Bab 2 : Gurauan Asmara | Izma Qahiera

AKU biarkan saja skuter pink aku tersadai di kaki tangga mahkamah. Apa yang penting, dokumen ini mesti berada di tangan Tengku Haizal sebelum perbicaraan bermula.
Melilau aku mencari dia. Menyesal pula tak bawa handphone tadi. Nak cepat punya pasal.
“Maaf, boleh tepi sikit? Saya nak tengok papan kenyataan ni kejap.”
Aku menyelit di celahan orang yang tengah tercongok kat depan papan yang tertampal bermacam-macam  jenis memo tu. Itulah untungnya jadi orang kenit ni.
Aku baca senarai firma guaman  yang terlibat  dalam  perbicaraan hari ini. Yeah gotcha! Tingkat lima.
Aku pandang lif. Ramainya orang. Tak ada pilihan. Mujur hari ini tergerak hati nak pakai seluar. Kalau pakai baju kurung, entah macam manalah rupa aku sekarang ni. Adoi, macam nak meletup jantung aku berlari menaiki tangga. Oksigen dan karbon dioksida berlumba-lumba keluar masuk  dari hidung dan mulut.
Sampai di tingkat lima, aku teruskan pencarian. Banyaknya pintu. Mana pula dia ni? Tengku Haizal, tolonglah menjelma. Aku dah penat ni.
Ketika mata masih melingas mencari bos aku yang banyak songeh itu, mata terpandang seseorang yang boleh menamatkan pencarianku.
“Mr. Dinesh!”
Selamba aku menjerit dan cepat-cepat mendapatkan dia.
“Dayang, awak buat apa kat sini?”
“Ni, tertinggal... Tengku Haizal punya.”
Tiba-tiba dokumen yang aku pegang bertukar tangan. Tapi bukan dengan Mr. Dinesh. Tengku Haizal yang tiba-tiba muncul dari belakang yang merampasnya. Tersengih lelaki itu melihat aku yang terperanjat. Tapi tak lama, dia tunjuk muka mencuka.
“Macam mana boleh tertinggal?”
Dia mula dah! Sengajalah tu nak malukan aku. Bukannya nak cakap terima kasih.
Sebelum dia buat hal, baik aku pergi dulu. Tak kuasa nak menjawab soalan dia.
“Nanti!”
Apa lagi ni? Takkan kat sini pun dia nak buli aku?
“Jom ikut saya.”
Dia tarik tangan aku ke pintu lif. Tak sempat nak ucap bye bye pada bos India aku yang handsome tu.
Dia rentap tangan aku dan terus mengheretku masuk ke dalam lif. Kasar betul!
“Cuba tengok rupa awak kat dinding lif ni,” arah Tengku Haizal.
Aku serba salah. Kenapanya? Tajam matanya dia merenung aku. Apa yang tak kena ni? Aku melangkah sedikit ke belakang. Dan tak semena-mena dia pegang dua-dua belah pipi aku.
“Jangan, Tengku! Berdosa...”
“Apa awak merepek ni? Ni, saya kata tengok muka awak kat sini. Lawa tak? Dah macam Tina Turner.”
Dia memusingkan muka aku menghadap dinding. Masya-Allah! Patutlah banyak mata yang tengok aku tadi.
Aku tahan tawa yang hampir meletus. Buruknya rupa kau Dayang!
Tengku Haizal menyeluk sikat pendek di poket seluar sebelah belakang.
Aku teragak-agak untuk menyambut sikat miliknya itu. Macam dah lama tak tengok lelaki membawa sikat.
Aku ketawa di dalam hati.
“Kenapa awak pandang saya macam tu? Awak nak saya sikatkan ke?”
Sepantas kilat aku ambil sikat di tangannya. Tak ingin aku nak bermanja-manja dengan dia. Dinding lif aku jadikan cermin. Bersikat ala kadar saja. Nanti aku pakai helmet, gerenti serabai balik rambut ni. Sebelum pintu lif terbuka, aku pulangkan semula sikat kontot itu. Aku senyum sedikit. Buat syarat, jangan dia kata aku menyombong pula.
“Terima kasih.”
Hmm, awak ni buta warna ke?”
Hah?”
“Tu…”
Aku tunduk, nak tengok tempat yang dimuncungkan oleh Tengku Haizal.
Aku tepuk dahi sekali dengan mulut yang terlopong. Ya Rabbi! Bila masa pula aku sarung selipar jamban ni? Dahlah selipar jamban, lain-lain warna pula tu! Aduh, mana nak letak muka ni?
Err, ini bukan buta warna. Ini namanya mengikut trend terkini. Saya pergi dulu, Tengku.”
Aku meluru keluar sebaik sahaja pintu lif terbuka. Alangkah bagusnya kalau aku ada kuasa ajaib. Kelip mata, terus sampai pejabat. Malunya!
Tengku Haizal panggil pun aku buat bodoh. Jumpa di pejabat sajalah nanti. Tak tahu ke aku tengah malu ni?
Aku melompat ke atas skuter. Gaya ala-ala rempit sejati. Tak nak tunggu lama-lama di situ, terus aku pecut skuter pink  kesayanganku menghala balik ke pejabat.
Jalan dah mula jem. Biasalah tu. Dah namanya Kuala Lumpur. Hujan sikit pun dah jem.
Aku mula menguap. Lambatnya nak tunggu lampu isyarat ni bertukar hijau. Tadi masa nak pergi rasa macam cepat. Bila nak balik rasa macam pejabat tu ada di Seremban pula. Enjin motor tiba-tiba mati. Aku tekan punat start. Tak nak hidup. Cuba lagi sekali. Masih sama. Argh, sudah!
“Aduh, masa nilah kau nak buat perangai!”
Aku pandang lampu merah. Ada empat puluh lima saat lagi.
Apa kena motor ni? Takkan mogok sebab aku biarkan tersadai kat depan mahkamah tadi?
Minyak banyak lagi. Apa pula yang rosak ni?
Aku dongak sekali lagi. Lima belas saat! Relaks, Dayang. Apa-apa hal, tolak motor ke tepi jalan dulu.
Aku duduk mencangkung di tepi motor. Blur sekejap, tak tahu nak buat apa. Ada dua tiga buah kenderaan yang sengaja hon aku.
Bongok! Tak pernah tengok motor rosak ke?
"Hoi!"
Sebuah kereta berhenti. Macam kenal je kereta tu. Cermin kereta diturunkan. Dah agak dah, memang dia.
"Kut ya pun motor tu rosak, jangan mencangkung kat tepi jalan macam tu. Buruk betul kalau tengok dari jauh. Dah macam orang kena buasir."
Ek eleh! Kalau berhenti setakat nak bebelkan aku, baik tak payah.
Aku senyum geram. Tak sampai hati nak maki balik.
Aku bangun dan cuba hidupkan motor sekali lagi. Memang sah skuter aku ni mogok dan aku melihat Tengku Haizal sudah mula keluar dari kereta. Cepat-cepat dia memegang tangan aku lalu menarikku masuk ke dalam kereta.
"Motor saya macam mana?"
"Saya dah telefon mekanik. Kejap lagi dia orang datang ambil," jawab Tengku Haizal.
"Kita tunggulah kat sini dulu. Takut motor tu hilang nanti."
"Kalau setakat skuter pink awak tu, tak ada siapa yang berkenanlah."
"Ataupun saya tolak je motor tu. Ada satu bengkel kat depan sana, tapi tak tahu dah buka ke belum."
“Duduk jelah diam-diam. Kejap lagi dia orang sampailah.”
Aku diam, tak guna melawan. Dia kan peguam, banyaklah hujah dia nak bidas aku nanti.
“Tengku dah habis kerja kat mahkamah ke?” Baru aku perasan, hari masih awal lagi. Selalunya tengah hari baru perbicaraan selesai.
“Kes postponed, majistret demam,” jawabnya selamba.
Aku mengemam bibir.
Kalau aku tahu majistret tu nak cuti, tak payahlah susah-susah aku merempit tadi.
Tengku Haizal menanggal tali lehernya dan mencampak ke tempat duduk belakang. Lengan baju dilipat sampai ke siku. Terserlah tangan dia yang berbulu halus.
Aku pandang ke luar bila dia menoleh padaku. Takut nanti dia ingat aku syok tengok lengan berbulu dia pula. Bukannya boleh harap sangat si loyar buruk ni. Lain jadinya nanti.
Tidak berapa lama kemudian, mekanik yang dihubungi Tengku Haizal sebentar tadi tiba di situ.
"Kita ikut dia orang pergi bengkel," katanya.
"Teruk ke rosak motor tu?"
"Motor dah kena hukum buang dalam sungai, banyaklah kut penyakitnya."
Amboi, sesedap mulut dia je kutuk motor pemberian abah.
Kecik hati aku. Motor tu dah banyak berjasa pada aku.
Tiba-tiba Tengku Haizal berpaling. Badan dia rapat di tepi bahuku. Wangian Hugo Boss yang dia pakai dekat sangat dengan hidung. Lain macam saja cara dia pandang.
Apa hal pula dia ni?
Sambil pandang aku, perlahan-lahan tangan dia cuba menjangkau mukaku. Spontan, kedua-dua tangan aku tutup muka.
"Janganlah Tengku, tak baik buat macam ni. Ingat Tuhan!" Aku dah menjerit sambil menekup muka.
"Oi!"
Perlahan-lahan aku alihkan tangan. Muka dia aku pandang takut-takut.
"Saya nak pakaikan tali pinggang keledarlah. Yang menjerit macam orang kena rogol ni kenapa?" Dia sudah tersengih nakal. Ringan saja tangan aku ni nak tumbuk muka dia. Memang ada wayar yang putus dalam kepala dia gamaknya.
"Tak boleh cakap ke? Saya boleh buat sendirilah."
 Aku cuba kawal suara supaya tak dengar macam orang tak puas hati. Aku tolak badannya yang masih rapat di bahu.
Dia gelak melambak. Tak cukup dengan gelak, dia siap  geleng kepala lagi.
Aku kemam bibir. Rasa macam nak melompat keluar saja dari kereta ni. Selamat ke tidak aku sekereta dengan dia ni? Buatnya dia bawa aku lari ke Siam karang, macam mana? Kepala dia ni bukannya betul sangat.
 Sejak aku kenal dia enam bulan lepas, belum pernah sehari pun dia tak menyakat aku. Macam dah jadi acara wajib pula. Kalau tak menyakat, mesti cari sebab nak maki hamun aku. Tak pun, suruh aku buat kerja yang tak sepatutnya aku buat. Kemas pejabat dia, belikan makanan dia, hantar baju dia ke kedai dobi, macam-macam lagilah.
Kalau bukan sebab aku ni nak kena bayar balik pinjaman PTPTN, memang tak ingin aku kerja dengan dia.
Dapat bos yang gatal, mengada-ada dan cerewet macam dia ni buat aku serabut je. Tapi nak buat macam mana? Selagi boleh bersabar, aku tahan jelah.
Sampai di bengkel motor, aku tengok mekanik tu ‘mengerjakan’ skuter aku. Mujur kerosakannya tak teruk. Motor boleh siap repair hari ni juga. Mata aku tak lepas tengok mekanik tu ‘bogelkan’ skuter aku satu persatu. Bagus juga kalau aku tengok dia repair  motor ni. Lain kali kalau rosak, dah tak payah hantar bengkel lagi.
Jual jelah skuter buruk tu."
"Mana boleh! Tu skuter kesayangan saya."
"Eleh, sayanglah sangat! Macam boleh bawa tidur."
Dia ni apa hal? Dari tadi asyik tak puas hati. Bukannya aku minta duit dia untuk repair motor tu. Menyampahnya aku tengok muka dia. Nak aje aku simbah dia dengan minyak hitam yang berlambak kat dalam bengkel ni.
Aku mencangkung di sebelah mekanik yang sedang mengerjakan 'kekasih hatiku’ itu.
Bahu aku dicuit. Aku mendongak. Hanya sekadar menjungkit kening sebagai menyoal Tengku Haizal apa yang diingininya. Dia mengajak aku keluar dari bengkel.
"Ala, kejaplah Tengku. Saya nak tengok dia betulkan motor ni. Senang kalau jadi apa-apa hal lain kali, saya dah tahu macam mana nak buat."
Aku tumpukan perhatian semula. Kepala aku makin tunduk bila pomen tu menggodek bahagian enjin skuter di sebelah bawah.
"Aduh!"
Telinga aku ditarik. Nak tak nak, aku kena juga berdiri. Macam nak tercabut cuping telinga aku. Dia tarik aku keluar dari bengkel.
"Apasal degil sangat? Suka sangat awak mencangkung kat sebelah apek tu kan?"
Tangannya dilepaskan dan matanya sengaja dibuntangkan ke arahku. "Saya bukan mengurat apek tu. Saya nak tengok..."
"Diam! Jom pergi minum. Awak jangan lupa, sekarang ni masih dalam waktu bekerja. Saya boleh potong gaji awak tau tak?" ugutnya.
"Kenapa pulak nak potong gaji saya? Saya bukannya ponteng kerja. Saya pergi hantar dokumen Tengku tadi kan?" Aku bidas balik.
Sekali-sekala kena melawan juga. Mentang-mentanglah dia bos, suka hati laki mak tiri dia aje nak potong gaji aku.
"Melawan, melawan! Kerat lidah tu karang. Jom!"
Lepas telinga, tangan aku pula dia tarik. Langsung tak nak lepas walaupun dah duduk di gerai cendol tepi bengkel tu.
"Bang, bagi cendol pulut dua, sup ayam dua."
"Saya tak nak makan Tengku, masih kenyang."
"Siapa order untuk awak? Nak,order sendirilah."
"Kalau macam tu tak apalah. Saya belum nak minum lagi."
"Esok tak payah bawak motor pergi kerja."
Aku pandang Tengku Haizal. Apa hal pula ni? Dah kena buang kerja ke? Takkan sebab tak nak makan cendol pun kena buang kerja?
"Habis tu, macam mana saya nak pergi kerja?"
Berani-berani takut aku tanya dia. Risau juga kalau betul-betul dia pecat aku, satu hal pula nak cari kerja lain.
"Nanti saya jemput awak kat rumah," jawab Tengku Haizal selamba.
"Hah?” Aku ni dah pekak ke atau dia yang tengah sawan? Apa mimpi pula tiba-tiba dengan sukarelanya nak jadi supir aku?
“Tengku nak jemput saya?”
Dia hanya mengangkat kening.
"Tak apalah Tengku, saya lebih selesa naik motor."
Aku jawab elok-elok. Tapi, dia pandang aku macam dia tak kenyang-kenyang lagi walaupun dah hentam dua mangkuk cendol dengan sup ayam tu.
"Orang dah pelawa tu jual mahal pulak!"
"Bukan jual mahal, Tengku. Tapi, saya lebih..."
"Dahlah! Saya nak awak bayar semua ni. Upah sebab saya tumpangkan awak sampai ke bengkel."
Eh, dia tinggalkan aku macam tu je? Menonong je dia berjalan.
"Dayang!"
"Apa?"
"Lagi setengah jam kalau awak tak sampai office lagi, saya pecat awak!"


Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment