BALDI berisi air Aliyah bawakan ke bilik ayahnya, Haji Amran.
Sudah menjadi rutin harian dia memandikan ayahnya yang lumpuh di bahagian kaki
semenjak dua tahun yang lalu akibat kemalangan. Dan dengan hanya duit pencen
ayah yang menjadi kegunaan mereka sekeluarga.
Ayahnya terbaring
lena di atas katil. Muka itu kelihatan sedikit pucat. Hanya mata dan suara yang
memainkan peranan.
Aliyah
mengambil kain basah bagi mengelap tubuh ayahnya. Muka itu dipandang penuh
kasih dan sayu. Tangan yang sudah tua itu digosok perlahan-lahan dengan kain
basah. Akibat dari perlakuannya itu, ayahnya mula terjaga dari tidur dan anak
mata itu mula tertumpu pada wajahnya.
“Aliyah...”
Suara Haji Amran tidak berapa jelas kedengaran.
Aliyah mula
mendekatkan diri dengan ayahnya. Senyuman terukir pada wajahnya. Sudah dua hari
ayahnya demam dan tidak berupaya untuk berbicara.
“Ada
apa, ayah? Ayah nak buang air ke?” Suaranya lembut kedengaran walaupun dia
seorang yang agak kasar ketika di bangku persekolahan dulu.
“Maafkan...
ayah... ayah tak dapat... nak jaga kamu dengan baik. Ayah... tak dapat nak
tunaikan janji ayah pada... ibu...”
Mata ayahnya mula
berkaca. Pantas dia memeluk tubuh yang sedang terbaring itu.
“Ayah...
tak mahu gara-gara ayah... kamu terseksa dan rasa terbeban. Ayah rasa adalah
lebih baik kalau kamu pergi berjumpa dengan Pak Long. Biarkan ayah sendiri di
sini. Kamu duduklah dengan dia.” Haji Amran memerhatikan wajah anaknya yang persis
arwah isterinya, Kartini.
“Tak apalah, ayah.
Aliyah tahu keadaan ayah macam mana sekarang ni. Lagipun Aliyah rasa bahagia
sangat bila ada ayah, mak cik dan Atira. Kita kan satu keluarga? Sikit pun
dalam hati Aliyah tak ada rasa terbeban untuk jaga ayah.”
Haji Amran tahu
hati kecil anaknya itu merintih seakan burung yang inginkan kebebasan dari
sebuah sangkar dengan apa yang dialaminya selama ini. Belum sempat dia menyusun
kata, sudah ada yang datang menyampuk.
“Amboi,
buat drama pilih kasih lah pulak dua beranak ni dekat sini.” Suara lantang
Maznah mengejutkan mereka di situ.
“Hei, Aliyah! Aku
suruh kau bersihkan ayah kau tu... bukan suruh buat drama pendek dekat sini. Lagi pun tak ada
orang nak tengok kau la. Muka kau tu macam perempuan jalanan. Lainlah macam
anak aku.”
Mata Maznah tajam
memandang ke arah Aliyah yang selama ini dianggap sudah banyak menyusahkan
dirinya dari kecil hinggalah sekarang. Tiada sedetik niat di hatinya pun untuk
memberikan sepenuh kasih sayangnya kepada Aliyah.
“Maznah... jaga
sikit mulut awak tu. Aliyah ni anak awak juga...” Haji Amran sudah kegeraman.
Kalaulah dia masih mempunyai kudrat, sudah lama wanita di hadapannya itu
menjadi mangsa tamparannya.
“Hei, abang! Kalaulah
saya ni tak kasihan kan abang, dah lama budak ni saya hantar dia pergi
lorong-lorong sempit tu. Biar dia jadi pelacur.”
“Maznah cukup!”
Sudah nak mampus
pun masih ada hati nak menjerit dekat aku orang tua ni. Desis hati Maznah.
Nafas Haji Amran
terasa tersekat di kerongkong. Aliyah mengambil cawan yang berisi air di atas
meja dan diberikan kepada ayahnya.
“Abang inikan, tak
payahlah nak bercakap kalau mulut tu dah err...”
Mata Haji Amran
yang menjegil membuatkan Maznah terus menunduk. Keluhan geram keluar dari mulutnya.
“Aliyah, lepas kau
bersihkan ayah kau ni pergi masak. Dah nak tengah hari dah ni.” Maznah terus
meninggalkan dua beranak di dalam bilik tersebut.
JAM pada dinding dikerling tepat pukul 11.30 pagi. Aliyah
membuka peti sejuk yang berhampiran dengan sinki.
Matanya membulat.
Satu benda apa pun tidak ada di dalam peti sejuk itu. Mana pergi semua barang
yang dibelinya semalam?
Kepala yang tidak
gatal, digaru. Setahunya barang basah di dalam peti sejuk itu masih ada semasa
dia membuat hidangan untuk parti hari jadi Atira semalam.
Tak lain tak
bukan, ini mesti kerja Atira. Dia tu memang suka ambik barang basah dalam peti
ais ni lepas tu pergi buat BBQ dengan kawan-kawan dia. Suka hati dia aje nak
buat macam tu. Aku yang penat pergi beli! Bebel Aliyah kegeraman.
Maznah muncul di
pintu dapur selepas itu. Keningnya diangkat setengah lebih rendah dari Ziana
Zian.
“Kenapa kau tak
masak lagi ni? Tadi aku suruh kau masak, kan? Kenapa yang kau ni bengap
sangat?”
“Maaf, mak cik...
bukan saya nak lengahkan memasak tapi barang dapur dah tak ada.” Sengaja Aliyah
membuka pintu peti sejuk.
“Mana pergi semua
barang dalam ni? Kan baru semalam dibelinya? Jangan-jangan kau yang makan
semuanya tak?”
“Taklah, mak cik.
Takkan saya nak makan semua benda dalam ni seorang? Ada tikus besar kut dalam rumah
ni yang ambil makanan kita?” Aliyah menggigit bibirnya.
“Kau lah tikus
besar tu,” balas Maznah.
“Hmm... tak
apalah. Kalau macam tu mak cik bagi duit dengan saya nanti saya pergi belikan
barang dapur ni,” ucap Aliyah.
“Banyaklah kau
punya duit! Beli barang dapur ni guna duit kau sendiri!”
“Bukan saya tak
nak tapi saya langsung tak ada duit.” Satu sen apa pun tidak ada dalam
dompetnya melainkan kad pengenalan yang minta untuk diganti.
“Hish kau ni kan!
Kalau sehari tak menyusahkan aku memang tak boleh. Nah, kau ambik duit ni!
Pergi beli apa yang patut. Kalau kau beli benda lain siap kau aku kerjakan. Aku
nak kau cepat balik sebelum Atira tu balik nak makan.” Duit not lima puluh
ringgit dihulurkan kepada Aliyah yang diambilnya dari celah-celah coli.
Aliyah melangkah
keluar sepantas kilat sebaik mengambil duit tersebut. Dia perlu mengejar masa
untuk pergi ke gerai bahan-bahan basah di hujung kampung. Duit lima puluh
ringgit tadi digenggamnya erat.
ALIYAH mula mengatur langkah untuk pulang ke rumah setelah
membeli segala yang diperlukan untuk memasak. Udara pagi itu membuatkan hatinya
lebih tenang. Sepanjang perjalanan itu kicauan burung menjadi penghibur.
Kanak-kanak tidak kurang juga lalu-lalang mengayuh basikal. Senyuman kecil
tampak pada wajahnya. Beberapa baris lirik lagu turut keluar dari mulutnya.
Tiba
di sebuah persimpangan jalan, kelihatan beberapa buah motosikal diparkir elok.
Dan di situ terdapat sekelompok pemuda kampung yang duduk melepak di bawah
pokok buluh sambil menghisap rokok dan yang paling mengejutkan lagi sebotol
arak turut berada berhampiran.
Aliyah berhenti
melangkah seketika. Hatinya seakan gelisah untuk lalu di hadapan mereka. Tetapi
bila teringatkan si ibu tiri yang sedang menunggu di rumah, dia terpaksa memberanikan
diri untuk terus melangkah.
Salah seorang
pemuda yang sedang duduk melepak tadi memandang Aliyah dengan raut wajah yang
agak mengancam sekali apabila Aliyah melintasi mereka. Rokok di hujung mulut
dibuang ke atas tanah lalu dipijak. Matanya kuyu akibat dalam kekhayalan. Dari
atas motosikal yang diduduki, dia turun lalu laju mengekori langkah Aliyah. Lantas
tangan Aliyah dicapai lalu digenggamnya.
“Hai, cik adik.
Jalan seorang aje ke? Kenapa abang tak pernah nampak pun adik sebelum ni?”
Loya rasa tekak Aliyah
mendengar kata-kata pemuda itu tambahan dengan bau asap rokok yang masih
bersisa di mulut dan ditambah pula dengan ‘perfume’
arak cap labu Thailand.
Aliyah masih tidak
bersuara sekadar menarik-narik tangannya daripada genggaman pemuda itu.
“Adik ni nampak
manis lah... nak abang tolong hantar balik rumah tak?”
Aliyah menarik
nafas sedalam-dalamnya. Pemuda yang lain hanya menjadi pemerhati kepada drama
tidak berbayar itu.
“Encik pemuda,
boleh tolong lepaskan saya tak? Sebelum saya ni naik hantu.”
Pemuda di
hadapannya itu ketawa dengan kuat. Barangan basah yang berada di tangannya dilepaskan
begitu sahaja apabila amarah mula menusuk di hati.
“Eh, hantu apa?
Hantu Kak Limah? Hantu pokok pisang? Mana ada hantu siang-siang ni sayang. Hei,
comel betullah adik abang ni bila dia marah. Hehehe... okey abang minta bantuan
ya? Geng! Cik adik ni nak kita tolong hantu-hantukan dia, macam mana?”
Rakan-rakan pemuda
yang duduk melepak berdekatan tersenyum lebar lantas melangkah laju ke arah
mereka berdua.
Aliyah cuba
melepaskan genggaman tangannya tetapi tidak berjaya. Dia sudah tidak sedap
hati. Tenaga pemuda yang tampak selekeh itu sangat kuat.
Ya Allah
lindungilah hambaMu ini daripada perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
Rintihnya di dalam hati.
Pemuda itu dan
rakan-rakannya menarik Aliyah ke bahu jalan dengan kasar. Aliyah harus
bertindak dengan segera sebelum perkara yang tidak diingini berlaku. Perut
pemuda tadi yang berdiri di hadapannya ditendang dengan sekuat hati. Terus
pemuda itu jatuh tersungkur.
Pemuda itu bangkit
berdiri dengan wajah yang cukup marah. Tidak pernah dalam seumur hidupnya
diperlakukan sebegitu rupa. Lebih-lebih lagi daripada seorang perempuan seperti
Aliyah. Sisa muntah yang meleleh di mulutnya diseka. Tangan kirinya masih
menahan perut yang terasa sakit.
Baru sahaja pemuda
itu hendak bersuara tiba-tiba satu balingan yang kuat terkena tepat di
kepalanya. Serta-merta kepalanya dipegang akibat menahan sakit. Seperti ada
sesuatu yang dilontarkan ke arah kepalanya sebentar tadi. Buah jambu yang telah
dimakan separuh kelihatan tergolek di atas jalan. Pemuda itu berpaling ke
belakang apabila mendengar bunyi orang sedang ketawa kecil. Dilihatnya seorang
perempuan sudah mencekak pinggang sambil menggunakan topi biru di atas kepala.
“Hoi! Dasar pemuda
tak ‘BERPERIKEMANUSIAAN’. Cikgu kau tak ajar ke dekat sekolah? Berani sangat
dengan perempuan. Sinilah, lawan dengan aku. Kita tengok siapa yang menangis
pulang ke rumah nanti merengek jumpa mak dia.” Perempuan tadi mula membuka
kuda-kuda.
“Geng! Kau orang
pergi habiskan perempuan di belakang ni. Biar aku kasi settlekan perempuan yang dekat depan ni.” Pemuda itu terus
menyerang.
Rakan-rakan pemuda
tadi mula memegang tangan Aliyah. Aliyah yang masih mempunyai kudrat membuka
silat gayong. Pemuda-pemuda tersebut dapat ditumpaskan dan mereka terus lari
lintang-pukang.
Aliyah berpaling
mencari pasangan yang sedang bertempur di belakangnya. Pemuda tadi sudah
kecundang dek dikerjakan perempuan bertopi biru itu.
“Baru dia tahu
kekuatan wanita terletak di mana. Berani sangat, sinilah. Pengecut!” Perempuan
tadi menjerit lalu mendekati Aliyah. Barang-barang yang terjatuh tadi dikutip.
“Terima kasih,
Nurin.”
Perempuan tadi
tersenyum kecil selepas Aliyah mengucapkan terima kasih kepadanya.
NURIN dan Aliyah lepak sebentar di jambatan gantung selepas
kejadian sebentar tadi. Sudah lama Aliyah tidak meluangkan masanya bersama
rakan persekolahannya itu. Masanya sentiasa disekat oleh Maznah. Jadi agak
susah baginya untuk berjumpa dengan mana-mana rakannya. Tika Aliyah dalam
kesusahan Nurin seoranglah yang menjadi tempat untuk meluahkan segala keperitan
hidup.
“Kau
sepatutnya kena berhati-hati kalau nak berjalan seorang. Nasib baik kau tak
kena ngap dengan samdol-samdol tu semua. Kalau tak... memang kenduri besarlah
mereka tu hari ni,” nasihat Nurin.
“Siapa
lelaki tadi tu? Aku tak pernah tengok pun sebelum ni.”
“Anak
ketua kampung yang baru balik belajar dari luar negara. Aku dengar dia kena
buang sebab ada masalah disiplin. Biasalah orang kita ni bila dah pergi belajar
dekat luar negara mulalah nak lupa diri tu siapa. Jadi sekarang ni dia buat
masalah pula kat kampung kita. Nak tunjuk taiko lah tu. Taiko taik kucing! Muka
aje handsome tapi perangai hampeh. Itulah
kau... asyik terperam aje dalam rumah sampaikan perkembangan kampung ni pun kau
tak tahu.”
“Kau
ingat aku ni ada kebebasan nak keluar rumah ke? Baru nak berjalan sikit dah
kena amuk.” Aliyah mengeluh.
“Masalah
juga kau ni, kan?” Nurin turut mengeluh. “Aku tengok kau ni macam dah tak
terurus, tau tak? Nampak macam kurus sikit dari dulu. Aku kesian tengok kau ni.
Orang mati laki pun tak macam kau ni, tau tak?” sambungnya lagi.
“Sayang
betul, kan? Dulu kau ni seorang pelajar yang cemerlang di sekolah dan sekarang
kau hanya jadi babun untuk si tua nak mampus tu. Sepatutnya kau ni patut pergi
sambung belajar. Bukan jadi hamba abdi dalam kisah dongeng kau ni. Kalaulah aku
ni penulis, dah lama aku buat buku cerita tentang kau untuk tatapan orang.
Jadikan iktibar.”
“Nurin,
walau apapun... dia tu tetap ibu aku juga. Walau sekasar manapun dia terhadap
aku, dia yang membesarkan aku.” Aliyah menegakkan kebenaran. Dia tahu Maznah
sangat bencikan padanya, tetapi Maznah tetap ibu kepadanya.
“Membesarkan
kau ya? Ibu apa macam tu kalau dah menyiksa kau macam orang gaji? Kalau ikutkan
aku, aku balas balik apa yang dia dah buat.” Perasaan marah jelas terpancar
pada wajah Nurin. Dia tidak suka apabila rakan karibnya itu diperlakukan
sedemikian.
Dulu pernah Nurin
berbuat jahat disebabkan dia begitu sakit hati dengan Maznah yang telah
merosakkan kerja-kerja seni Aliyah. Dia meletakkan warna air berwarna coklat di
atas kerusi yang diduduki oleh Maznah ketika kenduri kahwin. Waktu tu memang
riuh satu kampung mengatakan Maznah
tercirit di dalam seluar. Gila malu!
Nurin
tersenyum sendiri apabila mengenangkan kejadian itu. Dia terkejut apabila
terasa bahunya disentuh. Segera dia
merenung wajah itu kembali.
“Aliyah,
aku rasa lebih baik kau pergi ke bandar cari kerja atau sambung belajar. Aku
boleh tolong kau lari dari rumah tu kalau kau nak daripada kau duduk di kampung
terseksa begini. Kau boleh ikut Daim di bandar. Kewangan dia sekarang lumayan.”
Kedua-dua belah tangan Aliyah digenggam erat.
“Kau
ni dah macam ayah aku pulak,” keluh Aliyah.
Belum
sempat Nurin membalas, datang sebuah motosikal di hadapan mereka berdua.
Kedua-dua mereka terkejut mendengar motosikal yang berbunyi seperti kenderaan
yang sesak nafas. Yang membonceng motosikal itu pula adalah Atira bersama
seorang lelaki yang boleh tahan bergaya juga rupanya. Tapi kalau dah perangai cibai baik tak payah.
Aliyah membulatkan
matanya. Dia terlupa yang dia seharusnya pulang dengan segera untuk memasak.
Motosikal itu
berhenti tidak jauh daripada mereka berdua.
“Ooo,
sini rupanya kau ya? Aku bagi tahu mak. Siap lah kau dekat rumah nanti.” Atira
menjelir sambil senyum perli.
Motosikal itu
terus meninggalkan mereka berdua bersama asap tebal yang keluar dari ekzos.
“Okey
lah Nurin... aku balik dulu. Nanti mak cik marahkan aku pulak.”
“Baiklah,
kalau mak cik tua tu seksa kau lagi bagi aje tahu aku. Nanti aku balas
perbuatan dia tu. Aku bagi dia penangan sesiku L.” Buku lima Nurin
ditumbuk-tumbuk ke atas tapak tangan kiri.
“Eh,
dah la tu. Okey aku balik dulu.” Aliyah terus pantas membuka langkah.
TAMPARAN sudah melekat pada wajah Aliyah. Dia terduduk menahan
pedih.
Atira
sedari tadi hanya ketawa melihat perlakuan Maznah kepada dirinya. Dia tidak
akan sesekali mengalirkan air mata disebabkan perkara yang remah ini. Dia harus
kuat. Mungkin ini memang salahnya kerana terlalu leka di jalan.
“Aku
suruh kau beli barang dapur bukan pergi merayap.” Telinga Aliyah ditarik sekuat
hati.
Air mata ditahan
di kelopak mata. Dia tidak mahu menjadi seorang yang mudah untuk menangis.
Cengeng.
Maznah menarik
telinga Aliyah ke atas membuatkan tubuh Aliyah turut berdiri. Hati yang membara
membuatkan dia menolak Aliyah ke belakang.
Tubuh Aliyah terus
menyembah lantai. Sikunya terkena paku yang tajam di sebalik tiang. Terasa
perit sekali saat itu. Darah mula membuak keluar.
Maznah mengeluh
kemudian lari ke ruang tamu.
“Lain
kali kalau mak aku suruh kau buat kerja, kau buat aje lah. Jangan nak merayap ke
hulu hilir.” Kepala Aliyah dipukul kuat oleh Atira.
‘Kata orang aje
melebih. Dia tu tak merayap dengan lelaki ke tadi? Memang budak yang tak sedar
diri. Nak aje aku sumbat mulut dia dengan paha ayam tu.’ Kata-kata itu hanya
terbit di hati sahaja. Tidak mampu untuk menambah amarah di dalam diri dua
beranak itu.
“Sakit...”
rintihnya. Tubuhnya dicuba untuk bangun.
“Eee,
sakit ye? Ala-ala kesiannya. Dah cepat pergi masak aku nak makan. Nanti kalau
aku datang sini lagi dan masih belum ada apa-apa atas meja, terimalah
akibatnya.” Hentakkan kaki Atira membuatkan lantai simen itu berbunyi.
Luka di siku amat
perit sekali. Aliyah bangun pergi ke sinki lalu dicuci sebersihnya dengan air.
Kain putih berhampiran dicapai dan dikoyak. Sikunya dibalut penuh cermat. Tidak
mahu luka dijangkiti kuman.
0 comments:
Post a Comment