"Mak! Oh
mak!"
Maisara menjerit-jerit kuat,
memanggil-manggil ibunya. Kasut ditanggalkan dan diletakkan di dalam kotak di
belakang pintu rumah kayu itu. Matanya melilau mencari kelibat si ibu tetapi
langsung tidak kelihatan.
"Mana mak ni?"
Maisara masuk ke dalam dapur, ibunya tiada juga di situ.
Dia terpandang pucuk ubi yang berada
di dalam besen berhampiran dengan sinki. Pucuk ubi segar itu sudah pasti
dipetik daripada kebun Mak Som, orang tua baik hati yang selalu membantunya sekeluarga.
"Kamu dah balik,
Maisara?"
Maisara menoleh saat mendengar
suara ibunya menegur. Suara yang seperti biasa, lembut dan penuh kasih.
"A'ah! Baru balik,"
jawabnya ringkas. Wajah si ibu diperhati. Ibunya nampak penat sekali,
seolah-olah baru sahaja melakukan kerja yang sangat berat.
"Mak dari mana? Macam
penat je." Dia menarik kerusi yang berhampiran. Disuruhnya si ibu duduk di
atas kerusi tersebut. Kasihan ibunya, letih benar nampaknya.
"Dari rumah Mak Su kamu.
Dia suruh mak tebas semak samun belakang rumah dia tu haaa! Banyak ular di situ
katanya."
"Apa?" Maisara rasa
berang tiba-tiba. Tahu banyak ular di situ, kenapa ibunya yang disuruh menebas?
Kenapa tidak upah sahaja pekerja lelaki yang lain? Sengaja betul Mak Su Kiahnya
itu! Sengaja hendak menyusahkan keluarganya.
"Mak Su kamu cakap dia
tiada duit nak upah orang. Jadi dia mintalah mak tolong dia." Lembut
sahaja suara si ibu menutur bicara.
Maisara mendengus kasar. Mak Su
tiada duit nak upah orang? Penipu besar!
"Mak, Mak Su tu penipu!
Dia sengaja nak susahkan mak. Upah orang
tebas rumput tak boleh, tapi tiap hari pergi shopping beli baju baru, perabot baru, boleh pulak!" Maisara
bersuara bengkeng, marah benar rasa hatinya. Mentang-mentang keluarganya miskin
dan susah, sesuka hati orang sahaja hendak mengarah itu dan ini. Mungkin ibunya
dapat terima tapi tidak padanya.
"Tak apalah,
Maisara." Ibunya masih berlembut hati.
Maisara mendengus kasar. Kenapalah
ibunya terlalu baik hati? Zaman sekarang, buat baik berpada-pada. Silap hari
bulan, kena pijak kepala. Orang zaman sekarang suka mengambil kesempatan,
lebih-lebih lagi terhadap mereka yang hidup susah dan mudah mengalah.
"Mak, ini bukan kali
pertama dia orang buat mak macam ni tau? Selalu sangat dah! Mak janganlah jadi
pak turut saja. Kita pun ada harga diri dan maruah, mak. Sara tak suka dekat
Mak Su tu." Maisara mencebik bibir. Hatinya jengkel membayangkan wanita
berlagak diva itu. Bertudung tapi menampakkan rambut, entah mazhab mana
diikutnya?
Maisara mengetap bibir, geram.
"Biarlah, mak hanya ada
tiga beradik saja. Pak Long dan Mak Su kamu tu sajalah yang ada." Halimah
nampaknya langsung tidak kisah diperlakukan sesuka hati oleh si adik bongsu.
Maisara mendiamkan diri. Memang
hanya mereka saudara terdekat yang ada. Ibunya memang benar. Tetapi Maisara
tidak dapat menerima cara mereka melayan ibunya. Umpama melayan orang gaji yang
tidak bergaji. Atau lebih tepat, hamba mungkin? Dan mereka perlu tahu, ibunya
bukan orang gaji percuma kepada orang lain.
"Orang lain bertudung dan berbaju
kurung datang kenduri ke rumah aku. Kau datang dengan jeans dan T-shirt? Tak
beradab betul anak perempuan Limah ni. Langsung tak hormat majlis orang. Mak bapak
pula langsung tak pandai ajar anak suruh berpakaian elok sikit."
"Kau tak layak bergaul
dengan anak-anak aku! Nanti mereka jadi ahli neraka macam kau!"
Kata-kata pedas Mak Su Kiah itu
sampai sekarang masih terngiang-ngiang di telinga Maisara. Mengenangkan
kata-kata orang tua itu, dia tersenyum sinis. Betapa mudahnya orang tua yang
gemar bersanggul senget itu melabelkan orang lain sebagai ahli neraka. Tetapi dia
langsung tidak peduli tentang itu kerana sejak kecil dia sudah digelar sebegitu
sehinggakan dia sudah terbiasa. Namun sesekali, terbit juga rasa marah.
"Aku ahli neraka? Dia?
Ahli syurga? Tutup aurat pun masih tak betul! Tudung protactor!" Maisara tergelak kecil saat menyebut perkataan “tudung
protactor" yang bermaksud tudung
yang menutup sebahagian rambut sahaja itu. Haikal, adik bongsunyalah yang
menggelarkan Mak Su mereka dengan gelaran tersebut setiap kali si kecil itu
melihat Mak Su Kiah menyarung tudung yang mendedahkan sebahagian rambut. Dan
ianya kedengaran sangat melucukan. Haikal memang kreatif!
"Haaa! Gelak sorang-sorang tu dah kenapa?" Si
ibu mengerutkan kening, hairan melihat telatah anak gadisnya. Entah apa yang
begitu menggelikan hati anak daranya sampai tergelak seorang diri.
"Tak ada apa, mak. Astalavista!" Pipi ibunya dikucup
sebelum Maisara berlari menuju ke biliknya. Sempat gadis itu mengenyitkan
sebelah mata ke arah si ibu sebelum menghilang di balik pintu.
Begnya dicampak ke atas katil
sebaik sahaja masuk ke dalam bilik kecilnya. Punggung dilabuhkan di atas kerusi
berhampiran dengan meja kayu; meja yang menjadi tempatnya menyusun buku-buku
yang dibeli. Keluarganya faham benar akan hobinya yang gemar membaca buku tidak
kiralah buku yang ditulis dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Oleh
sebab itu, gadis itu mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan agak baik sehingga
kadang-kadang ketika berbicara dengan ibu dan bapanya, terkeluar Bahasa
Inggeris dari mulutnya. Terpinga-pinga si ibu dan si bapa dibuatnya.
"Huh, lenguh tengkuk
aku!" Maisara mengurut-urut bahagian tengkuknya. Kakinya juga terasa
sakit. Agak lenguh rasanya. Mungkin disebabkan terlalu lama berdiri ketika
berniaga ikan di pasar pagi tadi.
Bukan mudah berniaga ikan di
pasar. Kalau tidak cekap dan tangkas, memang pelanggan akan lari ke gerai lain.
Pernah dia berdiri selama empat jam gara-gara melayan pelanggan yang tidak putus-putus
datang membeli. Mengenangkan perkara itu, dia mengeluh kecil. Sudah tiba
masanya untuk berhenti memikirkan soal kerja. Cukup sudah dia kepenatan di
pasar tadi.
Dia menggapai buku Langit Ilahi
yang tersusun rapi bersama buku-buku yang lain di atas meja. Buku yang tebal
itu dibelek-belek perlahan.
Dia tersenyum kecil. Buku itu
dibeli hasil duit gajinya berniaga ikan dengan Tauke Wong di pasar. Ya, dia
mungkin nampak jahil tetapi keinginan untuk menjadi muslim yang baik sentiasa
ada di dalam hati, walau sekelumit cuma.
"Maisara, Alia datang nak
jumpa kamu!" Suara ibunya jelas kedengaran dari arah ruang tamu.
Maisara mengeluh kecil.
Alia datang? Tidak lain tidak
bukan pasti gadis berkulit cerah itu ada masalah dengan teman lelakinya. Masak
benar dengan perangai Alia. Mana taknya, mereka berdua sudah berteman sejak
tadika lagi dan persahabatan itu tetap bertahan sehingga mereka berdua selesai
belajar di Tingkatan Enam Atas. Perangai Alia itu sudah dihafal benar olehnya.
Kedengaran bunyi pintu dibuka
dan seorang gadis bertudung ungu tercegat berdiri di hadapan biliknya.
"Maisara!"
"Haaa! Apa lagi masalah
kali ni?" Maisara menyoal malas, matanya masih merenung buku-buku yang
tersusun di atas meja.
"Adli tu! Sampai hati dia
tak ingat birthday aku. Sedangkan aku
tak pernah lupa birthday dia."
Alia bersuara geram. Habis bantal Maisara dilontarkannya ke atas lantai.
"Aku malas nak komen."
Maisara membalas acuh tak acuh.
"Maisara, tolonglah aku!
Si Adli tu macam dah tak pedulikan aku lagi. Masak aku kalau terus macam ni.
Aku saja yang nampak terhegeh-hegeh dekat dia, dia pula? Langsung tak pernah
nak hagai aku. Boleh pula dia pergi berkepit dengan sepupu engkau, si Aqila tu.
Langsung tak fikir perasaan aku. Dia buat sesuka hati dia saja. Menyampah
betul!" Alia melabuhkan punggungnya di atas katil Maisara. Bibirnya
diketap geram.
"Bukannya mati pun kau
kalau dia tak pedulikan kau. Relakslah babe!
Dia bukan suami kau pun. Dan kalau kau sudah menyampah tahap dewa kat dia, apa
lagi nak ditunggu? Tinggalkan saja, habis cerita. Hati kau pun tak sakit!"
"Eleh, kau cakap
senanglah! Bukan kau yang rasa."
Maisara menggeleng-geleng
perlahan. Wajah kawan baiknya diperhati.
Dia cukup hairan, kenapa gadis
secantik Alia sanggup memperbodohkan diri hanya kerana seorang lelaki playboy seperti Adli? Rupa sahaja kacak
tetapi perempuan keliling pinggang. Sesuka hati mempermainkan perasaan anak
dara orang. Esok-esok, bila si Adli playboy
itu sudah mempunyai anak dara sendiri, dia tahulah bagaimana rasanya bila anak
dia pula yang dipermainkan.
Allah itu Maha Adil. Apa yang
kita lakukan pada orang, itulah yang akan berlaku kepada kita di kemudian hari.
Kalau tidak kepada diri kita, anak cucu kita akan kena. Siapa tahu?
Maisara teringatkan satu
kata-kata yang pernah dibaca olehnya dan kata-kata itu khas untuk lelaki kaki
perempuan seperti Adli.
Lelaki,
kalian perlu tahu. Gadis yang kalian permainkan hatinya itu, merupakan anak
gadis yang bermati-matian dibahagiakan oleh bapanya.
Entah di mana dia membacanya, dia
sendiri sudah terlupa. Teringin benar rasanya hendak menampal kata-kata itu di
dahi lelaki bernama Adli, biar sedar diri sedikit.
Maisara merenung wajah Alia
yang bujur sirih dan manis bertudung.
Cantik! Tapi sayangnya, Alia
tidak pernah menghargai nilai sehelai kain di atas kepalanya. Malah, lebih suka
membiarkan dirinya dilukakan dan dipermainkan sesuka hati oleh Adli gara-gara
buta kerana cinta.
Maisara tersenyum kecil, wajah
Alia diperhati penuh perhatian.
"Kau nak tau tak? Kau tu
dah cantik sangat dengan hijab yang kau pakai tu. Tapi sayangnya, kau dah
cemarkan semua tu.” Dia bersuara perlahan, nadanya sedikit kesal dan kecewa.
"Maksud kau?" Alia
mengerutkan dahinya, tidak mengerti maksud tersirat di sebalik kata-kata
Maisara.
"Bukankah seorang muslimah
tu sepatutnya menjaga diri daripada berhubungan dengan lelaki yang belum halal
baginya?" Maisara mengutarakan soalan yang agak pedas kepada Alia,
menyebabkan teman baiknya itu kelihatan terkesima seketika. Berkelip-kelip mata
gadis itu merenungnya.
"Cinta itu kan fitrah. Tak
salah!" Alia cuba mempertahankan dirinya, suaranya cukup sinis.
"Memang fitrah tapi kalau
salah caranya, cinta itu akan jadi fitnah! Pendek cerita, kau bacalah buku
Cinta High Class yang ditulis oleh Ustazah Fatimah Syarha." Maisara
mengambil buku yang berada di atas meja dan dihulurkan kepada Alia.
Alia menyambut huluran buku itu
dengan kening yang terangkat sebelah.
"Orang macam engkau pun
baca buku ni? Bertudung pun tak!" Soal Alia sinis.
"Ya, memang aku tak
bertudung. Aku tahu. Tapi aku sedang belajar bagaimana nak jadi muslim yang
baik. Sebab tu aku banyak beli buku agama. Buku Hilal Asyraf, Aiman Banna dan Ustazah
Fatimah Syarha. Aku tak nak bila aku dah berubah nanti, aku pula yang jadi
fitnah kepada Islam. Sebab tu aku nak belajar dulu," luah Maisara sepenuh
perasaan.
"Kau maksudkan akulah yang
jadi fitnah kepada Islam tu?" Nada suara Alia kedengaran seakan-akan
sedang merajuk. Muncung itiknya muncul sedepa, seperti biasa jika gadis
bertudung ungu itu terasa hati dengan sesiapa.
"Taklah. Aku tak maksudkan
sesiapa pun. Aku hanya takut diri aku nanti jadi fitnah kepada agama. Kau ingat
aku tak pernah terdetik di hati untuk berhijab?"
Alia terdiam mendengar
kata-kata Maisara. Dalam diam, hatinya cukup terkesan dengan kata-kata temannya
itu.
"Mungkin kau betul,
Maisara." Alia bersuara perlahan. Terdengar keluhan panjang dari bibirnya.
Tersentap hatinya mendengar kata-kata Maisara. Walaupun Maisara itu kelihatan
seperti gadis liar yang jahil agama, tetapi Alia tahu yang Maisara sangat rajin
membaca buku-buku tentang agama. Cuma dia tidak menyangka yang kawan baiknya
itu akan membeli buku yang ditulis oleh Ustazah Fatimah Syarha, memandangkan penulisan
ustazah tersebut kebanyakannya menyentuh soal cinta.
"Aku pun bukanlah pandai
sangat. Sebab tu aku masih belajar lagi. Nak pergi belajar di sekolah agama,
aku tak mampu. Kau sendiri tahu kan keadaan keluarga aku macam mana? Ini
sajalah yang aku mampu. Beli buku dan baca sampai hadam. Kalau kau nak beli
buku yang sesuai untuk kau, aku cadangkan kau beli buku ni. Pasti kau akan
faham kenapa aku selalu larang engkau berhubungan dengan Adli." Suara
Maisara mendatar. Buku Langit Ilahi di tangannya disusun semula di atas meja
bersama buku-buku yang lain.
"Kau tabah betul, Maisara!
Satu kampung kutuk kau tapi aku tengok kau semakin bersemangat nak
berubah." Alia tersenyum kecil, sedikit kagum akan ketabahan hati Maisara
menempuhi dugaan yang datang menimpa.
Siapa tak kenal Maisara? Gadis
yang lantang bersuara apabila dihina dan dimaki. Tidak pernah peduli tentang
pandangan serong orang lain terhadapnya. Yang penting katanya, dia tak kacau
hidup orang lain. Budak-budak kampung juga banyak yang takut dengannya disebabkan
sikap kasar dan panas baran Maisara yang tidak menentu.
Alia masih tidak dapat lupa
peristiwa ketika mereka masih menuntut di Tingkatan Lima dahulu. Lintang pukang
Adli melarikan diri gara-gara dihambat Maisara dengan penyapu. Habis satu
sekolah ditawaf. Adli pun satu, sudah tahu si Maisara pantang diganggu, masih
juga hendak mengusik. Kena hambat dengan penyapu, tahu pula lari.
"If they respect me, I will respect them more. If not, I can be more
dangerous than them."
Itulah prinsip hidup Maisara.
Cacian, fitnah dan sindiran sudah menjadi makanan harian bagi gadis itu. Bahkan
sepupu Maisara iaitu Amira dan Aqila tidak pernah menyukainya dan langsung
tidak rasa bersalah menyebarkan fitnah mengenai gadis hitam manis itu. Hal itu
pernah menyebabkan keluarga mereka bergaduh besar tetapi kini Maisara sudah menjadi
biasa dengan semua itu. Terlalu biasa! Sehingga dia langsung tidak ambil peduli
lagi tentang fitnah-fitnah yang tersebar luas di serata kampung itu.
"Ajarkanlah aku bagaimana
menjadi tabah," pinta Alia.
Wajah Maisara ditatap dengan
penuh perhatian. Mahu juga rasanya ingin menjadi kuat dan tabah seperti
Maisara. Walau dicaci sekampung, masih teguh berdiri dan langsung tidak rebah.
"Kau akan tabah bila kau
tak pedulikan lagi apa-apa pun yang menghalang kau," ujar Maisara cukup
yakin.
"Tapi aku tak kuat bila
dengar orang mengata aku." Alia merenung tangannya sendiri.
"Kalau orang suruh kau
putuskan hubungan dengan Adli, itu aku sangat setuju!" Maisara kelihatan
cukup teruja. Segera dia melompat ke atas katil dan duduk bersila berhampiran
dengan Alia.
Alia mencebik. Kalau bab yang
satu itu, laju benar sel-sel otak Maisara berhubung.
"Kau ni kan? Memang tu je kau
tahu! Macamlah Adli tu jahat sangat." Alia bersuara geram, agak marah
mendengar kata-kata Maisara walaupun itu bukanlah kali pertama temannya itu suarakan.
"Kalau dia baik sangat,
dia tak akan bawa kau naik motor dengan dia tiap-tiap petang… round satu kampung. Dia tak akan peluk
dan pegang tangan kau sesuka hati." Maisara memukul kaki Alia dengan
bantal. Sedikit geram melihat kepolosan kawan baiknya itu. Sikap itulah yang
menyebabkan banyak perempuan mudah jatuh dalam perangkap lelaki. Bersangka baik
tidak kena pada tempatnya, mudah sangat cair! Kononnya lelaki tangkap cintan
dengan mereka, tetapi sebenarnya? Saja nak test
market.
"Hmm yalah tu!" Alia
menarik muncungnya, merajuk.
"Tadi kau tanya macam mana
nak jadi kuat kan? Bagi aku, kalau kau nak cari ketabahan dan kekuatan tu, kau
carilah Pencipta kau. Dia yang mencipta kau, pasti Dia tahu bagaimana hendak
beri kekuatan pada kau. Dan pasal kau tak kuat dengan mulut orang mengata kau,
jangan dengar sangatlah. Tak maju hidup kau kalau asyik rebah dikutuk dan
dicaci. Jangan peduli sangat!" Nasihat Maisara lantang. Matanya dikenyit
sebelah dan pipi Alia dicubit mesra.
"Aduh, Mai! Sakitlah pipi
aku!" Alia menggosok-gosok pipinya yang sudah kemerahan.
Maisara tergelak. Lucu melihat
Alia dalam keadaan begitu.
Tiba-tiba, kedengaran bunyi
lagu Before The Dawn nyanyian sekumpulan penyanyi Korea, Infinite. Berkerut
dahinya.
"Eh, telefon akulah!"
Alia pantas menggagau di dalam poket seluarnya. Telefon jenama Lenovo berwarna
merah jambu dikeluarkan daripada poket tersebut.
"Adli hantar mesej! Dia
ajak keluarlah, Maisara." Mata Alia masih tertancap pada skrin telefon,
membaca mesej yang dikirim oleh Adli.
Maisara mencebik saat mendengar
nama Adli disebut oleh Alia.
"Kau akan keluar dengan
dia?"
"Ya, mestilah! Dia nak
jemput aku." Suara Alia kedengaran ceria. Di bibirnya terukir senyuman
lebar.
"Hati-hati!"
"Tahulah aku menjaga diri.
Jangan risau sangat. Okeylah! Aku nak minta diri dulu, amoi hitam manis! Nak
jumpa buah hati tersayang dan tercinta. Melepas rindu yang terpendam."
Alia bingkas bangkit dari atas katil. Langkah kakinya pantas menuju ke pintu
bilik. Sempat gadis bertudung ungu itu membetulkan tudungnya di hadapan cermin
yang terletak di suatu sudut dalam bilik itu.
"Suka hati kaulah!"
Maisara menggeleng-geleng. Pening melihat telatah gedik Alia.
Alia melayangkan flying kiss kepadanya sebelum keluar
dari bilik.
"Gedik!" Maisara
melemparkan bantal peluk ke arah Alia sambil tergelak. Mempunyai kawan seperti
itu kadang-kadang cukup menghiburkan hati dan mengundang ketawa.
0 comments:
Post a Comment