NAJLA menarik nafas lega apabila Si Keciknya sudah ‘sembuh’ seperti biasa. Berkali-kali dia berterima kasih kepada suami Yana, Daniel kerana sudah membantunya. Lelaki itu bersusah payah mencari mekanik dan mencari kereta tarik untuk mengangkut Si Kecik ke bengkel.
Kalau
hendak mengharapkan dirinya, apa pun tidak reti. Malah untuk meminta
pertolongan dari Abang Kimi memang berjanggutlah menunggu. Abangnya itu tiada
di Ibu Kota. Sudah lima hari lelaki itu berada di negara matahari terbit. Sibuk
dengan hal perniagaannya. Dan dia sama sekali tidak akan menyusahkan abah dan
uminya. Tidak mahu membebankan kedua orang tuanya itu.
Dalam
menarik nafas lega, Najla turut berasa kecewa apabila memikirkan yang dia tidak
akan bertemu lagi dengan Deo. Dia tidak perlu lagi menaiki komuter kerana Si Kecik
sudah elok. Malah dia sendiri tidak sanggup untuk berasakan dengan orang ramai
di dalam kenderaan awam itu. Dia rimas.
Mungkin
satu hari nanti dia akan bertemu kembali dengan lelaki itu. Dia senang berbual
dengan Deo. Lelaki itu peramah walaupun tidak banyak hal peribadi yang disoal.
Dia selesa begitu. Sekurang-kurangnya Deo tidak membataskan perkenalan mereka dengan
menyoal isu-isu ‘berat’. Cukup sekadar tahu nama sahaja. Lebih mudah begitu.
Andai
ada jodoh mereka, pasti akan bertemu jua walaupun hanya sekadar teman.
Najla
tidak mengharapkan perhubungan lanjut dengan lelaki itu. Sama seperti Cikgu
Samsul atau sesiapa sahaja yang dikenen
kepadanya. Cuma yang membezakan Deo dengan orang lain adalah dia mengenali Deo
secara kebetulan dan tanpa dirancang.
Dia
mula teringatkan perbualannya dengan Yana tempoh hari mengenai hal tersebut.
Rasa lucu pula apabila teringatkan yang dia menginginkan perkenalannya dengan
seorang lelaki secara spontan tanpa dipaksa atau diperkenal.
Namun
apabila mengingati bahawa dirinya dengan Deo bagai langit dengan bumi, dia mula
tersentap.
Siapa
dia yang berkehendakan Deo yang tampan lagi segak itu?
Siapa
dia yang layak untuk berdampingan dengan lelaki yang layak digelar supermodel
itu?
Dia
hanyalah Najla Zainal Abidin yang hidupnya serba sederhana dengan wajah yang
cukup makan sahaja. Bukan secantik Lisa Suriani. Malah jauh sekali kalau hendak
dibandingkan dengan Nicole si pemenang di dalam program America’s Next Top Model musim kelima itu. Kalaupun sungguh Deo
ingin mencari calon, pasti dia di pilihan yang terakhir.
Najla
tersenyum kelat dan kepalanya digeleng beberapa kali. Cuba sedar diri agar
tidak rasa lebih-lebih kepada lelaki itu.
“Kau
kenapa ni Naj?”
Tubuhnya
hampir terlompat. Dia segera berpaling melihat gerangan yang menegur. Malah
bahunya juga terasa ditampar kuat.
“Sakitlah,
Yana! Kau ni...” Dia menggosok bahunya itu. Wajah si teman dijeling geram.
Perangai macam budak-budak. Ini kalau pelajar mereka dengar, pasti malu. Cikgu
perangai macam budak-budak.
“Kau
yang mengelamun teruk. Nak salahkan aku pula.” Temannya kembali ke meja yang
berhadapan dengan mejanya.
“Mana
ada...”
“Eleh... aku nampaklah. Tu... cikgu-cikgu
lain pun perasan. Kau tu sekejap senyum sekejap monyok. Ada apa-apa yang aku
tak tahu ke?”
“Mana
ada!”
Yana
memandangnya lama. Wanita itu seakan-akan tahu yang dia sedang menyembunyikan
sesuatu. Namun rasanya tiada apa yang perlu dia beritahu Yana.
Pasal
Deo? Penting ke? Bukan mereka ada janji apa-apapun. Hanya sekadar perkenalan
biasa. Rasanya tidak perlu Yana tahu. Nanti lain jadinya.
“Hah!
Tu diam lagi... ada apa-apalah tu. Dengan pandang aku macam nak telan... baik kau
bagitahu aku, Naj. Aku tahu kau ada sembunyi sesuatu dari aku ni.”
“Ya
Allah, Yana! Mana ada lah. Mana ada perkara penting yang berlaku kat akupun
sampaikan aku kena cerita dengan kau.” Cepat dia membalas.
Matanya
sudah dilarikan. Buku latihan pelajar bernama Anas Safi Bin Tahir menjadi
tempat sasarannya untuk melarikan diri. Lincah tangannya mencapai pen berdakwat
merah yang berada hampir dengan timbunan buku-buku latihan pelajarnya.
“Aku
tahu... aku yakin... kau memang ada sembunyi sesuatu. Kau selalu macam ni bila
ada yang tak kena.”
Najla
tidak membalas. Kononnya malas hendak melayan Yana itu. Sedangkan di hati,
hanya Allah SWT yang tahu. Punyalah berdebar hebat. Risau Yana dapat menangkap
‘sesuatu’ itu. Dia tidak bersedia untuk berbicara lanjut tentang seseorang yang
hadir tanpa dipinta, perginya tanpa disuruh itu. Biarlah dulu. Nanti lama-lama
redalah Yana itu. Kepochinya sekejap
saja. Sekejap lagi normallah.
“Kereta
kau ada kat tempat parkir yang selalu jadi port
parkir kau tu. Daniel dah letak kat situ. Kunci aku dah letak dalam cawan kau
tu.” Si teman memberitahu.
Najla
mengangguk. Dia sudah perasan akan kehadiran kunci tersebut di situ sebentar
tadi.
“Daniel
ada bagi resit tak?” soalnya.
“Tak
ada. Mungkin dia terlupa.”
“Okey.
Nanti kau tolong minta kat suami kau tu. Kalau tidak... aku tak bayar. Padan
muka!”
Si
teman sudah mencebik apabila mendengar kata-katanya itu. Dia mula tersenyum.
Lega apabila Yana tidak lagi mengungkit pasal tadi.
“Oh
ya!”
Najla
segera memandang Yana kembali apabila temannya itu seakan-akan ada sesuatu yang
ingin memberitahunya.
“Tadi
Daniel datang dengan Cadeo.”
Tanpa
dikawal, Najla mencebik sambil mengangguk.
“Tak
nak kirim apa-apa kat mamat tampan tu?”
“Nak
kirim apa? Kirim salam? Bukannya bolehpun...”
“At least... say a thank you for him, Naj.”
Najla
mula tersedar akan tingkahnya yang tidak semengah sebentar tadi. Orang sudah
menolong, dia tidak membalaspun. Tak berhati perut langsung.
“Ya.
Tolong cakap terima kasih bagi pihak aku.” Akhirnya dia mengalah. Sedar akan
keterlanjuran sendiri.
“Tak
nak cakap sendiri?”
Dahinya
berkerut memandang Yana.
“Tak
nak jumpa dia dan cakap sendiri?”
“Yana...
please...”
“Hanya
sekadar tanda untuk kau berterima kasih. Susah payah mamat tu datang sini dan
meredah jalan sesak. Sanggup tinggal kerja yang menimbun di pejabat semata-mata
nak hantar kereta kau.”
Dia
menghela nafas dalam.
“Sekali
je, Naj. Kalau susah... kau boleh
datang rumah aku. Jumpa kat situ. Aku boleh buat makan-makan dan jemput Cadeo sekali.” Yana masih tidak berputus
asa. Dia benar-benar ingin memberi peluang kepada sepupu suaminya itu untuk
bersama dengan Najla.
Dia
mahu Cadeo mendapat hidayah sama seperti suaminya. Walaupun ada yang mengatakan
bahawa tidak elok memeluk Islam semata-mata untuk berkahwin. Namun tidak salah
andai dengan berkahwin seseorang itu bakal terbuka hatinya sendiri untuk
mendalami agama yang sebenar-benarnya. Mungkin ini cara dan jalannya yang Allah
SWT sudah tetapkan untuk suaminya. Malah untuk Cadeo juga. Tiada siapa yang
tahu.
Dia
dan suaminya sangat sayangkan Cadeo. Walaupun lelaki itu hidupnya agak bebas,
namun Cadeo sangat berbudi bahasa. Lelaki itu sangat gentleman. Malah sehingga hari ini, mereka tidak pernah tahu siapa
sebenarnya yang menjadi kekasih Cadeo. Hidup lelaki itu sentiasa di kelilingi
perempuan. Terlalu ramai sehinggakan mungkin sukar untuk lelaki itu membuat
keputusan dan pilihan.
Dia
tidak mahu Cadeo terus hanyut. Selagi mana mereka mampu membantu, mereka akan
membantu. Sebab itu juga dia ingin sangat memperkenalkan Najla kepada lelaki
itu. Walaupun Najla sering mengatakan yang dirinya tidak cantik namun ada manis
pada wanita itu. Cuma dia yang tidak sedar akan kelebihan yang dia miliki.
Kalau tidak, masakan Cikgu Samsul tak henti-henti mencucuk jarum.
Memikirkan
tentang Cikgu Samsul itu, Yana sekali lagi berasa risau. Dia tidak mahu Najla
jatuh ke tangan cikgu mata pelajaran Sejarah itu. Tidak sesuai dengan Najla
yang periang itu. Najla selayaknya untuk bersama dengan Cadeo. Biar kontra
peribadi dan personaliti asalkan mereka saling melengkapi.
“Hah! Mengelamun!” Najla menegur temannya
itu. Mejanya ditampar kuat bagi menyedarkan wanita di hadapan sana.
“Ehem... jadi ya kau datang makan malam
kat rumah aku hujung minggu ni?” Cepat Yana menyoal.
“Yana...”
“Please, Naj... sekali je. Demi aku?” Yana sudah separuh
merayu. Berharap benar Najla bersetuju.
Lama
Najla terdiam. Dia cuba memikir baik buruk keputusan yang bakal dia ambil
nanti.
Dia
tahu yang dia boleh sekadar menghantar mesej atau menelefon Cadeo untuk mengucapkan
terima kasih. Tidak perlupun berjumpa atau makan-makan segala. Tetapi masalah
pula nanti apabila lelaki itu mengetahui nombor telefonnya.
Dia
mengeluh pula. Terasa payah benar untuknya membuat keputusan. Entah apa sangatlah
yang dia gusar lebih-lebih? Bukannya ada apapun. Pergi rumah Yana dan Daniel.
Makan dan terus balik. Itu saja.
“Ya
lah...” Akhirnya dia memberi jawapan. Temannya itu menyambut dengan wajah yang
girang. Entah apa-apa si Yana. Ajak orang makan pun dah seronok lebih. Suka
sangatlah tu apabila niat dia untuk pertemukan aku dengan Cadeo berjaya.
Bersungguh betul dia berusaha.
Nak lg ......
ReplyDeletebest.. bila nk keluar ni...
ReplyDeletetq. inshaaAllah Januari. tunggu kami war-warkan ya? :)
ReplyDeletedah nak jumpa.....
ReplyDeleteBest..
ReplyDeleteMarathon dari bab 1
ReplyDeleteMmg best