti, Sya
ambil saja kat dapur,” pesan Mak Jah.
“Baiklah
Mak Jah. Terima kasih,” balas Elisya berserta senyuman.
“Sama-sama
Sya,” balas Mak Jah berlalu pergi.
Elisya
hanya memandang. Nafas ditarik dan melepaskannya lembut. Disandarkan tubuh ke
kepala katil sambil mengimbas semula pertemuannya dengan Hamidah. Tumpang
gembira dengan pencapaian Hamidah. Cita-cita Hamidah untuk menjadi seorang guru
akhirnya tercapai.
Elisya
membuang pandang ke luar tingkap. Kisah mengenai sahabat lama mereka, Shafinaz
berlegar-legar di minda. Benarkah Shafinaz sebegitu orangnya?
“Kak
Sya!” panggil Farah, tiba-tiba.
Tersentak
Elisya mendengarnya. Dihalakan mata ke arah Farah Asyikin yang sedang menapak
masuk ke dalam bilik. Senyuman diberikan kepada gadis itu.
“Kak
Sya buat apa? Kenapa tak makan?” tanya Farah sambil melabuhkan duduk di birai
katil. Wajah putih bersih Elisya ditatap mesra.
“Kak
Sya dah kenyang, Farah. Dah siapkan kerja sekolah?” jawab Elisya, ramah.
“Dah,
Kak Sya.”
“Habis
tu, kenapa tak tidur lagi? Esok nak sekolah, kan?”
“Ala,
Kak Sya ni… awal lagilah kalau nak tidur. Baru pukul sembilan setengah malam.”
Elisya
tersenyum. Dikerling jam di dinding buat seketika. Ternyata, masa baru
menginjak ke sembilan tiga puluh minit malam. Nafas ringan dihela lembut.
“Kak
Sya, Farah nak tanya sesuatu, boleh?” suara Farah.
“Boleh!
Apa dia, Farah?”
“Kenapa
Abang Daus dengan Kak Sya tak bertegur sapa? Maksud Farah, tak berbual-bual
macam Kak Sya dengan Farah dan mak,” tanya Farah ingin tahu.
Elisya
terkedu. Tidak menyangka itu yang ditanya oleh Farah. Apa jawapan yang perlu
diberikan kepada Farah?
“Kenapa,
Kak Sya? Dulu masa Farah tahun enam, Farah tengok Kak Sya dan Abang Daus lain
saja. Belajar, ketawa dan berbual bersama-sama. Kak Sya dan Abang Daus pun
rapat. Tapi, kenapa sekarang ni Kak Sya dan Abang Daus macam tak kenal antara
satu sama lain?”
“Masa
tu, Kak Sya dan Abang Daus nak ambil SPM. Abang Daus lagi pandai dari Kak Sya.
Sebab itulah Kak Sya rapat dengan Abang Daus. Nak curi ilmu dari abang Farah,”
terang Elisya menyembunyikan kenyataan. Terlepas ketawa kecil daripada
bibirnya.
“Perasaan
Farah saja tu. Kak Sya dan Abang Daus tak ada apa-apa masalah. Kami baik
seperti dulu,” kata Elisya cuba meyakinkan Farah.
Farah
mengangguk faham. Wajah Elisya masih menjadi tatapan mata. Seperti ada perkara
yang cuba disembunyikan oleh Elisya melihatkan riak di wajah gadis itu.
“Abang
Farah mana?” tanya Elisya sekali gus menukar topik. Tidak mahu Farah bertanya
tentang hubungannya dengan Firdaus lagi.
“Ada
kat luar. Ambil angin,” jawab Farah bingkas bangun.
“Kalau
macam tu, Kak Sya nak jumpa dengan abang Farah sekejap. Ada perkara Kak Sya nak
tanya dia,” ujar Elisya turut sama bangun.
“Okey!
Jangan gaduh-gaduh tau,” pesan Farah berlalu dari situ.
Tertawa
Elisya mendengarnya. Kepala menggeleng perlahan. Setelah itu, dia melangkah
keluar dari bilik sebaik sehaja kelibat Farah menghilang.
Dia
perlu bertanya kepada Firdaus mengenai Shafinaz. Persoalan yang sedang
berlegar-legar di minda minta dijawab. Hanya kepada Firdaus sahaja untuk dia
mendapat jawapan kepada segala pertanyaannya itu.
FIRDAUS meraup wajah dan
mengeluh berat. Matanya dibuang ke arah langit malam yang tidak berbintang dan
berbulan. Mungkinkah hujan akan turun pada malam ini melihatkan keadaan langit
yang gelap. Angin malam menyapa tubuh. Otaknya dikerah berfikir. Entah apa yang
difikirkannya, dia sendiri tidak tahu. Adakah Elisya yang sedang berlegar-legar
di fikirannya ketika ini?
“Ehem…
ehem…”
Tersentak
Firdaus buat seketika. Dihalakan mata ke arah suara yang berdehem. Wajah
tersenyum Elisya menyapa mata.
“Hai!”
tegur Elisya, ramah.
Firdaus
tidak membalas. Dengusan kasar terlepas dari bibir.
“Boleh
saya duduk kat situ?” tanya Elisya pula.
“Awak
ni tak tahu hukum hakam agama ke? Tak tahu adab sopan orang Melayu?” tanya
Firdaus bernada sinis.
“Maksud
awak?” tanya Elisya, berkerut dahi.
“Baru
lima tahun duduk kat negara orang putih, dah tak ingat adab sopan orang Melayu.
Dah tak tahu hukum hakam agama. Kalau lebih dari lima tahun, entah macam mana
la agaknya. Kawan dengan syaitan agaknya,” sindir Firdaus bernada keras.
Elisya
masih berkerut. Kurang mengerti akan kata-kata sindiran Firdaus itu.
“Yang
awak sibuk kat sini buat apa?”
“Saya…
saya…”
“Saya
apa? Kalau tak ada benda nak cakap, baik awak masuk. Sini kampung dan bukannya overseas.”
“Apa
maksud awak, Firdaus?” tanya Elisya, kurang faham.
“Itulah
yang saya katakan tadi. Tak tahu hukum hakam agama. Tak ingat adab sopan orang
Malaysia. Sudahlah, Elisya. Sakit mata saya tengok awak kat sini. Baik awak
masuk kat dalam sebelum saya muntah darah kat sini,” balas Firdaus berserta
cebikan.
“Firdaus!
Saya tak tahu apa salah saya pada awak. Kenapa awak sengaja nak sakitkan hati
saya?” tegur Elisya sedikit meninggi.
“Jawapan
tu ada pada awak, Elisya.”
“Saya
betul-betul tak faham dengan awak, Firdaus. Dulu, awak tak macam ni. Kenapa
sekarang awak membenci saya?”
“Benci?
Bila masa pulak saya membenci awak?”
“Saya
yakin, awak membenci saya. Puas saya berfikir, kenapa awak membenci saya?”
Firdaus
menghela nafas berat. Diraup sekali wajahnya lalu bangun dari duduk.
“Cuba
awak beritahu pada saya Firdaus, apa salah saya? Kenapa awak membenci saya?
Selama seminggu saya berada di sini, hanya sikap dingin yang saya lihat dari
awak. Adakah disebabkan saya….”
“Aku
tak suka kau kat sini. Baik kau berambus dari sini!” Luah Firdaus meninggi lalu
beredar dari situ. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
Terkejut
Elisya mendengar suara meninggi Firdaus. Malah, bahasa yang digunakan oleh Firdaus
agak kasar di pendengarannya. Kenapa Firdaus bertingkah laku sebegitu?
“Menyusahkan!”
Rengus Firdaus pula.
“Firdaus!”
panggil Elisya, perlahan. Lengan Firdaus ditarik lembut.
Firdaus
mendengus kasar. Tajam matanya ke pegangan Elisya kemudian beralih ke wajah
gadis itu. Ditarik kasar lengannya dan beredar dari situ.
“Apa
yang berlaku antara awak dan Shafinaz?” tanya Elisya.
Termati
langkah Firdaus mendengar pertanyaan itu. Nafas ditarik dan melepaskannya
deras. Tanpa membalas, dia menyambung langkah menuju ke rumah. Tidak berminat
untuk menjawab pertanyaan Elisya.
Elisya
hanya memandang. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Dihalakan mata ke arah
langit buat seketika. Gelap. Tidak berbulan dan berbintang. Seminit kemudian,
dibawa langkah menuju rumah. Dia perlu mencari punca dan sebab, kenapa Firdaus
begitu membencinya. Adakah berkaitan dengan kisah lampau mereka?
0 comments:
Post a Comment