Bab 3 : Seindah Kasih Cadeo | Wan Sufia



WALAU di mulut, Cadeo tidak mengakui yang Najla yang dia inginkan, namun hatinya tidak begitu. Pagi itu bukan main semangat dia bersiap. Pakaian untuk ke pejabatnya juga dipilih yang terbaik semata-mata untuk tampil sempurna di hadapan mata gadis itu. Dia mahu Najla memandangnya seeloknya.
Sehelai baju kemeja lengan panjang berwarna peach dikeluarkan dari almari pakaiannya. Setelah menilik sehabis mungkin, dia tersenyum. Hatinya berbisik, ini yang terbaik untuk dia pakai pada hari ini. Sesudah memakai baju tersebut, seluar panjang berwarna kelabu pula disarung ke tubuhnya dan akhir sekali mencapai tali leher tanpa corak berwarna senada dengan seluar. Tali leher itu digulung kemas lalu dimasukkan ke dalam poket bajunya. Malas hendak pakai siap-siap. Malu apabila nanti lebih ramai yang memandang.
Dari rumahnya, dia hanya perlu berjalan kaki sekitar lima minit untuk sampai di Stesen Komuter Teluk Gadong. Tidak perlu bersesak di jalan raya untuk sampai di pejabatnya yang terletak tidak jauh dari KL Sentral.
Apabila disoal, kenapa dia tidak memandu sendiri keretanya? Jawapannya mudah sahaja. Dia tidak suka bersesak. Malah dia rasa mudah apabila bergerak dengan menaiki kenderaan awam. Murah. Jimat. Tidak kalut. Dan apabila dia ingin pulang ke rumah orang tuanya di Pulau Pinang juga tidak menjadi masalah. Dari KLIA terus ke Bayan Lepas. Dalam tiga puluh minit sudah sampai. Cepat!
Keretanya hanya digunakan apabila perlu sahaja. Dia tidak menempuh jalan yang sesak hari-hari.
Cadeo hanya berdiri menunggu ketibaan komuter. Dia sudah hafal dengan sistem jadual kenderaan itu. Sekejap lagi, sampailah. Malah dia semakin teruja apabila mengenangkan yang dirinya bakal bertemu dengan Najla sekali lagi. Harap benar gadis itu akan naik di mana-mana stesen nanti.
Semalam dia tidak sedar akan kehadiran gadis itu. Tiba-tiba sahaja muncul di sebelah dan menyoalnya mengenai bahasa Thai.
Dia tersenyum apabila mula memikirkan yang Najla tidak tahu akan status sebenar agama dan bangsanya.
Sememangnya rata-rata yang pertama kali mengenalinya tidak akan syak dengan statusnya itu. Wajahnya tidak sepenuhnya seperti kebanyakan orang Siam yang lain. Malah hasil campuran gen ayah dan ibunya membuatkan dia kelihatan seakan-akan orang Melayu yang berkulit cerah.
Dia sedar akan tarikan yang ada pada dirinya. Dia tahu wajah tampannya sering mengundang pandang dari orang yang berhampiran. Dia tidak pernah berbangga. Malah ada ketikanya dia berasa bosan dan terkongkong. Dia tidak suka apabila segala tindak-tanduknya menjadi perhatian ramai.
Malah apabila dia mengambil mana-mana minuman keras, pasti ramai yang memandangnya pelik. Seakan-akan dia sudah ‘lupa diri’ pula. Sedangkan mereka itu yang lupa diri. Sudah sah-sah bergelar kaum Melayu yang beragama Islam, namun masih sanggup meneguk minuman keras itu. Malah di dalam agamanya sendiri tidak dibenarkan mengambil minuman keras. Cuma segalanya mengikut diri sendiri juga. Kalau hendak, ambil. Kalau tidak, pun tak apa. Tak ada yang melarang lebih.
Sekali lagi Cadeo bernasib baik apabila masih tidak ramai yang berada di dalam komuter itu. Mudah untuknya memilih tempat. Selalunya tempat kegemarannya sentiasa ada untuknya. Dia meletak beg bimbitnya di sebelah. Kononnya sengaja hendak simpan siap-siap tempat duduk untuk Najla apabila gadis itu naik nanti.
Dia kusyuk memerhati di setiap stesen yang dilalui. Tercari-cari wajah Najla. Dari Teluk Gadong sebentar tadi sehinggalah ke Stesen Padang Jawa. Tiada kelihatan gadis itu di situ.
Dia mengeluh hampa apabila memikirkan bahawa kemungkinan kereta Najla sudah siap dibaiki. Tiada lagi peluang untuknya bertemu dan berbual dengan gadis itu. Menyesal pula apabila semalam tidak bertukar kad nama. Kalau tidak, tak adalah dia berasa ralat sangat. Sekurang-kurangnya dia boleh berhubungan dengan Najla melalui telefon.
Tubuhnya sudah disandar ke belakang. Dia sempat memandang dua orang gadis Punjabi yang sedang tersenyum-senyum memandangnya. Dia langsung tiada mood untuk membalas seperti kebiasaannya. Moodnya sudah hilang dibawa Najla.
Dari Padang Jawa, Stesen Shah Alam pula dilalui. Cadeo pada ketika itu sudah tidak mahu beria-ia memandang seperti tadi. Rasa malu pula apabila dirinya tercengang-cengang memandang dan mencari. Kalau ada peluang untuknya bertemu lagi dengan Najla, dia bersyukur. Kalau tidak, anggap sahaja itu sebagai pengalaman untuknya.
“Ada orang duduk di sini?” Cadeo tersentak apabila suara itu menyoal. Pantas pandangannya diangkat dan matanya sempat menangkap wajah manis Najla.
“Najla?” soalnya demi mendapatkan kepastian. Risau pula andai dirinya sedang bermimpi dan angaukan gadis itu.
“Ya saya, Deo. Ada orang tak kat sini? Beg awak kan?” Sekali lagi gadis itu menyoal. Cepat-cepat Cadeo mengangguk.
Najla mengangkat beg bimbit itu dan segera juga Cadeo mengambil dari tangannya. Dia mengerling sebentar ke sisi kanannya dan mengukir senyum untuk lelaki itu.
“Sihat?” Najla menyoal.
“Ya, sihat. Awak?”
“Biasa-biasa je...”
Cadeo mengangguk. Wajah Najla di sebelahnya dipandang tanpa jemu. Dia cuba mencari apa yang manisnya pada wajah itu.
Kulit licin tanpa mekap tebal yang menghiasi. Hidung halus dan mancung. Dan... tahi lalat di pipi kanan gadis itu yang paling manis di matanya. Kemudiannya matanya jatuh pula pada bibir merah gadis itu yang dioles nipis pewarna bibir. Nampak segar. Lama matanya di situ sebelum dia melihat bibir itu terbuka.
“Deo? Awak okey? Awak betul-betul sihat kan?” Dalam bergetar, Najla gagahkan jua dirinya untuk menyoal. Dia jadi gementar apabila menyedari yang lelaki itu asyik memandangnya. Malah dia sedar ke mana arah anak mata coklat cair milik lelaki itu halakan.
Yeah... I’m fine. Pretty fine.” Cadeo mula berpaling dari wajah itu. Dia jadi malu apabila tertangkap begitu. Dia segera mengingatkan bahawa Najla tidak seperti Som Sui, Adlene atau mana-mana wanita yang dikenalinya. Najla tidak akan bertindak seperti mereka yang pantang ada peluang, pasti bibirnya dicantum. Najla, gadis suci yang naif. Bukan begitu caranya.
Situasi janggal itu berlaku sekitar lima minit sebelum telefon bimbit Cadeo berbunyi. Lelaki itu memandang sebentar skrin pada telefon bimbitnya sebelum menjawab.
Najla hanya mendengar sahaja perbualan Cadeo itu. Dia tidak faham sepatah perkataanpun yang lelaki itu ucapkan. Hanya sesekali menyelit bahasa Inggeris. Namun dia tidak mahu lebih memasang telinga. Hanya sekadar ingin kagum dengan kefasihan Cadeo berbahasa Thai.
Sorry...” ucap lelaki itu tiba-tiba. Terasa dekat dengan telinganya. Seakan-akan sedang berbisik erat.
Pantas Najla berpaling.
For what?” Tanpa sedar, dia juga membalas dalam nada yang sama.
For making you lonely...
Najla terpana. Tidak faham kenapa Cadeo berkata begitu.
My papa...
Sekali lagi dia terpana dengan penjelasan tanpa dipinta itu. Dia hanya memandang tanpa kata.
“Tanya saya apa je yang awak nak tahu, Najla.”
“Papa awak?”
Lelaki itu mengangguk.
Belum sempat Najla menyoal lebih, Stesen Petaling sudah hampir tiba. Dia menyimpan segala yang membelenggu di fikirannya. Andai ada peluang nanti, pasti dia akan persoalkan. Mungkin sekarang bukan masa yang sesuai. Tambah pula dengan tempoh perkenalan mereka. Dia tidak tahu apa-apa mengenai lelaki itu. Sekadar nama Deo sahaja. Lebih dari itu, dia tidak tahu.
Malah dia sendiri tidak tahu di mana lelaki itu tinggal sedangkan mereka menaiki kenderaan yang sama. Dia naik sahaja, lelaki itu sudah ada. Lagi bertambah tidak sesuai apabila perkenalan mereka baru masuk hari kedua. Mustahil dia akan menyoal lebih walaupun dia sangat penasaran dengan segala tindak-tanduk dan bahasa yang lelaki itu gunakan.

Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments: