“Oh mak kau!” Mak Pah melatah hingga ikan yang
dipegangnya terjatuh kembali ke dalam sinki.
Aryan ketawa terbahak-bahak. Geli hati melihat
telatah Mak Pah yang disayanginya. Pembantu rumah yang sudah berkhidmat terlalu
lama dengan keluarganya.
“Bertuah punya budak! Nasib baik tak gugur
jantung Mak Pah tadi.” Mak Pah mencubit lengan Aryan.
Aryan mengaduh kemudian dia senyum tayang
giginya yang cantik tersusun. “Mak Pah masak apa hari ini?”
“Ikan kembung masak lemak cili api campur kacang
botor, sambal belacan
dan ikan masin tenggiri.” Menu hari itu disebut satu persatu.
Aryan sudah menjilat tepi bibir. Mendengar menu
hari itu saja sudah membangkitkan seleranya.
“Okey. Ary naik atas solat dulu nanti kita makan
sama-sama ya?”
“Yalah.” Mak Pah mengangguk. Senang dengan sikap
Aryan yang sudah dijaga semenjak kecil itu.
“Mama dan papa ada di rumah?” Aryan menyoal
dengan wajah yang penuh mengharap.
“Tak ada. Papa dah pergi China… bulan depan baru
balik. Mama pula dah pesan dia tak balik hari ini.” Mak Pah memberitahu semua
pesanan yang dia terima.
“Again? Kenapa dia orang tak pernah lekat di rumah?”
Keluhnya dengan bahu yang jatuh.
“Mama dan papa cari rezeki untuk kamu. Tak baik
cakap tu, Ary.” Mak Pah menegur lembut.
“Tak cukup lagi apa yang ada sekarang Mak Pah?
Ary bosan hidup macam ni. Kata je ada
mama dan papa tapi rasanya macam anak yatim piatu aje.”
“Mak Pah kan ada?”
Aryan tersenyum tawar. “Itulah nasib baik Mak
Pah ada teman Ary kalau tak… sunyi Ary tinggal dalam rumah ini.”
“Sudahlah tu… jangan nak sedih-sedih. Pergi naik
mandi dan solat Zuhur dulu lepas itu turun makan.”
Aryan mengangguk dan dia berjalan perlahan
keluar dari ruang dapur itu. Ruang tamu yang sunyi dilewati dan dia berhenti
seketika.Memandang gambar keluarga yang terpamer besar di situ. Tergantung
megah namun tidak menghadirkan rasa bangga dalam dirinya. Kecewa kerana dia
dibiarkan terkontang-kanting di rumah kerana kesibukan mama dan papa mengejar
duniawi.
“KENAPA you cakap dengan budak
junior tu tadi?”
Liyana menyoal dengan muka yang masam.
Aryan mengangkat muka daripada memandang buku di
hadapan. “Junior mana?”
Liyana muncungkan mulut. Geram bila Aryan
pura-pura tidak tahu. Cemburu dia bila nampak Aryan bergelak ketawa dengan tiga
orang pelajar tingkatan tiga di hadapan dewan tadi.
“Ary, jangan pura-pura tak tahu. You menggatal
ya?”
Aryan tersengih. Kepala digeleng. “Dia orang tak secantik you, Liya.”
Liyana mengulum senyum. Kembang mendengar pujian
yang diterima daripada kekasih hati.
“Tahu pun. You rugi besar tau kalau pilih dia
orang daripada I.”
Aryan tersengih. Dia suka Liyana kerana gadis
itu mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Liyana Datuk Tarmizi, pujaan hatinya
semenjak di tingkatan satu lagi.
“Eh, hari
ini you balik awal ke?” Liyana menyoal dengan suara yang direndahkan. Tidak
mahu dihalau keluar daripada perpustakaan.
“I ada kelas menunggang kuda petang ini.
Kenapa?”
“Baguslah… sebab I baru nak minta you hantar I
balik. Petang ini I ada kelas berenang. Kita jumpa petang nanti ya?”
“Okey!” jawabnya dan dia melambai tangan pada
Liyana yang sudah bangun mahu meninggalkan perpustakaan.
Jam di tangan ditilik dan dia bersandar ke
kerusi kembali. Masih lambat lagi untuk kelas Fiziknya bermula. Mata diutarakan
ke sekeliling kawasan tempat dia duduk. Ada ramai pelajar di situ sedang duduk
berehat. Masing-masing menunggu kelas seterusnya.
Petang itu seperti yang dijanjikan, dia
menunggu Liyana di tapak parkir kereta. Sementara menunggu, dia membuka radio
dan ikut sama menyanyi lagu yang berkumandang.
Dia memerhati setiap kereta mewah yang lalu di hadapannya. Bersekolah di sekolah
swasta tidak menjadi suatu yang pelik apabila melihat lambakan kereta mewah
dalam kawasan sekolah memandangkan semua pelajar yang sudah punya lesen memandu
lebih selesa membawa koleksi kereta mewah masing-masing ke sekolah. Dia sendiri
tidak terkecuali. Ada juga pemandu peribadi masing-masing yang datang mengambil
dengan kereta mewah.
Pintu sebelah penumpang dibuka dan Liyana masuk
ke dalam. Teman wanitanya kelihatan seksi dengan baju yang tersarung di tubuh
yang menampakkan perut dan skirt pendek atas lutut.
“Sorry. Lama ke you tunggu?” ucap Liyana sambil
merapikan rambut perangnya.
“Setengah jam juga. So, kita nak ke mana dulu?” Aryan membalas dan keretanya mula
dipandu perlahan keluar daripada kawasan sekolah swasta itu.
“Kita pergi makan lepas itu tengok wayang nak
tak? Minggu depan SPM dah mula… mesti kita tak ada masa nak keluar dating
lagi.” Liyana
mengusap-ngusap paha Aryan sambil merebahkan kepala ke bahu Aryan.
“You dah sedia ke?”
“Entah. Sedia kut?” jawab Liyana acuh tak acuh.
Bukannya dia minat belajar sangat pun. Dia cuma minat bidang kesenian dan
rasanya kalau nak masuk bidang seni tak perlu keputusan yang gempak. Asalkan
rupa cantik dan badan seksi rasanya dia sudah punya tempat dalam industri seni
tempatan.
Aryan tersenyum kecil. Tahu yang Liyana tidak
suka bila ditanya soal itu.
“Jadi ke you ikut trip ke Krabi habis SPM nanti?” soalnya kemudian.
“Of course jadi! Kita orang semua dah plan cantik punya tau. Kita orang akan
menginap di villa papa I.”
“You tak nak ajak I sekali ke?”
“Tak bolehlah Ary. Ini trip untuk perempuan saja dan lelaki tak dibenarkan.”
“Berapa lama you di sana?”
“Lebih
kurang dua minggu kut? Lepas tu, kami akan ke Milan pula.”
“What?” Aryan sudah terkejut dengan perancangan itu. “Milan?
You tak pernah sebut pun sebelum ini nak ke Milan.”
“Ary, I janji lepas I balik bercuti nanti… kita
akan spend time berdua aje
okey?”
“Janji sebulan je?”
“Yap
sebulan aje! Lepas itu, I akan dating dengan you setiap hari sampai you
rasa rimas dengan I.”
Aryan tertawa senang hati. “Perempuan cantik
macam you mana boleh buat I rimas.”
“Sebab itu I sayang you, Ary. You tak kongkong
I.”
“I pun sayang you, Liya.” Aryna mencapai tangan
Liyana kemudian dibawa ke bibir. Dikucup perlahan tangan yang lembut itu.
0 comments:
Post a Comment