AKU pandang
senarai pesanan yang tertampal di pintu peti sejuk. Panjangnya! Memang pudarlah
harapan aku nak layan Hindustan hari ni. Bertapa di dapur jawabnya hari ni.
Aku tenung kabinet dapur. Bahan-bahan buat
kek pun dah tak banyak lagi. Cukup ke nak siapkan semua tempahan? Aku pergi ke
depan. Senyap je? Mesti keluar beli
barang.
“Assalamualaikum.”
Dari arah luar, suara Abang Burn kedengaran
memberi salam.
“Dah
siap buat kek ke?” tanya Kak Maziah.
“Belum, Dayang baru bangun.”
“Baru bangun? Pukul berapa nak siap kalau
macam ni? Banyak tempat nak kena hantar hari ni tau tak?”
Kak Maziah buat muka tak puas hati.
Eleh, macam dia yang buat kek tu. Aku mogok nanti
baru dia tahu. Siapa suruh terima order banyak-banyak?
Mula-mula dulu kata nak buat kecil-kecilan saja. Nak isi masa lapang konon! Sekarang
ni asal balik kerja je kena sambung
buat overtime kat dapur.
“Dayang, akak masak dulu ya. Lepas tu baru
akak tolong.”
Aku angguk saja. Malas nak menjawab. Macam
tak ada mood nak duduk kat dapur hari ni. Tapi tak sampai hati
pula nak aniaya Kak Maziah. Aku duduk sini pun percuma je.
Aku sanggul rambut tinggi-tinggi, lepas tu
tutup dengan bath cap. Aku basuh
tangan lalu mengeringkannya sebelum mencapai apron. Kebersihan mesti
diutamakan. Biarlah orang tak nampak
pun. Tapi yang kat ‘atas’ tu nampak.
"Dayang, akak tanya
sikit kau jangan marah eh?"
"Tanyalah," jawabku sambil menyukat tepung kek kat atas
penimbang.
"Dayang ada boyfriend tak?"
"Hah?"
Habis terlambak tepung kek kat atas meja. Soalan apa
ni? Kak Maziah ni memang dah tak ada modal nak bersembang dengan aku ke atau
memang dia betul-betul nak tahu?
Dia senyum pula tengok aku terkial-kial
membersihkan tepung yang dah berselerak.
“Takkan baru tanya macam tu pun dah terperanjat?
Dah ada eh?”
"Siapalah yang nak kat Dayang ni kak? Bukannya pandai melawapun. Kalau ada yang
berkenanpun, mesti orang tu dah tak ada pilihan atau dia dipaksa kahwin." Selamba saja aku menjawab. Macam orang tak ada
perasaan.
Bukannya dia sorang
yang tanya soalan tu. Mak, abah, Abang Burn, Abang Black, semua sibuk tanya.
Risau sangatlah konon adik bongsu dia orang ni tak laku-laku.
“Kenapa akak tanya?” Aku tanya dia balik. Tangan
yang penuh dengan tepung aku basuh di cucuran air yang sudah dibuka oleh Kak
Maziah.
"Kawan akak kat ofis minta akak carikan kawan untuk adik dia. Dayang nak tengok
gambar dia tak?"
Aku tutup paip air. Muka dia aku pandang. Sejak
bila pula dia jadi ejen pencari jodoh ni?
Belum sempat aku jawab, dia dah seluk beg tangan
yang memang dia bawa ke hulu ke hilir sepanjang masa. Dia hulur sampul surat
warna putih kepadaku.
"Akak dah tengok ke belum gambar ni?"
"Belum, takut akak pulak yang tangkap cintan
nanti." Kak Maziah menyeringai.
Amboi, gatal juga kakak ipar aku ni.
Aku ambil sampul yang dia hulur. Tapi, belum ada
hati lagi nak tengok. Aku letak sampul putih tu kat atas peti sejuk.
"Laa,
apasal tak buka? Cepatlah tengok
gambar tu. Kalau berkenan, akak boleh cakap terus kat kawan akak."
"Nanti dululah. Dayang belum bersedia nak
kawan dengan siapa-siapa lagilah kak. Nak kumpul duit dulu."
Aku sambung buat kerja. Kak Maziah pula dah mula
menumis. Tapi, aku tengok dia senyum sinis sambil geleng kepala. Apa hal pula Kak Maziah ni?
"Belum bersedia ke atau tengah tunggu
seseorang?"
Nada suara tu macam perli aku je? Siap dengan pakej senyum senget pula tu.
"Tunggu seseorang? Siapa?"
"Bos yang selalu kacau Dayang tu, siapa nama
dia?"
“Eee! Wayar
Putus tu? Tolonglah kak. Jangan sebut
nama dia. Mahu bantat cupcake
ni karang!”
Entah apa-apalah Kak Maziah ni. Sampai ke situ pula
dia fikir. Tengku Haizal? Choi!
Daripada aku tunggu dia, baik aku tunggu Mr. Dinesh. Mana tahu kan, kut-kut
tergerak hati dia nak peluk Islam.
Akulah orang pertama yang buat lompat bintang. Kalau dapat kahwin dengan dia,
mesti hidung anak-anak aku mancung macam hidung dia juga.
Uiks! Apa yang kau merepek ni
Dayang? Fokus, okey. Sebiji kek pun belum siap lagi ni. Nanti nak kena hantar
lagi.
Setengah jam kemudian, bancuhan untuk dua ratus
biji cupcake sudahpun siap. Nak
membakar pula lepas ni.
Kak Maziah sudah siap masak. Memang pantas kakak
ipar aku tu di dapur. Sekejap sahaja dah siap juadah untuk kami.
"Dayang, telefon bunyi!"
panggil Kak Maziah dari ruang makan.
"Akak tolong jawabkan.
Dayang nak basuh tangan jap.”
Kalut aku bergerak ke sinki
untuk membasuh tangan. Dan sebelum sempat aku ke ruang makan, Kak Maziah sudah
terpacak di hadapanku.
"Natrah suruh call balik. Akak tak boleh nak bawak
telefon tu ke dapur, tengah cas."
Natrah? Apa hal pula tiba-tiba telefon aku? Di mata
dah terbayang wajah Natrah, kawan lama masa sama-sama belajar dulu. Pernah
sekampung dengan aku. Tapi, sejak ibu dan ayah dia bercerai, dia tinggal
bersama neneknya di Terengganu.
"Tak apa kak, Dayang call dia nanti. "
Aku sambung kerja. Masukkan susunan cupcake ke dalam pembakar.
Aku jeling jam. Dah pukul dua. Patutlah perut aku
pedih. Sambil menunggu cupcake siap,
aku bancuh Milo panas. Tengok tin Milo ni, aku terbayangkan Tengku Haizal. Dia
memang suka minum Milo. Mengingati insiden beberapa hari lepas buat aku senyum sendiri.
Kenapalah dia suka sangat menyakat
aku? Patutnya aku simbah aje dia
dengan Milo masa dia cucuk pinggang aku tu.
Aku ambil sampul yang Kak Maziah bagi tadi.
Berkira-kira, nak tengok ke tidak isi dalam sampul tu.
Ting! Oven berbunyi. Satu dulang
cupcake dah siap. Aku letak balik
sampul kat atas peti sejuk. Masukkan dulang yang terakhir dalam
pembakar. Aku teguk sikit Milo yang masih panas, kemudian sambung mengerjakan cupcake. Letak icing cream untuk topping. Dalam
pada nak menghabiskan satu dulang, yang lagi satu pun siap. Bagus, lepas ni dah
boleh packing.
“Kak!”
Aku laung memanggil Kak Maziah.
Ewah-ewah! Senangnya hidup dia. Aku
berpanas kat dapur ni, dia
sedap-sedap ber-Kuch Kuch Hota Hai kat
depan. Tadi kata dah lambat. Ini, dibiarnya aku sorang-sorang.
“Ada apa?”
“Ni, tolong susun kek dalam kotak. Tadi kata dah
lambat?” perliku dengan suara sedikit keras.
Tanpa banyak songeh, dia ambil kotak dan senarai
pesanan. Tak sampai sejam, semua kerja dah selesai. Semua cupcake dah siap bersusun dalam kotak. Ada tiga tempat nak kena
hantar hari ni. Macam biasa, akulah drivernya.
Kak Maziah tukang tengok alamat.
"Nak bawak
budak-budak tak?"
"Tak payahlah. Abang Burn nak bawak dia orang balik jumpa mak,"
jawab Kak Maziah.
Aku hanya mengangguk apabila mendengar jawapan Kak
Maziah mengenai rutin mingguan kami itu.
“MANA satu rumah dia kak? Ni kawasan rumah
orang kaya-kaya tau. Betul ke dia order
cupcake dengan akak?"
Was-was aku
dengan kakak ipar aku ni. Macam tak percaya pula ada orang kaya nak makan cupcake dia.
"Betullah alamat yang dia bagi ni. Dia ni officemate akak. Mak dia yang nak
merasa, dia suruh akak hantar terus kat
rumah mak dia."
Aku mengangguk. Ikutkan ajelah.
"Hah,
tu rumah dia!"
"Eh kak, Dayang macam kenal je kereta kat luar rumah tu."
"Kau tu semua kau kenal. Jomlah masuk sekali,
mana tahu kut-kut kau kenal juga
orang kat dalam rumah tu."
Laju aku menggeleng. Macamlah aku tak tahu dia
perli aku. Kurang asam! Aku tinggal dia kat
sini nanti, baru dia tahu.
Belum sempat aku melangkah turun dari kereta,
telefon bimbitku berbunyi. Natrah. Aduh! Aku terlupa nak call dia semula.
"Assalamualaikum, Nat. Weh, sorrylah. Aku lupa
nak call balik tadi. Apa hal? Dah
lama tenggelam, tiba-tiba timbul ni?" Sementara nak tunggu kawan sekampung
aku ni habis gelak, aku cucuk dulu wayar handsfree
sebab Kak Maziah dah masuk balik dalam kereta.
"Kau nak cari kerja? Hmm..."
Aku fikir sekejap. Aku jeling juga kakak ipar aku
di sebelah. Ni kalau aku cakap, gerenti
dia tembak aku dengan macam-macam soalan.
"Bila kau dah turun KL nanti, kau cari aku.
Nanti aku SMS alamat tempat kerja. Kat
situ ada kosong. Mungkin boleh ganti tempat aku nanti.”
Kak Maziah pandang aku.
Elok aje
aku cakap bye kat Natrah, dia terus jadi pegawai penyiasat.
"Kau nak berhenti kerja ke Dayang?"
"Dalam perancangan je kak, belum confirm
lagi."
Aku senyum kelat.
"Kenapa pulak
nak berhenti?"
Aku diam sekejap.
"Oi,
akak tanya ni. Kenapa Dayang nak berhenti kerja?"
"Bos Dayang tu suka menggatallah kak. Dayang
tak suka!"
“Siapa nama bos Dayang tu?”
“Si Wayar Putus!”
0 comments:
Post a Comment