Bab 1 : Seorang Maisara | Fitri Lyiana Amir



Maisara berjalan sendirian. Yakin sungguh gayanya. Langsung tidak peduli mata-mata yang tajam memerhati gaya penampilannya.
Apa dia peduli? Beras habis dekat rumah bukannya mereka yang tolong belikan. Hidup ini bukan untuk mendengar pandangan orang lain tentang kita.
"Eh, kau nak ke mana ni?"
Haji Mahmood menegurnya ketika dia melintasi warung makanan orang tua tersebut. Seperti biasa, orang tua berkopiah itu sentiasa memandang serong terhadap gaya penampilannya. Berseluar jeans, berbaju T dan berkasut. Itu gayanya. Simple!
 "Nak balik rumah," jawab Maisara dengan suara yang cukup bersahaja.
"Tak ada pakaian yang lagi elok ke untuk kau pakai? Kau tu perempuan, pakailah yang elok-elok sikit! Ni pakai macam tak cukup kain." Sinis suara Haji Mahmood. Orang-orang kampung yang duduk di kedai Haji Mahmood turut mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda bersetuju.
"Suka hati oranglah nak pakai apa pun. Orang tak susahkan atau kacau sesiapapun!" Maisara mendengus kasar, agak marah dengan teguran Haji Mahmood yang begitu sinis.
Begitukah cara menegur orang lain? Dengan memerli di hadapan khalayak ramai? Begitukah? Bukankah itu sama sahaja seperti sengaja hendak mengaibkan dan memalukan orang yang ditegur?
"Tengok anak perempuan aku, si Humaira tu. Sopan bertudung, tak macam engkau!" Hajjah Sofia, isteri kepada Haji Mahmood turut menyampuk.
Maisara tersenyum sinis. Humaira? Anak gadis Haji Mahmood dan Hajjah Sofia yang bersekolah tahfiz itu?
"Jangan bangga sangatlah! Humaira bertudung pun bukan dengan cara yang betul. Tudung atas dada, kaki tak tutup, masih pakai baju dan jeans ketat! Ajar dulu anak sendiri sebelum nak ajar anak orang lain."
Merah padam muka Haji Mahmood dan Hajjah Sofia mendengar kata-kata Maisara. Berani sungguh anak nelayan itu!
"Biadap!" Herdik Haji Mahmood.
"Saya cakap benda yang betul! Dan mulut dicipta untuk bercakap yang benar, kan?"
Haji Mahmood terdiam mendengar kata-kata sinis Maisara. Hajjah Sofia juga terdiam. Orang-orang kampung yang datang singgah di kedai Haji Mahmood hanya memerhati perbalahan mulut antara seorang gadis biasa dengan si Haji dan Hajjah.
"Dan untuk ajak orang buat benda baik, cara memerli dan memaki akan membuat orang lebih menjauh. Seorang Haji dan Hajjah patut lebih tahu pasal itu." Sinis suara Maisara. Senyuman jahat terukir di bibirnya.
Gadis itu kemudiannya berlalu, meninggalkan Haji Mahmood dan Hajjah Sofia yang masih menahan geram dan marah.
"Dia fikir dia siapa nak ajar aku?" Haji Mahmood mendengus kasar. Geram dan marah bercampur-baur. Maisara memang benar-benar kurang ajar!
“Dasar perempuan liar!” Hajjah Sofia turut menggerutu geram.
“Sudahlah! Apalah nak dipedulikan sangat dengan budak Maisara tu? Dia tak kacau Tuan Haji pun. Tuan Haji saja yang selalu memaki hamun dia. Itu pun, maki hamun Tuan Haji langsung tak beri kesan pada anak si Malik tu. Dah kalis telinga si Maisara tu dengar makian Tuan Haji dan Puan Hajjah. Sudah-sudahlah tu.” Pak Mat, salah seorang pelanggan tetap di warung itu bersuara.
“Bukan sengaja saya nak memaki budak tu, Pak Mat. Budak tu kurang ajar sangat. Saya dilawannya. Tak padan dengan gaya macam beruk di hutan, pakai baju pun tak cukup kain. Kena cegah tu, Pak Mat. Kena ditegur selalu, biar dia sedar sedikit.” Haji Mahmood mendengus kasar, geram benar hatinya dengan si Maisara.
“Dah kamu yang hina budak tu dulu, memanglah budak tu melawan. Dia tu manusia, bukan patung. Dan kalau kamu betul-betul berniat nak cegah anak-anak dara kat kampung ni yang tak tutup aurat, pergi tegur semua budak-budak perempuan yang lain. Bukan Maisara seorang sahaja yang tak tutup aurat di kampung kita ni. Bertimbun lagi. Lebih teruk dari si Maisara pun ada. Satu lagi aku tak berkenan dengan cara kau menegur Maisara. Nabi pun tak ajar kita memaki hamun orang lain walaupun orang lain itu berbuat dosa. Tegur dia dengan baik, jangan sampai menghina.”
Terdiam Haji Mahmood mendengar kata-kata pedas Pak Mat. Kalau saja Pak Mat itu bukan antara golongan berpengaruh di Kampung Kenanga, mahu sahaja rasanya dia menyimbah air ke wajah orang tua tersebut.
“Sudahlah, Pak Mat. Malas saya nak bertekak dengan Pak Mat.”
Haji Mahmood segera beralih tempat, enggan melayan Pak Mat lagi. Silap hari bulan, tercetus pula pergaduhan antaranya dengan Pak Mat yang hebat bersilat itu. Tak mampu dia hendak melawan.


Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment