Bab 1 : ISTERIKU PUJAAN PAPA | SAKURA RIA



DINGIN pagi menenangkan jiwa Hanan. Sebaik saja mata terbuka, dia segera keluar daripada bilik tidur dan turun ke ruang dapur. Langkah diatur kemas, tidak mahu lantai kayu yang hampir runtuh itu membuat sebarang bunyi yang boleh mengejutkan penghuni yang lain.
Usai membasuh wajah, dia menjerang air di atas dapur. Kemudian, tangannya tangkas memasak nasi lemak dan menggoreng karipap di dalam kuali. Itulah rutinnya semenjak tamat sekolah tujuh tahun yang lalu. Dia sudah biasa dengan kerja-kerja rumah begitu untuk membantu ibu saudaranya.
“Awal kamu bangun hari ini Hanan?” Mak Pah, kakak kandung ibunya yang telah menjaganya semenjak kecil itu datang menegur.
“Hari ini Hanan nak kena siapkan tempahan kuih Tok Ketua sekali. Tok Ketua nak bawa ke masjid lepas solat Jumaat nanti,” balasnya sambil tangan tangkas memasukkan karipap panas ke dalam bekas plastik yang besar.
“Nasib baiklah Mak Long ada kamu… kalau nak harapkan Pak Long kamu itu kerja… memang tak adalah. Tahunya berjudi saja,” keluh Mak Pah.
“Hanan cuma bantu apa yang patut aje…” balas Hanan perlahan.
Bunyi motosikal yang mengaum di luar rumah menakutkan Hanan. Itu pasti Pak Longnya!
Mak Pah segera membuka pintu kayu di ruang dapur itu. Bukan boleh lambat nanti penyepak suaminya naik ke badan.
“Sial! Semua orang kencing aku tadi!” Roslan, suami Mak Pah menyumpah sebaik saja masuk ke dalam rumah.
Hanan hanya mendiamkan diri. Api dapur ditutup. Kaki dibawa melangkah ke meja makan dan tangan mula tangkas menyiapkan segala bahan untuk membungkus nasi lemak. Dia hanya menunduk kerana tahu yang mata Pak Long sedang merenungnya.
Hei, budak sial… kau ke mari!” Roslan menjerit memanggil Hanan. Dia terlalu geram dan dia perlukan seseorang untuk melepaskan geram.
Hanan melangkah cepat menuju ke arah Pak Longnya. Dia sudah terlalu lali dipanggil begitu.
“Sudahlah bang. Kasihan Hanan tu...” Mak Pah menahan suaminya. Kasihan melihat Hanan yang sudah melutut di lantai.
Roslan menolak isterinya. “Kau ke tepi Pah! Kalau tidak kau yang kena nanti. Ini semua salah kau! Aku dah kata jangan dibela anak haram ini tapi kau degil juga!”
Tali pinggang seluar dibuka dan tanpa belas tali pinggang itu dilibas ke tubuh Hanan seperti selalu.
Hanan mengemam bibir menahan sakit yang terasa di tubuh. Ingin menangis namun air mata seakan kering kerana itulah yang sering dia alami selama ini. Itulah yang terpaksa dia lalui kerana dia dilahirkan oleh seorang perempuan yang bergelar pelayan kelab.
Mak Pah hanya mampu mengalirkan air mata sambil terduduk di tepi Hanan. Sayu hatinya melihat gadis sunti itu dipukul tanpa belas.
Setelah puas melampiaskan kemarahan, Roslan memberhentikan libasan tali pinggang.
“Kau ini memang tak guna! Sama macam mak kau juga! Hidup aku susah semenjak kau datang sini. Dasar budak pembawa sial!” Roslan memaki sesuka hati. Usai itu, dia memanjat tangga menuju ke ruang depan rumah meninggalkan Hanan dan isterinya yang bergenang air mata itu.
Mak Pah segera memeluk tubuh kurus Hanan. Air mata sudah jatuh berderai. Luka hati melihat darah daging sendiri diperlakukan umpama binatang.
“Tak apa Mak Long… Hanan okey,” bisik Hanan dalam kepayahan.
“Maafkan Mak Long, Hanan. Mak Long tak dapat buat apa-apa.”
“Hanan okey!” ucapnya lebih tegas dan dia tersenyum kecil. Senyuman yang dipaksa hadir demi orang yang dia sayang. Demi perempuan yang sudi mengutipnya daripada lorong gelap. Kalau bukan sebab Mak Long pasti dia sudah menjadi makanan anjing di lorong gelap itu.



“NASI  lemak tiga dan kuih karipap dua ringgit ya sayang?” Nafis, anak ketua kampung di situ memberi pesanan.
Hanan menjeling Nafis yang sebaya dengannya. Nafis tak sudah-sudah mengacaunya. Kalau ikutkan hati mahu ditampar mulut lancang Nafis itu tetapi bila mengenangkan yang dia perlu mencari rezeki semua rasa sakit hati disimpan saja.
Tangan tangkas memasukkan makanan yang dipesan itu ke dalam beg plastik berwarna merah.
“Hanan, malam ini kau free tak? Jomlah jadi cikaro aku. Kita pergi tidur di hotel kat bandar nak?” Nafis bertanya dengan mata yang liar meratah tubuh Hanan yang memakai baju kurung kain kapas itu.
“Kau jangan kurang ajar!” jawab Hanan tegas. Plastik dihulur kepada Nafis.
Nafis mengambil dan dengan sengaja dia memegang jari jemari Hanan. Dia ketawa terbahak-bahak bila Hanan merentap pegangannya.
“Kulit kau lembut, sayang. Mesti tempat lain pun lagi lembut dan gebu, kan?”
Hanan mengepalkan tangannya. Jijik mendengar pertanyaan itu.  “Semuanya lima ringgit.”
Nafis mengeluarkan duit dan dihulurkan kepada Hanan.“Kalau kau jadi cikaro aku malam ini, aku bayar kau RM500. Nak tak?”
Hanan merampas not lima ringgit itu dengan wajah yang masam. “Kau fikir aku perempuan macam itu ke?”
“Bukan mak kau pun macam itu ke?”
Hanan mengetap gigi. Geram bila maknya disebut dalam hal itu. “Berambuslah kau!”
Nafis tersenyum sinis.  “Tak payah halau… aku memang nak pergi dah pun. Malam nanti kalau kau nak ikut, tunggu aku di simpang depan itu tau? Pakai seksi-seksi okey!”
Berderum saja motor Nafis pergi dari situ, air mata Hanan gugur satu persatu. Acap kali dia diganggu pemuda kampung seperti Nafis. Semuanya menganggap dia sama seperti maknya.
Ah! Lantaklah. Mulut orang bukan macam mulut tempayan, boleh ditutup. Suka hati mereka mahu hina dia apa sekalipun asalkan dia bukan orang sebegitu sudahlah.



“KAU tak nak sambung belajar ke?” Atira, satu-satunya teman baik yang dia ada menyoal ketika dia datang bertandang ke rumah sahabatnya itu.
“Tak naklah! Semuanya nak guna banyak duit. Aku tak nak menyusahkan Mak Long aku. Kasihan dia… bukannya larat sangat pun nak cari duit lebih sekarang ini. Sekarang ini pun dia cuma kerja jadi pembantu rumah datuk saja. Nasi lemak dengan kuih... semua aku yang buat. Mak Long tak larat sangat dah.”
Atira mengeluh. Hanan antara pelajar yang cemerlang sewaktu mendapat keputusan SPM dulu. Tetapi sayang sekali Hanan tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana masalah keluarga dan kewangan. Dia bersimpati dengan nasib temannya itu.
“Kau lama ke cuti?” Hanan bertanya dengan senyuman. Bangga melihat kawannya itu sudah mendapat kerja di bandar dan sudah punya kereta sendiri. Nasib Atira lebih baik daripadanya.  Atira dapat menamatkan pengajian di universiti dan sudah punya kerjaya sedangkan dia masih lagi terperuk di kampung walhal umur sudah mencecah 24 tahun.
“Tiga hari aje. Lepas ini aku nak ke China… ikut bos aku ada urusan kerja di sana.”
Wah,untungnya kau Tira! Mesti seronok kan dapat naik kapal terbang?” Terbayang objek besar itu yang gagah membelah awan. Seumur hidup tak pernah pun dia merasa naik kapal terbang. Macam mana nak naik kalau hidup pun kais pagi makan pagi kais petang makan petang?
“Seronok apanya? Penat tau!”
“Untunglah kau dapat naik kapal terbang. Aku ini entah-entah sampai mati pun tak dapat nak naik benda alah itu.” Hanan tersengih.
Atira menepuk paha Hanan perlahan. “Kau nak ikut aku pergi bandar?”
Uish! Nak buat apa?”
“Cari kerjalah di sana. Kau cari kerja dan sambil-sambil itu kau sambung belajar sekali. Nak tak?”
Hanan menggeleng. “Aku tak boleh pergilah, Tira. Kau macam tak tahu keadaan aku macam mana.”
Atira mengeluh. “Rugilah kau terperuk lama di kampung ini. Keputusan SPM kau bagus Hanan… mesti kau ada peluang lebih cerah di bandar sana.”
“Aku tak boleh tinggalkan Mak Long aku macam itu aje. Kau tahukan perangai Pak Long aku macam mana? Silap-silap jadi apa-apa nanti pada Mak Long… aku yang berputih mata. Biarlah aku ada di sini dengan dia. Aku nak balas budi dia jaga aku selama ini.”
“Nak balas budi pun tak payahlah sampai kau jadi mangsa Pak Long kau. Tengok itu lengan kau lebam. Kena pukul lagi?”
Hanan menunduk. Tak boleh menipu kerana Atira tahu semua rahsia hatinya. “Aku muda lagi tak apa. Aku tak suka kalau Pak Long pukul Mak Long.”
Atira mendengus. Kenapalah Hanan ini suci sangat hatinya? Kadang-kala rasa macam nak ditunjal kepala kawannya itu sebab terlalu baik.


Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment