Rimbunan
pohon yang berbunga merah hati itu membuatkan dia cukup tenang menghabiskan
masa bersendirian di sini. Cuaca panas pun tak terasa panas. Redup dan nyaman
yang amat setiap kali angin bertiup.
Adra
lebih rela melepak di depan kafe gah yang terkenal namanya di serata dunia itu.
Tak dapat masuk ke dalam melepak di luar pun jadi. Dapat hidu bau harum kopi
dari luar pun cukup.
Duit
belanja cukup makan aje untuk setiap bulan. Padanlah dengan statusnya sebagai
pelajar yang masih menuntut di sebuah universiti swasta. Duit belanja pun ihsan
kakak tersayang. Tak perlu nak tunjuk lagak mewah.
Tangannya
ligat menconteng bermacam karakter pada buku lakaran. Hari ini masuk kelas pun
dah ada tugasan. Hesy! Biasa hari pertama pensyarah mana bagi kerja.
Tapi
untuk kelas Publication Design dah
disuruh hasilkan satu karakter versi vektor menggunakan perisian Adobe
Ilustrator. Kelas berikutnya pensyarah nak tengok progress. Hangguk
betullah!
Dahlah
dia bukannya jenis yang selalu masuk kelas. Tapi tadi terpaksa masuk kelas
sebab nak tengok muka pensyarah. Gagahkan juga segala sendi untuk menapak.
Nanti tak adalah ternganga sampai pensyarah sendiri pun tak kenal.
Sejak
hampir tiga tahun belajar jurusan Pengajian Media memang Adra jarang gila masuk
kelas. Tapi kena pandailah nak hidup. Masa
presentation pulun kaw-kaw punya.
Tugasan kenalah hantar tepat pada
masa. Barulah markah gempak.
ADRAISM.
Gadis ini menconteng huruf tebal-tebal lalu dicoretkan dengan motif abstrak
sehingga memenuhi setiap ruang. Dia tulis perkataan itu berdasarkan nama sendiri.
Adra.
Ya. Namanya hanya seringkas itu. Cukup pendek untuk dieja. Cukup mudah untuk
diingati. Adra ingat lagi. Ibu kata namanya berasal dari sebuah perkataan dalam
bahasa Greek yang bermaksud cantik. Tak tahulah siapa yang menamakannya
demikian.
Ayah?
Kalau dilihat dari perangai lelaki itu tak mungkin rasanya. Ibu? Sebut fasal
wanita itu air mata Adra luruh. Namun cepat-cepat dia memandang ke langit.
Tahan air mata agar tidak menitis. Biarkan air yang hendak mengalir itu kering.
Konon. Entah teori mengarut mana yang dia ikut.
Seketika
mendongak Adra jadi terpegun lihat langit membiru terhampar luas di sebalik
dahan pokok yang merimbun. Gumpalan awan putih terlihat seumpama gula-gula
kapas.
Kalaulah
boleh dicapai dengan tangan kemudian dimasukkan ke mulut lalu dikunyah-kunyah
penuh nikmat. Yummy! Pasti sedap.
Imaginasinya mula mengambil tempat. Pelbagai gambaran menerawang dalam kepala.
Hmm.
Siapa yang melanggar bahunya saat mereka berselisih tadi? Adra rasa dan nampak.
Situasi itu memang sangat jelas tapi dia sengaja tunjuk muka selamba. Nanti
kalau menoleh dikata perasan pula. Huh! Dasar lelaki. Macam pernah dia nampak
lelaki berfon kepala tadi. Wajah
serius itu macam pernah dilihat sebelum ini. Siapa ya?
“Biarlah.
Siapa pun dia tak penting langsung untuk aku,” getus Adra sendiri.
Tangannya
masih ligat menconteng-conteng marker
dan pen pelbagai warna pada buku lakaran. Dia sudah dapat membayangkan karakter
yang ingin digunakan dalam kelas Publication
Design nanti.
Terima
kasih, kepada… Ah! Tak kisahlah siapa pun namanya. Yang penting perkataan
terima kasih itu ditujukan kepada lelaki berfon kepala tadi. Mamat itu muncul
sewaktu Adra kebuntuan idea.
Mungkin
lelaki itu ilham yang dikirimkan Tuhan? Syukur! Walau lelaki itu nampaknya ego
benar. Tidak sedikit pun menoleh setelah melanggarnya tadi. Apa salahnya kalau
minta maaf?
Seketika
tangan Adra yang rancak menari pada kertas buku lakaran terkaku apabila
mendengar laungan azan dari masjid berdekatan. Punyalah dia terleka sehingga
tak sedar hari sudah menginjak malam.
Maghrib
dah berkunjung menyeru manusia menunaikan perintah Tuhan Yang Satu. Pelbagai
rasa menujah pundak Adra. Solat? Dia dah lupa bila kali terakhir dia sujud
kepada-Nya. Pantas kesemua barang yang bersepah di atas bangku disumbat ke
dalam beg. Dia hayun langkah menuju ke destinasi seterusnya.
“MACAM mana kelas hari ni?”
Adra
membuang pandang ke arah Aleya yang sedang duduk di meja menyiapkan makan malam
sebaik masuk ke dalam rumah.
“Okey
aje. Takde apa yang luar biasa pun,” balasnya selamba.
“Kenapa
muka tu monyok aje? Lapar sangat ke?” soal Aleya lagi.
“Tak.
Penat. Nak mandi.” Adra menapak ke bilik.
Beg
sandangnya dicampak ke katil. Entah apa yang meletihkan sangat pun tak tahu.
Entahkan jasad entahkan emosinya. Keluhan dihambur lesu.
Sepohon kayu
daunnya rimbun
Lebat bunganya serta
buahnya
Walaupun hidup seribu
tahun
Kalau tak sembahyang
apa gunanya
Serangkap
lagu nasyid popular satu ketika dulu saat dia masih bergelar kanak-kanak yang
naif mengacah telinga.
Adra
pejamkan mata barang seketika. Tangannya memicit kepala yang berdenyut tak
semena. Segala celaru bercampur-baur,
menghasilkan rasa yang sukar diterjemah.
Kenapa
dia tak solat? Kenapa kakak tak solat? Kenapa mereka jadi begini? Hanya pandai
sebut tapi langsung tak tunaikan kewajipan sebagai hamba. Dia buka mata
perlahan-lahan. Kakinya diinjak ke lantai.
Terkocoh
dia menghadap cermin panjang yang
disandar pada dinding. Dia merenung diri sendiri. Rambut hitamnya pada bahagian
atas sengaja dibiarkan warna asal.
Manakala
bahagian bawah yang mengurai ikal hingga ke pinggang diwarnakan ungu. Bahagian
depan sengaja diberikan potongan fringe
hampir menutup mata. Alasan utama adalah disebabkan dahinya luas.
Jendul.
Selalu Adra dengar orang cakap pemilik dahi jendul bijak. Tapi dia sebaliknya.
Bijak celah mana pun Adra tak nampak. Dia beralih pula pada penampilan sendiri.
Tiada yang unik. Mungkin selekeh. Pakai apa yang ada. Pakaiannya sering kali
ketat dan setakat membalut tubuh.
Ara
jelirkan lidah. Ada subang di tengah-tengah lidahnya. Bukan setakat itu.
Dagunya juga bertindik dengan subang berbentuk spike. Soalan yang orang selalu tanya. Tak sakit ke tindik kat
situ?
Kalau
ikutkan hati nak aje dia jawab; sakitlah bodoh! Kalau tak sakit memang bukan
manusialah aku. Tapi biasanya dia jawab dengan senyuman saja. Biarlah. Tak ada
orang kisah dia tindik banyak-banyak.
Ayah?
Lelaki itu memang pernah wujud dalam hidupnya suatu ketika dulu. Sekarang?
Entahkan masih hidup entahkan sudah tinggal nama saja. Jujur Adra tak tahu.
Mujur sangat rasanya kalau lelaki itu masih ingat dan fikirkan tentang mereka
dua beradik.
“Ara!
Meh, makan!” Suara nyaring kakak membuatkan dia tergaru kepala.
“Alamak!
Tadi aku cakap nak mandi. Tapi ni satu apa pun belum buat.”
Kelam-kabut
Adra capai tuala. Mandi syarat pun takpelah. Asal mandi. Basuh aje apa-apa yang
patut biar nampak basah.
“KAK, Ara nak keluar pergi kedai
sekejap. Nak beli aiskrim. Akak nak tak?”
“Takpelah. Beli untuk Ara aje.”
Aleya
berikan senyuman paling manis. Alah, itu yang paling Adra cemburui. Sebabnya
kakak lebih banyak mewarisi keanggunan arwah ibu sedangkan dia lebih banyak
mewarisi muka ayah. Paling menyakitkan hati apabila mereka ibaratkan dia
seperti hasil salinan fotokopi lelaki itu. Kejamnya manusia-manusia yang
berkata begitu.
Adra
mengenakan kardigan hitam untuk menutupi bahagian lengan yang terdedah.
Malam-malam sejuk kenalah berpakaian lebih sikit. Walau bagaimana pun seluar
tetap skinny jeans menjadi pilihan
Adra. Wang kertas lima ringgit disumbat ke dalam kocek seluar. Sebelum keluar
Adra menyarung selipar jepun.
Aiskrim
perisa limau vanilla yang dibeli, digigit penuh nikmat walau gigi terasa ngilu.
Teringat sewaktu zaman kecil dulu. Ibu suka bawa dia dan kakak ke kedai dan
membelikan aiskrim untuk mereka. Ibu suapkan aiskrim kepada dia dan Aleya
bergilir-gilir.
“Ara
sayang ibu. Ibu mesti tengah gembira sekarang kan? Tapi kenapa cepat sangat ibu
tinggalkan Ara?”
Runtun
hati Adra membayangkan seraut wajah lembut yang sentiasa menyenangkan hati.
Seraut wajah yang tak pernah lekang dengan senyuman meski pada hari-hari
terakhir hayatnya di dunia. Meski pada ketika itu ibu diuji dengan dugaan yang
teramat berat.
Sedang
menikmati aiskrim boleh pula matanya bergenang. Mudah benar hatinya terusik
setiap kali teringatkan arwah ibu. Adra seka matanya. Dia teruskan perjalanan.
Janji dengan kakak nak keluar sekejap aje. Telefon pun tak bawa.
Kelam-kabut
Adra berjalan. Tetapi langkahnya terhenti apabila dihalang oleh seorang lelaki.
Terkejut sungguh gadis ini sampaikan terlepas aiskrim dari tangannya.
“Boleh
abang temankan adik balik?”
Adra
menjegil. Sejak bila pula lelaki muka pecah rumah ini jadi abangnya? Adra rasa
dia dah terlalu muda untuk dibahasakan sebagai adik oleh lelaki yang nampak tua
itu. Dasar si tua bangka tak sedar diri!
“Tak
pernah pulak ibu aku beranak anak lelaki,” balas Adra tanpa mempedulikan lelaki
itu. Dia terus melangkah.
Namun
lelaki itu dengan pantas menarik tangan Adra. Dia memaut leher gadis ini hingga
membuatkan kedudukan mereka sangat rapat. Jijiknya Adra apabila lelaki itu
menyuakan bibirnya ke leher dia.
“Tolong!
Ada orang gila seks!” Adra menjerit semahunya.
Lelaki
itu nampaknya semakin agresif bertindak.
“Kurang
ajar kau ya? Cabar aku nampaknya! Hei, budak! Kalau aku nak jangan harap kau
boleh terlepas!”
Lelaki
itu ketawa terbahak-bahak. Kencang nafasnya menahan gelora nafsu menatap gadis
yang sudah pun berjaya direbahkan. Setiap inci aset yang ada pada si gadis
sangat menggiurkan naluri lelakinya.
Bila
lagi dia nak bertindak kalau bukan sekarang? Rugi besar kalau peluang keemasan
ini dilepaskan begitu saja. Barang baik tak mungkin datang banyak kali dalam
hidup. Kalau ada lagi pun mana mungkin sama dengan yang seorang ini.
Tangannya
merayap ke perut gadis itu. Seterusnya mengelus leher. Hidung disuakan ke pipi
si gadis. Lelaki ini terbuai dengan aroma minyak wangi yang sangat mencengkam
jiwa. Ah, dia dah tak tahan!
“Lelaki
sial!” Serentak dengan kata-katanya Adra menjarakkan tubuh. Kakinya ditendang
sepadu mungkin ke bahagian perut lelaki tadi.
“Tak
guna punya perempuan!”
Tindakan
Adra membuatkan lelaki itu semakin hilang pertimbangan. Dia dilempang berulang
kali.
“Tolong
jangan apa-apakan aku!” Air mata Adra berlinangan.
Lelaki
itu semakin tenggelam dalam hasutan nafsu. Kali ini top Adra pula dijadikan mangsa. Hingga koyak baju itu dikerjakan.
“Tolong!
Aku merayu dengan kau!”
Adra
meraung saat kardigannya direntap tanpa belas kasihan. Namun tiada sedikit pun
simpati lelaki itu.
Dalam
tangisan Adra nekad. Dia keluarkan pisau yang selama ini disisip pada pinggang
seluar tak kira ke mana saja pergi. Dah tiada masa untuk berlengah lagi.
Senjata
itu satu-satunya jalan yang ada. Senjata yang selama ini belum pernah Adra
gunakan. Dengan mata yang dipejamkan serta tangan yang menggeletar, pisau terus
dibenam ke dada kanan lelaki tadi.
Adra
bungkam apabila figura lelaki itu rebah.
0 comments:
Post a Comment