Bab 3 : Sufi Indera | Fathi Fatim

                                                                                 

Buntang mata Sufi melihat kejadian yang berlaku di depan matanya. Ya Allah! Tersalah pandangkah dia atau ini adalah kenyataan? Si gadis menusuk pisau dalam keadaan teragak-agak ke dada lelaki itu. Benar. Sufi yakin matanya tidak menipu.
Tanpa suara dia menghendap di sebalik replika sebongkah batu berhampiran tempat kejadian. Sufi terkesima. Makin diamati makin dia nampak dengan jelas wajah gadis itu. Adra, si rambut ungu! Sah. Ada sesuatu yang tak kena. Si rambut ungu nampak begitu tak keruan. Penampilannya juga serabai.
Ada seorang pemandu memberhentikan keretanya berhampiran tempat kejadian. Tidak lama selepas itu bunyi siren menandakan kedatangan pihak berkuasa. Ah, tentu pemandu itu yang membuat laporan.
Namun Sufi langsung tak berganjak. Sebaliknya dia semakin tekun menjadi pemerhati. Jelas di pandangannya beberapa orang anggota polis keluar dari kereta.
Sejenak Sufi bertinggung memikirkan apa yang harus dilakukan selepas ini. Mahu menghampiri ataupun tidak? Sedangkan dia nampak dengan jelas apa yang berlaku tadi walau mungkin tak sepenuhnya.
Kejadian lima belas tahun lalu mulai mendominasi fikiran. Sufi kaku di situ. Dia hanya terdaya memandang tatkala si rambut ungu digari dan dibawa masuk ke dalam kereta polis.
Nampaknya dia perlu lakukan sesuatu malam ini. Sufi yakin dia perlu mencari jalan membantu kerana apa yang dia nampak seketika tadi hanyalah sebahagian daripada perkara yang telah menimpa Adra.



HAMPIR tertidur Sufi di sebalik replika itu. Dia tersengguk-sengguk menahan kantuk. Apabila teringatkan motif asalnya perlahan Sufi menjengah ke arah tempat kejadian.
Mujurlah tiada sesiapa yang mengawasi kawasan berkenaan. Hanya ada pita merah putih tanda dilarang masuk kawasan polis. Tapi dia peduli apa? Siapa suruh mereka biarkan tempat itu tanpa pengawasan.
Perlahan-lahan tangannya diletakkan pada jalan tar di mana tempat gadis itu duduk dan menikam si lelaki. Tak semena tubuh Sufi merasa seram sejuk. Jantungnya berdebar-debar. Drastik sepasang matanya terkatup rapat.
Dia terduduk di atas jalan kerana gagal mengimbangi tubuh. Seolah-olahnya dia turut mengalami apa yang si rambut ungu alami seketika tadi. Nafasnya turun naik.
Dalam samar-samar dia dapat melihat kelibat seorang lelaki. Suasana di sekeliling gelap. Adrenalin mengalir deras ketika Sufi meneliti persekitarannya. Dia terus melangkah dan melangkah sehinggalah…
“Lelaki sial!”
Suara seorang gadis kedengaran lantang. Sufi tidak dapat gambaran sepenuhnya tapi dia dapat rasakan itu adalah si rambut ungu. Perlahan-lahan Sufi menghampiri. Barulah keadaan menjadi sedikit terang. Benar seperti apa yang Sufi fikirkan. Adra, si rambut ungu sedang berada dalam ketakutan!
“Tolong jangan apa-apakan aku!”
Air mata Adra berlinangan saat baju dikoyakkan tanpa belas kasihan. Kardigan yang menutup bahagian badannya direntap tanpa sebarang rasa bersalah oleh lelaki itu.
“Tolong! Aku merayu dengan kau!”
Selepas itu si gadis nekad mengeluarkan pisau, dari bahagian pinggang seluarnya.
“Argh!” Sufi menjerit sekuat hati.
Matanya terbuka luas. Air liurnya ditelan berkali-kali. Terasa kelat. Agak lama Sufi berteleku di situ. Dia hela dan hembus nafas sehingga merasakan diri sudah beroleh ketenangan.
“Dia nyaris kena rogol rupanya.” Mata Sufi berkaca.
Berada di suatu situasi seolah dia turut merasai apa yang Adra rasakan benar-benar meruntun hati. Ya Allah, inilah sebenarnya penjelasan kepada semua yang dah berlaku tadi. Sufi terkedu. Berbelas hatinya memikirkan nasib si rambut ungu.
Persetankan saja apa yang dah berlaku lima belas tahun lalu. Ketika itu dia hanya seorang kanak-kanak yang naif. Akur pada apa saja cakap orang dewasa. Tapi sekarang jauh bezanya. Dia dah berusia 23 tahun. Sudah matang. Sudah boleh bertindak sendiri.
Sampai bila dia mahu berdiam diri? Sampai bila dia harus menafikan segala kelebihan kurniaan Tuhan? Rasanya tiada salah andai dia gunakan kelebihan ini di jalan yang betul. Sufi takkan berdiam diri lagi. Dengan langkah longkai Sufi bangun dari situ. Dia perlu cepat. Adra sangat memerlukan bantuan darinya!



“YA, encik. Ada apa yang boleh saya bantu?” Seorang polis wanita yang bertugas di kaunter aduan menegur Sufi.
“Saya nak buat laporan atas satu cubaan merogol,” matanya melilau mencari kelibat seseorang.
Akhirnya Sufi nampak juga. Adra rupanya berada di tepinya sahaja. Gadis itu kelihatan lesu. Nampaknya Adra masih disoal-siasat oleh pegawai bertugas.
“Boleh saya tahu di mana kejadian tu berlaku?”
Sufi tayang muka tanpa emosi. Matanya memandang polis wanita itu tanpa gentar. Tak buat salah buat apa nak takut? Takut kerana salah. Berani kerana benar.
“Kes yang baru ni. Polis tak sepatutnya tangkap cik tu. Polis patut sumbat lelaki yang masuk hospital tu ke dalam lokap.” Sufi bersuara sambil menudingkan jarinya ke arah Adra.
Dia langsung tak pedulikan seberapa banyak mata yang memandangnya.
Adra angkat muka. Tak sangka ada orang yang sanggup datang ke balai untuk membelanya malam-malam begini. Tadi pegawai polis dah telefon Aleya. Tapi kakaknya belum sampai. Tentu Aleya terlalu risau.
“Maknanya encik ada di tempat kejadian?”
Sufi angguk yakin. “Saya sanggup jadi saksi.”
Semakin bulat mata Adra. Intonasi lelaki ini kedengaran bersungguh. Langsung tak teragak-agak. Tapi dari mana datangnya lelaki ini? Eh… kalau tak silap dia ini adalah jejaka yang tak lekang dengan fon kepala itu. Jejaka yang tak sengaja melanggarnya semasa mereka berselisih petang tadi.
Seingat Adra dalam kekalutan tadi tiada siapa pun di tempat kejadian. Kalau tak tentu ada yang menghulurkan bantuan. Rasanya rakyat Malaysia belum begitu kejam untuk tidak mengendahkan seorang gadis yang hampir menjadi mangsa rogol.
“Kenapa encik tak beritahu polis awal-awal?”
“Sebab saya ada perkara yang tak dapat dielakkan masa tu. Tapi tak kiralah lambat atau cepat. Yang penting saya sanggup jadi saksi untuk kes ni,” tegas Sufi.
“Baiklah. Kami kena ambil keterangan dari pihak encik dulu,” beritahu polis wanita itu.
Tanpa menunggu Sufi terus melabuhkan duduk.



“ARA! Ara okey ke dik?”
Suara lembut seorang wanita hampir saja membuatkan Sufi berpaling. Tentu itu adalah penjaga Adra. Biarlah mereka luangkan masa bersama. Apa yang Sufi tahu dia dah menjalankan tanggungjawab dengan menyatakan kesudian untuk menjadi saksi.
Dia takkan berdiam diri lagi. Sudah masanya untuk dia bertindak berbekalkan kelebihan yang dimiliki. Dia nampak apa yang dah berlaku. Itu yang paling penting.
Sufi teruskan perjalanan. Nanti kalau terlalu lambat mama risau pula. Tapi tadi dia sudah khabarkan untuk pulang agak lewat kerana ada perkara mustahak. Rasanya tak jadi masalah kerana dia selalu pulang lambat disebabkan closing. Lagipun Adl ada di rumah sebagai peneman mama sepanjang cuti semester.
“Terima kasih sebab sanggup jadi saksi kes aku.”
Suara Adra bermain di telinga Sufi. Pandangan mata gadis itu benar-benar menggambarkan dirinya kegusaran.
“Jangan risau, Adra. Saya bukan lagi Sufi yang sama macam lima belas tahun dulu. Selagi mampu saya akan tolong awak. Saya takkan biarkan awak. Sebab saya tak nak awak jadi sama macam abang saya. Teraniaya… sia-sia.” Sufi terus melangkah.



“AKAK baliklah dulu. Ara takde apa-apa. Ara okey aje. Lagipun Sufi dah janji nak jadi saksi Ara.”
Adra elus belakang kakaknya penuh kasih. Dia mahu menenangkan Aleya. Tak mahu kakak bersedih kerananya. Kakak dah terlalu banyak berkorban untuk dirinya. Sesungguhnya dia terlalu sayangkan kakak.
“Yalah, kalau macam tu. Esok akak datang lagi ya?” Aleya elus-elus pipi adiknya.
Adra angguk-angguk.
“Baik-baik ya, kak.”
“Ara tu baik-baik. Bye.
“Bye.” Sekali lagi mereka berpelukan.
Adra perhatikan kakak kesayangannya berlalu. Hari ini dalam sejarah hidupnya kali pertama dia tidur di dalam lokap. Memang gila. Tak pernah dia bayangkan langsung.
Adra berteleku tanpa mempedulikan ragam tahanan lain. Dia tak mahu peduli apa pun kes mereka. Apa yang dia tahu… Dia mahu keluar dari sini secepat mungkin. Itu saja.
“Kau siapa? Macam mana kau boleh ada kat sana masa tu?”
“Saya Sufi. Macam mana saya boleh ada kat sana tak penting. Yang penting saya cakap benda betul. Saya tak nak tengok orang yang tak bersalah terima akibat. Undang-undang sepatutnya hukum orang yang salah, bukan sebaliknya.” Ketegasan Sufi menyentuh hati Adra.
Anak muda itu nampak bersungguh untuk menjadi saksi dalam kesnya. Adra tak sangka Sufi sanggup tampil pada lewat malam begini. Dalam kegelisahan Adra cuba juga untuk lelapkan mata. Badannya terasa lemah. Mata juga sudah tak mampu dibuka lagi.



LAMPU ruang tamu masih menyala, bermakna ahli keluarganya masih belum tidur. Sufi membuka pintu menggunakan kunci pendua.
“Assalamualaikum.” Perlahan suaranya.
Dia menghamparkan pandangan ke arah sofa. TV masih ada suara. Maknanya ada orang tengah berjaga.
“Lambat balik angah?”
Sufi sambut teguran adiknya dengan sengihan.
“Ambil angin sikit.”
Adl sengih juga. Standardlah kalau bercakap dengan angah. Memang untung kalau abangnya jawab lebih daripada satu patah perkataan. Syukurlah yang abangnya masih nak bercakap. Buatnya diam terus. Tak ke haru?
“Lewat tidur?”
“Biasalah. Cuti-cuti ni nak berjaga. Rumahku syurgaku kan angah.” Adl sudah tergelak.
Dia labuhkan duduk. Muk disuakan ke mulut.
‘Macamlah kat rumah sewa kau tak berjaga,’ desis hati Sufi. Namun dia gelak juga demi menjaga hati adik sendiri.
Hesy. Ini semua gara-gara mereka berpelukan tempoh hari. Dia ‘nampak’ yang Adl suka melepak di mapley dengan kawan-kawan. Tengok bolalah atau kadang-kadang dating. Aktiviti pemuda-pemudi zaman sekarang.
“Minum apa Adl?”
“Minum kopi segera aje.”
“Sedap?”
“Sedap kopi yang angah buat lagi,” jawab Adl jujur.
“Pandailah Adl.”
Sufi labuhkan duduk di sebelah adik kesayangannya. Dah lama mereka tak luangkan masa begini.
“Esok datanglah KK. Angah belanja.”
Adl yang terkipas-kipas kerana lidahnya jadi mangsa kopi panas terus letakkan muk ke meja.
“Serius ke?”
Sufi angguk-angguk.
“Untungnya ada abang kerja barista ni.” Adl gelak lagi.
Sufi sekadar memerhatikan adiknya. Ternyata semakin membesar makin terserlah iras Adl Kelana dengan Zahir Andika. Kalau abang masih hidup mereka berdua boleh jadi beregu kalau bab muka.
Perangai pun lebih kurang. Sufi seorang yang lain sikit. Tak tahulah ikut muka siapa. Mama cakap Sufi ikut muka nenek belah papa. Arwah abang dan Adl kombinasi mama dan papa.
“Ikutlah datang pukul berapa. Angah kerja closing.”
Adl kenyit mata. Dia tunjuk isyarat okey dengan tangan.
“Naik dulu.”
“Selamat malam, angah!”

Sufi sekadar melambai adiknya. Beginilah cara mereka berkomunikasi. Sufi ala-ala tak banyak cakap. Adl yang selalunya menghidupkan suasana. Bukan Sufi tak sayang. Hesy! Siapa tak sayang adik-beradik sendiri.
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment