Bab 3 : Terbaik Bagimu | Dayana Darwisy

“LAMBATNYA Along balik malam ni?” omel Wardina sendirian. Biasanya waktu-waktu begini, dia dan abangnya sudah melepak di hadapan TV. Tapi sekarang?
Wardina mengerling lagi jam di dinding. Hampir pukul sembilan. Mana Alongnya pergi? Selalunya tidak pernah selambat ini.
Dia bangun menuju ke beranda. Hatinya diamuk kerisauan yang bukan kepalang. 
Darwin memerhatikan sahaja tingkah laku Wardina yang keresahan. Macam tunggu suami pulang dari kerja saja lagaknya. Sambil itu dia memanjangkan lehernya melihat komputer riba milik Wardina. Tengah berFB rupanya tadi.
Darwin beralih tempat duduk. Komputer riba sudah bertukar orang. Laju sahaja tangannya bekerja. Akhirnya dia tersenyum senang. Bunyi enjin kereta yang memasuki perkarangan rumah membuatkan Darwin bangun dari tempat duduknya.
Wardina berlari mendapatkan abangnya. Tubuh abangnya dipeluk erat. Rasa risaunya sebentar tadi sudah berganti dengan rasa gembira. Dia bimbang sekiranya sesuatu yang tidak diingini menimpa abangnya. Andai itu terjadi, kepada siapa lagi harus dia mengadu?
“Hei, kenapa sedih ni? Along dah baliklah.” Zulhakimi menyapu air mata yang menghujani pipi bersih adiknya. Dia tahu adiknya pasti kerisauan memikirkan tentang dirinya yang terlambat pulang.
Wardina sekadar mendiamkan diri dalam pelukan Zulhakimi.
“Maaflah... Along tak sempat nak call tadi, ada meeting tergempar. Lepas tu, telefon Along habis bateri,” jelas Zulhakimi sambil mengusap kepala adiknya. Terasa bersalah pula dirinya.
“Takpe, janji Along dah selamat pulang,” jelas Wardina sambil mengesat air matanya. Dia tersenyum manis buat abangnya.
Zulhakimi tersenyum lega.
“Eh! Kereta siapa ni? Ada orang datang rumah kita ke?” Baru Zulhakimi perasan ada kereta lain terparkir di laman rumah mereka.
Haah. Orang tu kata dia kawan Along.”
Berkerut dahi Zulhakimi. Rasanya dia tak punya kawan yang memiliki kereta semewah ini.
“Assalamualaikum...” sapa Darwin sebaik sahaja menghampiri dua beradik itu.. Tangan dihulur untuk bersalaman. “Masih ingat saya?” soalnya kemudiannya.
Kening Zulhakimi bercantum. Siapa ya? Rasanya dia belum tua lagi hingga terlupa mana-mana kenalannya. Mustahil teman rapatnya masa sekolah atau di universiti dia sudah tidak ingat.
“Saya Darwin. Ingat tak abang pernah selamatkan saya dulu?”
Zulhakimi memaksa otaknya bekerja keras untuk mengingati siapakah lelaki bernama Darwin itu. Tiba-tiba peristiwa yang menimpa lelaki itu menerjah kembali kotak fikirannya malahan masih segar di ingatannya.
“Oh, Darwin! Abang dah ingat sekarang. Apa khabar?” tanya Zulhakimi sambil memeluk erat tubuh Darwin.
“Alhamdulillah... sihat,” balas Darwin sambil tersenyum. Pelukan Zulhakimi turut dibalasnya.
“Marilah naik ke rumah, tak elok berbual kat sini.” Zulhakimi menyambut mesra kedatangan tetamu yang berkunjung ke rumahnya.
Kamal Basha menghampiri Zulhakimi dan Darwin yang sudah berada di muka pintu.
Wardina berlalu masuk ke dalam rumah. Dia ingin menyiapkan makan malam buat abangnya. Tentu abangnya sedang kelaparan ketika ini.
“Ini kawan saya, Kamal Basha.” Darwin memperkenalkan teman kurang mesranya itu. Mereka kenal pun disebabkan keluarganya dan keluarga Kamal Basha adalah rakan perniagaan. Dan mereka sering berurusan. Dia dan Kamal Basha juga satu universiti ketika di US dulu. Itu yang membuatkan mereka sedikit rapat.
Zulhakimi menyambut huluran tangan Kamal Basha sambil tersenyum.
“Marilah kita duduk dekat sofa tu,” pelawa Zulhakimi. Setelah berbual beberapa ketika, Zulhakimi memohon diri. “Kamu berdua duduklah dulu ya. Abang nak mandi kejap.
Darwin dan Kamal Basha angguk kepala dan tersenyum.
“Darwin dan Kamal dah makan ke belum ni?”
Darwin dan Kamal Basha sekadar tersenyum cuma. Wardina sudah mempelawa mereka makan terlebih dahulu tadi. Tetapi Darwin dengan gatalnya telah menolak pelawaan Wardina itu.
“Adik abang tu memang tak boleh diharap,” kutuk Zulhakimi setelah melihat tetamunya itu hanya tersenyum. Dengar dek Wardina, mahu panjang muncung adiknya nanti. “Tak apa, lepas abang solat kita makan sama-sama,” beritahu Zulhakimi menyedapkan hati tetamunya.
“Abang tak perlulah risaukan tentang kami. Lagipun kami masih belum lapar lagi.” Darwin menyelamatkan suasana.
Zulhakimi senyum dan angguk kepala. Dia berlalu dengan hati yang senang setelah mendengar ujaran Darwin.
Setelah Zulhakimi berada agak jauh dari mereka, Kamal Basha bersuara.
“Belum lapar tengkorak kau. Perut aku ni dah pedih tahu, tak?” Kamal Basha merungut. Bayangkan dah lebih pukul sembilan malam masih belum makan malam, mahunya tak kebulur. Hendak keluar mencari makan malam, dia tidak tahu hendak terjah ke mana. Dia langsung tidak mahir dengan kampung Wardina ini. Lagi pula dia datang ke mari dengan menumpang Darwin. Jika pandu sendiri, boleh juga dia merayau sesuka hati. Geram pula dia melihatkan sifat kontrol maco Darwin. Macamlah Zulhakimi berkenan hendak buat adik ipar.
“Kau ni... langsung tak reti nak hormat tuan rumah,” tempelak Darwin.
“Eleh, bukan ke kau juga mengadu kelaparan tadi?” ujar Kamal Basha sedikit sinis.
“Lapar memanglah lapar. Tapi kita kenalah tahu kita ada di mana sekarang,” balas Darwin balik dengan geram. Tak reti nak bersabar sikit. Lagipun bukannya Wardina tidak bagi mereka makan sepanjang berada di rumah ini. Minum petang pun gadis itu sediakan buat mereka. Dasar!
Enggan bertekak lebih lama, Darwin memusatkan pandangannya ke arah TV. Layan movie lagi baik, gumamnya.
Kamal Basha membelek telefon bimbitnya, manalah tahu buah hatinya ada menghantar pesanan ringkas. Dia juga tidak mahu memanjangkan perdebatan yang tidak mendatangkan faedah itu.
Usai solat, Zulhakimi menghampiri Darwin dan Kamal Basha.
“Marilah kita ke dapur. Rasanya Dina dah siap hidangkan makan malam tu,” pelawa Zulhakimi bersama senyuman ikhlas. Dia mendahului Darwin dan juga Kamal Basha menuju ke meja makan. Semuanya sudah siap terhidang termasuk nasi dan juga air. Bagus sungguh adik kesayangannya itu.
“Makan banyak-banyak ya. Buat macam rumah sendiri.” Zulhakimi bersuara mempersila tetamu. Dia tidak mahu tetamunya berasa malu dan canggung.
Darwin seperti biasa tersenyum cuma.
Kamal Basha angguk kepala.
Rajinnya Wardina. Tengah hari tadi lauk lain. Malam pula lauk lain yang disediakan oleh gadis itu, puji Darwin dalam hati.
“Pandai adik abang masak,” puji Darwin ikhlas. Dia mula menyuap nasi ke mulutnya.
“Biasalah Darwin, dah tak ada ibu. Lagipun siapa lagi orang perempuan yang boleh diharapkan selain dia. Abang manalah ada masa nak ke dapur. Pagi keluar bekerja, malam baru nampak tangga rumah. Kalau nak tolong masak pun, cuma hari minggu aje.”
“Carilah kakak ipar untuk dia. Ada juga dia teman bila abang keluar bekerja.”
Zulhakimi tersenyum mendengar bicara Darwin. Hatinya belum terbuka untuk mencari teman hidup. Wardina adalah keutamaannya buat masa ini. Selagi adiknya belum berjaya dalam hidup, selagi itulah dia akan berada di samping Wardina.
“Belum ada jodoh,” balas Zulhakimi. Enggan memanjangkan cerita.
Tak akanlah orang setampan Zulhakimi tidak ada yang minat, gumam Darwin. Sudahlah kacak, berkerjaya pula tu. Memang butalah sesiapa yang tidak memandang Zulhakimi, omel hatinya lagi.
“Tambah lagi nasinya Kamal.” Zulhakimi menghulurkan bekas nasi tambah kepada Kamal Basha.
Kamal Basha menyambutnya dengan malu-malu.
“Darwin tambahlah lagi. Jangan malu-malu. Atau masakan adik abang tak kena dengan selera kamu?”
“Mana ada malu-malu. Abang jangan risau, nanti saya tambah lagi nasinya.”
Zulhakimi tersenyum sambil menyuap nasinya.
Kamal Basha duduk diam menikmati makan malamnya. Langsung tiada niat hendak menyampuk.
“Duduklah sini dua tiga hari, boleh tengok-tengok kampung abang. Lagipun esok abang ambil cuti. Maklumlah nak tinggal buah hati abang tu. Jadi kena buat persiapan dulu. Dia tu susah sikit. Tak biasa tinggal sorang-sorang. Manalah tahu merajuk.”
“Abang nak ke mana?” Darwin pantas bertanya.
“Abang nak ke JB. Ada kursus seminggu di sana. Nak bawa Wardina, takut dia kebosanan asyik terperap dalam bilik hotel.” Zulhakimi mengeluh bila memikirkan adik kesayangannya itu. Apalah akan jadi dengan adiknya itu jika dia turut pergi ‘jauh’ suatu hari nanti? Mampukah adiknya itu hidup gembira dan berdikari?
“Tak boleh lama-lama abang. Lusa saya dah mula kerja. Saya datang ni pun ada sebab. Nantilah lepas makan saya cerita,” jelas Darwin.
Suara Darwin mencantas pergi kegusaran yang bermain di benak Zulhakimi.
“Mungkin lain kali kamu berdua boleh tinggal lama di sini,” pelawa Zulhakimi senang hati.



DARWIN membawa keluar briefcasenya. Sekeping cek dihulurkan kepada Zulhakimi.
“Apa ni?” tanya Zulhakimi tidak mengerti.
“Ini ada sikit saguhati daripada papa saya di atas pertolongan abang tempoh hari.”
Zulhakimi memandang cek yang bernilai RM100,000 itu. Dia menolak semula cek tersebut kepada Darwin.
“Abang tolong ikhlas kerana Allah. Mungkin hari itu hari Darwin, esok atau lusa mungkin hari abang pula.” Bukan dia hendak mendoakan yang tidak baik-baik untuk dirinya tetapi apa yang bakal terjadi di hadapan hari tiada siapa yang mengetahui.
“Tapi abang... ini amanah mama dan papa saya. Bising mereka nanti kalau abang tolak.” Darwin membantah tindakan Zulhakimi.
“Anggap saja itu adalah pertolongan daripada seorang abang kepada adiknya. Mungkin lepas ni Darwin boleh tolong abang pula jika abang ditimpa kesusahan.” Zulhakimi menolak dengan baik. Bukan dia hendak menyombong, tetapi jumlah itu tidak setimpal dengan pertolongan yang dihulurkannya.
Darwin menyimpan kembali cek tersebut. Begitu murni hati lelaki bernama Zulhakimi ini. Moga syurga menjadi tempat tinggal lelaki ini kelak.
“Kamu berdua pergilah masuk tidur. Tentu kamu berdua masih belum hilang penat lagi setelah memandu jauh.” Zulhakimi menyuarakan pendapatnya.
“Tak ada penatnya abang setakat memandu dari KL ke sini. Bukannya jauh sangat. Abang tu yang perlu berehat. Abang kan baru balik dari kerja. Kami ni dari tadi lagi dah berehat.” Darwin beralasan. Masakan tuan rumah belum tidur, mereka hendak masuk tidur pula.
“Abang memang lambat masuk tidur. Nak-nak bila tahu esok cuti. Selalunya waktu-waktu macam ni abang akan teman Dina baca buku. Sekarang ni dia dah habis periksa, dah tak adalah aktiviti macam tu lagi.” Zulhakimi bersuara riang ketika menceritakan perihal adiknya.
“Saya pun macam tu juga abang. Selalunya malam-malam macam ni saya tengok bola. Tak pun keluar dengan kawan-kawan.” Darwin bercerita tentang dirinya.
“Kamal! Kenapa diam aje? Kamu biasanya buat apa waktu-waktu macam ni?”
Darwin menjeling Kamal Basha.
Gelabah seketika Kamal Basha bila disoal selidik sebegitu.
“Saya biasanya siapkan mana-mana kerja pejabat yang tertangguh. Bila free baru hang out dengan kawan-kawan.” Kamal Basha beralasan. Padahal malam-malam sebegini dia selalu menghabiskan masa bersama kekasih hatinya.
“Kamu berdua duduk dulu ya. Abang nak jumpa Dina kejap.”
Darwin dan Kamal Basha mengangguk sambil melihat tubuh Zulhakimi yang semakin menjauh.
“Aku nak telefon papa aku jap.” Darwin memberitahu Kamal Basha. Dia kemudiannya melangkah keluar menuju ke halaman rumah.
Kamal Basha merenung kaca TV. Tiada satu pun rancangan yang menarik perhatiannya. Terasa menyesal pula dia mengikut Darwin. Malamnya terbuang begitu sahaja tanpa sebarang hiburan dan kekasih hati di sisi.
Argh! Bukan Darwin yang mengajaknya. Dia yang gatal-gatal menawarkan diri hendak mengikut. Kononnya nak rasa suasana kampung.
“Mana Darwin?” tanya Zulhakimi sambil meletak dulang yang berisi seteko air Nescafe dan beberapa biji cawan. Terdapat juga sepiring kuih baulu di dalamnya.
“Dia telefon papanya.”
Zulhakimi menuang air Nescafe yang disediakan oleh Wardina sebentar tadi. Setakat ini hanya air Nescafe adiknya sahaja yang dirasakannya sedap dan istimewa.
“Minumlah Kamal. Dah sejuk tak sedap air ni.” Zulhakimi mempelawa Kamal Basha menikmati minuman yang disediakan oleh Wardina. “Abang... kalau Dina yang buat air ni, seteko pun boleh habis. Sedap!”
“Air yang Dina buat memang sedap. Semuanya cukup rasa.” Kamal Basha turut memuji. Antara air yang dibuat oleh Shalini dan air yang dibuat oleh Wardina, air buatan Wardina lebih kaw. Kena dengan tekaknya. Setiausaha merangkap kekasih hatinya itu hanya tahu bergaya dan berdandan. Bila masuk bab masak-memasak memang hancur.
“Wah, ada makan-makan lagi?” tegur Darwin. “Sempat lagi abang buat air?” Dia menambah kemudiannya.
“Abang tukang angkat, tukang buat orang lain.” Zulhakimi bersuara.
Ketawa Darwin mendengarnya.
“Abang... papa saya kirim salam.”
Wa’alaika wa’alaihissalam.” Zulhakimi menjawab bingkisan salam orang tua Darwin.
Emmm... abang, kalau abang tak keberatan, papa dan mama saya nak berjumpa dengan abang. Kalau boleh mereka minta abang datang ke rumah kami esok,” tutur Darwin sambil memandang wajah Zulhakimi. Dia berharap sangat lelaki itu bersetuju. Sudahlah lelaki itu buat papa dan mamanya terkilan kerana menolak pemberian mereka.
“Nantilah abang fikirkan.” Zulhakimi diserang rasa serba salah. Susah sebenarnya dia hendak menolak permintaan bertaraf ibu dan ayah ini.
“Saya harap abang dapat beri jawapan yang positif. Papa dan mama berharap sangat dapat bertemu abang.”
“Insya-Allah,” jawab Zulhakimi sambil memandang wajah Darwin. “Minum Darwin. Kecil hati Dina nanti jika airnya tak luak.” Zulhakimi mengalih topik perbualan.
“Dia ni pantang dipelawa.” Kamal Basha bersuara.
“Abang nak kerja di syarikat papa saya?” Darwin bertanya. Ini adalah cadangan papanya. Sindiran Kamal Basha ditolak ke tepi. Bukannya boleh mendatangkan barah pun.
Zulhakimi ketawa. Bermacam-macam rancangan dan cadangan  yang disua Darwin kepadanya.
“Abang sayangkan rumah pusaka ni. Hanya ini saja kenangan yang ditinggalkan oleh ibu dan ayah abang. Siapa lagi yang hendak menjaganya jika bukan abang? Dina... bila dah berkahwin tentu akan ikut suaminya.”
Mata Zulhakimi mengitari rumah tinggalan ibu dan ayahnya. Dia sayangkan rumah ini. Kasih sayang ibu dan ayahnya ada tertinggal di sini. Dia dapat merasainya walaupun mereka telah tiada di sisi.
“Along...” panggil Wardina dari dalam biliknya.
“Abang nak tengok Dina sekejap.” Zulhakimi meminta diri lantas meninggalkan tetamunya seketika.
Darwin dan Kamal Basha menoleh ke arah kamar tidur Wardina.
Apalah yang gadis itu inginkan daripada abangnya? Fikir Darwin.
“Ada apa adik?”
“Along... adik tak boleh tidur.”
“Nak Along ngajikan ke?”
Wardina mengangguk. Bunyi guruh di luar sana mengganggu lenanya.
“Baring. Abang akan bacakan beberapa surah untuk Dina,” arah Zulhakimi lembut.
Begitulah keadaan Zulhakimi jika Wardina tidak bisa tidur. Dia akan membaca beberapa surah ayat suci al-Quran hingga adiknya mampu lena semula. Sejak peristiwa hitam itu, Wardina sering meracau dalam tidurnya.
Setelah Wardina kembali tidur, barulah Zulhakimi menyertai Darwin dan Kamal Basha semula.
“Maaflah kerana lama menunggu. Dina memang macam tu. Bila tak boleh tidur mesti abang kena mengaji di tepi telinganya dulu,” terang Zulhakimi tanpa dipinta.

Darwin mengangguk kepalanya. Satu lagi info berguna tentang Wardina sudah berada dalam koceknya.
Share on Google Plus

About Unknown

Bermutu : Efisyen : Sistematik : Q(K)ualiti
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment