Bab 1 : JABBAR MUQRISH | Dian Aleesya



MATA Aisya terarah pada beg pakaian yang dijinjing oleh Iqbal. Hatinya ingin sekali memberontak tetapi dia menahan diri agar bersabar. Selagi dia belum mempunyai pekerjaan, selagi itu dia akan cuba bertahan. Selama tiga bulan dari hari dia ternampak Iqbal bersama wanita lain, dia terpaksa berlagak biasa. Seolah tidak tahu akan kecurangan lelaki itu.
“Abang dah nak gerak ke?” tanyanya.
“Ya... sebab banyak lagi yang perlu abang settlekan kat Ipoh tu.”
“Tak nak breakfast dulu?”
Laju Iqbal menggelengkan kepala. Mata melirik jam di tangan. “Tak pelah. Abang tak nak terlewat. Bila sampai Ipoh, abang breakfast kat mana-mana je nanti.”
Terasa mendidih darah di tubuh Aisya. Pasti Iqbal tidak sabar hendak menatap perempuan simpanannya itu.
“Pagi ni saya ada interview,” beritahu Aisya sebelum Iqbal melangkah mendekati Afliq yang leka bermain dengan alat permainan itu.
“Awak masih nak cari kerja?”
Dengan penuh yakin dia mengangguk.
“Siapa yang nak jaga Aliq nanti?”
“Kak Lina. Saya minta tolong dia. Lepas interview, saya terus balik.”
“Kalau awak dapat kerja nanti, Aliq ni macam mana? Siapa yang nak jaga?”
Iqbal sudah mula mempertikai. Pasti lelaki itu mahu dia menjadi suri rumah untuk selama-lamanya.
“Kita hantar ke nursery.”
“Nak kena pakai duit lagi,” keluh Iqbal.
“Saya cari kerja ni pun sebab nak menampung perbelanjaan kita, bang. Saya tak tahu kenapa… lately ni perbelanjaan kita seperti tak mencukupi. Dulu elok je…”
Wajah Iqbal berubah apabila Aisya mengungkit tentang perkara itu.
“Barang-barang keperluan Aliq ni, awak ingat tak pakai duit ke?”
Aisya ingin sekali membidas kata-kata Iqbal itu tetapi dia merasakan belum tiba masanya lagi.
“Sebab tu saya nak kerja.”
“Suka hati awaklah!” putus Iqbal. Malas hendak berlawan kata lagi. Kerana dia sendiri sedar, perbelanjaan mereka dari sebulan ke sebulan seakan tidak mencukupi.
Puas hati Aisya bila berkata begitu. Selagi pekerjaan belum ada di dalam genggaman, dia tidak akan berputus asa untuk mencari kerja. Kini matanya memerhati Iqbal mendekati Afliq.
“Babah! Babah!” panggil Afliq seraya minta diangkat.
“Aliq, anak babah.” Iqbal mengucup pipi si comel itu lama.“Kiss babah, sayang.”
Afliq yang sudah mengerti apa itu ‘kiss’ segera patuh dengan suruhan si ayah.
That’s my boy! Okeylah, babah nak kerja, sayang. Lusa babah balik. Jangan nakal-nakal tau!”
Seperti memahami pesanan Iqbal itu, Afliq menganggukkan kepala. Bibir tersenyum suka.
Iqbal kembali meletakkan Afliq ke dalam kerusi roda. Sebelum mengangkat wajah, ubun-ubun si comel itu dikucup.
“Abang gerak dulu.” Tangan dihulur kepada Aisya.
Seperti biasa, tangan kasar itu disambut lalu belakang tapak kekura tangan itu dikucup hangat. Namun hatinya terasa kosong. Kosong!
Good luck for your interview, sayang.”
Sayang? Masih adakah perasaan sayang itu di hati Iqbal untuknya? Jika sayang, kenapa perlu curang? Jika sayang, kenapa perlu mencari perempuan lain?
Ungkapan sayang itu sudah tidak bermakna lagi buatnya. Walau beribu kali Iqbal mengucapkan kata sayang, kalau masih curang, tiada gunanya juga.



AISYA tiba di Arkitek Muqrish awal dari yang sepatutnya. Dia memerhati sekitar bangunan 3 tingkat itu; kelihatan masih baru. Pintu masuk di firma itu juga dikawal oleh sekuriti. Namun tanda ‘CLOSED’ masih tergantung di pintu. Fail yang mengandungi sijil-sijil kelulusannya itu dipegang erat.
Hatinya mula berasa ragu. Benarkah Arkitek Muqrish mengadakan Walk-In Interview hari ini? Dia tahu tentang perkara itupun hanya melalui laman sesawang semalam. Entah betul atau tidak, dia sendiri tidak pasti. Tambahan pula, dia tidak berkesempatan untuk membuat ‘homework’ mengenai Arkitek Muqrish.
Bila melihat lelaki berpakaian kemas hendak masuk ke firma itu, dengan pantas kaki Aisya melangkah mendekati lelaki itu.
Er...” Teragak-agak dia hendak bersuara.
“Ya?” sahut lelaki itu seraya memasang butang kot.
“Encik kerja kat firma ni?”
“Ya. Kenapa? Ada apa yang boleh saya bantu?”
“Betul ke hari ni, Arkitek Muqrish mengadakan walk in interview?”
“Memang betul.”
Bibir Aisya tersenyum, ternyata dia tidak salah.
“Cik nak walk in interview?”
“Ya, saya.”
Lelaki itu melirik jam di pergelangan tangan. Lantas dia mengangkat wajah untuk menatap Aisya. “Cik datang terlalu awal ni. Interview bermula pukul sembilan setengah.”
Tak pe encik. Saya tunggu kat sini je.”
Lelaki itu memerhati sekeliling. Tiada kerusi mahupun bangku di luar firma. Kasihan pula hendak membiarkan wanita itu tertunggu-tunggu di luar.
“Awak tunggu je kat dalam,” putus lelaki itu.
Tak pe encik.”
I’m Noah. Pekerja kat sini. Don’t worry, saya dah benarkan awak masuk.”
Teragak-agak Aisya hendak bersetuju. Risau jika lelaki yang di hadapannya ini hanya pekerja biasa. Tetapi kalau pekerja biasa, takkan pakai kot?
What’s your name?”
“Wan Aisya, encik.”
Okey, Aisya... please come in.” Noah membukakan pintu untuk Aisya. Dia tahu wanita itu pasti berasa segan hendak masuk.
Akhirnya Aisya akur jua. Bila melihat sekuriti tunduk tanda hormat pada Noah, hatinya terdetik. Mungkin Noah mempunyai kedudukan yang tinggi di firma itu.
“Selamat pagi, Encik Noah,” sapa si sekuriti.
“Selamat pagi, Ismail. Dah sarapan?” Noah membalas dengan ramah.
“Dah, Encik Noah.”
Noah mengangguk, kini wajahnya berpaling ke tepi. “Come...”
Noah membawa Aisya ke tempat ruang menunggu. “Awak duduklah dulu. Kalau nak tahu perkembangan dan pencapaian Arkitek Muqrish, leaflet kami ada kat kaunter pertanyaan.”
“Terima kasih, Encik Noah.”
Oh ya... nanti orang HR akan turun and collect your certificates...”
Bicara Noah terhenti bila melihat kelibat temannya di luar firma itu. Dia mendengus dalam diam.
Manakala, Aisya pula menoleh sebaik saja terdengar pintu firma ditolak dari luar. Muncul lelaki dengan berpakaian selekeh. Baju jeans yang kelihatan tidak digosok itu tersarung di tubuh lelaki itu. Tetapi bila melihat lelaki itu memakai knitted beanie, nampak elok pula. Tangan lelaki itu penuh membawa beberapa kertas pelan. Manakala sebatang rokok yang masih belum dibakar elok terletak di bibir lelaki itu.
“Jab...” panggil Noah dengan wajah yang berkerut.
“Ya?” jawab Aisya seraya pantas menoleh ke arah Noah kembali.
Er... tak, tak! Bukan awak. Saya panggil Jabbar.”
Oh... saya ingatkan encik suruh saya tunggu sekejap.” Aisya termalu sendiri.
“Taklah... tapi sekarang, baru saya suruh awak tunggu sekejap sebab saya nak bercakap dengan kawan saya dulu,” ucap Noah. Dia menghadiahkan senyuman pada Aisya namun bila matanya kembali memandang Jabbar, senyuman menjadi kelat.
Aisya mengangguk perlahan. Senyuman Noah itu dibalas dengan seikhlas hati. Dia kagum dengan budi bahasa lelaki itu.
Matanya sempat melirik ke arah lelaki yang berpakaian selekeh tadi. Sebelum Noah mendekati lelaki itu, salah satu kertas pelan terjatuh dari pegangan lelaki itu.
Damn!”
Aisya terdengar lelaki itu mengeluh dan berkata keras. Dia hanya mampu memandang dari kedudukan mereka yang berjarak beberapa meter sahaja itu.
“Jab... what the hell are you doing? Kenapa kau pakai baju macam ni? Kau tahu kan yang hari ni kita mengadakan walk in interview?”
Tergeleng-geleng kepala Noah ketika melihat pakaian Jabbar itu. Sudah diingatkan berkali-kali agar lelaki itu mengenakan baju kemeja tetapi hari ini, Jabbar datang dengan pakaian yang selekeh.
Again... damn it! Aku lupa.” Sekali lagi Jabbar marah pada diri sendiri.
And that cigar... can you put it down or take it off? Kita ada tetamu, Jab...” pinta Noah. Dia tahu rokok itu belum digunakan tetapi dengan keadaan Jabbar ketika ini, pasti akan memberi pandangan yang buruk pada Aisya.
Alright. Sorry! Aku ingat tadi, aku nak merokok kat luar. Bila tengok jam, rupanya aku dah terlambat. Siapa tetamu kita tu?”
Kerana sibuk dengan hal sendiri, kertas-kertas pelan pula masih penuh di tangan, dia tidak sedar yang mereka ada tetamu.
“Salah seorang yang nak interview. Dia datang lebih awal dari sesi bermula. Aku suruh dia tunggu kat sini dulu.”
Laju saja mata Jabbar beralih memandang wanita yang duduk di sofa kulit itu. Ketika itu, wanita itu juga memandang ke arahnya.
“Kau pegang kejap ni…” Dia menyerahkan beberapa kertas pelan kepada Noah. Tanpa menunggu kata setuju dari lelaki itu, kertas pelan dilambakkan ke tubuh Noah.
“Jangan sampai rosak. Aku lupa bawa case dia tadi,” pesannya sebelum mendekati ‘tetamu’ mereka itu.
Hai.” Dengan ceria Jabbar menyapa. Bibir diukir senyuman lebar.
Perlahan Aisya bangun dari duduk. Dia teragak-agak hendak membalas sapaan lelaki itu.
Eh, tak pe! You boleh duduk,” tegah Jabbar ketika Aisya berdiri.
Tak pe juga.”
Dengan perlahan Aisya menjawab. Dia menoleh memandang Noah. Cuba meminta tolong dari lelaki itu tetapi Noah hanya menjongketkan bahu. Dia mula hairan, apa jawatan lelaki ini sebenarnya?
“Kenal I tak?” soal Jabbar tiba-tiba.
Ha?” Pertanyaan itu benar-benar membuatkan Aisya terkejut.
Dia kenal ke? Laju kepala Aisya menggeleng. “Maaf.”
“Muka handsome macam I ni you tak kenal? Tak ingat langsung?”
Sekali lagi Aisya memandang ke arah Noah. Wajahnya terpinga-pinga dengan soalan lelaki yang bernama Jabbar itu.
“Jab… kau salah orang kut,” celah Noah.
I still remember you,” ucap Jabbar kembali tanpa menghiraukan celahan Noah itu.
Semakin berkerut dahi Aisya. Dia cuba mengingati lelaki itu, tetapi kosong. Wajah lelaki itu juga tidak kelihatan familiar.
“Maaf encik. Saya betul-betul tak ingat.”
Yeah, I can tell but nevermind. I will make sure that you will remember me after this. See you later.” Jabbar mengenyitkan sebelah matanya pada Aisya sebelum berlalu pergi. Bibir tersenyum lebar. Tidak menyangka, dia akan berjumpa dengan wanita itu lagi.
Just forget about him. Mungkin dia salah orang.” Noah mendekati Aisya setelah Jabbar mengundurkan diri.
Anyway… All the best to you. See you later,” sambung Noah lagi sebelum dia mengundurkan diri.

Ada beberapa perkara yang perlu dia bincangkan dengan Jabbar sebelum sesi temuduga bermula.
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment