Bab 1 : Sufi Indera | Fathi Fatim





Lima belas tahun berlalu
“Welcome to Koffee Kopi!
Inilah ayat wajib para barista di Koffee Kopi setiap kali mengalukan kedatangan pelanggan. Intonasi haruslah bersemangat. Senyuman kena manis sentiasa. Asal nampak aje pelanggan masuk mesti kena sambut mereka dengan mesra. Walaupun kadang-kadang pelanggan keluar semula. Tak pun setakat main cak cak.
“Hai, cik. Nak minum apa?”
“Bagi saya Caramel Ice Blended satu.
“Nak kopi ke tak nak kopi cik?”
“Ha’ah. Nak kopi.”
“Saiz apa cik? Kecil ke sederhana?”
Sederhanalah.
“Minum sini ke bungkus?”
“Bungkus ajelah dik.”
“Nak krim tak?”
“Nak.”
“Boleh saya dapatkan nama cik?”
“Ary.”
“RM 16.70, Cik Ary.”
Sewaktu tangan mereka bersentuhan secara tak sengaja Sufi merasakan seolah dirinya pergi ke suatu tempat yang belum pernah dijejaki. Dia seakan berada di sebuah tempat yang indah.
Di sekelilingnya ada buaian dan bunga-bungaan berbau harum. Telinganya menangkap suara tawa manja yang mungkin saja milik seorang kanak-kanak. Walau bagaimanapun wajahnya tidak terlihat jelas. Samar-samar.
‘Cukup, Sufi. Stop! Kelebihan yang ada bukan lesen untuk kau ambil tahu kisah hidup orang lain. Lagipun baik kau lupakan aje kelebihan ni. Langsung tak bagi manfaat,’ kata hatinya berdetik.
“Dik? Awak tak apa-apa?”
Pelanggan itu jadi risau pula melihat Sufi tiba-tiba termenung jauh. Sekejap tersenyum. Takkanlah bermimpi pula semasa bekerja?
Bagai baru kembali ke alam realiti Sufi mengerdipkan matanya semula.
“Saya okey. Cik boleh ambil air kat pick-up counter ya.”
Terima kasih,” balas pelanggan tadi bersama senyuman.
Sufi turut tersenyum.
Senyum, senyum dan senyum. Ya, senyum dalam apa juga keadaan adalah kewajipan untuk setiap barista. Dan Sufi perlu akur dengan syarat itu. Tentang bercakap pula dia hanya bersuara sekiranya perlu. Hanya untuk menjalankan tugas sebagai barista di kafe ini.
Lebih daripada itu Sufi lagi selesa buat hal sendiri. Kerana jika semakin dia ambil tahu maka semakin banyaklah perkara yang tak ingin diketahui mengucar-kacirkan diri sendiri.
Serius cakap bekerja di kaunter memang kena minum banyak air. Boleh naik perit tekak nak terangkan satu-satu perkara kepada pelanggan. Ada pelanggan yang dah biasa datang jadi mereka tahu apa yang ingin dipesan. Tak jadi masalah dari segi jenis minuman, nak minum bagaimana, saiz minuman dan sama ada mahu krim ataupun tidak.
Tapi untuk pelanggan yang tak biasa dan belum ada pengalaman, sudah menjadi kemestian untuk Sufi selaku barista bertanyakan soalan-soalan seperti tadi. Soalan yang merangkumi pelbagai aspek. Dah nama pun barista. Sekiranya pelanggan nampak blur semacam eloklah mereka terangkan apa yang patut supaya tak jadi masalah.
Boleh kata fungsi barista serupa macam menu bergerak ataupun juga ensiklopedia kopi bergerak. Bahkan kalau ada perkara yang tak kena di mata pelanggan, barista jugalah yang perlu bertanggungjawab.
Baristalah yang pertama dicari. Tak kiralah yang bertugas di kaunter ataupun tengah tercegat di depan mesin Espresso. Silap hari bulan yang tengah buat ice blended pun kena maki sekali. Kerja macam ni silap seorang memang jadi silap semua. Kerjasama berkumpulan sangat penting.
“Hi! Welcome!”
“Welcome to Koffee Kopi!”
Apabila seorang mengalukan, yang lain perlu ikut mengalukan kedatangan pelanggan. Sejak dari kursus mereka dah diajar untuk menjadikan perilaku ini sebagai kebiasaan.
“Hai, saya nak satu Cappuccino.”
“Hai, cik! Saiz apa?”
“Oh, ada saiz ya?” Gadis bertocang itu tergelak.
“Ada. Cappuccino kita ada saiz kecil dengan sederhana.”
“Saiz cawan dia lain, eh? Macam tu?” Gadis itu pegang-pegang dagu.
“Ha ah. Untuk saiz kecil kita guna cawan ni. Untuk saiz besar pulak kita guna cawan ni.”
Sufi tunjukkan cawan putih berbeza saiz yang bersusun di atas mesin Espresso. Mujurlah kafe tengah lengang bolehlah bagi penerangan panjang lebar. Kalau masa ramai orang jadi macam ini memang kena sabar banyak-banyak. Fuhhhh!
“Tapi selain saiz cawan, satu lagi yang membezakan Cappuccino ni dia punya single dengan double Espresso shot.” Sufi harap penjelasan yang diberi dapat membantu pelanggan membuat keputusan.
Tapi nampaknya semakin berkerut pula muka pelanggan di depannya.
“Espresso tu apa pulak?”
“Espresso tu kopi yang yang kita esktrak, kisar dan lepas tu sembur dengan air panas bertekanan tinggi untuk hasilkan shot. Kalau cik ambil Cappuccino saiz kecil kita letak single Espresso.  Maknanya ada satu shot aje. Kalau cik ambil saiz sederhana pulak kita guna double Espresso. Ada dua shot. Kuat sikitlah dia punya kafein,” terang Sufi bersama senyuman.
“Oh! Dah faham dah. Terima kasih ya dik terangkan kat akak. Maklumlah, akak bukannya tahu sangat fasal kopi ni. Pernah tengok aje. Dah tiba-tiba teringin nak minum tu yang datang sini,” ramah betul pelanggan wanita ini bercerita.
Selain murah dengan senyuman jadi barista kena pandai ikut rentak pelanggan. Kalau pelanggan formal barista kena formal. Kalau pelanggan sempoi barista pun sempoi jadinya.
Bila dah pelanggan bahasakan diri kakak jadi barista pun bolehlah bahasakan pelanggan kakak. Barulah ada keserasian walau sekadar komunikasi dalam masa yang singkat. Pendiam ke tidak, dingin ke tidak semua campak ke tepi sewaktu buat kerja.
“Takpe kak. Hal biasa. Saya kan barista. Dah memang kerja saya pun untuk jawab soalan customer.” Sufi senyum seadanya.
Senyum yang tak menampakkan gigi. Senyum sopan yang sehabis ringan.
“Ada nak tambah apa-apa lagi kak?”
“Ada. Boleh letak susu lebih? Yang buih tu letak sikit aje dahlah.”
Sufi senyum lagi.
Kalau macam ni baik pesan Latte. Kalau dah namanya Cappuccino memanglah foam yang lebih steamed milk sikit. Tapi selaku manusia yang pendiam Sufi hanya menyimpan kata-kata itu dalam hati SAHAJA. Okey, kompromilah. Kan akak tu dah cakap dia tak tahu-menahu sangat fasal kopi.
“Manisnya awak senyum dik.”
“Terima kasih kak. Boleh saya dapatkan nama akak?”
“Melissa.”
“Okey, Kak Melissa. RM 10.15. Akak boleh ambil kat pick-up counter di tepi sana ya. Terima kasih!”
Ini satu contoh situasi di mana pelanggan tak berapa tahu tentang minuman yang dipesan. Alah, baru sikit. Sufi dah hadap banyak hal dalam lima tahun. Bermacam ragam lagi yang boleh buatkan dia muntah hijau sepanjang bekerja di sini. 
Namun dia tetap bertahan dengan kerjaya ini kerana keghairahan terhadap kopi. Sufi memilih kerjaya sebagai barista sepenuh masa kerana mahu berdampingan dengan kopi.
Itu pun dia beranikan diri untuk minta kerja lepas dua tahun tamat sekolah. Masa itu barulah Sufi sedar yang bau kopi amat menenangkan jiwa. Boleh kata kopi adalah teman serasinya.
Jam cashier dipandang sekilas. Tepat pukul 4 petang. Bermakna dah sampai masanya untuk dia pulang. Sudah menjadi rutin untuk Sufi bertugas selama lapan jam lima hari seminggu.
Hari ini dia membuat pembukaan. Esok pula closing. Dah jadi rutin. Sampai badan dah lali penat. Kalau cuti pun memang jarang sekali dapat cuti pada hujung minggu. Kecuali dia sendiri yang mohon disebabkan ada hal tertentu.
Sufi masuk ke bilik staf. Apronnya ditanggalkan lalu disumbat ke dalam beg. Sufi menyarung baju panas dan menarik zip hingga ke paras paling atas. Fon kepala turut dikeluarkan lalu diletakkan pada leher. Wayarnya disambung pada telefon bimbit.
Sufi galas beg lalu keluar tanpa mempedulikan sesiapa pun yang ada di situ. Yang penting semua kerjanya dah selesai. Sekarang masa untuk rehatkan kepala. Sesak menghadap macam-macam jenis kerenah pelanggan. Fon kepala dilekapkan ke telinga, jarinya menghidupkan pemain muzik. Alunan muzik yang kedengaran menjadikan perjalanan pulangnya lebih relaks.



TANGANNYA tak lekang bermain-main dengan jam saku. Sudah lima belas tahun berlalu sejak peristiwa pahit itu berlaku. Hidup Sufi berubah hampir 99.9 peratus. Meski rindu namun dia amat yakin tentang seperkara.
Tentu Zahir Andika kini bahagia bersama Yang Maha Esa. Kalau abang masih hidup tentu usia abangnya sudah menjangkau 28 tahun. Jarak umur antara mereka dua beradik agak jauh juga. Dia lahir sewaktu arwah berusia lima tahun.
Langkah Sufi terhenti seketika apabila menyedari dia berpapasan dengan seseorang. Gadis itu. Si rambut ungu. Penampilan tidak tentu arah si gadis mungkin menakutkan bagi sesetengah orang. Atau paling tidak membenarkan tanggapan negatif sesiapa saja terhadapnya. Tapi tidak pada Sufi.
Apa yang Sufi perasan gadis itu takkan pernah melalui sehari pun tanpa singgah dan duduk di bangku yang berdepan dengan kafe tempatnya bekerja. Sekejap pun mesti ada. Tanpa sedar Sufi menganalisa gadis itu dari hujung rambut ke hujung kaki.
Rambut panjang mengurainya sungguh cantik. Hitam berkilat di bahagian atas dan diwarnakan dengan warna ungu di bahagian bawah. Huh! Trend orang zaman sekarang kononnya. Sufi mencebik. Ada apa dengan trend? Tahukah gadis itu lebih cantik kalau bahagian tubuhnya yang sengaja didedah bertutup sempurna?
Kerana terlalu asyik memerhatikan dia jadi tersalah langkah. Tak semena Sufi terlanggar gadis itu.
‘Adraism. Adra The Greek Name. Suka hatilah nak gelar diri sendiri apa pun. Dah tu memang hidup aku rumit. Orang selalu fikir bukan-bukan fasal aku. Kenapa? Kau tak puas hati?’ Suara itu bergema memenuhi benak Sufi.
Berselang-seli dengan imbasan gadis berambut ungu yang kelihatan seperti hilang punca. Sekitarnya gelap. Penuh dengan diskriminasi dan kata nista.
Sufi hela nafas. Membekukan diri namun tak sepicing pun menoleh ke arah gadis itu. Meski Sufi tahu sekurangnya dia patut meminta maaf atas kekhilafan tadi.
‘Cukup, Sufi. Balik,’ arah kata hatinya membuatkan Sufi terus melangkah.



“ASSALAMUALAIKUM!”
Terjengul kelibat Adl Kelana menyambut kepulangan Sufi.
“Waalaikumussalam.”
Pasti adiknya sampai di rumah pagi tadi. Semalam Adl khabarkan berita yang dia akan pulang sempena cuti semester. Sufi menghampiri adiknya. Mereka berpelukan seketika. Namun tak sampai beberapa minit dia meleraikan pelukan.
Sufi tak mahu ambil tahu kisah hidup Adl melebihi apa yang sepatutnya diketahui. Adiknya ada hak untuk berseronok. Tak perlulah dia sama sibuk mencelah ke dalam hidup Adl.
“Kenapa ni angah?”
Sufi geleng-geleng. Dia lantas mengukir senyum bagi menggantikan ekspresi ‘wow’ pada wajah.
“Takde apa.”
Adl sekadar memerhatikan tingkah abangnya. Menurut mama dan papa angah jadi begini sejak abang meninggal. Hubungan yang sangat rapat antara mereka merenggut sifat periang angah dari saat abang pergi.
Sejak hari itu dia membesar bersama angah yang dingin dan pendiam. Namun Adl tahu angah sayangkan dia. Cuma abangnya tak mampu untuk tunjukkan kasih sayang dengan cara yang mudah difahami. Mungkin abangnya dah lupa cara untuk bersikap mesra terhadap orang lain.
Angah jarang berbual dengan Adl. Tapi itu tak bermakna angah tak mempedulikan kewujudannya. Setiap bulan angah tak lupa berikan duit belanja kepada Adl. Angahnya memang baik. Cuma perlukan orang tertentu untuk memahami angah.
“Naik dulu.”
Cis! Dia dah ada awek! Bersama gelengan Sufi memanjat anak tangga. Tak sangka boleh tahan tinggi juga saham adiknya ini. Harapkan muka aje nampak macam budak skema a.k.a nerdy.



SELESAI solat asar Sufi tak lupa sedekahkan ayat-ayat suci kepada abang tersayang. Hanya itu satu-satunya perkara yang dapat dia berikan kepada Zahir. Meski dah lama abang pergi namun arwah sentiasa hidup dalam hati dan hari-hari Sufi.
“Maafkan angah, abang. Maafkan angah tak mampu buat apa-apa. Angah tak berani buka mulut. Angah tak mampu. Semua orang ingat angah ada masalah mental. Dia orang fikir angah gila.”
Penutup jam saku dibuka. Gambar abang tersayang yang sedang tersenyum ditatap dengan mata bergenang. Sampai ke saat ini pun kesedihan Sufi tidak berkurang. Tiada lagi yang sama seperti abangnya. Takkan lahir lagi Zahir Andika di dalam hidupnya. Biarpun ada yang memiliki nama sama tetapi tentu orangnya berbeza.
Jauh di sudut hati Sufi kesal kerana tunduk pada keadaan suatu ketika dulu. Apa lagi yang boleh anak kecil sepertinya lakukan apabila situasi di kiri dan kanan mendesak? Apa lagi yang boleh dia buat apabila tiada siapa percayakan dia?
Bukan Sufi tak pernah mencuba. Dia pernah beranikan diri pergi ke balai polis seorang diri selepas pulang dari menemui pakar psikiatri. Perlahan sepasang matanya dipejam.
“Sufi nampak abang Sufi kena bunuh, pak cik.”
“Sufi, kami dah siasat. Kematian abang Sufi adalah kematian secara mengejut. Bukan kena bunuh.”  Bersungguh pegawai polis yang bertugas menenangkan kepadanya.
“Tak! Memang abang kena bunuh!” Akhirnya dia menjerit kerana tiada siapa yang mahu mendengar.
“Dik, pak cik tahu adik bersedih. Tapi abang adik dah takde.”
“Sufi nampak dia kena bunuh! Sufi nampak bila Sufi pegang ni!”
Sufi tunjukkan jam saku kepada mereka.
“Itu semua perasaan adik aje. Pak cik faham. Mari pak cik hantar adik balik ya?”
“Tak! Bukan perasaan! Sufi tak tipu! Sufi nampak! Sufi tak tipu!” Nyaring suaranya bergema satu balai.
Dia meronta-ronta apabila pegawai muda itu mendukung tubuhnya.



MATA Sufi yang tadinya terpejam kini terbuka luas. Air matanya dibiarkan kering sendiri.
Faham? Huh! Sejak bila manusia yang tak pernah mengalami apa yang dirasakan orang lain mampu memahami? Itu semua dusta yang dicipta oleh manusia. Penipuan klise untuk menyedapkan hati mereka sendiri. Untuk melarikan diri dari masalah.
Sufi ingat lagi bagaimana papa memarahinya. Papa hampir menamparnya namun sempat dihalang oleh mama.
“Sekali lagi papa dapat tahu angah pergi ke balai macam tadi memang papa kurung angah dalam bilik! Nak?”
Dia jawab soalan papa dengan raungan. Manakala mama sudah memeluknya erat-erat. Sejak hari itu antara dia dan papa bagaikan hilang komunikasi. Hanya mama tempat Sufi luahkan segala rasa. Namun hanya secebis yang mampu dikongsi kerana mama juga meragui kelebihan yang dia miliki.
Sebab itulah Sufi merasakan dia perlu lupakan terus tentang kelebihan ini. Seiring dengan pertambahan usianya semakin Sufi sedar yang kelebihan itu semakin ketara. Pantang tersentuh dengan sesiapa dia akan tahu sedikit sebanyak mengenai kisah hidup mereka. Walhal bukan Sufi menginginkan demikian.
Tadi misalnya, walaupun adik sendiri namun Sufi rasa bersalah kerana terambil tahu perihal Adl. Apa yang Sufi ‘nampak’, Adl didampingi ramai gadis. Tapi hanya seorang gadis bertuah yang telah berjaya memiliki hati adik kesayangannya. Ada harapan Adl kahwin dulu daripada dia. Sufi sengih senget. Sekurangnya ada juga perkara yang buat dia tersenyum.
Namun andai dikurnia pilihan Sufi memilih untuk tahu perkara yang patut dia ketahui sahaja. Itu jauh berganda lebih bagus daripada mengetahui perkara yang tak patut diketahui. Menyusahkan hidupnya. Membuatkan semuanya tunggang-langgang.
Kenapa dalam ramai-ramai manusia dalam dunia ini kelebihan itu datang kepadanya? Manusia pengecut yang langsung tiada iltizam untuk bergerak walau seinci pun dari zon selamat?
Sufi simpan jam saku itu ke dalam kotak kayu. Dia risau tercicir walaupun di dalam rumah sendiri. Tetapi jika berada di luar Sufi akan pastikan jam saku itu sentiasa menemani langkahnya.
Kerana setiap kali membawa jam saku itu dia berasa bagaikan abang ada bersama. Dia perlukan semangat. Dia perlukan kekuatan dari abang untuk menempuhi hari-harinya.

Kalaulah mereka tahu. Kalaulah mereka faham. Kalaulah mereka berada di tempatnya untuk seketika pun cukuplah. Betapa segalanya terasa amat sukar sejak hari abang pergi. Walau hanya untuk bernafas. Kalau abang ada, tentu abang adalah insan yang paling memahaminya.
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment