Bab 2 : Terbaik Bagimu | Dayana Darwisy

MENJELANG dua petang, Wardina sudah menunggu kemunculan teman-teman rapatnya. Dia tidak mahu suara rakan-rakannya yang seperti memanggil guruh di langit mengganggu ketenteraman tetamu yang sedang beristirahat. Rakan-rakannya jika memulakan sesuatu topik, berceritanya mengalahkan Pak Menteri yang ingin bertanding dalam pilihan raya.
“Awal kau tunggu kami?” Ila bersuara sambil tersenyum cantik.
“Kereta siapa ni? Superb beb!” Sofina bertanya sambil membelek kereta tersebut. “Pergh... kilat habis body kereta ni! Boleh buat cermin.” Sofina bersuara lagi. Tudungnya yang sedikit senget dibetulkannya. “Kereta pakwe kau eh?”
“Gila pakwe aku! Sepanjang kau kenal aku, ada ke lelaki yang damping aku selain Zulhakimi?” balas Wardina kalut.

“Ini kereta kawan abang aku. Korang jangan bising ya. Aku rasa mereka tengah tidur tu.” Wardina berpesan. Bimbang juga dia jika lontaran vokal mereka yang mengalahkan penyanyi soprano itu mengganggu tetamu yang sedang berehat.
“Ramai ke? Cukup tak untuk kami sorang satu?” Ayu bersuara nakal.
“Gatalnya kau! Ada dua orang ajelah. Kalau korang minat, ambiklah.”
“Habis tu kau tak nak?” Ayu mengusik Wardina.
Wardina menjuihkan bibirnya.
“Aku? Tak hingin aku. Tak sesuai dengan jiwa remaja aku. Dia orang tu dah tualah. Lebih kurang sebaya dengan abang aku.”
“Eh, orang tualah bagus! Ekonomi mesti dah mantap. Kau tengok... pakai kereta mahal lagi. Porsche tuuuu!” Sofina sudah mengeluarkan akalnya yang pintar itu.
“Dan... kalau dah namanya orang tua, tentunya dah ada makwe. Silap-silap keliling pinggang.” Wardina mengeluarkan hujah bernasnya pula. “Entah-entah kereta ni, kereta pinjam. Tak pun kereta sewa. Manusia ni macam-macam ragam. Nak-nak jenis yang gemar menunjuk dan bergaya.”
“Betul tu! Aku setuju sesangat cakap Dina tu. Lagipun apa ada dengan budak sekolah macam kita ni? Mana ada orang yang dah ada kedudukan mantap macam tu nak layan budak-budak hingusan macam kita ni.” Ila menyokong pendapat teman baiknya itu.
“Bijak Ila... Dahlah, jom kita naik. Tapi ingat... jangan bising tau.” Wardina berpesan sekali lagi.
Mak aii... Dina! Banyaknya novel kau.” Melopong Ayu melihat koleksi novel temannya.
Begitu juga dengan Ila dan Sofina. Baru tiga bulan tidak berkunjung ke rumah sahabatnya itu, sudah penuh almari dengan novel.
“Bila masa kau pergi beli?” Sofina bertanya.
“Abang aku tolong langgan.”
“Baiknya abang kau. Bolehlah aku jadi kakak ipar kau. Untung-untung lepas ni dia belikan novel untuk aku pulak.” Ayu mula memasang angan-angan.
“Aku tak kisah. Tapi abang aku tu nak ke dengan anak manja macam kau ni?”
“Eh, aku manja sangat ke?” Ayu bersuara.
“Laaa... kau tak tahu lagi ke yang kau ni minah kememe?” Sofina mengusik Ayu.
Syyy... Jangan bising sangat!” Wardina meletakkan jarinya ke bibir. Kawan-kawannya apabila sudah ada isu yang hendak dibualkan, mudah lupa dunia.
Tanpa mereka sedar gelagat mereka menarik perhatian seseorang yang sudah lama bersandar di tepi pintu. Tersenyum Darwin melihat telatah gadis-gadis remaja itu. Boleh tahan juga kawan-kawan Wardina ni, bisik hati Darwin nakal.
Ila, Ayu dan Sofina sudah berkerumun di depan gerobok buku milik Wardina. Rambang mata mereka melihat novel-novel terkini dan lama yang tersusun elok dan kemas itu.
“Dina... mana novel yang aku minta tadi?” Mata Ayu tidak henti mencari novel yang dia idam-idamkan itu.
“Ada. Aku dah asingkan.”
“Yang aku punya?” Ila bertanya sedikit kuat.
Syyy... janganlah jerit-jerit Ila. Kau dan Sofina punya pun aku dah asingkan. Tu... dekat komputer riba tu.” Tunjuk Wardina dengan muncung mulutnya.
“Okey... sorry-sorry sebab suara aku terover sikit tadi. Thank you ya my lovely friend.” Ila berkata. Senyuman manis juga terukir di bibirnya.
“Kaulah kawan aku dunia akhirat.” Peluk Sofina sambil mencium pipi Wardina.
“Apa ni Sofina? Main cium-cium pulak! Kau ni minat kaum sejenis ke?” Wardina pura-pura marah. “Huwaa... aku dah ternoda!” Wardina mengusik temannya itu.
“Ternoda kepala hotak kau. Bukannya batal air sembahyang pun kalau kena cium dengan aku. Dan tak ada maknanya aku nak terpikat dengan kau okey. Aku masih normal dan waras lagi!” rajuk Sofina.
Alala... janganlah merajuk! Aku gurau ajelah. Ke... kau tengah kibar bendera sekarang? Itu yang moody aje,” usik Wardina lagi.
Sofina mula mengukir senyuman. Malas dia hendak bermasam muka lama-lama. Layan novel lagi bagus. Dan dia juga tahu, temannya itu sekadar bercanda sahaja.
Hesy... kau ni Dina. Tadi kata jangan bising. Ini dia pulak yang memekak,” tegur Ayu.
Hehehe... sorry.” Wardina mula tersengih. “Korang pilihlah yang mana berkenan ya. Aku pergi buat air dulu.”
“Eh, Abang Darwin!” Terkejut Wardina melihat Darwin yang sedang ralit memerhatikan mereka. Entah berapa lama lelaki itu berdiri di tepi pintu bilik.
Tengah skodeng aku dan kawan-kawan aku ke apa? Hati Wardina berbisik curiga.
Emmm... Dina. Boleh buatkan Nescafe untuk abang tak?” pinta Darwin sambil tersenyum.
“Boleh... boleh... abang nak tunggu kat ruang tamu atau nak saya panggilkan abang nanti?” Laju sahaja dia bersuara. Tidak betah dia melihat senyuman Darwin lama-lama. Lain macam sahaja jantungnya bergetar. Kenapa ya?
“Abang tunggu kat ruang tamu ajelah. Nanti ganggu pula Abang Kamal nak tidur.” Darwin segera merapatkan pintu bilik. Dia menuju ke ruang tamu setelah Wardina berlalu ke dapur.
“Banyak ke novel yang menarik?” tegur Darwin. Ralit benar dia melihat gadis-gadis itu membelek novel.
Ila, Ayu dan Sofina segera berpaling pabila ada suara garau menegur mereka.
Mak datuk... kacaknya dia. Anak siapalah yang boleh tersesat ke kampung aku ni? Sofina tertanya-tanya dalam hati.
Kalau macam nilah tampannya, aku sanggup jadi kekasih nombor dua dia. Kekasih gelap pun tak apa, asalkan boleh berpacaran dengannya, gumam Ayu.
Ayoyo! Sweetnya mamat ni. Dah berpunya ke belum? Andai belum... boleh aku hantar borang jadi calon isteri, getus Ila sambil mempamerkan senyuman manis ala-ala primadona yang sedang berjalan di atas karpet merah bersempena Anugerah Bintang Popular.
Ehem... ehem...” Darwin memandang gadis-gadis yang sedang asyik meneliti raut wajahnya. “Abang tahulah abang ni tampan. Tapi janganlah tenung macam abang ni datang dari planet Zuhal.”
Tiga sekawan itu sudah tersengih. Malu tertangkap sedang merenung sakan anak bujang orang.
“Saya Ila.” Ila segera memperkenalkan dirinya. Senyuman manis tidak lekang dari bibirnya. Manalah tahu abang kacak di depannya ini bakal terpikat.
“Saya yang kecil molek ni, Sofina.” Sofina pula bersuara. Suaranya dialun selembut yang mungkin.
“Dan saya Ayu. Abang pula nama apa?” tanya Ayu. Nada suara dan tingkahnya juga biasa-biasa sahaja tidak seperti Ila dan Sofina. Tidak mahu nampak gedik sangat. Dalam hati hanya dia sahaja yang tahu.
“Panggil Abang Darwin,” jawab Darwin. Senyuman juga menghiasi bibir merahnya.
“Abang orang mana?” Mereka bertanya serentak.
Macamlah Si Darwin tu artis popular sibuk hendak menemu ramah.
“KL. Adik-adik bertiga ni orang sini ke?”
Haah, kami dilahirkan dan dibesarkan di sini.” Sofina bertindak selaku tukang jawab.
“Tapi Dina baru tujuh tahun menetap di sini. Sebelum ni dia tinggal di Johor. Arwah mak dia cikgu dan arwah ayah dia doktor.” Tanpa disuruh Ayu menceritakan serba sedikit kisah Wardina.
“Dah lama ke mak dan ayah dia meninggal?” Darwin mengorek cerita. Bagus juga sekiranya mendapat sedikit info tentang gadis bernama Wardina itu.
“Dekat empat tahun rasanya.” Ila memandang kawan-kawannya pinta kepastian.
Kawan-kawannya yang lain mengangguk.
“Dia tu pelajar pintar sebenarnya. Tapi selepas peristiwa yang menimpa ayah dan ibunya, terus dia tak mahu bersekolah di asrama penuh. Tapi dah spesies genius... campak kat sekolah mana pun menjadi. Kalau abang nak tahu, dia tu salah seorang pelajar harapan sekolah untuk dapat 5PA’s dalam STPM ni,” jelas Sofina.
“Mujur juga waktu kejadian tu berlaku abang dia dah tamat belajar. Ada jugalah orang yang jaga dia. Abang Darwin nak tahu... teruk juga dia trauma. Boleh dikatakan setiap bulan berjumpa pakar. Baru-baru ini aje dia okey sikit,” tambah Ayu. 
Ini sudah bagus! Semakin bertambah info tentang Wardina yang dia tahu melalui keramahan rakan-rakan Wardina itu.
Syyy.... diam! Dia dah datang.” Ayu memberi isyarat. Sekiranya Wardina tahu mereka bercerita tentang kisah sedihnya, tentu sahabatnya itu tidak senang. Wardina tidak suka peristiwa menyayat hati itu dijadikan bahan bualan.
Terpinga-pinga Darwin apabila keadaan kembali sunyi sepi. Dia baru hendak bertanya lebih lanjut tentang perkara yang menyebabkan Wardina mengalami gangguan perasaan dan menjadi yatim-piatu. Alih-alih semuanya sudah jadi bisu. Tak apa. Esok masih ada.
Pelik Wardina melihat gelagat teman-temannya. Tadi bukan main lagi berborak sakan. Nampak sahaja bayangnya terus senyap sepi. Ini mesti ada yang tak kena. Pasti mereka sedang korek kisah Darwin dan tidak mahu aku tahu, serkapnya.



DARI mana dapat duit sampai boleh beli buku sebanyak tu?” tanya Darwin sambil menghampiri Wardina yang sedang meletakkan minuman di atas meja kopi.
“Ada yang beli guna duit biasiswa dan ada juga pinjam duit Along,” jawab Wardina sambil menyusun gelas minuman. Sebenarnya sebahagian dari novel tersebut adalah milik arwah ibunya.
“Along?” tanya Darwin sedikit terperanjat. Matanya juga merenung Wardina dengan tajam. Apa pasallah singkat sangat kepala otak budak ni? Ada ke patut pinjam duit dengan ‘Along’ semata-mata nak beli novel.
“Ke... ke... kenapa? Salah ke pinjam dengan Along?” soal Wardina takut-takut. Ngeri dia melihat wajah Darwin ketika ini. Macam nak makan orang.
“Banyaklah salahnya. Awak tahukan ‘Along’ tu jenis lintah darat yang tak berperikemanusiaan. Awak tak takut ke nyawa awak melayang nanti?”
Kini giliran Wardina pula merenung Darwin dengan tajam. Dia ingat Along mana ni? Oooo… Wardina ketawa geli hati.
“Orang cakap serius, dia boleh ketawa pulak.”
“Takpe... Along tu sayang sangat kat saya. Dia tak akan apa-apakan saya,” balas Wardina selamba.
Ada ke dalam dunia ni ‘Along’ macam tu? Mati hidup balik tak akan jumpa! Kecualilah...
“Awak ada hubungan sulit dengan dia ke?” Darwin menebak.
Wardina angguk kepala.
“Kalau tidak macam mana dia nak sayang saya? Bahkan duit yang saya pinjam pun tak perlu dibayar. Malahan setiap bulan dia langgankan novel untuk saya.” Wardina mengusik.
“Apa?” Bagaikan tidak percaya Darwin mendengar kata-kata Wardina. Rupa sahaja nampak baik, tapi perangai... masya-Allah. Apa nak jadilah dengan anak gadis zaman sekarang? Sanggup gadai body semata-mata hendak kejar kemewahan yang tidak seberapa itu.
Melihatkan Darwin seakan-akan blur dengan penjelasan Wardina, lantas Ayu membetulkan salah tanggapan pemuda tersebut..
“Along tu... panggilan untuk Abang Zul dialah Abang Darwin,” laung Ayu.
Darwin ketap bibirnya.
Ceh! Mati-mati aku ingat dia pinjam dengan lintah darat. Kepala Wardina ditunjalnya kerana geram.
Ewah... ewah... dia ni! Dahlah hanya pendatang kat rumah aku. Suka-suka dia aje tolak kepala orang. Ingat tak bayar zakat ke? Penat tahu Along aku bayar zakat fitrah tiap-tiap tahun, gerutu Wardina.
Wajah Darwin direnung geram.
Teman-teman Wardina masih leka mencari novel-novel yang mereka gemari. Malas nak campuri urusan Darwin dan Wardina.
“Marah ke?” Darwin bertanya apabila mata Wardina tidak lepas memandangnya. Wajah itu juga mula memerah. Menahan marah barangkali. “Atau dah terpikat dengan abang?” bisik Darwin. Sengaja ingin mengusik dan menambahkan lagi warna merah di pipi Wardina.
Wardina menahan geram di hati. Ada juga yang kena lesing kalau dia kurang sabar nanti.
Hahaha... sikit pun tak hairan! Bukannya kacak pun!” balas Wardina selamba. Dia menyertai rakan-rakannya memilih novel.
Darwin terkejut mendengar balasan selamba gadis itu. Namun dia tetap terus-terusan hendak mendekati Wardina. Entah virus apa yang menyerang hatinya pun dia tidak mengerti.
Tanpa malu Darwin duduk sekali berkumpul bersama gadis-gadis tersebut. Lututnya juga sengaja dilagakan dengan lutut Wardina. Jelingan maut Wardina langsung tidak berbekas padanya. Malahan dengan bangga dia mempamerkan senyuman menawannya. Mug yang berisi Nescafe panas dan piring yang berisi kek pisang diletak di sisinya.
Buang tebiat ke apa dia ni? Dahlah kepala lutut tu besar. Buat sakit lulut aku aje terkena lutut dia yang macam bola besi kerasnya, bebel Wardina dalam hati.
Mata Darwin semakin galak merenung Wardina. Dadanya dipegang. Mengawal getaran yang hadir.
Sejak tiba tengah hari tadi, dia sedaya upaya menahan dentuman kuat yang menghentak-hentak dinding dadanya. Mujur sahaja jantungnya dipagari dengan tulang rusuk. Jika tidak mahu terhumban keluar. Pasti parah jadinya. Tak pasal-pasal masuk hospital.
“Abang tak ajak kawan abang minum sekali ke?” Sofina bertanya. Darwin dilihatnya seperti sedang mengelamun. Wardina pula kelihatan seperti berperang dengan perasaannya sahaja.
Khayalan Darwin terhenti apabila ada suara yang menyapanya.
Hah... apa dia?” tanya Darwin terpinga-pinga.
“Abang tak ajak kawan abang minum sekali?” ulang Sofina kembali.
“Biarlah dia tidur. Buat ganggu ketenteraman awam aje nanti jika dia bangun.” Bagus juga Kamal Basha tidur lena-lena. Boleh dia bersembang dan main-main mata dengan Wardina dan kawan-kawannya tanpa sebarang gangguan.
“Kenapa? Kawan abang tu ahli kumpulan militan atau orang gila ke?” tanya Ila perlahan.
Belum sempat Darwin bersuara, seorang lagi kawan Wardina menyampuk.
Hah? Biar betul abang? Dah tahu dia macam tu, kenapa bawa ke mari? Membahayakan nyawa kami ajelah. Jangan-jangan abang pun salah seorang daripada mereka tak?” serkap Sofina.
Hesy... mulut tu! Abang cili karang baru tahu. Abang ni keturunan baik-baik. Dia tu aje yang tak berapa nak baik.”
“Amboi, mulut kau! Kalau dapat mengutuk aku bukan main lagi ya?” perli Kamal Basha dengan perasaan bengang.
Darwin hanya mempamerkan riak selamba. Mug yang berisi Nescafe panas diteguknya perlahan-lahan.
“Ini semua siapa? Kawan Dina ya?” Kamal Basha bertanya. Bunyi kecoh di luar bilik membuatkan dia terjaga dari lenanya.
“Ya!” jawab mereka bertiga hampir serentak sambil tersenyum cantik.
“Awal kau bangun? Kenapa tak sambung tidur lagi?” perli Darwin. “Tidur tak ingat dunia, mengalahkan aku yang bawa kereta,” sela Darwin seraya menyumbat kek pisang ke dalam mulutnya.
“Macam mana nak tidur kalau mulut kau riuh sekampung macam ayam jantan hilang bini,” tempelak Kamal Basha.
“Abang Kamal nak minum? Dina boleh buatkan.” Kasihan pula dia melihat Kamal Basha yang dari tadi duk memerhati Darwin yang sedang enak meneguk minumannya.
Kamal Basha mengangguk.
“Abang nak minum air apa?” Lembut sahaja Wardina bertanya.
“Abang nak air macam lanun ni, boleh?” Kamal Basha menunjukkan air yang diminum Darwin.
“Boleh. Kejap ya.”
Huh, mengada sungguhlah kau ni! Minum ajelah air sirap tu. Kau ingat dia tu orang gaji kat rumah kau ke, nak arah berbagai?” Darwin bersuara kurang senang.
“Dia yang mengofferkan diri, bukan aku suruh.” Kamal Basha tersenyum sinis memandang Darwin. “Tapi bagus jugakan. Jika sesuai dengan selera aku, boleh pinang buat isteri.”
Ketawa Ila, Sofina dan Ayu mendengar Darwin dan Kamal Basha bertekak. Dah macam perangai mereka empat sekawan pula.
“Abang berdua ni... tak padan dengan tua bangka. Bertekak macam budak sekolah!”
“Umur aje tua. Tapi perasaan muda lagi,” balas Darwin sambil menyudahkan minumannya.

Sakit hatinya dengan aksi Kamal Basha yang meloyakan tekak itu. Pantang nampak batang hidung perempuan cantik sikit, mulalah nak mengayat. Entah macam manalah dia boleh rapat dengan Kamal Basha, dia pun tak tahu. Padahal mereka mana pernah berlaga angin. Ada sahaja yang tidak memuaskan hati mana-mana pihak. Mujurlah mereka tidak bekerja di bawah satu bumbung atau satu department. Mahu hari-hari berterbangan fail seperti ‘UFO’, dikerjakan oleh mereka jika tidak sependapat. 
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment