“HANAN!” Roslan terpekik-pekik bagai orang gila memanggil Hanan yang sedang berniaga kuih di jalan hadapan rumah.
Hanan yang sedang sibuk mengemas setelah jualan
habis dan segera berpaling. Dia terpandang Pak Longnya yang sedang berdiri di
ambang pintu rumah.
“Hei budak
sial… kau ke sini!” Roslan mula mencarut bila Hanan masih diam di situ.
Hanan segera berlari mendekati. “Ada apa Pak
Long?”
“Kau pekak ke aku panggil tadi? Telinga kau
letak di mana? Lembap!” pekik Roslan.
“Hanan tak berapa dengar tadi. Hanan minta maaf
ya?” jawab Hanan perlahan dan lembut.
“Aku nak duit!” Roslan berkata kasar.
“Err...
Hanan dah tak ada duit Pak Long.”
“Kau jangan nak menipu aku! Duit jual kuih dan
nasi lemak tadi ke mana? Kau bagi pada aku sekarang!”
“Pak Long, duit itu untuk modal hari esok.
Lagipun, beras di dapur dah nak habis...”
“Ah,
buat apa nak beli beras? Membazir aje
bagi kau makan… hidup pun bukannya menyenangkan aku dan mak cik kau. Menambahkan
beban adalah!”
Hanan menelan semua hinaan yang diterimanya itu.
Sejujurnya, dia sendiri tidak tahu mengapa Pak Long terlalu membenci dirinya.
Adakah kerana dia lahir daripada rahim seorang pelayan kelab? Atau kerana Pak
Long menganggap dia pembawa malang?
Roslan yang sudah tidak boleh bersabar, bercekak
pinggang. “Mana duitnya? Kau bagi pada aku kalau tak nahas kau… aku bantai
nanti!” ugutnya dengan mata yang sudah merah.
Perlahan-lahan Hanan mengeluarkan wang hasil
jualan hari itu daripada kocek baju kurung kain kapasnya. Tangan terketar-ketar
ketika menghulur duit itu kepada Pak Longnya.
“Kenapa sikit sangat?”
“Itu aje
yang Hanan dapat hari ini.”
“Ish, itulah
aku dah pernah cakap dulu… kalau kau ikut mak kau kerja di kelab itu lagi bagus.
Budak muda macam kau ini memang senang laku di kelab itu. Bolehlah aku dan mak
cik kau kaya!” Roslan menengking sambil berjalan mendekati motosikalnya yang
tersadai di halaman rumah.
Hanan menutup mata. Air jernih turun
perlahan-lahan ke lekuk pipinya. Pak Long tak habis-habis sebut tentang ibunya.
Hanya kerana dia lahir daripada pelayan kelab tak bermakna dia juga perlu
menjadi seperti ibunya.
“PAK LONG ambil lagi?” Mak Pah bertanya bila Hanan
meminta duit untuk membeli bahan-bahan mentah jualan esok.
Hanan diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun
tidak. Dia tidak mahu mengadu apa-apa.
“Makin tua makin menjadi perangai gila judi dia
tu! Aku fikir dah tua ni nak berubah… rupanya tidak. Menyusahkan aku aje!” Mak Pah merungut.
“Mak Long, boleh Hanan tanya sesuatu?” Hanan
memandang wajah Mak Longnya yang sedang duduk di kerusi rotan di ruang tamu
rumah.
“Tanya apa?”
Hanan melabuhkan punggung di atas lantai kayu
betul-betul di kaki Mak Longnya.
“Kenapa
mak Hanan jadi macam tu?”
Mak Pah memandang anak saudara yang sudah
dianggap sebagai anak kandungnya sendiri. Hanan, gadis manis yang tidak
bernasib baik kerana lahir hasil hubungan haram. Dia tidak menyalahkan Hanan
kerana gadis sunti itu tidak berdosa. Tetapi adiknya yang terlalu mengikut
nafsu itulah yang dia salahkan.
“Mak Long, kenapa mak Hanan kerja macam itu?
Bukan ke Mak Long kata mak Hanan budak pandai?”
Mak Pah mengeluh. “Hanan... buat apa nak tahu
semua itu?”
“Hanan nak kenal mak Hanan. Hanan nak kenal
perempuan yang dah lahirkan Hanan ke dunia ini.”
“Mak Long tak mahu hati Hanan terluka bila tahu
kebenarannya.”
“Hakikatnya, Hanan sudah pun tahu separuh
daripada kebenaran itu Mak Long. Hanan tahu Hanan anak haram. Mak Hanan kerja
sebagai pelayan kelab dan mak pernah cuba buang Hanan dalam tong sampah tetapi Mak
Long yang selamatkan Hanan. Mak Long jaga Hanan dan didik Hanan macam anak
sendiri. Semua itu Hanan tahu cuma Hanan tak pernah kenal siapa mak Hanan
dengan lebih mendalam. Hanan tak tahu orangnya macam mana dan kenapa dia
terjerumus ke tempat seperti itu.”
“Tak perlu ambil tahu tentang orang yang dah
lupakan kita, Hanan.”
“Hanan nak jumpa mak. Hanan teringin sangat nak
dengar suara dia macam mana.”
“Hanan, Mak Long tak mahu kamu dekat dengan dia.
Kamu budak baik, Hanan. Mak Long takut kamu akan terjerumus ke tempat yang
sama.”
Hanan menggeleng. “Hanan tak akan buat perkara
begitu. Tolonglah Mak Long… beritahu Hanan kenapa mak Hanan boleh ada di tempat
begitu?”
Mak Pah mengeluh berkali-kali. Nafas dihela
dalam tak henti-henti. Cuba mencari kekuatan sebelum membuka aib adik sendiri.
“Mak kamu budak
pandai. Arwah atuk dan nenek kamu hantar dia ke bandar untuk lanjutkan
pelajaran di universiti tapi sayang sekali dia tergoda dengan hidup sebagai
pelayan kelab yang lebih menguntungkan dia. Dia terus terjerumus ke dunia itu
dan dia belajar separuh jalan saja. Waktu atuk dan nenek kamu meninggal sebab
kemalangan pun dia tak balik ke kampung langsung sebab dia tak mahu. Mak Long
biarkan dia di bandar selama beberapa tahun hinggalah Mak Long dapat berita
yang dia mengandung. Mak Long ke sana cari dia dan mahu dia pulang ke kampung
tetapi dia degil. Kebetulan Mak Long tak boleh hamil jadi Mak Long kata pada
dia jangan gugurkan kamu… biar Mak Long yang jaga. Mak kamu setuju asalkan Mak
Long tak paksa dia balik kampung.”
Mak Pah berhenti bercerita. Dia mengusap air
jernih yang tiba-tiba turun. Tidak dapat menahan sebak tatkala mata memandang
Hanan yang begitu naif sekali.
“Selepas tu?” Hanan bersuara serak. Dia sendiri
sedang menahan sebak. Sedihnya dia kerana mak kandung sendiri tak mahukan
dirinya.
“Mak kamu mungkir janji dengan Mak Long. Dia dah
nak bersalin tetapi dia tak telefon Mak Long untuk beritahu. Hari yang dia
lahirkan kamu, hati Mak Long tergerak ke kelab tu lagi untuk jumpa dia. Mak
Long ingat lagi, waktu tu hari hujan dan Mak Long tiba tengah malam. Mak Long
nampak dia buang kamu ke dalam tong sampah besar di tepi kelab malam tu. Mak
Long tak tunggu apa-apa lagi Mak Long cepat-cepat selamatkan kamu. Kamu kecil
sangat, Hanan dan wajah kamu sangat menenangkan hati Mak Long.”
“Mak tak kata apa-apa?”
“Mak kamu cuma kata jaga kamu elok-elok.
Semenjak hari itu, Mak Long dah tak pernah jumpa dia lagi.”
Hanan ukir senyum tawar. Sekurang-kurangnya mak
ada berpesan begitu pada Mak Long. Sekurang-kurangnya dia tahu kasih mak ada
untuknya.
“Mak Long boleh tak Hanan cari mak?”
“Hanan, kamu tak kisah?”
“Mak dah bertarung nyawa lahirkan Hanan. Hanan
nak pandang wajah dia betul-betul depan mata. Nak dengar suara dia. Nak pegang
tangan dia. Sekali pun tak apalah asalkan Hanan dapat bertentang mata dengan
dia.”
Mak Pah mengeluh. Kesal dengan sikap adik
sendiri. Pertanyaan Hanan telah mengembalikan dia ke memori silam yang
menyakitkan itu.
Memori yang cuba dihapuskan daripada hidup
Hanan. Hanan, gadis yang suci hatinya tidak patut terpalit dengan dosa silam
sesiapa.
0 comments:
Post a Comment