SUASANA pada malam itu begitu sunyi. Tiada bunyi bising melainkan
bunyi cengkerik yang sedang menyanyikan lagu Selamat Malam nyanyian Faizal
Tahir.
Adakah cengkerik
nyanyi lagu tu?
Argh! Imaginasinya
terlalu kuat.
Siku yang masih
dibaluti kain putih disentuh perlahan. Masih terasa berdenyut-denyut. Dulu dia
pernah berniat untuk melawan kekerasan yang berlaku terhadap dirinya tetapi dia
tidak mampu.
Dia
memicit-micit kepalanya walaupun tidak pening. Mungkin terlalu penat melakukan
pekerjaan dari pagi hingga ke malam. Kemudian bahagian tengkuknya di urut
perlahan-lahan. Amat terasa kepenatannya.
Dari
tingkap, dia mula bergerak lalu berdiri di hadapan cermin bersebelahan katil ayahnya.
Bawah matanya nampak kehitaman. Kemudian cermin tersebut disentuh perlahan. Dibelai
wajahnya sendiri di dalam cermin tersebut. Senyuman manis terserlah sehingga
menampakkan lesung pipit di bahagian pipi.
“Wahai
cermin sakti, siapakah orang yang paling gedik di dalam rumah ni? Semestinya
Atira lah.” Gaya Atira ditiru. Dia ketawa sendiri. Tetapi agak perlahan
takut-takut ayahnya terjaga dari tidur.
Cermin itu
dibelainya lagi.
“Wahai
cermin sakti siapakah orang yang paling garang di dalam rumah ni?”
“Aliyah!”
Macam tahu-tahu
aje nama dia bakal disebut. Memang betul cermin ini cermin sakti.
Kaki Aliyah terus
melangkah keluar dari bilik. Matanya melilau mencari-cari bayangan Maznah.
Dilihat wanita itu sedang duduk santai di kerusi di ruang tamu bersama puteri
katak yang sedang melingkar mencerminkan diri.
“Ada
apa mak cik? Kalau mak cik nak cakap pasal kerja rumah semua saya dah siapkan.”
Aliyah mendekat lagi kepada Maznah yang sedang memandangnya. Matanya tajam
lebih tajam daripada mata pedang. Air liur ditelan sehingga menghasilkan bunyi.
“Bukan
pasal kerja rumah ni lah. Aku belum cakap apa-apa kau dah merapu. Huh, memang
patut kau jadi anak Kartini. Dua beranak sama aje. Aku dengar yang kau ni nak
pergi ke bandar, betul ke?”
“Eh,
tak ada lah mak cik! Sebenarnya ayah yang cadang macam tu. Saya memang tak nak
pergi pun. Kalau saya nak pergi pun mesti mak cik tak bagi, kan?” Aliyah
menggeleng perlahan.
Kepanasan ruang
tamu itu membuatkan tubuhnya mula berpeluh. Ditambah pula dengan suara Maznah
yang berbicara mengalahkan suara Ning Baizura.
“Kau
ni memang suka buat darah aku ni naik kan? Ada ke aku cakap yang aku tak suruh
kau pergi ke bandar? Ada? Ada aku cakap macam tu? Jadi kalau aku tanya jangan
nak melebih. Memandangkan duit pencen ayah kau tu dah tak dapat nak menampung
kita... aku nak hujung minggu ni kau pergi ke bandar cari kerja. Lepas tu, duit
gaji bulanan yang kau dapat kau kirimkan dekat aku.” Suara itu kedengaran
tegas.
“Tapi
mak cik... saya tak boleh nak tinggalkan ayah. Kalau saya pergi nanti siapa nak
jaga ayah? Ada ke orang nak jaga ayah nanti?”
Atira
terus menempik. “Hei, sedapnya mulut kau tu bercakap. Kau ingat aku ni tak
boleh nak jaga ayah kau tu? Tengok kakilah.”
“Hei, kau ingat
kami ni tak mampu nak jaga ayah kau tu? Selama ni kalau aku tak beli barang
dapur tak makan ayah kau tu, tau tak? Aku tak kira apapun alasan kau tu... yang
aku tahu kau mesti pergi juga ke bandar cari duit lebih kalau kau nak hidup.”
Mata tajam Maznah mencerlung ke arah Aliyah.
Aliyah berat hati
untuk meninggalkan ayahnya bersama dua ekor makhluk yang tidak berperasaan itu.
Apa akan terjadi apabila ayahnya ditinggalkan dengan mereka nanti?
“Memaksa
betullah pemaisuri ni.” Dia menggumam sendiri.
“Apa
kau cakap tadi?”
“Tak...
saya cakap... kalau saya di bandar nanti saya nak kerja apa?” Nasib baik
kata-katanya tadi tidak didengari oleh Maznah. Kalau tidak gugur rambut kerana
terkejut dengan pekikan suara Maznah itu.
“Kau
tanyalah dengan Pak Long kau tu. Aku tak nak ambik tau... yang penting kau
pastikan duit mesti ada setiap bulan pada tangan aku. Kalau tak, ayah kau mati
tak makan.”
“Minah senget, kau pergi aje lah! Sibuk lagi
nak tanya kerja apa.” Puteri katak menyampuk. Dari tadi dia asyik mencerminkan
diri dan lepas itu memicit jerawat yang ada pada muka.
“Apa
kata kau jadi aje pelajur senang cerita. Dapat gaji lebih,” tambah Atira lagi.
“Astaghfirullahalazim...
takkan saya nak pilih kerja yang terkutuk macam tu? Berdosa. Lagipun takkan
saya nak bagi ayah makan duit haram dari hasil pekerjaan yang tak halal?”
Puteri katak ni memang dah melampau. Kalau tak mengenangkan Atira ni sebagai
ahli keluarga, sudah lama lidahnya
hilang dikerat dan beri makan ayam.
“Eh,
kau ingat kau tu baik sangat ke? Kau sama aje macam mak kau tu.”
“Atira.”
Jelingan Maznah membuatkan Atira terdiam. Nampak sangat kelihatan bengang muka
si puteri katak tu apabila ditegur oleh ibunya.
“Aliyah,
kau dengar sini baik-baik. Aku cakap sekali aje ni. Aku nak kau pergi cari
kerja dekat bandar tu tak kira kerja apa sekalipun... yang penting kau mesti
dapatkan duit sebelum ayah kau tu jadi lebih teruk. Ingat!” Maznah bangkit dari
kerusinya lalu melangkah menuju ke dapur.
ALIYAH curi-curi keluar dari rumah. Dia perlu berjumpa dengan
Nurin untuk meminta pendapat. Matanya lesu akibat tidak dapat tidur dengan lena
kerana asyik memikirkan masalah tersebut. Apa yang dicadangkan oleh Maznah
semalam sangat mengganggu fikirannya.
“Gila?
Biar betul minah tu cakap macam tu? Eee,
langau betul mulut dia tu. Yang kau tak pergi lawan dia tu apasal? Kalau aku...
dah lama dia tu rongak sebab tak pandai nak jaga mulut.” Nurin geram dengan apa
yang dikatakan oleh Aliyah mengenai pekerjaan yang dicadangkan oleh Atira
semalam. Mulutnya kumat-kumit mengomel.
“Aku
datang bukan nak dengar kau membebel, Nurin. Aku datang sini nak minta pendapat
kau. Macam mana dan apa yang patut aku buat sekarang ni?”
“Hmm...
aku rasa lagi elok kau pergi aje. Sebab bila kau pergi, kau akan bebas daripada
diseksa oleh langau tahi dengan mak dia tu.” Nurin duduk di birai katil.
“Tapi
masalahnya aku risau kalau ayah aku tak dijaga dengan elok. Dan kalau aku tetap
berdegil kemungkinan ayah aku yang akan jadi mangsa pula nanti. Semalaman aku
pening memikirkan masalah ini. Aku harap sangat pertolongan daripada kau. Tapi
kau pula membebel macam mak nenek.” Aliyah turut menyertai melabuhkan
punggungnya bersebelahan dengan Nurin.
“Kau
nak pertolongan apa dari aku? Aku rasa kau patut pergi aje ke bandar. Itu aje
yang aku dapat nak tolong kau. Lagipun kau tak lah terseksa sepanjang masa oleh
langau tahi tu. Muka aje cantik tapi hati macam tahi.” Tilam itu dipukul sekuat
hati. Kalaulah Atira ada di hadapannya itu sudah lama dikerjakannya.
“Aku
takut lah, Nurin.”
“Apa
yang kau nak takutkan? Pak Long kau tu kan ada. Mana tahu bila kau kerja kat
sana nanti kau boleh jumpa dengan mamat yang handsome mengalahkan pelakon Korea. Lepas tu kau orang pun
berkahwin dan dapat anak yang cute gila. Oh, seronoknya hati. Lagipun kau ni
cantik apa? Lepas tu pandai pulak. Bertuah siapa yang dapat kau.”
Aliyah ternganga
melihat gelagat Nurin.
“Yang
kau melalut sampai ke situ buat apa? Aku cuma minta pendapat kau aje... bukan
cari calon apa semua tu. Isy...” Aliyah mencebik. M
“Aliyah...
kau dengar cakap aku. Percayalah pada diri kau sendiri. Aku yakin suatu hari
nanti kau akan berjaya dan tersenyum sepanjang masa.”
“Haa, bagi
menghilangkan rasa runsing kau apa kata kau nyanyi? Suara kau kan sedap?
Lagipun dah lama aku tak dengar kau nyanyi. Lepas tu kita boleh upload dekat Youtube, amacam? Kita kan dah lama tak buat kerja upload mengupload video ni. Mana tahu lepas ni kau jadi ghetis macam artis popular Youtube dekat Malaysia ni pula. Tak
payah susah-susah kau nak cari kerja dah.”
“Hei,
kau ni kan! Tak naklah aku buat kerja tu lagi. Aku dah nak kena balik dah ni.
Lagipun aku datang sini pun curi-curi keluar tadi semata-mata nak jumpa kau.
Tapi kau tak membantu aku langsung.” Aliyah berdiri namun tangannya ditarik
oleh Nurin. Punggungnya duduk kembali di birai katil yang masih lagi hangat.
“Pedulikan
pemaisuri tu, kita enjoy dulu.”
Aliyah terpaksa
akur dengan kehendak Nurin yang seakan-akan berkeras dengan apa yang ingin dia
lakukan itu.
Gitar yang berada di tepi katil
diambil dan dipetik. Webcam mula
merakam aksi mereka berdua. Memang seronok kerana sudah lama dia tidak
melakukan perkara seperti ini. Lagu 150 Juta dinyanyikannya.
“MAK CIK, saya dah buat keputusan. Saya akan pergi ke rumah Pak
Long untuk cari kerja.”
Maznah memandang
susuk tubuh Aliyah dari bawah ke atas.
“Tapi
mak cik mesti janji yang mak cik kena jaga ayah dengan betul. Kena sentiasa
urutkan kaki ayah. Kena bagi ayah makan ubat,” sambung Aliyah lagi.
“Itu
aje? Baik! Asalkan kau dapat beri apa yang aku nak. Pasti ayah kau dijamin
selamat.” Maznah meninggalkan Aliyah yang berdiri di hadapan sinki.
SEAWAL pagi Aliyah sudah bersiap. Dia hendak mencari teksi di perhentian
bas yang agak jauh dari rumahnya. Dia
harus sampai ke Kuala Lumpur dalam waktu tengah hari.
Haji Amran sudah
duduk di kerusi roda di hadapan pintu bersama Maznah dan Atira. Aliyah datang
dari dalam rumah sambil membawa bagasi milik ayahnya. Bagasi tersebut
kemudiannya diletakkan ke tanah.
Aliyah mengenakan
baju kurung pink. Rambutnya dibiarkan
terurai melepasi paras bahu. Dia mendekati ayahnya yang duduk di atas kerusi
roda sambil tersenyum.
“Ayah,
Aliyah pergi dulu tau? Ayah jaga diri baik-baik ya?” Salaman dihulur. Tangan ayahnya
dikucup agak lama. Berat hatinya untuk meninggalkan lelaki itu.
“Mak
cik tolong jaga ayah ya?” pintanya sayu.
“Kan
ayah dah cakap tak payah risau pasal ayah. Ni ada duit sikit untuk kamu buat
belanja dekat sana.” Tangan Aliyah digenggam seerat-eratnya oleh Haji Amran.
Maznah menjeling
tajam. “Yelah, pergi lah cepat nanti lambat pulak kau sampai.”
Aliyah melepas
genggaman Haji Amran dan bersalaman dengan Maznah.
Maznah mencebik
mukanya apabila bersalaman dengan Aliyah. Kalau tak fasal rancangan ni tak
kuasa untuk dia bersalaman dengan keturunan Kartini ni.
Aliyah berpaling
kepada Atira dan menghulurkan tangannya kepada gadis itu.
“Just go.” Atira tidak menyambut salaman itu.
Aliyah akur. Dia
mula menuruni anak tangga sambil melambai-lambai tangan tanda mengucapkan
selamat tinggal. Atira hanya mencebik. Wajah Haji Amran dipandang seketika dan
meneruskan langkahnya sehinggalah ke perhentian bas.
Dia
mengambil tempat di bangku sambil memandang ke kiri dan ke kanan. Kelibat teksi
langsung tidak kelihatan.
Ketika dia
memandang ke sebelah kiri ada satu lambaian yang tidak jelas dari jarak yang
agak jauh melambai ke arahnya. Semakin dekat jarak orang itu semakin dia ketahui
siapa gerangan yang melambai ke arahnya tadi. Dia tersenyum kecil.
“Tadi aku pergi ke
rumah kau. Tapi aku tengok kau dah tak ada. Jadi aku kejar kau sampai ke sini.
Nasib baik sempat,” ucap Nurin yang kepenatan berlari sebentar tadi. Peluh yang
mula merinik di dahinya dilap dengan telapak tangan.
“Buat
susah-susah aje datang jumpa aku...”
“Ah,
sikit aje ni. Haa, nanti kalau kau sampai sana kau call aku tau?” Nurin mengipas-ngipaskan diri menggunakan baju yang
tersarung di tubuh.
“Aku
nak call kau pakai apa?” Aliah menngaru
kepalanya walaupun tidak gatal.
“Cik
Aliyah hoi! Ini kan zaman moden? Ha, ni kau pakai telefon lama aku. Masih elok
lagi ni. Dan nombor telefon Daim pun ada dalam tu. Jadi kalau kau senang-senang
tu kau cubalah telefon dia.” Telefon nokia 101 yang berada di dalam kotak dihulurkan
kepada Aliyah.
Aliyah
teragak-agak untuk mengambilnya.
“Isy...
nah! Kau pakai aje. Aku ni kan kaya.” Telefon tadi diletakkan di tapak tangan
Aliyah.
Memang benar Nurin
dari keluarga yang berada. Sejak dari sekolah lagi Nurinlah yang selalu
belanjanya makan ketika dia ada masalah kewangan.
“Terima
kasih, Nurin. Kau banyak dah tolong aku. Aku berhutang budi sangat dengan kau.”
Tangan Nurin digenggam erat. Mata mereka bertentang antara satu sama lain. Mata
Aliyah mula berkaca.
“Tak
apa... yang penting kau lari daripada permaisuri dengan langau tahi tu. Jangan
lupa beri nombor lelaki yang handsome
pada aku. Itu caranya kau membalas jasa aku selama ni.” Mereka berdua ketawa.
“Bukan
kau suka dengan Daim ke?”
“Isy,
mulut kau..” Nurin tersenyum sendiri.
“Ha,
tu ada teksi!” Nurin melambai-lambaikan tangan. Kemudian teksi itu berhenti di
hadapan mereka.
“Hei
abang, kalau ada apa-apa yang terjadi kepada kawan saya ni. Abanglah orang
pertama yang saya cari, tau tak?” pesan Nurin sambil mempamerkan wajah yang
serius. Si pemandu teksi itu hanya mengangguk lalu masuk ke dalam perut teksi
sambil tersenyum.
MATA Aliyah membulat melihat keadaan rumah pak longnya, Fajar
yang sangat cantik sekali. Dia menapak perlahan menuju ke ruang tamu dan duduk
di sofa yang empuk. Matanya masih memandang sekeliling.
“Aliyah,
mari Mak Long tunjukkan bilik kamu,” ucap Rasyidah yang muncul dari dapur
bersama senyuman manis.
Aliyah mengekor Mak
Longnya menaiki tangga ke tingkat atas.
Rasyidah
menunjukkan bilik yang berhampiran dengan tangga kepada Aliyah. Bilik itu
dibuka perlahan.
Aliyah
meletakkan bagasinya di tepi katil. Tangannya menjamah-jamah cadar yang lembut.
Kalau tidur sekarang sampai pagi esok pun tak bangun-bangun ni.
Rasyidah yang
berada di hadapan pintu memerhatikan tingkah Aliyah. Hatinya sayu melihat
Aliyah.
“Kamu
kemas lah barang kamu dulu... Mak Long nak siapkan makanan. Nanti kamu turun
makan, ya?”
Aliyah mengangguk
perlahan.
Rasyidah menutup
pintu sebaik sahaja dia keluar.
Tubuh Aliyah
perlahan-lahan dibaringkan ke atas katil yang empuk itu. Matanya memandang
siling putih dan kipas yang berpusing. Sebaik sahaja dia memandang kipas
tersebut teringat pula kipas yang ada di dalam bilik Haji Amran. Jauh berbeza.
Dia teringat pula
akan pemberian Nurin ketika di perhentian bas. Telefon bimbit yang masih berada
di dalam kotak segera dikeluarkan lalu dihidupkan.
Dia
melihat satu-persatu nombor di dalam telefon tersebut. Nama Nurin dicari dengan
teliti. Dia menekan butang dail pada permukaan keypad apabila melihat nama Nurin terpapar. Panggilan pertama agak
lama untuk diangkat.
“Helo,
Nurin. Kau ke?”
“Ye,
kau dah sampai ke?”
Suara Nurin agak
lain kedengaran. Dahinya berkerut. “Nurin kau okey ke? Kau nangis ye?”
“Tak
lah... aku cuma selesema sebab terkena hujan tadi selepas hantar kau. Macam
mana, okey tak?”
“Okey.
Nurin... sorry buat kau sakit.”
“Tak
apa aku okey. Baiklah, aku nak makan ni. Nanti lah kita sembang lagi. Bye.”
Panggilan
terus ditamatkan.
Cuba telefon rumah
ayahnya pula. Lama talian itu menanti untuk diangkat. Dia mengeluh apabila
taliannya tidak dijawab.
Tanpa
berlengah, dia mengemas semua barang-barangnya. Bagasi diletakkan di bawah
katil apabila semua pakaian sudah dipunggah keluar. Gambar arwah ibunya yang
sudah ronyok dipandang lama. Ini semua gara-gara permaisuri jahat tu! Terus dia
mengeluarkan pula diari yang ditinggal oleh ibunya kepadanya. Dengan diari
itulah dia meluahkan isi hati. Gambar arwah ibunya diselitkan ke dalam diari
itu.
Dia
bangkit dari katil dan meletakkan gambar serta diari tersebut di bawah bantal
lalu menapak turun ke bawah. Dia menuju ke arah dapur di mana Mak Longnya sudah
meletakkan makanan di atas meja.
“Wah
dah siap? Baru nak tolong tadi.”
“Tak
apalah, Aliyah. Lagipun Mak Long dah biasa buat kerja ni sorang-sorang. Memang
dah tanggungjawab Mak Long buat kerja rumah ni. Lagipun Mak Long ni mana ada
anak perempuan.”
“Kenapa
Mak Long tak ambil pembantu rumah aje?”
“Mak
Long tak minat sangat nak upah maid ni
sebenarnya. Lagipun sekarang ni banyak dah melibatkan kes-kes orang gaji
mencuri barang majikan. Mak Long tak nak kes itu menimpa keluarga ni. Cukuplah
hanya Mak Long seorang yang menjaga Pak Long kamu tu,” ujar Rasyidah sambil
tersenyum lebar di hujung ayat.
“Sebab
itulah Pak Long sayang sangat dengan Mak Long kau ni. Sampaikan Pak Long tak
boleh nak berpisah dengan dia, macam belangkas.” Suara Fajar kedengaran
menyampuk tiba-tiba.
“Isy,
awak ni! Depan budak pun nak cakap macam tu.”
“Tak
apa. Biar Aliyah tahu betapa tulusnya cinta Pak Long kepada Mak Long dia ni.”
Raut wajah Fajar begitu mendalami ayat-ayat cintanya.
“Alahai
awak ni... dah jangan nak merepek sekarang! Mari duduk makan.”
Fajar masih
tersenyum. Dia mengambil tempat berhampiran isterinya.
Aliyah
duduk dengan sopan di hadapan pasangan itu. Dia memerhati lauk yang tersedia di
atas meja begitu enak sekali. Tiba-tiba air matanya terasa hendak membanjiri
sekitar dapur. Lantas dia menyeka sepantasnya.
“Aliyah,
kenapa ni? Kamu tak suka ke apa yang Mak Long sediakan ni?” soal Fajar yang
tiba-tiba terpandang wajah anak saudaranya yang kesedihan itu.
Aliyah menggeleng.
Tangan yang sebentar tadi dibasahi air kini kembali kering.
“Dah.
Tak payah nak fikir apa-apa. Kamu makan aje. Tak baik bersedih depan rezeki ni.
Nanti Pak Long tolong kamu dapatkan kerja.”
Aliyah kembali
tersenyum.
0 comments:
Post a Comment