AKU melangkah selaju mungkin untuk sampai ke pejabat,
sebelum Tengku Haizal perasan aku terlambat hari ini. Kalau dia tahu, memang
habis. Mahu sampai petang dia berleter.
“Hah!
Nanti dulu!”
Adoi! Tadah telinga lagilah jawabnya ni.
“Kenapa sayang lambat ni? Anak meragam ke
malam tadi?”
Tengku Haizal menghampiri sambil memeluk
tubuh. Walaupun senyumannya kelihatan menawan, tetapi masih tidak mampu mencairkan hatiku. Geram betul dengan
bos yang suis kepalanya tak berapa nak betul ni. Ikutkan hati, mahu saja aku
hempuk belakangnya dengan helmet.
“Maaf Kuzal,
salah saya. Saya pergi buat kerja dulu.”
Aku cuba mengawal suara selembut mungkin. Dia
tak bagi aku ruang untuk beredar dari situ. Liar betul mata dia.
“Sekali lagi, ya? Lagi sekali awak panggil
saya Kuzal, saya cium awak!”
Dia ketawa mengekek. Suka sangatlah tu tengok
aku tergamam.
Tak boleh jadi ni!
Aku tolak badan Tengku Haizal dengan helmet
yang masih terpegang di tangan. Muka aku? Jangan cakaplah. Manis sikit dari
jeruk cermai.
“Gila! Pagi-pagi dah kacau orang.”
Makin kuat pula Tengku Haizal gelak bila
aku membentak.
Sampai di meja, lagi satu kejutan aku dapat.
Sampai tegang urat mata aku terbeliak.
“Ya Allah, siapa punya kerja ni? Habis
bersepah meja aku!”
Seingat aku semalam, meja aku ni bersih.
Siapa pula yang letak fail bertimbun–timbun ni?
“Saya punya kerja. Kenapa? Tak puas hati ke?”
Aku toleh ke belakang.
Bos aku si wayar putus tu tengah tersengih
macam kerang busuk. Selamba saja dia menjawab. Memang tak ada rasa bersalah
langsung.
Malas nak bersoal jawab, aku bawa semua
dokumen yang perlu dibuat salinan ke mesin fotostat. Bosan dengan kerja-kerja
rutinku di pejabat peguam itu.
Sisa mengantuk masih ada. Kesejukan penghawa
dingin melayukan lagi mata yang sudah sedia kuyu. Mulut ni pula tak henti-henti
menguap. Naik lenguh rahang menganga luas-luas.
Aduhai mata, tolonglah bertahan. Tak sabar
rasanya nak tunggu Tengku Haizal keluar. Boleh aku membuta sekejap nanti.
Ini semua gara-gara cup-cake. Kalaulah Kak Maziah tu bukan kakak ipar aku, dah lama aku
suruh dia ‘bungkus’ bisnes online dia. Dia yang nak berniaga,
dengan aku sekali diheretnya berjaga sampai lewat malam. Nasib baik ada juga
‘bahagian’ untuk aku.
“Hah,
tidur pulak!”
“Aduh!”
Terkial-kial aku angkat penutup mesin
fotostat. Terus celik biji mata.
Kurang asam sungguh dia ni. Kalau aku letak muka dia atas mesin
pengimbas ni, bagus juga rasanya. Kalau tak menyusahkan hidup aku sehari,
memang tak aman agaknya hidup Tengku Haizal?
Dia masih terenjut-enjut ketawa.
Kelakar sangat ke?
“Mesin ni pun marah awak tidur. Sakit tak
kepala tu? Mari saya tengok.”
Tangan Tengku Haizal sudah menggosok-gosok ubunku.
Cepat aku larikan kepala. Tak suka dia buat
macam tu. Malu kalau Kak Salmi nampak.
“Saya okey, Kuzal... eh, Tengku. Err... Tengku
pergilah masuk bilik Tengku. Dah siap nanti, saya letak atas meja.” Kekok pula
rasanya panggil dia Tengku. Macam bercakap dalam istana pula.
“Cuba panggil lagi sekali,” arah Tengku
Haizal.
“Tengku.” Perlahan saja aku sebut.
Tengku Haizal senyum. Dia pandang aku
sekejap, lepas itu dia berjalan menuju ke bilik.
Lega hati bila Tengku Haizal sudah beredar.
Aku siapkan kerja yang tergendala tadi cepat-cepat.
“Dayang!”
Satu pejabat terperanjat. Mata masing-masing memandang
ke arah bilik Tengku Haizal.
Kuatnya dia jerit.
Aku tinjau Tengku Haizal yang sedang
bersandar di kerusi. Dari sana aku nampak dia menggamit. Aku pandang pula Kak
Salmi yang sibuk menaip.
“Dia nak apa Kak Salmi? Dokumen dia belum
siap lagi. Tinggal sikit je lagi ni.”
“Entahlah Dayang. Pergilah masuk jumpa dia.
Biar akak tolong habiskan kerja tu.”
Kak Salmi bangun membawa perutnya yang sarat.
Kasihan pula aku tengok mak buyung ni. Kerja dia sendiri pun dah berlambak, tak
pasal-pasal kena sambung kerja aku pula.
Dengan langkah malas, aku masuk ke bilik
Tengku Haizal.
“Tengku panggil saya?”
“Tolong buatkan Milo suam. Cawan besar tau,”
arah Tengku Haizal.
Dia senyum sambil kenyit mata. Aku buat-buat
tak nampak.
“Itu je?”
“Ya, Milo letak lebih okey?”
Aku atur langkah ke pantri. Hanya kerana
secawan Milo, sanggup dia terpekik-pekik
panggil aku. Nak kata dia sibuk, aku tengok dia sedang bersenang-lenang
baca suratkhabar.
Apalah salahnya kalau dia bancuh sendiri.
Mentang-mentanglah dia bos. Boslah sangat! Mr. Dinesh pun bos juga. Tapi, tak banyak
songeh macam dia.
“Buat jelah
Dayang. Selagi kau boleh sabar, kau bertahan jelah.” Aku mengomel sambil membancuh Milo.
“Dayang! Cepat sikit! Saya dah nak pergi ni!”
Tercampak sudu yang aku pegang. Aku urut
dada. Kena sepuluh kali dia jerit macam tu, mahu mati terkejut aku. Aku rasa
mak dia ni telan mikrofon waktu mengandungkan dia kut. Sebab itulah asyik nak menjerit.
“Nah!”
Aku letak Milo suam di atas meja dia.
“Masya-Allah! Anak dara apa ni? Macam ni cara
awak hidang air pada saya? Dulang tak ada ke?”
Aku kemam bibir. Eleh,
aku dah buatkan air tu pun dah kira untung.
“Maaf, tadi Tengku suruh cepat.”
“Oh! Salah saya pulak? Tengok, dah tumpah air kat
meja. Lap sampai kering. Bersemut pulak
nanti.” Sambil mencekak pinggang, dia
menjerkahku.
Aku ke pantri semula dan mengambil kain
lembap untuk membersihkan meja. Aku bawa dulang kecil sekali untuk mengalas
cawan.
Tengku Haizal tiada di dalam bilik semasa aku
kembali untuk mengelap tumpahan air di atas meja.
“Opocot!”
Ada orang cucuk pinggang aku. Kain di tangan
terpelanting. Cepat-cepat aku pusing ke belakang, nak tengok di mana kain tu
mendarat. Alamak!
“Maaf, Tengku. Saya tak sengaja, terperanjat
tadi.”
Kelam-kabut aku ambil kain yang tersembam
cantik di atas kemeja putihnya. Mujur
tak meninggalkan kesan. Kalau tak, tadah telinga lagilah jawabnya.
“Muda-muda lagi dah melatah. Dokumen saya dah
siap ke?”
“Belum. Tadi Tengku suruh saya buat air...”
Aku bagi alasan dan harap-harap dia faham.
“Habis tu... awak tunggu apa lagi? Cepatlah
sayang oi! Abang dah nak keluar ni.”
Sesedap rasa dia je nak jerkah aku.
Aku terus keluar dari situ dan mencari Kak
Salmi. Mujur ada Mak Buyung yang bermurah hati nak tolong aku sebentar tadi.
Tak sampai seminit, aku masuk semula ke bilik
Tengku Haizal. Aku lambakkan semua dokumen yang dia nak.
“Letakkan dalam briefcase. Nak minum kejap.”
Dia mengarah lagi.
Ya ampun! Mengada-adanya dia ni. Macam dah
tak ada tangan. Dia ingat aku ni bini dia ke? Semuanya nak aku yang siapkan.
Lepas sumbat semua fail, briefcase warna hitam itu aku tutup kemas-kemas.
“Dah siap. Ada apa-apa lagi Tengku?” Aku hela
nafas perlahan. Cepatlah keluar. Aku nak lelap sekejap ni!
Dia membetulkan tali lehernya yang senget.
Mata nakalnya menjamah mukaku.
Eee, tak kuasa nak pandang mata gatal dia. Kalau
ada garfu masa ni, memang aku korek keluar biji mata dia tu. Tak pernah tengok
perempuan kut?
Aku ambil muk yang dah kosong dan cuba chow dari situ.
“Dayang.”
Aduh, apalagi ni? Aku memaniskan muka dan
berpaling semula.
“Ya Tengku?”
“Bawa beg saya ke kereta. Nak pergi tandas
sekejap.”
Grrr, dia ni memang dah melampau betul! Aku ni pecacai dia ke? Rasanya benda-benda ni
semua tak ada dalam skop kerja aku.
Dengan hati yang tak berapa nak ikhlas, aku
hantar juga beg hitam yang sarat dengan dokumen itu ke kereta. Berkuncilah pula.
Hish!
“Hai Dayang, awak nak ikut kami pergi court ke?” Seorang lagi bos aku menegur.
“Taklah Mr. Dinesh. Tengku Haizal minta saya
letakkan beg dia dalam kereta.”
Aku jawab sambil senyum kelat. Tak naklah aku
ikut lelaki miring itu ke mahkamah. Aku dah tak sabar nak melelapkan mata ni.
Tak lama kemudian, Tengku Haizal keluar dari
pejabat sambil menayang wajah poyonya itu.
“Amboi Zal, bertuah betul kau. Dapat layanan first class.” Mr. Dinesh mengusik.
Tengku Haizal ketawa senang. Tapi aku pula
rasa nak muntah.
Dari aku berlamaan di situ, baik aku blah.
Belum sempat aku menghampiri ruang kerjaku,
suara Kak Salmi lebih dahulu menyapa telinga.
“Dayang, dokumen kat atas meja ni siapa punya?”
Dokumen Tengku Haizal!
Riak Kak Salmi sudah mula cemas. Aku ambil
dokumen di tangannya.
“Saya tak perasanlah tadi kak. Macam mana
ni?”
“Kalau dia tahu, mesti dia mengamuk. Kes dia start pukul berapa?”
“9.00, kak.” Aku menjawab perlahan. Jam di
dinding aku pandang. Ada lagi setengah jam. Aku capai kunci motor dan helmet.
“Hati-hati Dayang,” pesan Kak Salmi.
0 comments:
Post a Comment