Bab 1 : Terbaik Bagimu | Dayana Darwisy

WARDINA mempercepatkan lagi kayuhannya. Dada langit yang mendung dan gerimis yang mula mengundang menyebabkan dia bimbang kebasahan. Rakan-rakannya juga turut mengayuh laju sepertinya. Masing-masing ingin cepat sampai ke rumah.
“Hoi, kawan-kawan! Buat penat je kita kayuh basikal laju-laju. Kat sini rupanya panas ceng-ceng...,” pekik Ayu.
Mereka berempat ketawakan diri sendiri. Takutkan air hujan, mereka sudah jadi seperti pelumba basikal pula. Bukan main bersungguh-sungguh lagi mengayuh basikal dek kerana risau ditimpa hujan.
“Kau orang rasa, kita boleh lulus cemerlang tak dalam peperiksaan ni?” soal Ayu. Resah hatinya saat memikirkan keputusan yang bakal diperolehnya nanti. Jika kecundang habis ranaplah impiannya ingin menjejakkan kaki ke menara gading.
“Insya-Allah... Kita semua dah berusaha sehabis daya dan upaya. Lepas ni, kita berdoa banyak-banyak semoga Allah makbulkan impian dan harapan kita,” ujar Wardina sambil memperlahankan kayuhannya. Terasa lenguh kakinya kerana memaksa diri mengayuh basikal selaju yang mungkin.
“Betul tu aku sokong,” balas Sofina.
Ayu dan Ila turut mengangguk sebagai tanda bersetuju dengan pendapat Wardina.
“Dina... kau ada beli novel baru tak? Nak pinjam.” Ila seperti biasa bertanyakan sahabatnya itu. Dia tahu setiap bulan Wardina akan melanggan novel terbaru.
“Ada. Baru sampai semalam. Tapi aku belum khatam buat kali ketiga, jadi sorry ya. Kau orang pun tahukan... Lagi aku belum khatam semua novel baru aku untuk kali yang ketiga, kau orang tak boleh pinjam.”
Best tak novel tu? Kalau best, aku nak pinjam pulak lepas ni.” Ila bertanya dengan teruja.
“Mestilah best. Kelakar ada, part yang mengusik kalbu pun ada, sampai mencurah-curah air mata aku menghayati jalan ceritanya. Tapi yang paling menarik hati aku… watak si hero. Hailaaa…. Harap-harap masih ada lah lagi ciri-ciri lelaki macam hero tu. Dahlah handsome, punya keimanan pulak tu. Romantik pun romantik. Yang paling buat aku jatuh hati, setia tahap tak ingat.” Wardina sudah masuk bab feeling-meeling...
“Wah, mesti best kan?” Sofina menyampuk. “Hah! Jangan lupa Ila. Lepas kau dah habis baca, bagi aku pulak.” Sofina sudah menempah nombor giliran.
“Nak baca novel-novel aku tu boleh. Tapi kena jaga elok-elok sebab aku sayang sangat novel-novel aku tu,” pesan Wardina.
“Ya... Kita orang faham,” jawab Ila dan Sofina hampir serentak.
Oii... mak cik! Novel boleh pulak kau khatam tiga kali, Quran macam mana pulak?” Ayu toleh ke arah Wardina sekilas.
“Quran ya...” Wardina berjeda seketika. “Emmm… ada la...” Dia kemudiannya tersenyum.
“Orang tanya betul-betul dia berahsia pulak. Cepatlah cakap.” Ayu menggesa. Kurang berpuas hati dengan jawapan yang Wardina berikan.
“Dua kali?” Sofina menelah.
Wardina geleng dan senyum.
“Tiga kali?” Giliran Ila pula mencuba.
“Salah.” Wardina menjawab sepatah.
“Lima kali?” Sofina kembali meneka.
“Lebih kurang la...” Wardina menghentikan telahan rakan-rakannya. Sebenarnya lebih dari itu dia khatam al-Quran. Cuma dia enggan memberitahu. Bimbang dikata riak mahupun takbur.
Sejak dia berumur tujuh tahun dan sampai sekarang, masuk sembilan belas tahun, sudah beberapa kali dia khatam al-Quran. Arwah ibunya seorang yang tegas. Setiap kali bulan Ramadan, memang wajib bagi dia adik-beradik menghabiskan 30 juzuk al-Quran. Amalan itu kekal dilakukannya hingga kini.
Paling tidak pun jika terlalu sibuk, dia akan membaca walau sebaris ayat berserta terjemahan. Biasanya dia akan mengaji antara waktu Maghrib dan Isyak. Dia juga akan bangun seawal jam tiga pagi setiap hari. Setelah solat sunat, dia akan mengaji beberapa muka surat sebelum mengulang kaji pelajaran.
“Tabik spring aku kat kau. Kiranya taklah teruk sangat kalau kau khatam setiap novel sampai tiga kali,” puji Sofina.
“Betul tu Dina. Aku benar-benar kagum dengan kau. Tak ramai yang mampu buat macam tu. Paling banyak pun, dua atau tiga kali aje mereka khatam. Lepas tu... terus dibiarkan al-Quran berlapuk dalam almari,” sampuk Ila.
“Alhamdulillah. Semua itu atas izin Allah juga.” Wardina merendah diri.
Err... Dina. Aku nak pinjam lagi buku yang aku pinjam dulu boleh tak? Nak feeling-feeling lagi. Hero romantik tahap tak ingat.” Ayu menyuarakan hasratnya.
“Hah betul-betul. Dah lah romantik, handsome pula tu…” tokok Sofina teruja.
Huh, tak senonoh betul korang berdua ni!” kutuk Ila.
“Dah... Tak payah gaduh-gaduh,” nasihat Wardina. “Petang karang, datang aje rumah aku. Lagipun kita dah habis exam, kan? Masa inilah kita nak pulun baca novel puas-puas. Nanti bila dah sambung belajar balik mana nak hadap novel-novel tu semua. Karang tak pasal-pasal belajar ke mana, apa ke mana. Takut tak ada masa depan oii…”
“Wah, ini sudah bagus! Lepas Zohor aku pergi rumah kau. Kau jangan membuta pulak.” Ila memberi amaran.
“Aku jaranglah tidur siang hari. Datanglah. Insya-Allah, aku tunggu. Nak suruh aku hampar karpet merah atau kuning tak?” gurau Wardina. Dia turut menyimpul senyuman.
“Boleh! Boleh! Apa salahnya kalau kau sudi sambut kedatangan kami secara besar-besaran dan gilang-gemilang,” giat Ayu bersama sengihan.
Sofina ketawa kelucuan sebelum berkata. “Dina... aku pun nak pinjam buku yang kau cakap best hari tu. Boleh kan?”
“Nanti datang rumah aku, kau orang pilihlah apa-apa novel yang kau orang minat. Kat atas jalan ni, boleh tak bawa basikal elok-elok? Aku takut kita semua kena langgar je. Nanti novel entah ke mana, kita pulak yang terlantar kat wad.” Suara Wardina kedengaran sedikit tegas.
Ayu, Ila dan Sofina sekadar tersengih mendengar teguran Wardina. Mereka langsung tidak simpan dalam hati. Faham benar mereka dengan sifat berhati-hati dan ambil berat Wardina itu.
“Jomlah singgah rumah aku dulu,” pelawa Wardina sebaik sahaja mereka mula mengambil laluan untuk pulang ke rumah masing-masing.
Seronok juga dia jika ada teman. Pabila tiba di rumah nanti, dia hanya sendirian. Abangnya Zulhakimi hanya akan pulang pabila matahari mula terbenam. Dia pasti diulit kebosanan.
“Kau nak suruh aku kena pelangkung dengan mak aku? Belum salin baju sekolah dah pergi berjalan.” Ila bersuara.
“Aku nak balik dululah Dina, tak selesa dengan baju sekolah macam ni,” jawab Ayu pula.
“Aku nak kena masak untuk makan tengah hari. Bising pula mak aku nanti bila balik dari kebun, aku tak siap masak lagi.” Sofina menyuarakan kegusarannya. Kegarangan emaknya mengalahkan ibu tiri dalam drama dahulu kala. Cengil bukan main!
“Tak apalah kalau macam tu. Kita berkumpul lepas Zohor ya? Assalamualaikum,” ucap Wardina.
Usai berbalas salam, Wardina dan sahabat-sahabatnya menuju ke arah rumah masing-masing.



ASSALAMUALAIKUM...”
Bagaikan mimpi Wardina mendengar suara orang memberi salam.
“Tak akanlah budak tiga orang tu dah datang? Baru pukul berapa ni?” Wardina melihat jam yang elok tergantung di dinding rumah. Awal lagi, getus Wardina. Dia baru sahaja ingin berehat selepas pulang dari sekolah tadi.
Wardina bangun dari pembaringannya. Tudung sekolah yang berada di atas sofa terus disarungkan ke kepala. Dia tidak mahu orang tertungu-tunggu.
“Waalaikumussalam,” laung Wardina dari dalam rumah.
Tercengang dia seketika melihat dua orang lelaki di halaman rumahnya.
Wow... kacaknya! Lebih tampan dan hebat daripada pelakon Korea kesayangan aku tu.
Tapi siapa mereka berdua ini? Buat apa di sini? Apa mahunya?
“Encik berdua cari siapa?”
“Ini rumah Zulhakimi ke?” Salah seorang daripada mereka bertanya.
“Ya...” balas Wardina ringkas. Hatinya digamit kebimbangan yang bukan sedikit. Janganlah hendaknya terjadi apa-apa ke atas abangnya.
 “Dia ada di rumah?” tanya Darwin ramah. Matanya tidak lari dari memandang wajah comel yang masih lengkap berpakaian seragam pengawas sekolah. Cuti-cuti pun pergi sekolah ke? Ada kelas tambahan kut?
Wardina menghela nafas lega.
“Abang Zul tak ada. Dia belum balik kerja lagi. Tapi encik berdua ni siapa?” Wardina bertanya. Bibit curiga mula bertandang di hatinya. Sudahlah dia keseorangan di rumah. Bimbang juga dia. Maklumlah sekarang ni tengah popular dengan cerita kes culik-rogol-bunuh-bakar. Dia tidak mahu menjadi salah seorang mangsanya.
“Saya Darwin, kawan Zulhakimi. Pukul berapa dia balik kerja?” Terlupa pula Darwin yang hari ini dia mengambil cuti. Sudahlah hendak datang tidak bagi tahu ‘orang tua’ itu terlebih dahulu.
“Biasanya pukul enam atau tujuh baru sampai rumah,” balas Wardina.
Mendengar perkataan kawan, hati Wardina sedikit lega.
Wajah teman-teman abangnya ditatap. Nak jemput naik ke tidak? Tapi tak kanlah hendak biarkan mereka tercongok di tengah panas pulak? Hati Wardina berbisik serba-salah.
Hailah... Dia orang ni pun satu. Time abang aku tak ada di rumah, time inilah nak datang. Hesy... menyusahkan aku betullah, gerutu Wardina sedikit geram.
“Jemputlah naik,” pelawa Wardina dengan perasaan serba-salah. Dia bimbang dengan tanggapan negatif jiran tetangga.
“Kami duduk kat beranda ni ajelah dulu,” pinta Darwin sopan. Segan pula dia hendak masuk ke dalam rumah apabila melihat Wardina hanya bersendirian.
Emmm... baiklah. Abang berdua duduklah dulu ya, saya nak masuk ke dalam sekejap.” Wardina membuka kipas angin di bahagian beranda untuk keselesaan kawan-kawan abangnya sebelum masuk ke bilik dan menukar pakaian.
Tidak lama kemudian, Wardina keluar bersama dulang yang berisi air sirap bandung, sepinggan kerepek ubi dan kek red velvet.
“Jemput minum,” pelawa Wardina. Dia sedikit kekok menyusun gelas minuman apabila mata Darwin tidak berganjak memerhatikan dirinya.
“Mana abang yang sorang lagi?” soalnya bagi mengurangkan ketidakselesaannya.
Darwin mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Melawat kawasan agaknya,” jawab Darwin selamba kemudiannya. Gadis yang berada di hadapannya ditilik semahunya.
Tadi pakai baju sekolah, comel. Pakai baju biasa, nampak cunlah pulak! Mesti dah ada boyfriend, bisik hati Darwin.
Budak sekolah sekarang bukannya boleh percaya sangat. Pantang nampak anak dara cantik sikit, terus keluar ayat jiwang-jiwang. Tak padan dengan makan minum mak bapak yang tanggung, bebel Darwin dalam hatinya.
Wardina mempamerkan riak blurnya.
Melawat kawasan? Calon wakil rakyat ke? Getus Wardina. Wah... muda-muda lagi dah nak masuk bertanding pilihan raya! Hebat!
“Nama siapa?” Darwin memulakan sesi perkenalan. Muka Wardina direnung tanpa rasa bersalah. Dah tahu nama abang, tak akan tak nak ambil tahu nama adiknya pula.
“Abang tanya nama saya ke?” Wardina tuding jari ke arah wajahnya.
“Taklah! Abang tanya nama orang yang duduk dekat rumah belakang,” balas Darwin selamba.
Wardina menarik muka empat belas. Panjang muncungnya. Penat kayuh basikal belum hilang lagi, dah ada pula yang buat lawak bodoh antarabangsa dengannya. Sudahlah Abang Zulhakiminya masih lambat lagi hendak pulang dari kerja. Kena pulak dia melayan kerenah sahabat abangnya yang tidak berapa nak betul ini.
Hesy... kenapalah time abang aku kerja, korang datang? Kelmarin cuti hujung minggu kenapa tak nak datang? Keluh Wardina dalam hati.
Hampir terburai tawa Darwin melihat wajah kelat itu.
“Tentulah abang tanya nama awak. Awak aje yang ada kat sini, kan?” Wajah Wardina yang sedang menahan marah menarik minatnya. Makin marah makin lawalah pulak!
“Oh! Nama kawan Wardina.”
Owhh... kalau nama kawan, Wardina. Nama awak siapa?” Sengaja Darwin mengusik Wardina.
“Itu nama orang la...” Wardina sudah mengetap bibirnya menahan geram.
“Abang tahulah itu nama orang. Mana ada orang letak nama lembu atau kambing dengan nama Wardina.” Entah mengapa timbul satu keseronokan dalam diri Darwin dapat mengusik gadis manis bernama Wardina itu.
Wardina menuntas pandangan ke raut wajah Darwin. Kejap ke atas dan kejap ke bawah berulang kali. Kecik-besar... kecik-besar... saja dia melihat lelaki itu. Ingin sahaja dia menelan lelaki itu hidup-hidup. Geramnya bila terasa dipermain-mainkan.
“Nama saya Nur Wardina binti Zulfadli. Umur saya sembilan belas tahun dan baru satu jam yang lalu tamat peperiksaan STPM. Ayah saya bernama Zulfadli bin Abdul Aziz dan emak saya bernama Wahida binti Mahad. Mempunyai seorang abang yang kacak dan tampan bernama Muhammad Zulhakimi. Puas hati?” Senafas ayat-ayat itu meluncur dari bibir Wardina.
Darwin sudah tersengih nakal.
“Nama abang yang kacak ni Darwin Oh. Kembar seiras dengan Dennis Oh. Kami ni lain mak dan juga ayah. Umur dua puluh tujuh tahun. Baru beberapa bulan yang lalu tamat belajar. Sekarang... bekerja sebagai kuli di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Anak tunggal. Nama ayah Suffian dan nama ibu pula Atifah.” Darwin mengajuk kembali kata-kata Wardina. “Emmm... kawan abang yang tak berapa nak kacak tu namanya Kamal Basha.”
Wardina mengherotkan bibirnya tanda menyampah. Tidak kuasa dia hendak melayan lelaki yang tidak berapa nak betul otaknya itu. Mata Wardina mencari kawan Darwin yang seorang lagi. Lelaki itu kelihatannya sangat baik. Tidak seperti yang berada di hadapannya ini. Banyak cakap dan banyak jugak cekadaknya!
Tawa Darwin meletus dengan aksi spontan Wardina. Kelakar juga minah ni. Kuat merajuk! Suka melawan! Banyak cakap!
Menarik... Ini kalau jadi isteri aku ni, mahunya kena cium setiap masa jika asyik buat aksi menggoda macam tu, bisik hati Darwin nakal.
“Apa ketawa-ketawa?” soal Wardina garang. “Saya ada buat lawak ke?” tanya Wardina geram.
Darwin hanya menggeleng. Namun senyumannya masih belum sirna di bibir.
Enggan melayan kerenah kawan abangnya, Wardina berlalu ke dapur untuk menyediakan makan tengah hari buat teman-teman abangnya itu. Entah apa tujuan mereka datang ke mari, Wardina tidak tahu. Apa yang dia tahu, salah seorang kawan abangnya itu,  amat menyusahkan dirinya.



ERR... adik. Tandas mana?”
Wardina menoleh untuk melihat siapakah gerangannya hamba Allah yang sopan lagi santun itu.
“Tandas kat belakang sana.” Wardina tuding jarinya ke arah yang dimaksudkan.
“Terima kasih.”
“Sama-sama,” jawab Wardina malu-malu. Baiknya. Tak macam mamat yang sorang tu.
Wardina segera menyiapkan hidangan tengah hari buat tetamu yang tidak diundang itu. Setelah siap menghidangkan nasi dan lauk-pauk, Wardina memanggil Darwin dan Kamal Basha untuk menjamu selera.
“Jemputlah makan.” Wardina mempelawa Darwin dan Kamal Basha.
“Tak makan sekali ke?” Darwin bertanya. Dia yakin Wardina masih belum makan tengah hari lagi.
“Abang berdua makanlah dulu,” ujar Wardina sambil menuang sirap limau ke dalam gelas.
“Sedap. Pandai Wardina masak. Ini dah boleh kahwin dah ni,” usik Kamal Basha. “Abang pun sedang mencari teman hidup,” tambahnya lagi.
“Eh, bukan ke kau dah ada Shalini?” soal Darwin selamba. Belum apa-apa lagi dah buat hal. Dia ingat kampung ni macam KL? Boleh redah sesuka hati!
“Apa salahnya ramai kawan? Dah jumpa yang betul-betul sesuai, barulah aku merangka perancangan ke peringkat seterusnya,” jawab Kamal Basha sambil meneguk minumannya.
La... sama aje perangainya! Ingatkan baik. Rupanya tadi belum panas ‘enjin’ lagi. Miang juga rupa-rupanya, gerutu Wardina.
“Abang berdua makanlah dulu ya. Saya nak solat Zohor jap.” Malas Wardina hendak melayan kerenah dua ekor ulat bulu itu. Belum pun kenal lama, dah nak membirah dengannya.
Darwin memerhati Wardina yang sudah berlalu pergi. Matanya juga menjeling Kamal Basha yang sedari tadi asyik mencuri pandang adik Zulhakimi itu. Entah apa mimpi temannya itu hendak mengikut dia berjalan kali ini, dia pun tidak tahu. Biasanya Kamal Basha tidak sudi pergi ke kampung-kampung. Kurang maju dan mundur katanya.
Darwin sebenarnya mempunyai urusan peribadi dengan Zulhakimi. Lelaki itu telah menyelamatkan nyawanya tidak lama dulu. Jika Zulhakimi terlewat barang sesaat, pasti dia sudah mati atau patah riuk akibat terjatuh ke dalam gaung semasa mengikuti ekspedisi memanjat gunung anjuran kelab sukan dan rekreasi di tempat kerjanya.
“Tekun kau tengok awek tu bro? Berkenan ke?”
“Budak sekolah lagilah Kamal.”
“Budak sekolahlah senang nak usyar bro.” Kamal Basha bersuara.
“Kau dah gila? Aku berhutang nyawa dengan abang dia, kau tahu tak? Zulhakimi sanggup bersabung nyawa hendak menyelamatkan aku, mustahil aku akan buat perkara yang tak elok kat keluarga dia,” bentak Darwin. Panas hatinya mendengar kata-kata Kamal Basha yang kurang cerdik itu. Apa lagi yang Kamal Basha inginkan? Bukankah dia sudah punya teman wanita yang solid-molid?
“Janganlah sentap sangat! Aku bergurau ajelah. Apa ada dengan perempuan kampung macam adik penyelamat nyawa kau tu?” sindir Kamal Basha sambil tersenyum sinis.
“Kau nak bercakap pun agak-agaklah. Orang dah layan kita dengan baik, sepatutnya kita balas dengan baik juga. Bukannya jadi kacang lupakan kulit,” perli Darwin.
“Bila masa aku jadi kacang? Aku manusia normal okey,” gurau Kamal Basha. Dia tidak berhajat hendak berdebat lebih panjang dengan temannya itu.
Hesy... kau ni! Tak faham bahasa kiasan ke?”
“Faham! Saja nak bergurau mesra dengan kau,” luah Kamal Basha sambil tertawa. “Jomlah kita sambung makan. Sedap juga budak tu masak. Aku ni bukannya gemar sangat dengan masakan kampung. Tapi okeylah masakan dia jika tekak aku ni boleh terima,” komen Kamal Basha.

Darwin menceber menyampah. Meluat sungguh dia melihat perangai Kamal Basha. Baru kaya dengan harta bapak dah berlagak. Belum lagi diri sendiri yang bergelar jutawan atau hartawan. Mahu tak kenal dari mana asalnya diri itu.
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment